Monday, October 3, 2011
PERKAHWINANKU
Thursday, August 11, 2011
Hanya Allah Mengetahui Segalanya - Tafsir Surah Al-An'am: 59
Firman Allah bermaksud, "Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yg ghaib, tiada siapa yang mengetahuinya melainkan Dia sahaja." (Surah Al-An'am: 59)
Dalam menghuraikan ayat ini, Ibnu Kathir telah menyatakan satu hadis daripada Imam Bukhari yang meriwayatkan daripada Salim bin Abdilllah, daripada ayahnya bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud, "Sesungguhnya anak kunci segala perbendaharaan itu ada lima, tidak mengetahui seseorang pun melainkan Allah SWT.
"Lalu Baginda membaca firman Allah yang bermaksud, "Sesungguhnya di sisi Allah jualah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dialah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seorang pun yang betul-betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati, Sesungguhnya Allah Amat Mengetahui, Lagi Amat Meliputi Penegtahuannya." (Surah Luqman: 34)
Ertinya dalam hadis ini Nabi s.a.w. menyebut bahawa terdapat lima kunci perbendaharaan segala yang ghaib yang hanya diketahui oleh Allah SWT, tidak diketahui oleh orang lain.
Pertama ialah tentang bilakan berlakunya hari kiamat. Bukan sahaja Nabi s.a.w. dan manusia yang lain tidak akan mengetahuinya, para malaikat pun tidak diberitahui tentang bilakan berlakunya hari kiamat itu sehingga Jibrail a.s. datang menemui Rasulullah s.a.w. satu ketika bertanyakan soal itu.
Kedua, tentang kekuasaan Allah menurunkan hujan. Allah sahaja yang berkuasa untuk menurunkan hujan di mana sahaja yang Dia kehendaki.
Ketiga, Dialah sahaja yang mengetahui sebenar-benarnya apa yang ada dalam kandungan seorang ibu termasuk berkait dengan zuriat keturunan, jantina janin, kesihatan dan sebagainya.
Keempat, Dialah jua yang mengetahui apa yang akan berlaku ke atas seseorang dengan setepat-tepatnya sama ada baik ataupun buruk. Manusia tidak mengetahui apa yang akan berlaku kepadanya esok hari.
Kelima, Dia sahaja yang mengetahui di manakah bumi tepat matinya seseorang manusia, bagaimanakah keadaan manusia itu mati dan seumpanya. Begitulah juga dengan makhluk-makhluk yang lain. Mereka tidak mengetahuinya tetapi Allah Maha Mengetahui segala-galanya.
Sementara itu sebuah hadis daripada Umar r.a. bahawa Jibrail a.s. ketika merupakan dirinya sebagai seorang manusia yang berpakaian seperti orang Arab, datang menemui Rasulullah s.a.w. bertanyakan tentang Iman, Islam dan Ihsan, lalu Rasulullah s.a.w. memberitahu Jibrail a.s. bahawa ada lima perkara seseorang pun tidak mengetahuinya melainkan Allah. Lalu baginda s.a.w. membaca firman Allah yang bermaksud, "Sesungguhnya di sisi Allah ada pengetahuan tentang hari kiamat." (Surah Luqman: 34)."
Seterusnya Allah berfirman yang bermaksud, "Dan Dia Mengetahui apa yang ada di darat dan di laut." (Surah al-An'am: 59)
Yakni Maha Luas ilmu-Nya meliputi segala makhluk-Nya sama ada yang ada di darat dan di laut. Tidak ada apa pun yang boleh menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuannya walaupun sebesar zarah sekalipun sama ada ia berada di bumi atau di langit.
Seorang penyair menyebut: "Tidak tersembunyi dari-Nya meskipun sebesar zarah sama ada dapat dilihat oleh yang mempunyai penglihatan atau sebaliknya."
Firman Allah yang bermaksud, "Dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Dia mengetahuinya." (Surah al-An'am: 59)
Ertinya, Dia mengetahui gugurnya daun dari pokok termasuk jumlah, masa dan seumpamanya. Bahkan Dia juga mengetahui pergerakan makhluk lain termasuk jin dan manusia sebagaimana firman Allah yang bermaksud, "Allah Mengetahui pengkhianatan (keserongan dan ketiadaan jujur) pandangan mata seseorang, serta mengetahui akan apa tersembunyi di dalam hati." (Surah al-Mukmin: 19)
Dalam menjelaskan ayat 39, Surah al-An'am ini Ibnu Abbas katanya, "Tidak tumbuh sebatang pokok pun sama ada di daratan atau di lautan melainkan ada seorang malaikat yang menjaganya. Malaikat itu mencatat apa yang gugur daripadanya."
Rujukan: http://presiden.pas.org.my/v2/
Monday, July 25, 2011
Jin, manusia, masing-masing dibayangi syaitan - Tafsir Surah Al-An'am ayat 112
MENURUT satu pendapat lain daripada Ikrimah, Allah SWT jadikan bagi manusia dan jin itu syaitansyaitan untuk diri masing-masing. Di mana syaitan-syaitan berkenaan akan bertemu antara satu sama lain menceritakan bagaimana cara mereka menyesatkan pengikut-pengikut mereka.
Tidak ada dinamakan syaitan di kalangan jin dan manusia tetapi Allah telah lahirkan bagi mereka syaitan-syaitan yang menggoda dan menyesatkan manusia dan jin.
Mereka saling bantu membantu antara satu sama lain untuk menyesatkan manusia dan jin sebagaimana firman Allah yang bermaksud, “Sebahagian daripada mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain dengan kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya.” (Surah al-An’am: 112)
Sementara Ibnu Jarir mengambil kefahaman daripada penjelasan ini dengan menyatakan bahawa, yang dimaksudkan dengan syaitan-syaitan manusia itu sebagaimana dijelaskan oleh Ikrimah dan as-Suddi ialah syaitansyaitan daripada kalangan jin yang menyesatkan manusia bukan yang dimaksudkan syaitan-syaitan manusia yang menyesatkan sesama manusia.
Tidak syak lagi inilah zahir percakapan Ikrimah. Manakala pendapatan As-Suddi pula (pada pandangan Ibnu Jarir) tidak seperti makna yang dimaksudkan itu.
Ertinya manusia dan jin ada syaitan masing-masing. Manusia ada syaitannya yang menyesatkan mereka dan jin pula ada syaitannya yang menyesatkan mereka.
Sesungguhnya telah diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim seumpama itu daripada Ibnu Abbas daripada riwayat ad-Dhohhaq. Berkata Ibnu Abbas, sesungguhnya bagi jin ada syaitan yang menyesatkan mereka daripada kalangan jin, manakala manusia ada syaitan yang menyesatkan mereka daripada kalangan manusia.
Bertemu kedua-dua mereka (syaitan daripada kalangan jin dan manusia) sambil menceritakan cara mereka menyesatkan pengikut-pengikut mereka masing-masing sebagaimana dijelaskan dalam ayat ini yang bermaksud, “Sebahagian daripada mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain dengan kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdayakan pendengarnya.” (Surah al-An’am: 112)
Apa yang sahihnya ialah apa yang terdahulu disebut daripada hadis Abi Zar bahawa sesungguhnya bagi manusia terdapat syaitan-syaitan terdiri dari kalangan mereka dan begitu juga jin terdapat syaitan-syaitan di kalangan mereka. Sesungguhnya apa yang dimaksudkan dengan syaitan itu ialah setiap sesuatu yang mendurhakai Allah SWT.
Yang demikian itulah telah dinyatakan dalam hadis sohih Muslim yang diriwayatkan dari Abi Zar bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Anjing hitam itu adalah syaitan.”
Allah sahaja yang mengetahui maksud sebenar hadis ini. Ertinya ada terdapat syaitan di kalangan anjing. Untuk menjelaskan perkara ini banyak riwayat lain menjelaskan bahawa syaitan akan merupakan dirinya seperti binatang termasuk anjing, ular dan seumpamanya dengan merupakan tubuhnya berwarna hitam terutama di waktu senja.
Oleh sebab itu jika ditemui binatang yang dalam keadaan mencurigakan di waktu senja dan badannya berwarna hitam maka halaulah mereka dan ada ulama menasihatkan supaya jangan membunuh mereka.
Jika ditemui binatang dalam keadaan situasi berkenaan maka berkatalah kepadanya: “Wahai binatang, jika engkau syaitan, pergilah kamu dari kami sejauh-jauhnya dan janganlah kamu mengganggu kami lagi.”
Jika didapati ia masih tidak bergerak, masih berada di situ dan ia boleh mengancam keselamatan nyawa kamu, maka bolehlah ia dibunuh kerana ia bukan syaitan tetapi binatang biasa. Allah sahajalah yang Maha mengetahui segala-galanya.
Sementara itu berkata Mujahid dalam menafsirkan ayat ini, sesungguhnya orang-orang kafir di kalangan jin itu adalah syaitan, mereka membisikkan sesuatu kepada syaitan daripada kalangan manusia yakni orang-orang kafir dari kalangan mereka dengan kata-kata dusta yang indah susunannya untuk memperdayakan pendengarnya.
Rujukan: http://presiden.pas.org.my/v2/
Tuesday, June 7, 2011
Doa simpati dan kasih nabi kepada umatnya - Tafsir All-Maidah : 118
Diriwayatkan dalam satu ahadis bahawa pada satu malam,. Rasulullah s.a.w bersembahyang dengan hanya membaca satu ayat ini sahaja iaitu firman Allah yang bermaksud "...Jika sekiranya Engkau menyeksa mereka sesungguhnya mereka adalah hamba Mu, dan jika sekiranya Engkau mengampunkan mereka, sesungguhnya Engkau Maha Perkasa Lagi Maha Bijaksana." (Al-Maidah : 118).
Sepanjang malam itu Rasulullah s.a.w hanya membaca ayat ini sahaja pada setiap rakaat sembahyangnya.
Diriwayatkan Nabi saw membaca ayat tersebut sehingga pada masa rukuk dan sujudnya, mengadu kepada Allah dengan membaca ayat ini.
Ayat ini bermaksud " jika sekiranya Engkau menyeksa mereka, sesungguhnya Engkau Maha Perkasa Lagi Maha Bijaksana." (Al-Maidah : 118)
Diriwayatkan oleh Abdullah bin Amar bin Al-'As r.a bahawa Rasulullah s.a.w membaca ayat ini dan setelagh selesai sembahyang dia mengankat kedua-dua belah tangannya sambil berdoa kepada Allah dalam keadaan menangis, "Ya Allah Ya Tuhanku, umatku, umatku, umatku..."
Menyebut sepanjang doanya dengan kalimah itu mengadu kepada Allah sehingga Allah mengutuskan malaikat Jibril a.s.
Allahlah Yang Maha Mengetahui apa yang dilakukan oleh Nabi-Nya, bersimpati dengan umatnya sekaligus kasih kepada umatnya, lebih daripada ibu bapa sayang kepada anaknya.
Ibu Bapa sayang kepada anaknya hanya sekadar memberi makan dan minum serta pakaian di atas dunia ini sahaja.
Apabila mati, tidak diingat lagi. Adapun Nabi s.a.w sentiasa mengingati kepada umatnya sampai ke wafatnya dan sampai hari kiamat. Tetapi Allah lebih lagi daripada itu.
Berdoa sepanjang malam, setelah membaca ayat itu sepanjang malam, dan berdoa sambil mengadu tentang apa kesudahan umatnya, lalu Allah mengutuskan malaikat Jibril a.s.
Allah berfirman yang bermaksud, "Wahai Jibrail, pergilah berjumpa dengan Muhammad, tanyakanlah dia apakah yang menyebabkan engkau menangis wahai Muhammad.
Bagaimanapun Allah Maha Mengetahui tentang apa yang ada dalam diri Nabi s.a.w tetapi Allah tetap mengutuskan malaikat Jibrail untuk bertanyakan tentang perkara tersebut.
Rasulullah s.a.w memberitahu kepadanya bahawa baginda s.a.w mengadu kepada Allah berkenaan dengan umatnya supaya Allah menyelamatkan umatnya pada hari kiamat.
Lalu Allah berfirman yang bermaksud, "Wahai Jibrail, pergilah berjumpa dengan Muhammad dan katakan kepadanya, sesungguhnya Kami redha kepadamu dan ummatmu dan Kami tidak akan melakukan apa-apa perkara memudaratkan umatmu."
Diriwayatkan dalam satu hadis yang lain bahawa Nabi saw bersabda yang bermaksud: "Diberitahu kepadaku bahawa seramai 70 000 di kalangan umatku masuk syurga dengan tiada hisab dan setiap orang daripada 70 000 ini diikuti oleh 70 000 orang yang lain, masuk syurga dengan tiada hisab."
Yakni diberi syafaat oleh 70 000 orang ini disamping syafaat Nabi saw yang diberikan kepada ummatnnya. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibu Kathir di dalam tafsirnya sebagai tambahan daripada hadis ini bahawa Allah memberi keistimewaan di mana Dia tidak akan memperlakukan keburukan kepada umat Muhammad.
Dengan syarat umat Muhammad itu mestilah menjaga dua kalimah syahadah, jangan membatalkan dua kalimah syahadah, jangan melakukan perkara yang membatalkan Islam, mestilah mengikut ajaran Nabi saw sebagaiman yang disabdakan oleh Nabi saw yang bermaksud, "peganglah dengan gigi geraham kamu."
Yakni ajaran Rasulullah saw itu bukan sahaja dipegang dengan tangan bahkan dipegang dengan gigi geraham (dengan kuat) tidak berganjak.
Tidak undur walaupun sedikit dari ajaran Nabi saw. Jika seseoarang itu mempunyai dosa, ada harapan mendapat syafaat Rasulullah saw serta mendapat rahmat yang diberi oleh Allah kepada umat Muhammad saw.
Rujukan: http://presiden.pas.org.my/v2/
Friday, May 20, 2011
Larangan Allah duduk bersama orang jahat - Surah al-An'am ayat 68-69
Rujukan: http://presiden.pas.org.my/v2/
Sunday, April 24, 2011
Mereka yang tidak diberi cahaya oleh Allah : Surah al-An'am ayat 39-41
Isnin, 18 Januari 2010 11:10
Allah berfirman yang bermaksud, "atau (orang-orang kafir itu keadaannya) adalah umpama keadaan (orang yang di dalam) gelap gelita di lautan yang dalam, yang diluputi ombak bertindih ombak, di sebelah atasnya pula awan tebal; (demikian keadaanya) gelap gelita berlapis-lapis - apabila orang itu mengelurkan tangannya tidak dapat ia melihatnya sama sekali.
"Dan (ingatlah) sesiapa yang tidak dijadikan Allah - menurut undang-undang peraturan-Nya - mendapat cahaya (hidayah petunjuk) maka tidaklah ia akan memperolehi sebarang cahaya (yang akan memandunya ke jalan yang benar)." (Surah al-Nur:40)
Oleh kerana itulah Allah menyatakan dalam ayat ini yang bermaksud, sesiapa yang Allah kehendaki akan disesatkannya dan sesiapa yang ia kehendaki akan dijadikannya berada di atas jalan yang betul." (Surah al-An'am:30)
Sesiapa pun tidak boleh memberi hidayah kepada seseorang melainkan Allah sahaja. Sebab itulah kita disuruh sentiasa meminta petunjuk daripada Allah SWT.
Islam telah mengajar umatnya supaya melakukan perkara ini dalam solat mereka di mana di dalam Suratul Fatihah (yang menjadi rukun dan wajib dibaca di dalam solat), setiap orang islam membaca ayat yang bermaksud, "Tunjukkanlah kami jalan yang lurus.) (Surah al-Fatihah:6)
Orang Islam yang mengerjakan sembahyang pasti membaca surah ini sekali gus bererti mereka sentiasa memohon petunjuk daripada Allah SWT.
Seterusnya Allah berfirman yang bermaksud, "katakanlah (hai Muhammad):"khabarkanlah kepada aku, jika datang kepada kamu azab Allah, atau datang kepada kamu hari kiamat, adakah kamu akan menyeru selain Allah (untuk menolong kamu) jika betul kamu adalah orang-orang yang benar?" (Surah al-An'am :40)
Dalam ayat ini Allah menjelaskan bagaimana segala ketentuan Allah tidak boleh sesiapa pun mengubahnya. Allah akan buat apa yang Dia kehendaki dan setiap urusannya apabila Dia berkata jadilah maka jadilah perkara itu dengan kehendak-Nya jua tanpa ada sesiapa pun boleh menghalangnya walau sedikit pun.
Begitulah dalam urusan menurunkan azab dan berlakunya hari kiamat. Ayat ini Allah memerintahkan nabi Muhammad supaya bertanyakan orang-orang kafir itu tentang siapakah yang sebenarnya berkuasa untuk menghalang semua itu berlaku ke atas mereka, adakah berhala-berhala yang disembah selain Allah atau orang-orang yang berkuasa di muka bumi boleh menghalang semua itu berlaku. Adakah mereka sanggup menyeru tuhan atau sembahan atau orang yang berkuasa selain Allah untuk menghalang dari semua itu berlaku?
Soalan yang diperintahkan ini sebenarnya adalah soalan menghina atau menempelak perbuatan orang kafir yang sengaja tidak mahu kembali kepada ajaran Allah sekali gus menyembah dan mengabdikan diri hanya kepada Allah yang Maha Berkuasa atas segala-galanya.
Mereka sebenarnya mengetahui apa yang disembah itu atau manusia yang dipatuhi perintahnya selain Allah itu tidak berkuasa menghalang semuanya berlaku di hadapan mata mereka.
Allah berfirman yang bermaksud, "Bahkan Dialah (Allah) yang kamu serukan lalu ia hapuskan bahaya yang kamu pohonkan kepadanya (supaya dihapuskan), jika ia dikehendaki dan kamu lupakan apa yang kamu sekutukan (dengan Allah, dalam masa kamu ditimpa bahaya itu)." (surah al-An'am :41)
Yakni apabila mereka ditimpa musibah mereka tidak ingat lagi kepada berhala atau sesuatu yang mereka sembah dan patuh selain Allah, melainkan mereka akan minta pertolongan dari Allah, berhadap hati mereka kepada Allah, mengharapkan Allah membebaskan mereka dari bencana itu tidak lagi berharap kepada sembahan-sembahan mereka selama ini.
Saat itu mereka lupa kepada berhala dan tuhan-tuhan selain Allah. Penganut komunis pun ingat kepada Tuhan ketika mereka ditimpa azab atau nazak hampir mati sebagaimana berlaku kepada Lenin pemimpin besar komunis Rusia.
Apabila komunis hampir kalah pemimpin tersebut pernah meminta imam-imam masjid di Rusia sembahyang hajat memohon Allah memberi kemenangan kepada komunis. Inilah ragam mausia apabila kesempitan dan terdesak dihimpit musibah dan bencana dunia, mereka akan ingat kepada Allah.
Sebagai contoh apabila manusia ditimpa bencana dilambung ombak besar meggunung di lautan terbentang luas tidak bertepi, mereka merasakan mereka akan mati dengan bencana itu, di saat ini mereka lupa segala-gala yang lain melainkan Tuhan Yang Berkuasa Mentadbir Alam ini.
Tetapi selepas hilangnya musibah mereka kembali semula mengkufuri Allah SWT. Allah berfirman yang bermaksud, "Dan apabila kamu terkena bahaya di laut, (pada saat itu) hilang lenyaplah (dari ingatan kamu) makhluk yang kamu seru selain Allah, maka apabila ia menyelamatkan kamu ke darat, kamu berpaling tadah (tidak mengingatinya); dan memanglah manusia itu sentiasa kufur (akan nikmat Allah)." (Surah al-Isra':67)
Rujukan: http://presiden.pas.org.my/v2/
Sunday, March 6, 2011
JADI HINA KERANA TINGGAL ISLAM
Firman Allah swt:
ۚ وَإِن تَتَوَلَّوۡاْ يَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ ثُمَّ لَا يَكُونُوٓاْ أَمۡثَـٰلَكُم
Muhammad: 38
إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِہِمۡۗ وَإِذَآ أَرَادَ ٱللَّهُ بِقَوۡمٍ۬ سُوٓءً۬ا فَلَا مَرَدَّ لَهُ ۥۚ وَمَا لَهُم مِّن دُونِهِۦ مِن وَالٍ
Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya. (11)
Ar-Ra'du:11
Cahaya Islam sekali-kali tidak akan dapat dipadamkan. Umat Islam wajib mempertahankan dan menegakkan Islam. Sekiranya bangsa Melayu yang sudah menjadi Islam, tetapi tidak berusaha untuk melaksanakan Islam, maka kita akan menjadi hina.
Kenapa orang bukan Islam lebih yakin dengan Islam tetapi kita langsung tidak ada hati untuk melaksanakan Islam?
Kenapa Melayu yang mengaku Islam sanggup memperlekehkan agama Islam sedangkan kebanyakan orang bukan Islam di Malaysia bangga dengan Islam?
Ingatlah! Allah swt akan mengubah satu kaum itu sekiranya satu kaum itu berusaha untuk membuat perubahan yang lebih besar, semata-mata ingin melihat Islam berdaulat di muka bumi ini.
Di sini saya ingin menyatakan beberapa pandang seorang yang bukan Islam terhadap Islam, malah bangga dan sanggup tunduk dengan pentadbiran Islam demi keadilan sejagat.
Sokongan orang bukan Islam terhadap PAS kini semakin baik. Sekalipun UMNO-BN menggunakan segala taktik untuk memburukkan PAS di mata golongan bukan Islam.
Ikuti temubual Wartawan Harakah, Khairul Azlam Mohamad bersama Timbalan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terengganu, Dr Balachandran dalam satu pertemuan di Kuala Terengganu baru-baru ini.
Di antara temubual bersama beliau:
HARAKAH: UMNO mempergunakan isu agama untuk menjauhkan orang bukan Islam dari PAS. Bagaimana Dr Bala melihat ini?
DR BALACHANDRAN: Pandangan kita orang bukan Islam, kita kena tengok dalam dua keadaan yang baik dan yang buruk. Bagi kita, Islam yang terbaik. Kita nampak UMNO tidak ikut apa yang dikehendaki oleh Islam. Kezaliman tidak ada dalam Islam, rasuah tidak ada dalam Islam dan 'penyangak' tidak ada dalam Islam.
Tetapi, itu semua ada pada UMNO dan BN. Sebab bagi kita, kita telah menghayati Islam dan mula mendekati Islam dan mula mempelajari Islam. Kita sudah tahu apa kebaikan Islam.
Jadi kita nampak UMNO sebaliknya. Sebab itu, sebelum ini semasa kita jahil kata orang. Kita ingat PAS yang ekstremis dan PAS yang moderat. Tetapi sekarang UMNO pula yang sebenarnya ekstremis dan PAS yang moderat.
Sebab itu ada di kalangan India yang masih terkongkong pemikiran mereka duduk dalam BN manakala majarotinya sudah mula berfikir dan menilai tindak-tanduk UMNO dan BN. Mereka (kaum India) tidak mahu kepada BN dan juga sudah nilai Pakatan Rakyat. Begitu juga dengan Cina, mereka sudah membuat perubahan yang sama sekarang ini.
HARAKAH: Orang buka Islam sudah boleh menerima PAS dengan dasar Islamnya?
DR BALACHANDRAN: UMNO akan guna segala taktik buat isu. Antaranya jika Islam mari (perintah) ada hukum hududlah; jika Islam memerintah akan laksanakan hudud. Bagi kita, hukum hudud itu pilihan kita. Jika kita jahat kenalah, biasalah tu.
Orang yang takutkan hudud adalah orang UMNO dan bukan orang yang bukan Islam. Dia (UMNO) orang memang takutkan hukum hudud sebab dia orang 'penyangak' dan 'perasuah'.
Orang bukan Islam tidak perlu risau selagi ada Negara Berkebajikan yang boleh menjamin keselesaan dan membela rakyat. Apa yang dibimbangi UMNO sekarang ini apabila orang bukan Islam telah menghayati Islam dan mula keluar dari kejahilan mereka (mengenai Islam).
HARAKAH: Kesimpulan apa yang Dr Bala lihat pada politik UMNO-BN sekarang ini?
DR BALACHANDRAN: Orang yang bercakap tentang Islam mesti menghayati Islam terlebih dahulu. Jika dia tidak menghayati Islam, dia tidak tahu pasal Islam. Orang yang jahil tidak tahu pasal Islam. Apa masalahnya dengan negara Islam? Beritahu saya.
Jika kita betul-betul ikut perundangan Islam tidak ada masalah. Apa yang jadi masalah kepada UMNO itu, dia lawan Islam. Melayu itu bangsa dan Islam itu agama. Agama (Islam) itu untuk semua bangsa. Saya cabar UMNO sila tunjukkan kepada saya mana ada perkataan Melayu dalam Al-Quran? Dalam Al-Quran tidak sebut, "Wahai orang Melayu" tetapi disebut "Wahai orang beriman."
Orang UMNO sebenarnya yang banyak perlekehkan agama Islam dan minta dia belajar lagi Al-Quran. Sebab itu, UMNO tidak dihormati kerana memperlekehkan Islam. PAS dihormati kerana tidak memperlekehkan Islam dan berjuang untuk Islam.
Bagi saya, agama Islam yang berpandukan Al-Quran itu yang betul. Jika saya hendak tahu tentang Islam kena pergi kepad Al-Quran dan bukan kepada UMNO atau sesiapa. Bagi saya sebagai orang bukan Islam, saya lebih rela duduk di bawah undang-undang Islam daripada di bawah kerajaan UMNO- BN sekarang. Sebab, kezaliman yang dilakukan oleh UMNO itu 200 kali ganda lebih teruk daripada yang diperkatakan itu.
Marilah sama-sama kita bermuhasabah dan tunjukkan rasa malu dengan Allah swt. Waallahu'alam. Takbirr!