Tuesday, September 8, 2009

RUANG MENAMBAH KETAQWAAN DENGAN RAMADHAN



Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡڪُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِڪُمۡ لَعَلَّكُمۡ
تَتَّقُونَ 

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.

أَيَّامً۬ا مَّعۡدُودَٲتٍ۬‌ۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٍ۬ فَعِدَّةٌ۬ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَ‌ۚ وَعَلَى ٱلَّذِينَ يُطِيقُونَهُ ۥ فِدۡيَةٌ۬ طَعَامُ مِسۡكِينٍ۬‌ۖ فَمَن تَطَوَّعَ خَيۡرً۬ا فَهُوَ خَيۡرٌ۬ لَّهُ ۥ‌ۚ وَأَن تَصُومُواْ خَيۡرٌ۬ لَّڪُمۡ‌ۖ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ

(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir, (bolehlah dia berbuka), kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.

شَہۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدً۬ى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍ۬ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِ‌ۚ فَمَن شَہِدَ مِنكُمُ ٱلشَّہۡرَ فَلۡيَصُمۡهُ‌ۖ وَمَن ڪَانَ مَرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٍ۬ فَعِدَّةٌ۬ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَ‌ۗ يُرِيدُ ٱللَّهُ بِڪُمُ ٱلۡيُسۡرَ وَلَا يُرِيدُ بِڪُمُ ٱلۡعُسۡرَ وَلِتُڪۡمِلُواْ ٱلۡعِدَّةَ وَلِتُڪَبِّرُواْ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَٮٰكُمۡ وَلَعَلَّڪُمۡ تَشۡكُرُونَ

(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur.

[Al-Baqarah:183-185]


Alhamdulillah kita diberi ruang oleh Allah SWT untuk menuju ketaqwaan dengan jalan melakukan kefardhuan ibadat puasa di dalam bulan Ramadhan yang penuh berkat ini. Walaupun sudah pasti ruang untuk menuju ketaqwaan ini cukup banyak, namun ruang mahupun peluang di dalam bulan Ramadhan lebih kukuh berdasarkan banyak riwayat-riwayat hadith Nabi SAW yang menceritakan kelebihan ataupun fadhilat di dalam bulan Ramadhan.

Di antaranya apa yang diriwayatkan dari Abi Hurairah RA dari Nabi SAW yang bersabda:

Barangsiapa berpuasa di dalam bulan Ramdhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan pada puasanya (bertujuan untuk mencari keredhaan Allah SWT), nescaya diampunkan terhadapnya apa yang terdahulu daripada dosa-dosanya.


[Muttafaqun ‘Alaihi]

Dan dari Abi Hurairah lagi yang bahawasanya Rasulallah SAW bersabda:

Apabila datang bulan Ramadhan, (lalu) dibukakan pintu-pintu Syurga, dan ditutupkan pintu-pintu Neraka serta dibelenggukan Syaitan-syaitan.

[Muttafaqun ‘Alaihi]

Walaupun ruang untuk menambah ketaqwaan ini banyak di dalam bulan ini, sekiranya kita tidak cuba untuk mencontohi Para Salafus Soleh di dalam kesungguhan mereka untuk melaksanakan ibadat, maka kita tidak dapat menghayati kemanisan ibadat di dalam bulan ini.

Walaupun Al-Quranul Karim dan As-Sunnah SAW sudah menggariskan beberapa kemuliaan di dalam bulan ini, namun masih ramai lagi kita melihat kelibat masyarakat Muslimin yang juga tertewas dengan godaan nafsu syahwat hatta membawa ke kancah dosa dan maksiat.

Ini kerana, kurangnya kesedaran masyarakat tentang ajaran Islam yang di situ ada mempunyai rahmat dan petunjuk. Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.

Namun rahmat dan petunjuk ini seolah-olah lenyap begitu sahaja kerana kurangnya Umat Islam mengambil berat dengan sistem Islam yang mampu menyelesaikan banyak masalah.

Walaupun kita melihat suasana di bulan Ramadhan, masyarakat kita ada perubahan sedikit sebanyak berbanding fatrah masa selain daripada bulan Ramadhan, namun kita melihat masih ada lagi di sana sikap masyarakat kita yang tidak lekang dengan maksiat yang dilakukan.

Contohnya kebanyakan para artis kita yang berpuasa, namun soal aurat mereka tidak hiraukan. Termasuk bersentuhan di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Dan ada lagi yang masih suka menghiburkan masyarakat dengan lagu-lagu yang kurang mengajak umat Islam kepada Allah SWT.

Hatta apa yang menyedihkan di awal kita menyambut Ramadhan, ada yang sanggup mengeluarkan kenyataan berkait dengan ‘tidak sabar untuk menyambut syawal menjelma’. Walhal para Salafus Soleh terdahulu di akhir Ramadhannya mereka menangis kerana risau mereka tidak dapat bertemu lagi bulan Ramadhan.

Walaupun kita sedar bahawasanya umat Islam disunatkan menyambut ‘Edulfitri dengan penuh kegembiraan tanda hari kemenangan kepada umat Islam seluruhnya. Apa yang saya sedihkan para artis mejadi idola khususnya para muda-mudi kita hari ini. Malah Islam yang merupakan agama yang syumul tidak melarang Umat Islam berhibur. Tetapi perlu diingat, kita yang beragama Islam mempunyai garis sempadan mahupun cara kita berhibur.

Oleh yang demikian, saya berharap ada perubahan daripada golongan para artis kita yang menunjukkan bagaimana cara artis yang Muslim dan Muslimah dari sudut pemakaian, akhlak, dan sebagainya. Apa yang penting soal halal dan haram mesti kita ketahui. Maka dengan ini salah satu maqasid atau tujuan untuk menjadi golongan yang bertaqwa kepada Allah SWT.

Wahai para artis, takutlah kamu kepada Allah SWT. Berjagalah kamu kepada soal halal dan haram. Ketahuilah tuntutan perintah Allah SWT untuk kita laksanakan. Jauhkan dirimu daripada perkara yang Allah SWT larang. Gunakankanlah medan hiburan kamu untuk mengajak masyarakat kepada Allah SWT. Carilah kemuliaan kamu dengan Islam bukanlah dengan selain itu. Ingatlah api neraka itu amatlah pedih.

Sebagaimana firman Allah SWT:

بَلَىٰ مَن كَسَبَ سَيِّئَةً۬ وَأَحَـٰطَتۡ بِهِۦ خَطِيٓـَٔتُهُ ۥ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ أَصۡحَـٰبُ ٱلنَّارِ‌ۖ هُمۡ فِيهَا خَـٰلِدُونَ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ أَصۡحَـٰبُ ٱلۡجَنَّةِ‌ۖ هُمۡ فِيہَا خَـٰلِدُونَ

(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar), sesungguhnya sesiapa yang berbuat kejahatan dan dia diliputi (ditenggelamkan) oleh kesalahannya itu, maka merekalah ahli Neraka, mereka kekal di dalamnya. (81) Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, merekalah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya. (82)

[Al-Baqarah:81-82]

Adalah menjadi suatu kewajipan untuk kita saling ingat mengingati di antara satu sama lain. Apapun kita mesti senantiasa mengharap Ramadhan pada tahun ini adalah satu medan pentarbiyahan buat kita semua. Bukan sahaja kita hanya menjaga daripada perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa, tetapi kita juga mesti menjaga daripada perkara yang boleh membatalkan pahala kita.

Ini tidak lain dan tidak bukan, bukan dilihat pada banyaknya amal ibadah kita, tetapi kualiti setiap ibadah yang kita lakukan. Dan senantiasa mengharap supaya diampun dosa yang telah kita kerjakan, kita juga mesti mengharapkan Rahmat Allah SWT. Kerana masuknya kita ke dalam Syurga bukan pada amalan ibadat kita, tetapi adalah dengan Rahmat Allah SWT.

Sungguhpun begitu, kesungguhan kita dengan amalan Ibadat adalah salah satu jihad yang menunjukkan tanda ‘Ubudiyyah kita terhadap Al-Khaliq SWT.

Firman Allah SWT:

قُلۡ إِنَّمَآ أَنَا۟ بَشَرٌ۬ مِّثۡلُكُمۡ يُوحَىٰٓ إِلَىَّ أَنَّمَآ إِلَـٰهُكُمۡ إِلَـٰهٌ۬ وَٲحِدٌ۬‌ۖ فَمَن كَانَ يَرۡجُواْ لِقَآءَ رَبِّهِۦ فَلۡيَعۡمَلۡ عَمَلاً۬ صَـٰلِحً۬ا وَلَا يُشۡرِكۡ بِعِبَادَةِ رَبِّهِۦۤ أَحَدَۢا

Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya. (110)

[Al-Kahfi:110]

Firman Allah SWT lagi:

إِنَّ ٱلَّذِينَ لَا يَرۡجُونَ لِقَآءَنَا وَرَضُواْ بِٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا وَٱطۡمَأَنُّواْ بِہَا وَٱلَّذِينَ هُمۡ عَنۡ ءَايَـٰتِنَا غَـٰفِلُونَ

أُوْلَـٰٓٮِٕكَ مَأۡوَٮٰهُمُ ٱلنَّارُ بِمَا ڪَانُواْ يَكۡسِبُونَ
إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ يَہۡدِيهِمۡ رَبُّہُم بِإِيمَـٰنِہِمۡ‌ۖ تَجۡرِى مِن تَحۡتِہِمُ ٱلۡأَنۡهَـٰرُ فِى
جَنَّـٰتِ ٱلنَّعِيمِ

دَعۡوَٮٰهُمۡ فِيہَا سُبۡحَـٰنَكَ ٱللَّهُمَّ وَتَحِيَّتُہُمۡ فِيہَا سَلَـٰمٌ۬‌ۚ وَءَاخِرُ دَعۡوَٮٰهُمۡ أَنِ ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ

وَلَوۡ يُعَجِّلُ ٱللَّهُ لِلنَّاسِ ٱلشَّرَّ ٱسۡتِعۡجَالَهُم بِٱلۡخَيۡرِ لَقُضِىَ إِلَيۡہِمۡ أَجَلُهُمۡ‌ۖ فَنَذَرُ ٱلَّذِينَ لَا يَرۡجُونَ لِقَآءَنَا فِى طُغۡيَـٰنِہِمۡ يَعۡمَهُونَ


Sesungguhnya orang-orang yang tidak menaruh ingatan akan menemui Kami (pada hari akhirat untuk menerima balasan) dan yang reda (berpuas hati) dengan kehidupan dunia semata-mata serta merasa tenang tenteram dengannya dan orang-orang yang tidak mengindahkan ayat-ayat (keterangan dan tanda-tanda kekuasasaan) Kami. (7)
Mereka yang demikian keadaannya (di dunia), tempat kediaman mereka (di akhirat) ialah Neraka; disebabkan keingkaran dan kederhakaan yang mereka telah lakukan. (8) Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Tuhan mereka akan memimpin mereka dengan sebab iman mereka yang sempurna itu. (Mereka masuk ke taman yang) sungai-sungainya mengalir di bawah tempat kediaman mereka di dalam Syurga yang penuh nikmat. (9) Doa ucapan mereka di dalam Syurga itu ialah Maha Suci Engkau dari segala kekurangan wahai Tuhan! Dan ucapan penghormatan mereka padanya ialah: Selamat sejahtera! Dan akhir doa mereka ialah segala puji dipersembahkan kepada Allah yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam! (10) Dan kalau Allah menyegerakan bagi manusia azab sengsara yang mereka minta disegerakan, sebagaimana mereka minta disegerakan nikmat kesenangan, nescaya binasalah mereka dan selesailah ajal mereka. Oleh itu, (Kami tidak menyegerakan azab yang dimintanya), Kami biarkan orang-orang yang tidak menaruh ingatan menemui Kami itu meraba-raba dalam kesesatannya. (11)

[Yunus:7-11]

Apapun saya mengingatkan diri saya dan teman-teman sahabat-handai supaya teruskan Istiqamah dengan amalan ibadah yang dilakukan. Dan pujian saya kepada masyarakat Arab Mesir lebih-lebih lagi di bumi Al-Mansurah yang saya tinggal ini, yang tanpa segan-silu menjemput pelajar-pelajar Malaysia berbuka puasa yang boleh saya katakan hampir lebih setiap hari jemputan dibuat.

Hatta sehinggakan pelajar-pelajar kita, tidak sanggup memenuhi kehadiran jemputan yang dibuat. Semoga amalan sedekah yang mereka laksanakan mendapat ganjaran daripada Allah SWT. Sedikit sebanyak para pelajar kita di perlembahan Nil ini dapat mencontohi amalan ini. Di samping itu, kesungguhan mereka di dalam membaca Al-Quranul Karim, bukan sahaja di kalangan golongan tua, malah golongan muda-mudi tidak melepaskan diri mereka dengan pembacaan Al-Quranul Karim.

Akhir sekali, kita mengharapkan perubahan diri kita lebih baik daripada sebelum ini setelah mana kita sudah sepenuh jiwa dengan tarbiyah di dalam madrasah Ramadhan ini. Waallahu’alam.