Firman Allah bermaksud, "Dan pada sisi Allah jualah anak kunci  perbendaharaan segala yg ghaib, tiada siapa yang mengetahuinya melainkan  Dia sahaja." (Surah Al-An'am: 59)
Dalam menghuraikan ayat ini,  Ibnu Kathir telah menyatakan satu hadis daripada Imam Bukhari yang  meriwayatkan daripada Salim bin Abdilllah, daripada ayahnya bahawa  Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud, "Sesungguhnya anak  kunci segala perbendaharaan itu ada lima, tidak mengetahui seseorang pun  melainkan Allah SWT.
"Lalu Baginda membaca firman Allah yang  bermaksud, "Sesungguhnya di sisi Allah jualah pengetahuan yang tepat  tentang hari kiamat. Dan Dialah jua yang menurunkan hujan, dan yang  mengetahui dengan sebenar-benarnya apa yang ada dalam rahim (ibu yang  mengandung). Dan tiada seorang pun yang betul-betul mengetahui apa yang  akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorang  pun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati,  Sesungguhnya Allah Amat Mengetahui, Lagi Amat Meliputi Penegtahuannya."  (Surah Luqman: 34)
Ertinya dalam hadis ini Nabi s.a.w. menyebut  bahawa terdapat lima kunci perbendaharaan segala yang ghaib yang hanya  diketahui oleh Allah SWT, tidak diketahui oleh orang lain.
Pertama ialah tentang bilakan berlakunya hari kiamat. Bukan  sahaja Nabi s.a.w. dan manusia yang lain tidak akan mengetahuinya, para  malaikat pun tidak diberitahui tentang bilakan berlakunya hari kiamat  itu sehingga Jibrail a.s. datang menemui Rasulullah s.a.w. satu ketika  bertanyakan soal itu.
Kedua, tentang kekuasaan Allah menurunkan  hujan. Allah sahaja yang berkuasa untuk menurunkan hujan di mana sahaja  yang Dia kehendaki.
Ketiga, Dialah sahaja yang mengetahui  sebenar-benarnya apa yang ada dalam kandungan seorang ibu termasuk  berkait dengan zuriat keturunan, jantina janin, kesihatan dan  sebagainya.
Keempat, Dialah jua yang mengetahui apa yang akan  berlaku ke atas seseorang dengan setepat-tepatnya sama ada baik ataupun  buruk. Manusia tidak mengetahui apa yang akan berlaku kepadanya esok  hari.
Kelima, Dia sahaja yang mengetahui di manakah bumi tepat  matinya seseorang manusia, bagaimanakah keadaan manusia itu mati dan  seumpanya. Begitulah juga dengan makhluk-makhluk yang lain. Mereka tidak  mengetahuinya tetapi Allah Maha Mengetahui segala-galanya.
Sementara  itu sebuah hadis daripada Umar r.a. bahawa Jibrail a.s. ketika  merupakan dirinya sebagai seorang manusia yang berpakaian seperti orang  Arab, datang menemui Rasulullah s.a.w. bertanyakan tentang Iman, Islam  dan Ihsan, lalu Rasulullah s.a.w. memberitahu Jibrail a.s. bahawa ada  lima perkara seseorang pun tidak mengetahuinya melainkan Allah. Lalu  baginda s.a.w. membaca firman Allah yang bermaksud, "Sesungguhnya di  sisi Allah ada pengetahuan tentang hari kiamat." (Surah Luqman: 34)."
Seterusnya Allah berfirman yang bermaksud, "Dan Dia Mengetahui apa yang ada di darat dan di laut." (Surah al-An'am: 59)
Yakni  Maha Luas ilmu-Nya meliputi segala makhluk-Nya sama ada yang ada di  darat dan di laut. Tidak ada apa pun yang boleh menyembunyikan sesuatu  daripada pengetahuannya walaupun sebesar zarah sekalipun sama ada ia  berada di bumi atau di langit.
Seorang penyair menyebut: "Tidak  tersembunyi dari-Nya meskipun sebesar zarah sama ada dapat dilihat oleh  yang mempunyai penglihatan atau sebaliknya."
Firman Allah yang bermaksud, "Dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Dia mengetahuinya." (Surah al-An'am: 59)
Ertinya,  Dia mengetahui gugurnya daun dari pokok termasuk jumlah, masa dan  seumpamanya. Bahkan Dia juga mengetahui pergerakan makhluk lain termasuk  jin dan manusia sebagaimana firman Allah yang bermaksud, "Allah  Mengetahui pengkhianatan (keserongan dan ketiadaan jujur) pandangan mata  seseorang, serta mengetahui akan apa tersembunyi di dalam hati." (Surah  al-Mukmin: 19)
Dalam menjelaskan ayat 39, Surah al-An'am ini  Ibnu Abbas katanya, "Tidak tumbuh sebatang pokok pun sama ada di daratan  atau di lautan melainkan ada seorang malaikat yang menjaganya. Malaikat  itu mencatat apa yang gugur daripadanya."
Rujukan: http://presiden.pas.org.my/v2/


