Tuesday, September 30, 2008

PEGANGAN HIDUP


Cerita ini saya copy past jer daripada sahabat saya Ustaz Amirul yang baharu sahaja pulang ke Malaysia. Blog beliau adalah http://amirulhasim.blogspot.com/. Harap dengan ceritera beliau ini akan menjadi kekuatan pegangan kita kepada Allah SWT.

Hari itu selepas seminggu beraya di kampung, saya pulang ke K.Lumpur. Memikirkan highway PLUS sibuk, saya menyusuri laluan lama. Pekan pertama yang saya lintas ialah Teluk Intan. Terasa mengantuk, saya singgah sebentar di sebuah restoran di pinggir pekan itu. Sebaik memesan makanan, seorang kanak-kanak lelaki berusia lebih kurang 12 tahun muncul di hadapan.

“Abg nak beli kuih?” Katanya sambil tersenyum. Tangannya segera menyelak daun pisang yang menjadi penutup bakul kuih jajaannya.

“Tak apalah dik… abg dah pesan makanan,” jawap saya ringkas. Dia berlalu. Sebaik pesanan tiba, saya terus menikmatinya. Lebih kurang 20 minit kemudian saya nampak kanak-kanak tadi menghampiri pelanggan lain, sepasang suami isteri agaknya. Mereka juga menolak, dia berlalu begitu saja.

“Abg dah makan, tak nak beli kuih saya?” katanya selamba semasa menghampiri meja saya.

“Abg baru lepas makan dik, masih kenyang lagi ni,” kata saya sambil menepuk-nepuk perut. Dia beredar, tapi cuma setakat di kaki lima. Sampai di situ, dia meletakkan bakulnya yang masih sarat.

Setiap yang lalu ditanya… ” Nak tak beli kuih saya bang.. Pak cik… kakak atau makcik.” Molek budi bahasanya! Mamak restoran itu pun tidak menghalng dia keluar masuk ke premisnya bertemu pelanggan. Sambil memerhati, terselit rasa kagum dan kasihan di hati saya melihatkan betapa gigihnya dia berusaha. Tidak nampak langsung tanda-tanda putus asa dalam dirinya, sekalipun orang yang ditemuinya enggan membeli kuihnya.

Selepas membayar harga makanan dan minuman, saya terus beredar ke kereta. Kanak-kanak itu saya lihat berada agak jauh di deretan kedai yang sama. Saya buka pintu , membetulkan duduk dan menutup pintu. Belum sempat saya menghidupkan enjin, kanak-kanak tadi berdiri di tepi kereta. Dia menghadiahkan sebuah senyuman. Saya turunkan cermin, membalas senyumanya. Saya lihat umurnya lebih kurang 12 tahun.

“Abg dah kenyang, tapi mungkin abang perlukan kuih saya untuk adik-adik abang, ibu atau ayah abang katanya petah sekali sambil tersenyum. Sekali lagi dia mempamerkan kuih dalam bakul dengan menyelak daun pisang penutupnya. Saya tenung wajahnya, bersih dan bersahaja. Terpantul perasaan kesian di hati. Lantas saya buka dompet, dan menghulurkan sekeping not merah RM10. Saya hulurkan padanya.

” Ambil ni dik! Abang sedekah… tak payah abang beli kuih tu” saya berkata ikhlas kerana perasaan kesian meningkat mendadak. Kanak-kanak itu menerima wang tersebut, lantas mengucapkan terima kasih terus berjalan kembali ke kaki lima deretan kedai. Saya gembira dapat membantunya.

Setelah enjin kereta saya hidupkan, saya mengundur. Alangkah terperanjatnya saya melihat kanak-kanak itu menghulurkan pula RM10 pemberian saya itu kepada seorang pengemis yang buta kedua-dua matanya. Saya terkejut, lantas memberhentikan semula kereta, memanggil kanak-kanak itu.

“Kenapa bang nak beli kuih ke?” tanyanya.
“Kenapa adik berikan duit abg tadi pada pengemis tu? Duit tu abg bagi adik!” kata saya tanpa menjawap pertanyaannya.

“Bang saya tak boleh ambil duit tu. Mak marah kalau dia dapat tahu saya mengemis. Kata mak kita mesti bekerja mencari nafkah kerana Allah berikan tulang empat kerat pada saya. Kalau dia tahu saya bawa duit sebanyak itu pulang, sedangkan jualan masih banyak, mak pasti marah. Kata mak, mengemis kerja orang yang tak berupaya, saya masih kuat bang!” katanya begitu lancar.

Saya sebak, sekali gus kagum dengan pegangan hidup kanak-kanak itu. Tanpa banyak soal saya terus bertanya berapa semua harga kuih dalam bakul itu.

“Abg nak beli semua ke?” dia bertanya dan saya cuma mengangguk. Lidah saya kelu nak berkata.

“RM25 saja bang…..! Selepas dia memasukkan satu persatu kuihnya ke dalam plastik, saya hulurkan RM25. Dia mengucapkan terima kasih dan terus berlalu. Saya perhatikan dia sehingga hilang daripada pandangan.

Dalam perjalanan ke K.Lumpur, baru saya terfikir untuk bertanya statusnya. Anak yatim kah?? Siapakah wanita berhati mulia yang melahirkannya?? Terus terang saya katakan, saya beli kuihnya bukan lagi atas dasar kesian, tetapi kerana rasa kagum dengan sikapnya yang dapat menjadikan kerjayanya satu penghormatan.

Sesungguhnya saya kagum dengan sikap kanak-kanak itu. Dia menyedarkan saya, siapa kita sebenarnya!!!

Wednesday, September 17, 2008

JANGAN MAIN FITNAH

Firman Allah SWT yang bermaksud:

[Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya]{Al-Isra':36}

Penafsiran daripada ayat Allah SWT ini, menekankan supaya kita tidak mengikuti apa yang tidak diketahui dan tidak terus merasa pasti dengan apa masih samar-samar di fikiran kita. Bahkan bersikap
husnu dzan dengan sesiapa sahaja selagi kita tidak tahu sumbernya yang tepat. Di dalam pengajian Islam sendiri sebenarnya mengajar supaya kita husnu dzan billah wa husnu dzan bi 'ibadillah (bersangka baik dengan Allah dan bersangka baik dengan hamba-hamba Allah). Al-Imam Qatadah menjelaskan dalam maksud ayat ini: jangan engkau katakan; "aku melihat padahal mataku tidak melihat, aku mendengar padahal telingaku tidak mendengar dan aku mengetahui padahal hatiku tidak tahu". Ini cukup jelas kepada kita bahawasanya; manusia itu akan ditanya di hari Qiamat nanti akan pancainderanya iaitu dari pendengarannya, penglihatannya dan hatinya.

Saya rasa cukuplah untuk menjelaskan beberapa perkara yang perlu sama kita mengambil
istifadah berkaitan nasihat saya kepada semua menerusi maksud potongan ayat ini. Saya harap bagi orang-orang yang masih lagi suka menabur fitnah, mendengar umpatan, suka dengar cakap orang sana-sini tanpa selidiki terlebih dahulu, suka bermain dengan tasykik yang tidak tahu sumbernya; eloklah bertaubat dan memohon ampun kepada Allah SWT. Dan lebih baik siapa-siapa yang terlibat menabur fitnah itu cuba minta maaf secara terbuka kepada laman Web rasmi DPMM yang saya rasa kesal sejak kebelakangan ini, kita menuduh SPR dengan tidak beradab. Saya takut tindakan dikalangan kita ini tidak mendapat redha dan kemaafan daripada orang yang kita tuduh itu. Kesian rasanya ada dikalangan kita masih terikut-ikut rentak amalan Jahiliyyah. Wa'aallahu'alam.

Tuesday, September 9, 2008

KETAQWAAN DISEBALIK RAMADHAN.


Firman Allah SWT yang bermaksud:

[Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. (Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui. (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur]{Al-Baqarah:183-185}

Berdasarkan maksud firman Allah SWT ini, yang menunjukkan kepada kita semua, bahawa Allah SWT menujukan khusus kepada orang yang Mukmin (beriman), supaya ia dapat menjadikan pada orang-orang Mukmin itu kesan timbulnya perasaan taat dan patuh. Justeru itu, ia juga dapat memberikan kecerdikan pada akal orang-orang yang beriman itu keimanan yang membara. Ini sebagaimana yang saa merujuk kepada Kitab 'Sofwatut-Tafasir' karangan Syaikh Ali Sobuni. Namun di situ setelah saya amati berkenaan pengertian Iman yang merupakan Tasdiq (membenarkan). Ia juga I'tiqad dengan hati kepada apa yang diketahui yang ianya daripada Ad-Dinul Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW serta ikrar dengan lidah dan amal. Tasdiq itu mestilah juga menerima serta redha dengan semuanya, tidak ada ingkar dan perasaan ragu serta tidak menjuzuk-juzukkan kepercayaannya. Sebagaimana fiman Allah yang bermaksud: [Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanya orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya kemudian mereka tidak ragu-ragu]{Al-Hujuraat:15}. Iman dan 'amal merupakan dua perkara yang berbeza dari segi takrif kerana 'amal itu adalah hasil daripada iman dan iman pula tidak sempurna pada 'amal. Lagi fiman-Nya yang bermaksud: [Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah hanya mereka yang apabila disebut Allah terasa gerunlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, bertambahlah iman mereka dan kepada Tuhan sahaja mereka bertawakkal]{Al-Anfaal:2}. Begitulah apa yang dijelaskan oleh Tuan Guru Haji Hadi Awang di dalam kitab beliau 'Muqaddimah Aqidah Muslimin' berkenaan tentang Iman dan Amal.

Apa yang jelas di sini, dengan keimanan yang kuat pada diri kita ini, maka ia dapat memupuk nilai Taqwa kita pada Allah SWT. Orang yang melaksanakan ibadah puasa pada bulan Ramadhan bukanlah disebabkan hanya kita melihat ganjaran Allah. Tetapi disebabkan kita mahukan diri kita benar-benar mendapat keredhaanNya. Oleh kerana itu Taqwa yang disemaikan di dalam jiwa kita inilah yang menyebabkan kita melakukan Ibadah ini. Sebab jelas kepada kita bahawa sebahagian Ulama' memberi takrifan berkaitan dengan Takwa ini iaitu memelihara diri daripada azab Allah dengan mengerjakan 'amal Soleh dan takut kepadanya ketika terang dan tersembunyi. Sebagaimana saya pernah terbaca 'Fi Zilalil Quran' jilid ketiga nukilan Sayyid Qutb iaitu; sesungguhnya kebenaran tidaklah mengasingkan dirinya dari fitrah. Tetapi hawa nafsulah yang mendindingi kebenaran dengan fitrah, hawa nafsulah yang menyebarkan kelam kegelapan, mendindingi pendapat pemikiran, menutupi jalan dan menyembunyikannya. Ianya tidak boleh tertewas dengan hujjah, tetapi ianya tertewas oleh ketaqwaan. Tertewas oleh ketakutan kepada Allah dan muraqabah kepadaNya ketika bersembunyi dan secara berterangan. Daripada ini nyatalah bahawa Al-Furqan (Al-Quran) yang menyinari pandangan dan menghilangkan segala kesamaran serta membuka (menjelaskan) jalan.

Oleh kerana itu, sudah pastilah ibadah puasa di bulan Ramadhan ini adalah suatu kewajipan kepada mukallaf yang kita sedia maklum dengan perintah Allah ini. Kalimah 'kutiba' di dalam Al-Quran yang bermaksud difardhukan atau diwajibkan ini sudah pastilah adalah perintah Allah. Disebabkan Taqwa kita kepada Allah inilah umat Islam seluruhnya berpuasa. Kalau disebabkan ganjaran pahala sahaja kita berpuasa adalah betul, tetapi kurang tepat kerana ini adalah sebahagian sebab seseorang itu berpuasa. Andaikata seseorang itu berpuasa yang jatuh hukumnya Sunat iaitu selain puasa Ramadhan, puasa Nazar dan lain-lain; sudah pasti sesuai kita melakukan kerana untuk mendapat ganjaran pahala dari Allah. Ini sebagai langkah Targhib (perkara menyukakan) untuk menggalakkan seseorang itu melakukan 'amal soleh. Begitu juga bagi golongan yang bukan mukallaf seperti kanak-kanak yang dididik dengan perkara amal ibadah yang bakal diwajibkan untuknya nanti. Kadang-kadang punca ramai golongan Umat Islam yang lalai daripada mengerjakan 'amal wajib ini, puncanya adalah dalam diri umat Islam ini hilangnya nilai-nilai Takwa di dalam jiwa mereka. Punca tiadanya nilai Taqwa ini, biasanya kesedaran umat Islam ini daripada banyak sudut terutamanya kesedaran, kefahaman tentang ilmu ketaqwaan itu sendiri. Al-Quran begitu mengambil berat tentang fadhilat (kelebihan) ketaqwaan dan menempatkan serta memberikan keistimewaan kepadanya. Sebilangan besar dari ayat-ayatNya yang jelas sehinggalah para pembacanya, hampir-hampir tidak tertinggal satupun muka surat ayat-ayat suci Al-Quran ataupun sebahagiannya melainkan mereka akan mendapati kalimah 'At-Taqwa' di sana sini yang dinyatakan oleh yang Maha Pengingat dan Maha Bijaksana.

Daripada sudut ilmiah saya sudah nukilkan serba sedikit pada perenggan yang awal lagi dengan saya dahulukan beberapa potongan maksud ayat Al-Quran. Biasa itulah yang saya akan lakukan apabila menyatakan beberapa fikrah dalam tulisan saya. Dan saya tidak mahu mengupas panjang lebar. Ramai yang kadang-kadang menimbulkan persoalan kepada saya. Kenapa saya gemar menulis panjang lebar? Walhal, tulisan yang panjang tidak ramai suka membaca. Dan terlalu mengupas segala permasalahan dengan perbincangan ilmiah. Dan sebenarnya saya sendiri mengerti persoalan ini. Namun di situ pendirian saya, apabila kita menulis secara santai, maka kebanyakkan ramai dikalangan kita yang minat membaca berbanding terlalu ketat dengan perbincangan ilmiah. Itu menjadi satu kepastian. Lebih-lebih lagi yang menulis khusus di dalam blog masing-masing. Ikutlah masing-masing apa yang dia merasakan boleh dengan begitu. Sebenarnya kebanyakkan daripada apa yang saya tulis dalam keadaan santai. Cuma saya memang jenis begitu. Kalau menaip di laptop ini payah hendak berhenti. Sedangkan diri sendiri malas menghadap laptop ini. Sebab setiap hari banyak kerja hendak dibuat. Harap fikir sendirilah ye. Kalau orang malas membaca banyak apa yang saya tulis, dapat baca sedikit pun jadilah. Sebenarnya saya yakin ada yang senantiasa setia dengan membaca blog saya walaupun mungkin tidak ramai. Apapun saya mengucapkan selamat menyambut Ramadhan dan moga kita senantiasa diberkati Allah SWT. Wa'Allahu'alam.



Thursday, September 4, 2008

KELEBIHAN MENDENGAR AL-QURAN

Keadaan orang yang mendengar Al-Quran dengan tadabbur dan khusyuk miliknya satu ganjaran pahala. Bahkan dikatakan: Si pembaca Al-Quran seperti pemerah susu dan si pendengar itu seperti peminumnya. Sesungguhnya Nabi SAW suka mendengarkan Al-Quran itu sebagaimana suka membacanya. Dan Riwayat Imam Al-Bukhari dari Ibn Mas'ud yang mengatakan: Rasulullah SAW bersabda kepadaku: [ "Bacalah oleh engkau Al-Quran" ]. Lalu aku katakan wahai Rasulullah, apakah aku membaca kepada engkau dan atas engkau ia diturunkan? Sabda Nabi: ["Bahawasanya daku suka untuk mendengarkannya daripada orang selainku"] Lalu aku membacanya daripada Surah An-Nisa' hatta apabila aku sampai sepotong ayat ini yang bermaksud {"Maka bagaimana apabila kami datangkan daripada setiap umat itu dengan ada penyaksi, begitu juga aku datangkan dengan engkau atas segala ini ada penyaksi"}. Lalu Nabi mencelah: ["Cukuplah engkau sekarang (minta berhenti)"]. Lalu aku menoleh padanya tiba-tiba mengalir air mata pada kedua-dua belah matanya.

Daripada yang diketahui ini bahawasanya suka mendengar bukanlah khusus dengan orang yang tidak elok bacaannya. Tetapi mendengar pada hak yang membaca lagi menghafaz itu kadang-kadang lebih utama dan lebih memberi manfaat. Sesungguhnya para Ulama' di dalam membaca dan mendengar manakah yang lebih baik? Adalah yang lebih baik baik kebenarannya meletakkan peranan dalam keadaan takut dan tadabbur serta berpanjangan munafaat dengan semua itu. Maka orang yang bertadabbur dan rasa takut dengan membacanya lebih banyak bacaan pada haknya itu nescaya selebih-lebih baik. Begitu juga orang yang bertadabbur dan rasa takut pada mendengarnya lebih banyak mendengar pada haknya itu nescaya selebih-lebih baik. Dan ini satu perkara ikhtilaf Ulama' dengan para pembaca Al-Quran dan para pendengarnya.

Rujukan:
*Al-Laliul Hisan fi 'Ulumil Quran. Karangan Dr. Musa Syahi Al-Lasyin. Dan beliau Penolong Ketua Jami'ah Al-Azhar serta pernah menjadi Ketua Bidang Pengkhususan Hadith. Begitu juga beliau merupakan seorang Profesar Hadith di furu' (cabang) Kuliyah Usuluddin dan beliau adalah merupakan Rais Majlis Sedunia kementerian Agama Mesir.
*Terbitan daripada Persekutuan As-Syar'iyyah Ar-Raisiyyah yang memberi bantuan orang-orang yang bekerja dengan Kitab (Al_Quran) dan As-Sunnah Al-Muhammadiyyah yang menyediakan para 'Alim Ulama' Maahad Persediaan Para Da'ie.

HUKUM TERLUPA AL-QURAN

Saya ingin menyatakan sedikit permasalahan dari sudut hukum bagi yang terlupa untuk mengingati Al-Quran itu sendiri. Sebagimana yang telah lalu saya nyatakan kedudukan membaca Al-Quran dan menghafaznya. Namun di situ menjadi dosa pula bagi yang meninggalkannya dan menjadi kesalahan yang amat besar meninggalkannya. Adalah satu kesyukuran atas nikmat Al-Quran itu sendiri bagi yang banyak tilawahnya dan tetap dengan menghafaznya serta kuat menjaganya daripada terlupa. Maka sebenarnya amat berat tanggungan dalam jiwa orang-orang yang sudah ingat Al-Quran dan mudah luput sebagaimana unta yang terlepas daripada ikatannya. Dalam satu riwayat menyebut: [ Maka perumpamaan orang yang ada Al-Quran (hafaz Al-Quran) sebagaimana umpama orang yang mempunyai unta yang diikat. Jika diikat padaya, nescaya peganglah ia (jagalah ia). Jikalau melepaskannya, maka hilanglah ia].

Tiadalah dosa dan pengkhianatan yang amat besar adalah lupa yang menghafaz bagi apa yang dia hafaz. Hatta Al-Imam An-Nawawi mengatakan: [Bahawasanya lupa Al-Quran adalah dosa besar]. Imam Ibn Hajr mengatakan: ["Lupa Al-Quran adalah orang yang lebih besar musibah"]. Mengambil kira daripada sabda Nabi SAW yang bermaksud: [ "Maka tidak aku melihat dosa sangat besar daripada surah sebahagian Al-Quran atau sepotong ayat yang diberikan seseorang, kemudian dia melupakannya"]. Demikianlah riwayat Imam Abu Daud, Imam At-Tarmizi, dan Imam Ibnu Majah.

Abu 'Ubaid meriwayatkan: ["Tidaklah daripada salah satupun yang belajar Al-Quran, kemudian melupakannya kecuali dengan dosa yang akan lebih mengotorinya. Kerana Allah Ta'ala berfirman: [ "Dan apa yang menimpa kamu daripada satu musibah pada apa yang diusahakan oleh tangan-tangan manusia sendiri"]. Dan bagi Abi Daud dari Sa'du bin 'Ubadah secara marfu': ["Barangsiapa yang membaca Al-Quran, kemudian dia melupakan, nescaya Allah menemukan padahal dia itu kudung tangannya"]. Maksud kudung tangan itu adalah dipotong tangannya, diputuskan hujjahnya atau diputuskan kebaikannya.

Apapun perlu diingat beberapa perkara yang perlu kita semaikan dalam jiwa sanubari kita semua. Di antara adanya hikmah beberapa penjelasan berkaitan kepentingan Al-Quran ini untuk dijaga. Adalah menjadi kepastian apabila seseorang itu yang sudah menghafaz Al-Quran supaya dirinya mengelak daripada melakukan maksiat. Kerana dijiwa seseorang yang hatinya bersih dan murni sahaja yang dapat menyemai dan mengisi jiwanya dengan Al-Quran. Wa'Allahu'alam.

Rujukan:
*Al-Laliul Hisan fi 'Ulumil Quran. Karangan Dr. Musa Syahi Al-Lasyin. Dan beliau Penolong Ketua Jami'ah Al-Azhar serta pernah menjadi Ketua Bidang Pengkhususan Hadith. Begitu juga beliau merupakan seorang Profesar Hadith di furu' (cabang) Kuliyah Usuluddin dan beliau adalah merupakan Rais Majlis Sedunia kementerian Agama Mesir.
*Terbitan daripada Persekutuan As-Syar'iyyah Ar-Raisiyyah yang memberi bantuan orang-orang yang bekerja dengan memperjuangkan Kitab Al-Quran dan As-Sunnah Al-Muhammadiyyah yang menyediakan para 'Alim Ulama' Maahad Persediaan Para Da'ie.