Firman Allah SWT:
وَلَا تُؤۡمِنُوٓاْ إِلَّا لِمَن تَبِعَ دِينَكُمۡ قُلۡ إِنَّ ٱلۡهُدَىٰ هُدَى ٱللَّهِ أَن يُؤۡتَىٰٓ أَحَدٌ۬ مِّثۡلَ مَآ أُوتِيتُمۡ أَوۡ يُحَآجُّوكُمۡ عِندَ رَبِّكُمۡۗ قُلۡ إِنَّ ٱلۡفَضۡلَ بِيَدِ ٱللَّهِ يُؤۡتِيهِ مَن يَشَآءُۗ وَٱللَّهُ وَٲسِعٌ عَلِيمٌ۬
Dan (mereka berkata lagi): Janganlah kamu percaya melainkan kepada orang-orang yang mengikut agama kamu. Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya petunjuk yang sebenar benarnya ialah petunjuk Allah. (Mereka berkata pula: Janganlah kamu percaya) bahawa akan diberi kepada sesiapa seperti apa yang telah diberikan kepada kamu atau mereka akan dapat mengalahkan hujah kamu di sisi Tuhan kamu. Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya limpah kurnia itu adalah di tangan Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi pengetahuanNya. (73) Allah menentukan pemberian rahmatNya itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan (ingatlah), Allah mempunyai limpah kurnia yang besar. (74)
يَخۡتَصُّ بِرَحۡمَتِهِۦ مَن يَشَآءُۗ وَٱللَّهُ ذُو ٱلۡفَضۡلِ ٱلۡعَظِيمِ
[Al-Imraan:74]
FirmanNya lagi:
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن تَتَّقُواْ ٱللَّهَ يَجۡعَل لَّكُمۡ فُرۡقَانً۬ا وَيُكَفِّرۡ عَنڪُمۡ سَيِّـَٔاتِكُمۡ وَيَغۡفِرۡ لَكُمۡۗ وَٱللَّهُ ذُو ٱلۡفَضۡلِ ٱلۡعَظِيمِ
Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertakwa kepada Allah, nescaya Dia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar. (29)
[Al-Anfaal:29]
Alhamdulillah, dengan rahmat dan kurniaan Allah SWT serta dengan izinNya saya diberi ruang untuk menyambung menjalankan tugas selaku Penasihat DPMM, Ketua Unit Hisbah DPM Mansurah dan selaku ahli DPM Mansurah serta selaku salah seorang Azhari di Mansurah.
Setelah mana saya dikuarintinkan oleh pihak Hospital di Mustasyfa Al-Hammiyyat Al-Mansurah iaitu salah sebuah hospital yang terletak di kawasan Tir'ah. Rasanya di samping kerehatan yang Allah SWT berikan, di situ terdapat juga dugaan yang penuh dijiwa oleh seorang yang hatinya lemah. Betapa tidak tertahan hati ini menunggu keputusan dari pihak Hospital lebih kurang 5 hari.
Keputusan ini adakah saya antara yang tersenarai di kalangan pelajar Malaysia di bumi Mansurah ini sebagai mereka yang menghidap penyakit H1N1 positif?
Alhamdulillah saya ucapkan kira-kira dalam waktu lewat setengah jam selepas zohor saya dipanggil oleh sang doktor, lalu diberitahu keputusan saya adalah negatif (tidak menghidap penyakit H1N1 positif). Dengan keputusan itu, jelas dengan penuh rasa syukur saya terus mengucapkan kalimah 'Alhamdulillah'(segala puji bagi Allah) di dalam bilik Mudir Hospital.
Sebagaimana firman Allah SWT:
وَلَوۡلَا فَضۡلُ ٱللَّهِ عَلَيۡڪُمۡ وَرَحۡمَتُهُ ۥ وَأَنَّ ٱللَّهَ رَءُوفٌ۬ رَّحِيمٌ۬
Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, dan juga (kalaulah tidak kerana) bahawa Allah Amat melimpah belas kasihanNya, (tentulah kamu akan ditimpa azab dengan serta-merta). (20)
[An-Nur:20]
Barangkali kalau kita senantiasa sihat dan rasa selesa, maka sudah pasti kita akan melupakan Allah SWT. Apabila tubuh badan senantiasa rasa segar-bugar dan sihat, maka di situ seolah-olah kita merasakan dengan amalan makan, minum, sukan dan sebagainya itulah yang menyebabkan kita rasa sihat.
Lalu rasa sihat di dalam diri kita adalah daripada usaha kita sendiri dan bukannya daripada Allah SWT pada hakikatnya. Akhirnya harapan kita kepada Allah menjadi pudar sedikit demi sedikit. Kadang-kala sebutan itu hanya ada di lidah sahaja, tetapi di hati seolah-olah seperti tin yang kosong. Bila diketuk berbunyi, bila dilihat pada dalamnya tidak berisi. Dan lebih teruk lagi, kadang -kala kalimah Alhamdulillah itu langsung tidak terpancar di bibir.
Tetapi bukanlah maksud saya menaruh syak wasangka kepada sesiapa. Tetapi untuk mengingatkan diri ini dan juga para pembaca. Biarlah sebutan kalimah pujian ini disebut di lidah dan dihadirkan sekali pada hati.
Apa yang boleh saya kongsikan bersama. Apabila kita diberi sakit oleh Allah SWT, di situ tanda Allah SWT kasih kepada kita. Allah SWT mengingatkan kita denganNya adalah dengan mengurniakan sakit. Apabila sakit, masa itulah kita mengingat Allah SWT.
Apa tidaknya! Dengan sakit kita terus mencari ubat. Tetapi kadang-kala ubat yang dimakan dengan betul. Tetapi kesakitan tetap tidak hilang. Nah, di situ minda terfikir kenapa ubat sudah ditelan, tetapi kesakitan masih terasa? Apakah kita akan terus mengharapkan ubat? Ataukah dengan memarahi doktor yang memberikan ubat sedangkan doktor yang memberikan ubat itu sudah terkenal dengan kepakarannya? Maka hati akan terdetik untuk memohon kepada Sang Maha Pencipta iaitu Allah SWT. Ini sahajalah jalan penyelesaiannya.
Oleh itu, diri kita akan mencari jalan dengan mengabdi kepadaNya. Pengabdian inilah adalah salah satu jalan untuk kita mengingat Allah SWT. Sungguhpun pengabdian ini adalah mengharapkan sesuatu pertolongan daripadaNya.
Tetapi cukupkah dengan pengabdian kepada Allah SWT setelah sakit ataupun setelah berlaku masalah?
Tidakkah kita lupa semasa sihat, kita terus lupa dan lalai kepada Allah SWT?
Perkara sebegini dari sudut akhlak Tasawuf seeolah-olah kita bermuka-muka di hadapan Allah SWT.
Perlu diingat amatlah malang kalau tiada kesakitan dan masalah serta kita terus dengan kelalaian dari mengingat Allah SWT, lalu Allah SWT biarkan kita sihat dengan kedurhakaan kepadaNya. Na'uzubillahi min zalik, ini adalah tanda hilangnya kasih sayang Allah SWT kepada kita.
Jadi ingatlah masa sihat kita sebelum sakit. Adakah diberi kesihatan dan pada masa itu harapan kita kepada Allah SWT itu tinggi menggunung?
Ataukah rendah-serendahnya?
Cubalah periksa diri masing-masing. Adakah semasa sihat, diri merasakan tiada Sang Maha Pencipta, tetapi bila sakit terfikirnya untuk mencari Tuhan?
Beberapa coretan yang mungkin dapat kita berkongsi bersama. Pada hari Rabu (11 hb November 2009) di awal pagi saya merawat seorang muslimah yang kerasukan sehingga waktu zohor. Setelah mana saya selesai solat di sebuah masjid, terus bergegas ke Jami'ah untuk membuat urusan kuliyah. Kebetulan semasa urusan kuliyah, Ustaz Labib memohon bantuan daripada saya membawa pelajar baru untuk diperkenalkan mereka beberapa bilik yang penting diketahui.
Semasa saya memperkenalkan beberapa bilik, saya dipanggil oleh Ustaz Doktor'Amid Kuliah untuk ke biliknya. Sampai sahaja saya ke hadapan pintu bilik, saya ditahan oleh sekuriti untuk menunggu sekejap (kalau tidak salah pada masa itu beberapa orang doktor kuliyah sedang bermesyuarat bersama beliau).
Diringkaskan ceritera saya telah ditanya beberapa soalan oleh salah seorang doktor perubatan Al-Azhar iaitu Doktor Redha dan dibawa ke bilik Haris (Polis Kuliyah) iaitu Ustaz Hazim. Tanpa diperiksa saya terus dibawa oleh beberapa orang yang memakai penutup mulut untuk menaiki ambulans. Lalu saya terus dikejarkan ke Hospital.
Sampai sahaja di hospital setelah dibuat beberapa pemeriksaan, saya memohon untuk keluar. Tetapi apabila penjelasan yang diberikan, lalu saya akur dengan arahan dan nasihat doktor iaitu menunggu keputusan hasil pemeriksaan penyakit saya.
Apa yang pasti, saya dikuarintinkan sejak hari itu dan alhamdulillah pada hari sabtu saya diberi salah satu nikmat oleh Allah SWT selain nikmat Iman dan nikmat Islam, saya dapat keluar pada waktu petang.
Sebenarnya saya bukan tidak redha dengan ketentuan Allah SWT, malah saya amat bersyukur kerana dengan penahanan saya di Hospital dapat saya penuhkan masa dengan berzikir dan berwirid. Bila difikirkan kesibukan di luar menyebabkan tertinggalnya beberapa amalan yang diajar oleh guru saya. Hatta beberapa zikir dan wirid yang bermacam-macam dapat dibaca di wad kuarintin. Walaupun saya tidak dapat memenuhi dengan lisan beberapa zikir dan wirid disebabkan tekak yang perit serta sering batuk, namun saya dapat membacanya dengan hati.
Firman Allah SWT:
ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَتَطۡمَٮِٕنُّ قُلُوبُهُم بِذِكۡرِ ٱللَّهِۗ أَلَا بِذِڪۡرِ ٱللَّهِ تَطۡمَٮِٕنُّ ٱلۡقُلُوبُ
(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan "zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia. (28)
[Ar-Ra'du:28]
FirmanNya lagi:
لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِى رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٌ۬ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأَخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرً۬ا
Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). (21)
[Al-Ahzab:21]
Firman Allah SWT:
وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٲنِۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ
Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya). / (2)
[Al-Maidah:2]
FirmanNya lagi:
إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةٌ۬ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَ أَخَوَيۡكُمۡۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ
Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. (10)
[Al-Hujuraat:10]
Dan ada juga sahabat-handai yang ingin berniat di hati untuk menziarah. Tetapi apakandaya dalam sedar tidak sedar orang yang hendak diziarahi telah keluar tanpa memberitahu. Dalam sedar tidak sedar juga kita bertemu di Dewan Persada Jazirah Al-Ward. Cukuplah niat yang baik, moga Allah SWT membalasnya. Dan niat seorang beriman itu lebih baik daripada amalannya. Dalam erti kata, niat disertakan dengan azam yang kuat.
Apa yang saya terasa nikmat juga semasa keluar hospital sambil ditemani oleh Ustaz Amir Hamzah; saya benar-benar merasakan dunia ini luas dan merasakan seolah-olah dunia baru buat saya.
Firman Allah SWT:
إِنَّ ٱللَّهَ لَذُو فَضۡلٍ عَلَى ٱلنَّاسِ وَلَـٰكِنَّ أَڪۡثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَشۡڪُرُونَ
Sesungguhnya Allah sentiasa melimpah-limpah kurniaNya kepada manusia (seluruhnya), tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur. (243)
[Al-Baqarah:243]
Rupanya hospital juga adalah salah satu tempat untuk kita beruzlah. Tetapi janganlah pula sesiapa berniat untuk masuk hospital. Ditakuti lain jadinya. Dan biarlah kita mengikut panduan apa yang ditetapkan oleh Ilahi. Takut-takut kita jatuh di dalam kebiadapan dan ketololan pada Tuhan yang Maha Esa. Bukan juga saya bermaksud serah kepada takdir semata-mata. Walhal usaha juga adalah perintah Allah SWT. Tetapi mestilah usaha yang dibuat tidak melanggar perintahNya dan jadikanlah segala kerja serta usaha yang dibuat adalah semata-mata mencari keredhaan Allah SWT. Maka inilah dikira ibadah. Malah disaksikan oleh Allah SWT. RasulNya dan Orang-orang yang beriman.
Firman Allah SWT:
وَقُلِ ٱعۡمَلُواْ فَسَيَرَى ٱللَّهُ عَمَلَكُمۡ وَرَسُولُهُ ۥ وَٱلۡمُؤۡمِنُونَۖ وَسَتُرَدُّونَ إِلَىٰ عَـٰلِمِ ٱلۡغَيۡبِ وَٱلشَّہَـٰدَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ
Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.
[At-Taubah: 105]
Sebab manusia dan jin diciptakan adalah semata-mata untuk beribadah kepadaNya. Dalam erti kata skop ibadah yang luas.
Berdasarkan firman Allah SWT lagi:
أُوْلَـٰٓٮِٕكَ ٱلَّذِينَ يَدۡعُونَ يَبۡتَغُونَ إِلَىٰ رَبِّهِمُ ٱلۡوَسِيلَةَ أَيُّہُمۡ أَقۡرَبُ وَيَرۡجُونَ رَحۡمَتَهُ ۥ وَيَخَافُونَ عَذَابَهُ ۥۤۚ إِنَّ عَذَابَ رَبِّكَ كَانَ مَحۡذُورً۬ا
Orang-orang yang mereka seru itu, masing-masing mencari jalan mendampingkan diri kepada Tuhannya (dengan berbuat ibadat), sekali pun orang yang lebih dekat kepada Tuhannya, serta mereka pula mengharapkan rahmatNya dan gerun takut akan azabNya; sesungguhnya azab Tuhanmu itu, adalah (perkara yang semestinya) ditakuti. (57)
[Al-Israk:57]
Begitu juga dengan firmanNya yang lain:
وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (56)
[Az-Dzariyaat:56]
Apapun saya mengharapkan tulisan ini memberi satu anjakan yang lebih di dalam kita mencapai kemanisan 'ubudiyyah kepadaNya. Dan tulisan ini mudah-mudahan menambah rasa kenal dan cinta kita kepada Allah SWT bagi yang menulis dan yang membaca. Kerana tulisan ini datangnya daripada hati yang hina. Daripada hati yang masih mengharapkan belas kasihan Allah SWT.
Daripada hati yang ingin melakukan segala kerja dan usaha semata-mata keranaNya, walaupun sering lalai dan lupa. Biarlah tidak masyhur di sisi makhluk yang bernama manusia, tetapi di sisi Allah SWT yang hati ini sangat-sangat mengharapkan. Janganlah dilihat siapakah yang menulis tulisan ini. Tetapi lihatlah kehendak atau isi yang disampaikan. Wallahu'alam.
No comments:
Post a Comment