Tuesday, October 7, 2008

PELIK DAN AJAIB

Saya hairan kenapa kekadang ada dikalangan golongan agamawan yang faham apa itu Islam, sanggup menggadaikan maruah mereka sendiri. Lebih-lebih lagi dalam soal mempertahankan hak syariat Allah SWT ini.

Kenapa bila kita dibacakan ayat-ayat Allah SWT kita terus menolak dengan akal fikiran semata? Tanpa merujuk dasar ilmu Syariat yang sebenarnya. Adakah kita tidak tahu akal fikiran manusia yang kita anggap luas itu sebenarnya hanya nafsu syahawat sahaja?

Kemudian bila dibahaskan suatu bidasan yang mengaitkan ilmu, lantas kita boleh menolaknya dengan menggangap remeh. Sehinggakan ada dikalangan kita yang berani kata; {"alah ini semua orang macam kita ni tahu, tak payah diajar"}. Lalu kita laksanakan praktikal kita dengan apa yang akal kita faham, tanpa mengikut lunas-lunas ilmu yang sebenarnya.

Ibaratnya ada juga masa saya di padang bola menyertai program sukan, bila penganjur meminta berhenti sembahyang serta disediakan tempat sembahyang, kita katakan; {"alah sembahyang ni memang tanggungjawab masing-masing tak payah cakap"} . Inikah perangai orang agamawan? Tepuk dada tanya iman.

Saudara & saudari sekalian.

Ingatlah, kita ini kekadang banyak lupa dan lalai. Termasuk Ustaz dan Ustazah pun lupa dan lalai. Oleh kerana itu, pandai macam manapun kita perlu selalu diberi peringatan. Dan peringatan itu wajib. Kita melihat banyak ayat-ayat Allah yang menerangkan hal berkaitan peringatan. Kita tiada Nabi dan Rasul pada zaman sekarang. Tetapi kita ada Ulama' selaku pewaris para Nabi.

Kalau kita sakit jasad mungkin ada doktor boleh ubat. Kalau bangunan rosak, jurutera boleh tolong. Tetapi kalau agama kita rosak siapa yang kita minta tolong. Sudah tentu para 'alim Ulama'. Mana boleh kita pisahkan antara pimpinan Islam dengan Ulama'.

Syariat Islam mesti Para Ulama' sebagai satu proksi untuk memberikan kefahaman pada ummah. Dan kita yang mengambil ilmu dari Para Ulama' perlu sebarkan sebagai menjayakan Syiar Islam itu. Bukan kita yang menafikan dan putar-belitkan pandangan Ulama'.

Oleh kerana itu, jangan sekali-kali kita ikut hawa nafsu dalam memberikan pandangan. Suka perubahan, tetapi amat drastik kita lakukan. Tajdid perkara yang perlu kita lakukan. Tetapi kena dengan tempatnya. Jangan gelojoh di dalam suatu perkara. Jangan jumud dengan waqi'
yang kita pernah duduk. Tetapi sesuaikan keadaan. Jangan pandang kitalah paling tahu. Tolong jaga ajaran Syariat Islam.

Firman Allah swt :

ثم جعلناك على شريعة من الأمر فاتبعها و لا تتبع أهوآء الذين لا يعلمون

Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad ) menjalankan satu Syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum ugama; maka turutlah Syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar)
( Surah Al Jathiyah . Ayat : 18 ).

Perlu kita ingat semua akan ta'rif yang boleh kita ambil dari sudut pengertian sebenar apakah sebenarnya Syariah itu? Dan satu pengertian yang boleh diambil yang mudah dan jelas melalui dialog rasmi seorang Ketua Negara bertaraf Rasul dengan seorang Gabenornya salah seorang Sahabat Saiyidina Muaz Ibnu Jabal RA sebelum dihantar bertugas ke Yaman.


قال بِماَ تَقْضِى قال بِكِتَابِ اللهِ قال فإنْ لَمْ تَجِدْ قال بِسُنَّةِ رَسُوْلِ اللهِ قال فإنْ لم تجدْ قال أَجْتَهِدُ رَأْيِى وَ لاَ آلوُ ( أي لا أقصر ) فَضَرَبَ في صَدْرِهِ وَ قال الْحَمْدُ للهِ الذِّي وَفَقَ رَسُوْلَ رَسُوْلِ الله لما يرَضى رسولُ الله

Rasulullah saw. bertanya : Dengan apakah kelak kamu akan berhukum , maka jawabnya : Aku berhukum dengan kitab Allah swt .Rasulullah saw. bertanya lagi : Jika sekiranya kamu tidak dapati nasnya di dalam Al Quraan ? Lalu Muaz menjawab: Aku berhukum dengan Sunnah Rasulullah saw. Rasulullah saw. bertanya lagi : Jika tidak juga kamu dapati nasnya di dalam Sunnah ? Lalu Muaz menjawab : Aku akan berijtihad berasaskan ilmu tanpa menyeleweng . Maka Rasulullah saw. menepuk dadanya lalu berkata : Segala puji bagi Allah yang memberi taufiq kepada utusan Rasulullah saw. dengan apa yang diredhoi oleh Rasulullah saw.

Saudara & Saudari sekelian :

Jelas kepada kita , bahawa Syaria’t Islam ialah Kitab Allah , Sunnah Rasulullah saw. , Ijma’ dan Qias . Inilah Hujjah Syari’e . Lain dari empat perkara ini , ia bukan hujjah Syari’e .

Suatu hal yang harus kita sedar , bahawa kini kita ditaqdirkan hidup di suatu zaman yang banyak perselisihan atau penyelewengan . Suatu zaman berlakunya huru – hara ideology . Zaman yang perlu kepada kod penyelesaian yang agong sebagaimana yang telah diisyaratkan oleh baginda Rasul saw. :

أُوْصِيْكُمْ بِتَقْوَى اللهِ عَزَّ وَ جَلَّ وَ السَّمْعِ وَ الطَّاعَةِ وَ إِنْ تَأَمَّرَ عَلَيْكُمْ عَبْدٌ فإَنِهَّ ُمَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ فَسَيَرَى اخْتِلاَفاً كَثِيْرًا فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَ سُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِيْنَ الْمَهْدِييِّنَ عَضُّوْا عَلَيْهَا باِلنَّوَاجِذِ وَ إِيَّاكُمْ وَ مُحْدَثَاتِ اْلأُمُوْرِ فَإِنَّ كُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ .

Aku berwasiat kepada kamu supaya bertaqwa kepada Allah Azza Wa Jalla dan dengar serta taat sekalipun pemimpin yang dilantik dikalangan kamu hanyalah seorang hamba . Sesiapa yang masih hidup dikalangan kamu suatu masa kelak, ia akan menyaksikan perselisihan yang begitu ketara , maka wajib ke atas kamu di kala itu berpegang kepada Sunnah ku dan Sunnah Khulafa’ Ar Rasyidin yang mendapat petunjuk , genggamlah seerat-eratnya dengan geraham kamu . Waspadalah terhadap perkara baru yang direka maka sesungguhnya perkara baru yang direka ( bida’ah ) adalah sesat .

( Hadis riwayat Abu Daud dan Tarmizi )

Muslimin dan muslimat sekalian.

Di dalam persoalan Tarbiyyah yang perlu kita titik beratkan dalam diri umat Islam sekarang ini, perlu di sini golongan agamawan memainkan perana penting. Lebih-lebi lagi dalam Dakwah yang perlu kita fahami dahulu.

Sebab kalau kita banyak berijtihad tanpa merujuk prinsip Islam, maka kita akan hadapi masalah besar. Lebih-lebih lagi persoalan berkaitan agamawan sebagai Murabbi yang perlu titik beratkan Tarbiyyah di dalam diri sebelum mentarbiyyah orang lain.

Adakah kita yang perlu mengikut sahaja rentak masyarakat dan mengabaikan prinsip kita? Lupakah kita cara sebagai golongan agamawan yang dipandang masyarakat baik, tetapi boleh berubah sikap dan perangai kita. Bolehkah Islam menghalalkan cara?

Sepatutnya kita yang mentarbiyyah masyarakat, perlu kita mengajak mereka ikut Islam. Bukan kita menggadaikan maruah kita. Umpamanya pemakaian kita yang biasanya berkopiah, tiba-tiba kita tanggalkan sebab mahu meraikan golongan musuh. Ini sesuatu perkara yang salah.

Tetapi kalau kita tanggalkan kupiyah untuk menarik masyarakat supaya dekat dengan Islam itu tidak salah. Itu bergantung kepada suasana yang boleh menguntungkan Islam selagimana tidak salah dengan Syara', buatlah sebagai langkah bersesuaian dengan Dakwah yang kita laksanakan.

Saya pernah melihat seorang Ustaz yang berjanggut panjang. Satu contoh yang boleh kita ambil, beliau boleh masuk dan mesra dengan golongan masyarakat Bangsa Cina di Malaysia. Sebab beliau ingin menaikkan semula imej orang yang berjanggut panjang ini bukannya pengganas.

Bagi saya golongan agamawan perlu ada gaya dan personaliti tersendiri. Walaupun ada masyarakat yang menghukum kita jumud dan terkebelakang, namun percayalah apabila kita selalu duduk dengan masyarakat, jiwa masyarakat akan suka pada kita. Sebab selagimana kita bawa ajaran Islam, masyarakat akan gemar dengan kita. Sebab Islam agama fitrah.

Muslimin & Muslimat sekalian.

Kenapa kita ini golongan agamawan bersikap malu kadang-kadang menyebut istilah-istilah bahasa Arab dengan masyarakat? Walhal masyarakat walaupun mereka kurang jelas dengan apa yang kita sebutkan itu, bila kita senantiasa menggunakan istilah bahasa Arab ini insya Allah masyarakat akan faham. Ini juga satua gaya dan personaliti agamawan sebenarnya.

Kalau pelajar yang pulang dari negara-negara barat, mereka nampak terkehadapan untuk menggunakan istilah-istilah bahasa Inggeris seperti Ok, So, I thing, dan sebagainya. Bagaimana pula dengan kita golnganagamawan. Adakah sesama kita sahaja gunakan istilah itu. Walhal masyarakat juga perlu dididik dan diajar.

Lebih-lebih lagi istilah yang berkait rapat dengan Islam umpama Amar Ma'ruf Nahi Mungkar. Bagaimana Ulama' dahulu gunakan kalimah Nikmah dan masyarakat menyebut 'nikmat' serta terdapat di dalam kamus Bahasa Melayu sendiri. Hasilnya Bahasa Melayu semakin berjaya diperkayakan. Ini diantara kesan gaya dan personaliti yang Ulama' dahulu bawakan.

Sebab perlu kita ingat sebagaimana Kalam yang terbit daripada Saiyidina Umar Al-Khatthab:

نحنُ قومٌ أَعزَّنا اللهُ بالإسلامِ فَمَهْمَا نَبْتَغِ عِزَّ بِغَيْرِ ما أَعَزَّنا اللهُ أَذَلَّنا الله

Kita adalah suatu kaum yang diberi kekuatan oleh Allah dengan Islam , maka barangsiapa yang mencari kekuatan lain , selain dari apa yang telah dianugerahkan oleh Allah , maka tunggulah bala kehinaan daripada Allah swt .

[Rujuk Muqaddimah Ibnu Khaldun]

Dari itu saya menyeru dan mengajak kepada semua supaya meletakkan Islam dihadapan bukannya dibelakang. Banyakkan kesatuan yang perlu kita senantiasa terapkan. Islam adalah memerintah bukan diperintah. Sekian Wa'allahu'alam.

Friday, October 3, 2008

WASILAH-WASILAH PETUNJUK ALLAH SWT.

Sebagaimana FirmanNya yang bermaksud:

[
Tunjukilah kami jalan yang lurus] {Al-Fatehah:6}

Allah SWT benar-benar memberi anugerah 4
Wasilah terhadap manusia untuk mendapat petunjuk:

Pertama: Perasaan semulajadi dan ilham secara fitrah. Ini berlaku sejak manusia bayi dalam keadaan baru sahaja lahir.

Umpamanya ketika lahir biasanya seorang bayi mahukan susu. Ini satu perkara yang tidak dapat dibaca, diatur dan difikir oleh akal bayi tadi. Sedangkan siapa sebenarnya yang mengajar terhadap bayi itu hajatnya kepada susu? Nah, begitulah jadinya di antara wasilah kepada petunjuk Allah SWT.

Kedua: Pancaindera dan perasaan yang ada pada manusia; baik pendengaran, penglihatan, rasa, ciuman, dan sentuhan. Dan segala perkara ini kebanyakan manusia salah dalam menggunakannya.

Ketiga: Akal manusia sendiri yang amat kuat dan pelbagai. Termasuklah pengetahuan, fikiran, khayalan, hafazan, daya ingatan dan sebagainya. Dan akal sebagai sumber hukum dan pergantungan daripada tanggungan pada manusia. Ia mengesahkan perasaan manusia yang salah. Dengan ini manusia dapat mengenal hakikat segala sesuatu pada perkara lahiriyah dan maknawiyyah mengikut jalan yang lurus.

Keempat:
Ad-Din, kebenaran Ilahi, dan risalah-risalah As-Samawiyyah bersama para Rasul dan para Nabi AS.

Semua
Wasilah ini, kebanyakan manusia sesat kerana manusia sendiri salah menggunakannya. Manusia tidak mampu mengambil faedah dan manfaat daripadanya.

Kebanyakan manusia sendiri mengabaikan penggunaan pancaindera untuk mengenal perkara yang dirasakan kena pada tempatnya.

Kebanyakan pula, manusia itu melemahkan akalnya sendiri dengan sebab mengaibkan, merosakan, menggugurkan dan menyakiti ataupun menentang dan hanya syahwat semata-mata dari menghubungkan diri, menuju dan mencapai hakikat sebenar.


Kebanyakan lagi, menyelewengkan dari dasar agama bagi yang jahil dengannya atau menentang darinya atau selain itu daripada beberapa sebab.

Allah SWT sebenarnya mensyariatkan terhadap kita semua supaya kita meminta petunjuk Allah SWT kepada
As-Sirothal Mustaqim pada setiap wasilah yang kita gunakan.

Maka jangan sekali-kali kita mengabaikan perasaan kita dan melemahkan akal kita. Dan jangan sekali-kali kita selewengkan pada kefahaman agama dan pengetahuan padanya dari hak anugerah suatu kebenaran.

Pada semua kata-kata dan perbuatan sama sekali tidak mungkin mampu seseorang itu mendapat
As-Sirothal Mustaqim kerana perantaraan pada setiap kata-kata dan perbuatan itu ada had batasannya tersendiri. Adalah Allah SWT yang sebenar-benarnya mempunyai hak dalam memberi petunjuk akan jalanNya.

Wednesday, October 1, 2008

Salam EIDUL FITRI diucapkan.


Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah SWT.

Harap sayugianya mohon maaf pada kalian semua. Kepada Ibunda, Ayahanda, Atok Uda, Atok Abah, Atok Yah, Abg Ijal, Abg Apis, Ziha, Acit, Kak Laili, Kak Olin, anak-anak buah maaflah Ammu Am tak dapat raya sama, Mak Andak sekeluarga, Wak Ngah sekeluarga, Pak Uteh sekeluarga, Wak Long sekeluarga, orang-orang kampung semua, rakan-rakan sekolah, ustaz-ustaz, ustazah-ustazah, cikgu-cikgu yang mendidikku dan mengajarku, juga rakan-rakan kat Mesir ni dan kat Malaysia sama ye, para pejuang Islam kawasan Sungai Abong maaf sangat tak dapat solat terawikh dan raya sama kalian, tahniah pada Doktor Syaikh Ibrahim, dan sapa saja yang kenal hamba ini, baik jauh mahupun dekat, baik rapat atau tidak; maka dengan ini saya ucapkan selamat menyambut Eidul Fitri kepada kalian semua.

Satu kesempatan yang tidak dapat diberi dengan sedemikian rupa. Satu pemberian yang sangat mahal harganya. Dalam keadaan hamba yang lemah ini sudah menyambut Ramadhan dengan tidak seberapa. Namun mengharap roh tarbiyyah Ramadhan tersemat di kalbu. Ya Allah ampunkan hambaMu ini, kuatkanlah jiwaku Ya Rabbal 'Izzah semasa bibirku mengucap kalimah Takbir, hanya semata-mata mencari keredhaan Engkau.

Harap kalian semua halalkan makan minum atau apa sahaja kesalahan, takut termakan duit kalian semua, masakan tidak mampu diriku ini menghadapi azab api neraka.

Harap sama mohon maaf sekiranya ada juga terkasar bahasa, terkutuk, terperli dan banyak lagi ter.. kot. Kadang-kadang takut ade memang sengaja ker atau sebagainya, harap maaf sangat-sangat. Sekian dari hamba Allah ini.