Saturday, November 27, 2010

KENAPA MESTI BANGGA DENGAN YANG LAIN

Firman Allah swt:

وَمَن يَبۡتَغِ غَيۡرَ ٱلۡإِسۡلَـٰمِ دِينً۬ا فَلَن يُقۡبَلَ مِنۡهُ وَهُوَ فِى ٱلۡأَخِرَةِ مِنَ ٱلۡخَـٰسِرِينَ

Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi. (85)

Ali Imraan: 85

Imam Ahmad da Imam At-Thobrani meriwayatkan dalam Al-Mu'jam Al-Ausoth dari Abi Hurairah mengatakan: Rasulullah saw bersabda: Amalan-amalan itu datang di hari kiamat.

Maka Sembahyang yang datang (menghadap Allah swt), lalu mengatakan: Wahai Tuhan, aku adalah Sembahyang. Maka (Allah swt) berfirman: Bahawasanya engkau di atas kebaikan.

Dan Sedekah yang datang (juga menghadap Allah swt), lalu mengatakan: Wahai Tuhan aku adalah Sedekah. Maka (Allah swt) berfirman: Bahawasanya engkau di atas kebaikan.

Kemudian datang (pula) Puasa, lalu mengatakan: Aku Puasa. Maka (Allah swt) berfirman: Bahawasanya engkau di atas kebaikan.

Kemudian datang amalan-amalan yang lain. Setiap (amalan yang datang setiap satu) itu, (Allah swt) berfirman: Bahawasanya engkau di atas kebaikan.

Kemudian Islam datang, lalu mengatakan: Wahai Tuhan Engkau adalah kesejahteraan dan aku adalah Islam. Maka Allah swt berfirman: Bahawasanya engkau di atas kebaikan. Dengan sebab engkau hari ini Aku menghitung dan dengan sebab engkau Aku memberi. Berfirman Allah (seperti) di dalam KitabNya (Al-Quran):

وَمَن يَبۡتَغِ غَيۡرَ ٱلۡإِسۡلَـٰمِ دِينً۬ا فَلَن يُقۡبَلَ مِنۡهُ وَهُوَ فِى ٱلۡأَخِرَةِ مِنَ ٱلۡخَـٰسِرِينَ

Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi. (85)

Ali Imraan: 85


Di dalam Sofwatut Tafasir, karangan Syaikh Muhammad Ali As-Sobuni menghuraikan:

Setelah Allah ta'ala memberitahu tentang setiap agama selain Islam itu bathil dan ditolak. Lalu firman Allah swt yang bermaksud (Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi. (85) )

Dalam erti kata lain yakni menuntut syariat selain syariat Islam untuk menjalankan agama setelah Nabi saw diutuskan, maka Allah swt sekali-kali tidak akan menerimanya sebagaimana firmanNya lagi yang bermaksud (Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi. (85) ), yang ertinya tempat kembalinya adalah api Neraka yang mereka kekal selama-lamanya di dalamnya.

Sofwatut Tafasir: Jilid 1/muka surat 215.

Di dalam Mukhtasar Tafsir Ibnu Kathir karangan Syaikh Muhammad Ali As-Sobuni menjelaskan bahawa orang yang menjalani satu jalan selain apa yang Allah swt mensyariatkannya, maka sekali-kali tidak akan diterima olehNya.

Dan dia di akhirat kelak di kalangan orang-orang yang rugi. Sebagaimana Nabi saw menyebut di dalam satu hadith sahih: Barangsiapa beramal dengan satu amalan yang bukanlah di atas urusan kami, maka adalah tertolak.

Mukhtasar Tafsir Ibnu Kathir: Muka surat 237,
karangan Syaikh Muhammad Ali As-Sobuni.

Di sini saya melihat bagaimana sikap kita yang terlalu bangga dengan cara barat, jenama barat, gaya barat, atau apa-apa sahaja sehinggakan kita tidak nampak Islamlah yang paling mulia dan terbaik.

Kenapa kita hilang kebanggaan menjadi seorang yang bergelar Muslim dan Muslimah?

Apa ertinya Islam dalam hidup kita sehinggakan kita berasa kerdil dengan agama yang kita anuti?

Kadangkala mereka yang bukan Islam sangat kagum dengan Islam sehinggakan mereka mengkaji Islam lebih dari orang Islam sendiri. Termasuk musuh-musuh Islam yang mengkaji Al-Quran atau Hadith Rasulullah saw adalah semata-mata untuk mendatangkan tasykik (keraguan) di dalam diri umat Islam.

Apakah kita menuntut ilmu pengetahuan dari Allah swt adalah semata-mata untuk kesenangan atau mengambil faedah?

Atau soalan yang terbaik iaitu apakah atas tujuan untuk kita merasakan ilmu pengetahuan yang kita ada ini adalah pinjaman dari Allah swt? Maka jawapan yang boleh diberikan adalah kita akan membayarnya dengan menjadikan ilmu pengetahuan ini untuk memenangkan Islam.

Oleh itu marilah kita sama-sama rasa bangga dengan Islam yang mana itulah satu-satunya agama yang Allah swt redha. Waallahu'alam.