Sunday, March 7, 2010

JANGAN PISAHKAN DI ANTARA ISLAM DENGAN PERSATUAN.


Menolak pemikiran Sekular adalah tersangat wajar bagi ummat Islam terutamanya golongan agamawan. Di mana pemikiran ini sebenarnya cuba untuk memisahkan agama dengan kehidupan sejagat. Malah kadang-kala pemikiran ini juga sebenarnya sedikit sebanyak terkesan kepada segelintir golongan agamawan.

Walhal, agama Islam itu sebenarnya merupakan Ad-Din. Bukan sepertimana agama-agama yang selain Islam. Di mana agama lain meletakkan agama suku, politik suku, persatuan suku, ekonomi suku, sistem kekeluargaan suku, ketenteraan suku, pentadbiran suku, kehakiman suku dan segala-gala hal kehidupan kita semuanya tidak boleh dikaitkan dengan agama. Walhal bila menyebut Ad-Dinul Islam maka memberi maksud cara hidup Islam. Dan ini memberi maksud segala hal kehidupan mesti ada hubung-kait dengan agama itu sendiri.

Namun sebenarnya ini tidak menjadi suatu kepelikan. Kerana Malaysia sendiri sudah dijajah dengan cukup lama. Apatah lagi Islam belum memerintah sepenuhnya di Malaysia. Walaupun pemimpin Malaysia adalah orang yang beragama Islam.

Terdetik di dalam hati ini bila memikirkan soal fikrah masyarakat kita yang serba sedikit terkesan dengan pemikiran Sekular ini. Termasuk masalah apa yang berhubung dengan persatuan. Malah timbul banyak persatuan pelajar di Mesir dan barangkali timbul di tempat-tempat lain. Sehinggakan kesatuan Ummah sedikit sebanyak terjejas dengan perpecahan pelajar yang banyak campur-aduk aliran pemikiran. Walhal para pelajar khususnya Mahasiswa/wi adalah golongan yang berada di menara gading adalah merupakan bakal kepimpinan yang akan menerajui negara, insya Allah SWT.

Jika para pembaca sedar sebelum ini; saya pernah mengeluarkan isi hati saya di dalam awal penulisan di dalam blog saya. Tidak disangka Risalah Azhariyyun suatu tajuk dan isi yang penuh dan padat ini sebenarnya di antara yang menjadi titik tolak kekuatan yang Allah SWT anugerahkan pada saya. Bila saya lemah maka saya akan baca semula artikel yang saya tulis ini. Barangsiapa yang mahukan kekuatan boleh merujuk terus laman blog ini. Mudah-mudahan Allah SWT membukakan jalan dengan penulisan yang tidak seberapa ini.

http://adham-alharaki.blogspot.com/2008/08/risalah-azhariyyun.html

Sudi kiranya juga pada bulan ini untuk saya nukilkan artikel yang pernah saya tulis di dalam Risalah Izzah keluaran bulan Zulkaedah 1430 H.

Berikut artikel yang pernah saya tulis:

Firman Allah SWT:

إِنَّ هَـٰذِهِۦۤ أُمَّتُكُمۡ أُمَّةً۬ وَٲحِدَةً۬ وَأَنَا۟ رَبُّڪُمۡ فَٱعۡبُدُونِ

Sesungguhnya (agama Tauhid) Ini adalah agama kamu semua; agama yang satu[*] dan Aku adalah Tuhanmu, Maka sembahlah Aku.

[*] Maksudnya: sama dalam pokok-pokok kepercayaan dan pokok-pokok Syari'at.

[Al-Anbiya:92]

FirmanNya SWT lagi:

وَإِنَّ هَـٰذِهِۦۤ أُمَّتُكُمۡ أُمَّةً۬ وَٲحِدَةً۬ وَأَنَا۟ رَبُّڪُمۡ فَٱتَّقُونِ

Sesungguhnya (agama Tauhid) ini, adalah agama kamu semua, agama yang satu[1006], dan Aku adalah Tuhanmu, Maka bertakwalah kepada-Ku.

[Al-Mukminun:52]



Senario pada hari ini melihatkan umat Islam sering diperkotak-katikkan dan diganyang oleh musuh Islam yang sangat-sangat bencikan agama Islam. Di sini nilai kesucian agama Islam seringkali dicemari dan dikotori. Di antaranya karikatur penghinaan terhadap batang tubuh Baginda Nabi Muhammad SAW di akhbar Denmark . Begitu juga kecaman Presiden Perancis Nicolas Sarkozy terhadap pemakaian hijab oleh wanita Muslim di negara itu dan ditambah lagi dengan pembunuhan seorang wanita berketurunan Mesir iaitu Marwa al-Sherbini di Dresden , Jerman oleh seorang ekstremis.

Di samping apa yang berlaku di negara kita sendiri ialah tindakan Sister In Islam [ SIS ] dan Kumpulan Tindakan Bersama untuk Persamaan Jantina (JAG) semakin berani mencabar keputusan mahkamah Syariah berhubung isu sebat ke atas Kartika Dewi yang mengaku bersalah minum arak. Walaupun sebenarnya soal hukuman sebat di dalam Islam memerlukan pandangan para alim Ulama'.

Alhamdulillah segala yang berlaku ini sedikit sebanyak menimbulkan sensitiviti umat Islam seluruhnya. Tetapi masalah gelaja sosial da kalangan umat Islam di negara kita kian bertambah dan seolah-olah dianggap suatu perkara yang entang oleh pihak berkuasa. Walaupun segala tindakan cuba diambil berkait masalah dadah, mat rempit, penzinaan dan sebagainya; namun itu tindakan yang dibuat tidak akan menyelesaikan masalah melainkan Islam dijadikan sistem perundangan Negara yang paling tertinggi.

Bagi merealisasikan matlamat untuk membina kesedaran Islam ini mestilah umat Islam bersatu. Dari itu amat pentingnya kesatuan di atas nama Islam yang mampu menyelamatkan kepobrokan musuh Islam yang sering menyerang. Serangan ghazwatul fikri (serangan pemikiran) daripada pihak musuh adalah lebih berbahaya berbanding serangan secara jelas dengan ketenteraan.

Oleh itu, kita tidak boleh bergerak bersendirian dan memerlukan kesatuan di semua peringkat untuk menangkis serangan ini. Di antara serangan yang dilakukan oleh musuh Islam adalah cuba mempengaruhi minda umat Islam supaya memisahkan agama dengan kehidupan. Walhal Islam adalah satu sistem yang syamil merangkumi seluruh aspek kehidupan. Islam adalah Politik dan Pentadbiran, Ekonomi dan Perniagaan, Negara dan Watan atau Pemerintah dan Umat, Akhlak dan Kekuatan atau Rahmat dan Keadilan, Kebudayaan dan Undang-undang atau Ilmu dan Kehakiman, Material dan Harta Benda atau Usaha dan Kekayaan, Jihad dan Dakwah atau Tentera dan Fikrah, sebagaimana ia juga adalah Aqidah yag benar dan Ibadat yang sah.

Apa yang pasti, kita juga tidak boleh memisahkan Islam dengan kesatuan sebagaimana Firman Allah SWT yang penulis rungkaikan di awal perbicaraan. Oleh itu perintah untuk kita bersatu wajib kita laksanakan seumpama kewajipan ibadah yang lain. Dan janganlah sekali-kali untuk kita pisahkan. Maka dengan wasilah kesatuan yang ada iaitu DPMM yang bernaung di bawah PMRAM perlu kita realitikan dan realisasikan selaku mahasiswa/wi yang berada di bumi Mansurah ini. Dan jadikan kesatuan kita ini untuk mencari keredhaan Allah SWT di muka bumi ini di atas nama Islam bukannya di atas nama lain. Wallahu’alam.

No comments: