Sunday, August 17, 2008

KELEBIHAN BACA AL-QURAN

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Al-Quran adalah Kalamullah yang Qadim, sebaik-baik di dunia mahupun di akhirat. Orang yang meninggalkannya kerana sombong, maka Allah SWT menghancurkannya. Barangsiapa mencari petunjuk selain Al-Quran , maka Allah SWT menyesatkannya.

Menghafaz Al-Quran fardhu kifayah ke atas umat dan haram meluputkan bilangan ayatnya yang tersedia serta juga jangan sekali-kali mengubah dan menyelewengkan ayat-ayatnya. Jika sudah menghafaznya lalu lupa, maka berdosa. Begitu juga mengajar Al-Quran adalah merupakan fardhu kifayah yang sebaik-baik taqarrub kepada Allah dan sebaik-baik amal soleh. Di dalam satu hadith soheh dari Rasulillah SAW yang bermaksud ; ["sebaik-baik kamu orang yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya"]

Imam At-Tarmizi meriwayatkan dari mengatakan Abi Sa'id Al-Khudri sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: ["Firman Ar-Rabb (Allah SWT) 'Azzawajalla": "Barangsiapa yang menyibukkan diri dengan Al-Quran kerana mengingatiKu dan kerana meminta padaku, nescaya Aku akan berikan selebih-lebih baik daripada semua orang yang meminta padaKu. Dan kelebihan Kalam Allah itu ke atas semua Kalam seperti kelebihan Allah ke atas makhlukNya"].

Oleh kerana itu, barangsiapa dikurniakan Al-Quran, maka dia dikurniakan selebih-lebih baik nikmat dan ajalnya. Adalah merupakan paling layak dengan keselamatan yang sedikit pun tiada kecacatan dan sentiasa menerangi manusia. Padahal rasa hasad (dengki dan cemburu seseorang itu) akan orang yang diberikan nikmat harta, lalu di menginfakkan pada jalan Allah. Kebenaran bagi sabda Nabi SAW: ["Tiada rasa hasad (dengki) kecuali pada dua perkara:iaitu seseorang yang Allah berikan Al-Quran, lalu dia mendirikan (membaca) ketika malam dan siang: (seterusnya yang kedua) seoran yang Allah berikan harta, lalu dia meninfakkan ketika malam dan siang"].

Imam At-Tarmizi, Imam Ibnu Majah, Imam Ahmad meriwayatkan daripada satu hadith yang bermaksud: ["Barangsiapa membaca Al-Quran, lalu menzahirkannya (menyatakannya), dan dia menghalalkan yang dihalalkan serta mengharamkan yang diharamkan, nescaya Allah masukkannya ke Syurga, dan juga dia boleh memberikan syafaat pada 10 ahli keluarganya yang ditimpa neraka"].

As-Syaikhan meriwayatkan dari Nabi SAW yang bahawasanya beliau bersabda: [" perumpamaan orang beriman yan membaca Al-Quran seumpama sebiji buah yang sejenis dengan limau yang baik rasanya dan baunya juga baik. Perumpamaan orang beriman yang tidak membaca Al-Quran seumpama buah tamar yang baik rasanya dan tiada kedapatan baunya. Perumpamaan orang keji yang membaca Al-Quran seumpama tumbuh-tumbuhan yang harum baunya, tetapi baik baunya dan makananya basi. (Dan akhir sekali) bagi perumpamaan oran keji yang tidak membaca Al-Quran seumpama labu pahit yang basi makanannya dan tidak terkedapatan baunya"].



Dan sabdanya lagi: ["Barangsiapa yang telah membaca Al-Quran satu huruf daripada Kitab Allah, maka baginya satu ganjaran pahala. Dan satu ganjaran menyamai 10 bandingan. Tidak aku katakana alif, lam, mim itu satu huruf; akan tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf"]-Riwayat Imam At-Tarmizi dan beliaumengatakan hadith ini Hasan Soheh.

Dan sabdanya lagi: ["Dikatakan bagi yang membaca Al-Quran, nescaya bacalah, lembutkan bacaanmu dan bacalah dengan tertil (elok dan betul), sebagaimana engkau tertilkan (elokkan dan betulkan) di dunia, maka bahawasanya martabat di sisi akhir ayat yang engkau membacanya].

Nabi SAW sentiasa memberi ransangan yang dhaif (lemah) bacaannya. Baginda suka mengubatinya dan mengira juga 2 ganjaran pahala. Satu ganjaran pahala bagi yang dia mencubanya dan payah membacanya. Satu ganjaran lagi adalah kerana dia membaca. Maka sabda baginda: ["Bagi yang mahir dengan Al-Quran beserta 1 pelayaran yang semulia-mulianya lagi sebaik-baiknya. Dan bagi orang yang membaca Al-Quran serta gagap yang dia itu menerima kepayahan, nescaya baginya 2 ganjaran pahala]-{Riwayat Syaikhan}.

Kelebihan juga bacaan Al-Quran bagi orang yang membanyakkan tempat agar ada kebaikan pada tempat-tempat tersebut. Dimana sabda Nabi SAW: [Rumah yang dibaca padanya Al-Quran, nescaya keluar melihat bagi ahli langit sebagaimana keluar melihat bagi ahli bintang bagi ahli bumi]. Ia diriwayatka oleh Imam Baihaqi daripada hadith 'Aesyah RA dan diriwwayatkan oleh daripada hadith Anas RA: [Terangilah rumah-rumah kamu dengan sembahyang dan membaca Al-Quran].

Riwayat oleh Al-Bizdar daripada hadith Anas: [Bahawasanya rumah yang dibaca padanya Al-Quran banyak kebaikannya, dan rumah yang tidak dibaca padanya, nescaya kurang baiknya].

Beberapa dalil yang dapat saya pertonjolkan di sini memberi makna yang amat luas buat kita semua. Al-Quran ini bukan sekadar dibaca, tetapi perlu diamalkan kehendak ayat yang dibaca. Dengan ini, memahami isi kandungan Al-Quran tersebut untuk direalisasikan dan dipraktikalkan adalah juga menjadi tuntutan. Kalau hanya dibaca sudah tentu banyak kelebihan yang dapat sebagaimana dalil yang saya nyatakan tadi. Jadi apatah lagi kita memahami, mengkaji dan direalisasikan maknanya secara praktikal.

Perlu diingat akhir zaman ini ramai golongan umat Islam yang membaca Al-Quran, tetapi ramai yang tidak mengamalkan isi kandungan Al-Quran itu sendiri. Apapun kita perlu sentiasa mendampingi para 'Alim Ulama' supaya kita dapat memahami dengan lebih jelas ajaran Islam itu sendiri dengan adanya sumber rujukan utama bagi umat Islam ini iaitu Al-Quran. Kalau tidak dapat berdamping selalu dengan ulama pun cukuplah dengan mengambil intipati hasil karya para Ulama' ini. Ibarat satu pepatah daripada Imam Hassan Al-Basri: Jikalau tidak kerana Ulama' nescaya jadilah manusia umpama binatang. Dari itu, saya harap semua pihak baik apapun kerjanya, samada ahli sains, jurutera, ahli kaji bintang, atau apa-apapun mestilah berpaksikan untuk menuju dan mencari keredhaan Allah SWT. Dan untuk mencari keredhaan Allah itu mestilah dengan jalan apa yang Rasulullah SAW bawakan dengan bersama mukjizatnya yang paling besar iaitu Al-Quranul Karim. Wa'allahu'alam.

Monday, August 4, 2008

RISALAH AZHARIYYUN

Pada zaman muktakhir ini, banyak kita melihat perubahan yang berlaku kepada pemikiran masyarakat; baik pemikiran masyarakat di Malaysia mahupun pemikiran masyarakat di seluruh dunia khususnya di negara-negara umat Islam.

Perubahan pemikiran yang saya maksudkan ini tidak lain, adalah berhubung dengan pemikiran yang mana manusia lebih inginkan kepada fitrah yang asal untuk memenuhi ruang kehidupan sebagai cara hidup Islam. Namun di situ banyak lagi pemikiran Jahiliyyah masih berpaut dikalangan kita termasuk kadang-kadang golongan agamawan sendiri pun masih ada sikap-sikap atau perangai Jahiliyyah masih berlubuk pada jiwa manusia. Tanpa disedari perangai Jahiliyyah ini, juga menusuk pada segelintir golongan Azhariyyun. Walaupun saya ini tergolong dalam golongan Azhariyyun (gelaran orang yang belajar di Universiti Al-Azhar), kadang-kadang saya merasakan begitu; iaitu pada jiwa sahabat saya sekeliling dan mungkin perangai ini ada terkedapatan pada jiwa saya sendiri. Mudah-mudahan Allah SWT menghapuskan fikrah atau pemikiran ini dalam lubuk jiwa kita semua sebagai orang yang mengaku sebagai Islam.

Oleh kerana itu wajib kita pastikan, Islam ini agama Allah yang mesti kita anuti atau ikuti secara keseluruhan. Bukan ambil sebahagian dan kufur engkar sebahagian yang lain. Umpama golongan Bani Israel zaman dahulu yang mengikut ajaran kitab mereka Taurat dengan mengikut hawa nafsu mereka. Firman Allah SWT yang bermaksud:[……Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan] {AlBaqarah:85}. Walaupun ayat ini terdiri dalam satu kaedah iaitu mengambil pengajaran dengan lafaz yang umum atas sebab yang khusus. Dan ini memberi maksud bahawa ayat ini menceritakan tentang kisah zaman kaum Bani Israel, tapi lafaznya untuk semua zaman termasuk zaman kita ini.

Apapun manusia sering leka, lalai dan lupa dengan siapa yang menjadikan kita. Lebih-lebih lagi kita adalah Khalifah di muka bumi yang Allah SWT jadikan. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: [Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya"]{Al-Baqarah:30}.

Ini sebenarnya amanah besar yang Allah SWT beri kepada manusia untuk mentadbir muka bumi dengan Syariat Allah iaitu Islam. Amanah Islam ini yang sepatutnya dibawa secara syumul oleh manusia, tetapi konsep ini kadang-kadang kita amat terkeliru dengan ini. Sehinggakan konsep Islam yang syumul ini, yang sepatutnya dimainkan khusus oleh para agamawan pada fikiran kita dan umumnya pada golongan lain. Namun konsep ini disalahtafsirkan oleh segelintir para Azhariyyun yang sepatutnya meletakkan pemikiran Islam itu syumul (sempurna dan lengkap). Syumul dari sudut kenegaraan dan watan, pemerintah dan umat, akhlak dan kekuatan, rahmat dan keadilan, kebudayaan dan keadilan, kebudayaan dan undang-undang, ilmu dan kehakiman, material dan harta benda, usaha dan kekayaan, jihad dan dakwah, tentera dan fikrah, sebagaimana ia juga adalah aqidah yang benar dan ibadat yang sah.

Dalam hal ini, jarang saya khususkan dalam tulisan saya bagi seluruh golongan agamawan di perlembahan Nil ini. Tetapi kali ini saya agak kerisauan dengan sikap sebahagian atau segelintir Azhariyyun yang seolah-olah kurang menumpukan dengan masalah masyarakat sekeliling. Bila dilihat masalah yang semakin meruncing dikalangan kami, lebih-lebih lagi berhubung dengan fikrah ini. Sebenarnya saya tidak gemar untuk menjelaskan secara khusus berkaitan masalah dikalangan kami. Ini kerana masalah peringkat kami ini, kadang-kadang golongan yang bukan Azhariyyun mereka tidak tahu. Hanya dikalangan kami ini tahu apa yang kami hadapi. Namun dengan Maha Mengetahui Allah SWT itu, yang penuh hikmahnya tersendiri dan sebagai medan tarbiyyah untuk kami semua. Ibarat salah seorang sahabat saya pernah berkata: "biar malu di sini(Mesir) tapi jangan malu bila pulang nanti(di Malaysia)". Dan menjadi moto kami 'belajar sambil berbakti'. Ini terbukti semasa saya pulang bercuti sebelum ini, segala perkara yang tidak masuk akal yang saya belajar di Mesir sedikit sebanyak membantu saya. Apatah lagi perkara yang saya enggan dan tidak minat untuk belajar pun saya terpaksa hadapi di tanahair. Kadang-kadang dalam benak fikiran saya, setiap perkara yang saya lakukan di Mesir, baik belajar, berpersatuan, bermasyarakat, berdiskusi, mentadbir, mengurus atau apa-apa sahaja gerak kerja yang dilakukan untuk apa sebenarnya? Adakah memberi faedah untuk saya? Ataukah ia memberi faedah untuk orang lain? Ataukah menyusahkan diri saya sendiri? Jadi segala persoalan ini timbul dibenak fikiran saya, mahupun juga timbul dibenak fikiran para sahabat saya yang berada di Mesir. Adakah perlu dibiarkan sahaja dan tidak perlu dijawab? Kalau dilihat, timbul persoalan inipun ia tetap perlu dijawab. Dan saya yakin dan percaya segala soalan ini baik timbul dan ditimbulkan, atau tidak sedikitpun timbul dan ditimbulkan ia tetap ada jawapannya. Maka jawapannya yang saya pasti dan yakin dan percaya adalah ini semuanya untuk Islam. Iaitu untuk agama Allah SWT sebagai cara hidup Islam.

Oleh kerana itu, saya gemar untuk menukilkan beberapa ulasan yang dinukilkan Syaikh Mustafa Masyhur salah seorang tokoh aktivis pejuang gerakan Islam yang menyebut di dalam kitabnya yang masyhur yang berjudul Thariqud Da'wah (Jalan Dakwah) iaitu: Bagaimanakah kita tidak mahu percaya pada satu jalan yang dustur perlembagaannya dan manhajnya adalah kitab Allah yang tidak pernah didatangi kebathilan dari hadapan mahupun dari belakangnya dan juga Sunnah Rasulullah SAW? Satu jalan yang menjadikan jihad sebagai jalannya dan menjadikan syahid setinggi-tinggi cita-citanya? Di sekitar kepercayaan tanpa ragu di jalan inilah, Al-Imam Hassan AL-Banna telah berkata kepada golongan pemuda: "Hai para pemuda! Di atas dasar-dasar yang tetap ini dan kepada pengajaran-pengajaran tinggi ini kami menyeru kamu semua. Maka sekiranya kamu beriman kepada fikrah kami dan kamu mengikuti langkah-langkah kami dan kamu bersama kami melalui jalan Islam yang Hanif. Dan kamu membersihkan diri kamu dari segala pemikiran yang lain daripadanya dan kamu menyerahkan segala usaha kamu untuk Aqidah kamu, maka inilah yang lebih baik bagi kamu di dunia dan di akhirat. Sekiranya Allah menghendaki, Allah akan membuktikan kepada kamu apa yang telah dibuktikannya kepada As-Salafus Soleh di zaman Rasulullah dan para sahabatnya". Jalan dakwah adalah jalan yang satu. Di atas jalan inilah Rasulullah SAW dan para sahabat baginda RA berjalan demikian juga kita dan para pendukung dakwah berjalan dengan Taufiq dari Allah SWT. Kita dan mereka berjalan berbekalkan dengan iman, amal, mahabbah (kasih –sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan). Rasulullah SAW menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar cinta dan ukhuwwah. Berpadulah kekuatan Iman dan kekuatan Aqidah dengan kekuatan persatuan. Jadilah jemaah mereka jemaah contoh tauladan. Kalimahnya mestilah lahir dan dakwahnya mestilah menang walaupun ditentang oleh semua penghuni muka bumi ini.

Saya rasa berpadan kalau kita semua merasa tanggungjawab, rasional, matang dan sentiasa memandang positif dengan suasana yang tarbiyyah ini wahai para sahabatku Azhariyyun. Jangan kita terlalu emosi baik marah, sedih dan sebagainya. Biarlah emosi ini timbul bilamana di hadapan kita Islam diperkotak-katikkan. Inilah sensitisnya kerana saying kita pada Islam. Masalah yang remeh-temeh dikalangan kita perlu kita selesaikan dengan bijaksana. Bukan mengikut perasaan yang entah di mana datangnya, takut kita mengikut hawa nafsu dan memenangkan para Syaitan serta Iblis yang besikap enggan dan sombong dengan perintah Allah SWT. Lihatlah kehadapan, teruskan perjalanan dan cuba lalui liku-liku hidup di dunia ini untuk mencapai kebahagian di akhirat kelak. Rintihan kita pastikan semasa kita memohon hajat kepada Allah SWT dan sentiasa mengadu kepadanya. Saya juga yakin dan percaya setiap perilaku kita dan tindakan kita perlu kita sebatikan dan bertindak secara berjemaah iaitu di dalam erti kata lain mestilah selaras dengan semua peringkat, mengikut kepada kesatuan yang kita dokongi dan duduki sekarang. Jangan kita cuba menimbulkan perpecahan dikalangan kita, kerana kelak diri kita sendiri yang akan rugi. Bila kita belajar sesuatu ilmu itu, mestilah mengharapkan keberkatan, petunjuk dan hidayah Allah SWT. Jangan disebabkan keuntungan diri sendiri timbul sikap tidak puas hati dikalangan kita dan sedikit sebanyak memecahkan kesatuan kita.

Setiap masalah yang bakal datang kita kena hadapi dengan tabah, sebab masalah tetap datang dan kita tidak boleh lari daripada masalah. Cubalah cari jalan yang boleh untuk kita selesaikan masalah. Walaupun masalah sekadar mahalli (tempatan di kalangan Azhariyyun) sahaja, namun ia tetap masalah yang perlu difikirkan. Kerana otak kita perlu dilatih dan difokuskan untuk melatih kemahiran kita berfikir dan menambah kematangan serta positif. Penuhilah masa kita dengan apa-apa gerak kerja dan aktiviti di sekeliling kita. Ini supaya ilmu yang kita pelajari akan lebih terbuka, berkembang dan meluas. Sebab ilmu itu mestilah direalisasikan dan dipraktikkan. Perbezaan di Malaysia dan di Mesir cara pembawakannya saya pasti amat ketara perbezaannya. Namun di situ, kita kena juga melakukannya, walaupun ia nampak kurang membantu untuk kita bergerak di Malaysia. Tetapi saya pasti dari sudut dasar pelaksanaan satu-satu kerja itu mestilah sama dan seiring. Terbukti Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW amat membantu kita dalam dasar yang tetap menjadi sumber utama umat Islam seluruhnya. Jadi tidak ada istilah untuk kita biarkan sahabat-sahabat kita yang rutinnya masing-masing, kadang-kadang di dewan, pejabat, markaz, kuliyah, imegresen, kedutaan atau dimana-mana sahaja tempat pun asalkan kerjanya memberi manfaat. Adalah menjadi satu keperluan yang wajib dilaksanakan kerana sebenarnya ia menguntungkan dan memenangkan Islam. Kerana titik tolaknya adalah tarbiyyah yang dipusatkan di dalam jiwa kita semua wahai Azhariyyun.

Justeru itu, saya memohon maaf atas perkara yang kadang-kadang menimbulkan rasa tidak puas hati dikalangan kita. Bagi pembaca yang mungkin bukan terdiri daripada kami (Azhariyyun), sekiranya boleh kalian mengambil manfaatnya daripada tulisan ini, maka ambillah kerana ia juga merupakan hikmah yang saya sendiri pun tidak mengerti kenapa ianya keluar dalam benak fikiran saya. Dan saya yakin dan percaya ini semua adalah Rahmat dan Kurniaan Allah SWT. Kita kadang-kadang kena beringat selalu, sebab kita semua bakal memimpin dan berhadapan masyarakat. Sebab saya adalah dikalangan pemuda, dan Mahasiswa serta Mahasiswi juga rata-ratanya adalah pemuda. Jadi hak sebagai orang muda kena jauh terkehadapan sebab yang tua meninggal pergi. Walaupun kadang-kadang yang muda Allah panggil dahulu, tetapi menjadi kebiasaan bila menyebut orang muda sudah tentu bakal pelapis ataupun generasi yang baru. Bagi golongan tua tetap golongan muda mestilah mengambil khibrah (pengalaman) dan menerima tunjuk ajar serta mengambil panduan yang secocok. Dan yang pastinya golongan tua juga tidak dapat untuk menjadi penentu kepada golongan muda. Sebab generasi muda ada wawasannya untuk terus menyambung rantai perjuangan salafus soleh terdahulu. Ibarat ayam tua berkokok, sambil dilihat ayam muda, tetapi bila ayam tua tiada, maka ayam muda akan menggantikan ayam muda berkokok Tidak perlu undur ke belakang, dan tetap hadapi walau di sini (Mesir) atau di Tanahair atau dimana sahaja Azhariyyun berada. Jangan mencari ilmu, pengaruh dan kemasyhuran kemudian berjuang. Tetapi perjuangan semasa kita mencapai tahap mukallaf, yang mana tanggungjawab itu sudah terpundak di bahu masing-masing. Pengaruh dan kemasyhuran tetap Allah berikan bagi sesiapa yang merasakan dirinya bahawa dia ada yang menciptakan. Ingatlah dimana sahaja bumi kita pijak di situlah Islam kita junjung. Perjuangan tetap diteruskan sebab kita sebenarnya tidak mengerti bila kita akan mati dan kematian itu pasti.

Oleh kerana itu juga, kita (Azhariyyun) mestilah sentiasa memperlengkapkan diri dengan apa sahaja ilmu dan thaqafah serta terus maju dengan prinsip Islam yang dipegang. Kuasailah ilmu pengetahuan yang khusus dan umum.Bukanlah ilmu tertentu sahaja untuk digapai dan dicapai, tetapi ilmu yang boleh mengajak manusia supaya menuju Allah dan mendapat keredhaanNya. Waallhu'alam.