Wednesday, May 13, 2009

KEPENTINGAN MENGENAL TOKOH ‘ULAMA ISLAM


Senario pada hari ini, amat mendukacitakan dikalangan masyarakat kita yang kurang mengenali Para ‘Alim ‘Ulama yang terkenal dan masyhur pada zaman dahulu kala. Dimana zaman semasa kegemilangan Islam menjadi kuasa besar dunia. Dari itu menjadi suatu tanggungjawab saya selaku orang yang diberi peluang oleh Allah SWT serta dapat belajar serba sedikit ilmu Islam di bumi Ardhul Kinanah ini.

Saya amat kesal melihatkan begitu ramai masyarakat Malaysia yang seb
enarnya amat ketinggalan dalam mengenali golongan-golongan cerdik pandai; seumpama Para ‘Alim ‘Ulama, Para Cendiakawan, ahli profesional negarawan yang pakar dalam bidang ilmuan masing-masing samada ilmu Islam, Sains, Teknologi, Binaan, Geografi, Sasterawan dan sebagainya.

Tetapi apa yang merunsingkan Negara kita sekarang ini iaitu Malaysia yang lebih mengutamakan golongan-golongan yang bukan para Ilmuan dan cendiakiawan. Ini saya melihat bagaimana masyarakat lebih mengenali para artis dan sangat-sangat mengagungkan mereka. Hatta kepopularan lebih dilihat kepada mereka bukan lebih dilihat kepada Para Ilmuan.

Sebab itu kepopularan itu amat penting sebenarnya untuk digarapkan. Dan mestilah ditujukan yang lebih utama kepada Para Ilmuan dahulu kerana ini lebih menjuruskan kepada masa depan Negara kita ini; baik dari sudut ketamadunan, pembangunan, politik, pentadbiran, pendidikan, ekonomi, sosial dan sebagainya.

Dan perlu diingat sebenarnya kemasyhuran dan kepopula
ran ini bukanlah boleh dicari-cari. Tetapi kemasyhuran dan kepopularan ini adalah anugerah daripada Allah SWT sendiri.

Apabila sikap keikhlasan daripada umat Islam dan senantisa bersungguh-sungguh di dalam mengamalkan ajaran Islam serta senantiasa memperjuangkan ajaran Islam supaya dimartabatkan, maka Allah akan memberikan anugerah kepada siapa yang dikehendakiNya.

Sebagaimana Firman Allah SWT yang bermaksud:

Katakanlah: "Wahai Tuhan yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu. Engkau masukkan malam ke dalam siang dan Engkau masukkan siang ke dalam malam. Engkau keluarkan yang hidup dari yang mati, dan Engkau keluarkan yang mati dari yang hidup[*] dan Engkau beri rezki siapa yang Engkau kehendaki tanpa hisab (batas)".

[Ali-'Imraan:26-27]

[*] sebagian Mufassirin memberi misal untuk ayat ini dengan mengeluarkan anak ayam dari telur, dan telur dari ayam dan dapat juga diartikan bahwa pergiliran kekuasaan di antara bangsa-bangsa dan timbul tenggelamnya sesuatu umat adalah menurut hukum Allah.

Dan ini sebenarnya melibatkan masyarakat Islam seluruhnya bukan dibahu orang persendirian yang beramal dengan ajaran Islam. Ini sebagaimana maksud ungkapan daripada Saiyidina Umar Al-Khattab RA yang bermaksud:

Kami suatu Kaum yang Allah muliakan kami dengan Islam; barangsiapa mencari selain apa yang Allah muliakannya, (nescaya) Allah akan hinakannya.

Jelaslah di sini Saiyidina Umar Al-Khattab RA menggunakan kalimah Nahnu bermaksud Kami dan bukanlah tertonggak di bahu seorang tapi menjadi kewajipan kepada suatu golongan yang ramai.

Apabila seorang sahaja yang beramal dengan ajaran Islam, maka kemuliaan yang Allah SWT berikan pada seorang. Tetapi apabila masyarakat seluruhnya beramal dengan ajaran Islam, maka sudah pasti Allah SWT memberikan Keizzahan Islam itu sendiri dengan tanpa kita mencari, bahkan terus menerus memperjuangkan agama Allah SWT yang suci ini.

Menjadi perhatian penting di sini bukanlah untuk Para Ilmuan sendiri yang memasyhurkan atau mempopularkan diri mereka sendiri. Tetapi tanggungjawab masyarakat untuk menaikkan mereka ke arah memimpin Malaysia. Dan segala pandangan mereka perlu dipandang tinggi oleh masyarakat selagi mana bersesuaian dengan apa yang digariskan oleh Islam.

Dari itu saya amat merasa tanggungjawab untuk memperkenalkan masyarakat tentang tokoh-tokoh Para ‘Ulama Salafus Soleh yang mereka ini sebenarnya masyhur dan popular suatu ketika dahulu kerana ajaran Islam yang mereka amalkan.


Oleh kerana saya masih lagi merupakan seorang Thalib yang agak mentah di dalam ilmu Islam dan seorang yang masih lagi digelar Al-Mubtadie’ serta masih jauh lagi untuk menggapai sebagai orang yang pakar dalam bidang keilmuan Islam.

Maka di sini saya mulakan dengan beberapa Para ‘Alim ‘Ulama Islam dikalangan Ashab RA (Para Sahabat Nabi SAW) yang mereka ini lebih saya juruskan dalam bidang meriwayatkan tafsir Al-Quran Al-Karim walaupun golongan Para Sahabat RA ini sebenarnya pakar juga di dalam bidang lain seumpama bidang Hadith dan sebagainya. Ini kerana takhassus (pengkhususan) saya di dalam bidang Ilmu Tafsir di kuliyah Al-Azhar As-Syarif ini.

Bukanlah bermakna saya taksub dengan bidang saya sendiri, tetapi ramai sahabat-sahabat saya di Universiti Al-Azhar ini yang menjurus dalam jurusan masing-masing seperti Takhassus Hadith, Aqidah dan Falsafah, Dakwah, Syari’ah, Lughah ‘Arabiyah dan sebagainya.

Maka mereka ini yang lebih berhak untuk menjelaskan dan memperkenalkan Muhaddithin (Ahli bidang ilmu Hadith), Fuqaha (Ahli bidang ilmu Feqh) dan sebagainya.

Dengan ini saya lebih khususkan kepada Para Sahabat yang mereka ini benar-benar masyhur di dalam meriwayatkan tafsir Al-Quran.

Mereka ini saya jelaskan secara umum dan ringkas sebagaimana saya nukilkan di dalam Kitab yang bertajuk At-Tafsir bil Ma’thur Wa Manahij Al-Mufassirin karangan Doktor Muhammad Mus’ad As-Sa’id salah seorang Profesar Tafsir dan Ulumul Quran di Kuliyah Kami; iaitu Kuliyah Usuluddin Wad Da’wah di Al-Mansurah, Mesir.

Sepuluh orang Para Sahabat yang Masyhur di dalam menafsirkan Al-Quran Al-Karim. Mereka adalah Abu Bakr As-Siddiq RA, Umar Al-Khattab RA, Uthman Al-‘Affan RA, Ali RA, Abdullah bin Mas’ud RA, Abdullah bin ‘Abbas RA, Ubai bin Ka’ab RA, Zaid bin thabit RA, Abu Musa Al-‘Assya’ari RA dan Abdullah bin Az-Zubair RA.

Adapun tiga yang awal dikalangan Al-Khulafa’Ar-Rasyidin iaitu Abu Bakr As-Siddiq RA, Umar Al-Khattab RA dan Uthman Al-‘Affan RA adalah yang sangat sedikit riwayat dari mereka di dalam menafsirkan Al-Quran.

Ini adalah disebabkan kesibukkan dengan kepentingan kerja Khilafah, ditambah banyak pembukaan kawasan jajahan Islam, juga banyak menyusun dan mengatur ketenteraan serta yang awal kewafatan mereka.

Ini suatu perkara yang tidak pelik hatta apa yang diriwayatkan oleh Saiyidina Abi Bakr As-Siddiq RA yang sebenar-benar sah tidak lebih daripada sepuluh riwayat Athar (yang dinukilkan Ulama’ Khalaf daripada Ulama’ Salaf). Ini menurut dikalangan Para ‘Alim Ulama’ Tafsir.


Adapun Khalifah Ali RA yang merupakan Khalifah keempat dikalangan Khulafa’ Ar-Rasyidin, maka riwayat daripada beliau dalam menafsirkan Al-Quran cukup banyak. Faktor banyaknya riwayat-riwayat dari beliau sendiri di dalam menafsirkan Al-Quran adalah kerana kelapangan beliau dari kepentingan Khalifah, juga mempunyai tempoh waktu yang panjang dalam memerintah berbanding Para Khulafa’ yang sebelum beliau iaitu Abu Bakr As-Siddiq RA, Umar Al-Khattab RA dan Uthman Al-‘Affan RA.

Beliau (Saiyidina Ali RA) juga adalah seorang yang lewat kewafatannya iaitu pada bulan Ramadhan tahun ke 40H dan ramai masyarakat pada masa itu mengambil sumber fatwa dan penetapan hukum daripada beliau sendiri.

Kemudian disambung dengan Abdullah bin Mas’ud RA, Abdullah bin ‘Abbas RA, dan Ubai bin Ka’ab RA merupakan tiga orang sahabat yang banyak meriwayatkan tafsir Al-Quran. Ini bermakna seramai 4 orang Sahabat RA yang banyak meriwayatkan tafsir Al-Quran termasuk Saiyidina Ali RA.

Dan selebihnya iaitu Zaid bin Thabit RA, Abu Musa Al-‘Assya’ari RA dan Abdullah Ibnu Az-Zubair RA termasuk yang masyhur di dalam menafsirkan Al-Quran, namun sedikit juga riwayat daripada mereka.

[Rujukan: At-Tafsir bil Ma’thur Wa Manahij Al-Mufasirin; m/s 46 bab pada menyatakan Ahli Tafsir dikalangan Sahabat RA; karangan Doktor Muhammad Mus’ad As-Sa’id]


Dikalangan Para Sahabat RA, selain daripada mereka belajar sendiri dengan Nabi SAW; mereka juga ada yang mempunyai Mazhab sendiri. Sebagaimana Mazhab Ibnu 'Abbas dan sebagainya.

Dan Para Sahabat RA juga mereka belajar sesama sendiri di dalam pemahaman masing-masing berkait dengan Al-Quran dan Hadith Rasulullah SAW. Dan mereka tidak lain tidak bukan adalah untuk beramal dengan Al-Qura dan Sunnah Rasulullah SAW untuk mencapai redha Allah SWT.

Ditambah dengan mereka Para Sahabat RA yang menjadi guru kepada Para Tabi'ein RA yang banyak terukir nama-nama mereka seperti Sa'id bin Jabir, Mujahid bin Jabbar, 'Ikrimah, Masruq bin Al-Ajda' dan sebagainya yang mungkin diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk saya memperkenalkan mereka insya Allah bergantung kepada keadaan yang sesuai.

Adalah suatu perkara yang amat penting mengenali Para 'Alim 'Ulama Islam dahulu sebelum memahami dan mempelajari ilmu terlebih dahulu. Ini sebagaimana disebut di dalam suatu Hadith Nabi SAW:

Riwayat Ismail bin Abi 'Uwais mengatakan: Meriwayatkan kepadaku Malik dari Hisyam bin 'Urwah dari bapanya dari Abdullah bin 'Amr bin Al-'Aas yang mengatakan: Aku dengar Rasulallah SAW bersabda:

Bahawasanya Allah SWT tidak mencabut (menghilangkan) Ilmu dengan mencabutnya daripada para Hamba; akan tetapi Dia (Allah) mencabut Ilmu dengan mematikan 'Ulama sehingga tidak adanya seorang 'Alim; (nescaya) orang menjadikan pemimpin-pemimpin yang jahil; maka ditanyakan kepada mereka lalu mereka memberikan fatwa dengan tidak ada Ilmu pengetahuan; maka mereka sesat dan menyesatkan.

[Rujukan: Hadith Sahih Bukhari; m/s 37; bab ke 35 pada menyatakan Allah mencabut Ilmu pengetahuan;Hadith yang ke 100]

Oleh itu, saya mengharapkan manfaat di kalangan pembaca semua supaya terus berminat dengan ilmu dan pendidikan yang amat penting kita garapkan pada pemikiran masyarakat semua. Biarlah kita menjadi masyarakat yang berilmu dan Thaqafah.

Sebagaimana Firman Allah SWT yang brmaksud:

Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang Menciptakan, Dia Telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah yang Maha pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaran kalam[*], Dia mengajar kepada manusia apa yang
tidak diketahuinya.

[Al-'Alaq:1-5]

[*] Maksudnya: Allah mengajar manusia dengan perantaraan tulis baca.


FirmanNya lagi yang bermaksud:

Dan demikian (pula) di antara manusia, binatang-binatang melata dan binatang-binatang ternak ada yang bermacam-macam warnanya (dan jenisnya). Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama[*]. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.

[Al-Fathir:28]

[*] Yang dimaksud dengan ulama dalam ayat ini ialah orang-orang yang mengetahui kebesaran dan kekuasaan Allah.

Dengan keberkatan daripada para 'Ulama di kalangan Salafus Soleh; baik Para Sahabat RA, Para Tabi'ien, Para Tabi' At-Tabi'ien, dan sesiapa sahaja yang menyambung perjuangan mereka ini terus menerus menjadi mata rantai perjuangan demi memartabatkan Islam agama yang Allah SWT redhai.

Akhir sekali, mudah-mudahan dengan berkat perjuangan mereka saya, rakan-rakan yang menghadapi imtihan (peperiksaan) di AL-Azhar ini mencapai kejayaan yang sebaiknya dan mudah-mudahan juga kita senantiasa diberi bimbingan petunjuk oleh Allah SWT dan segala apa yang kita laksanakan diredhai Allah SWT. Wa’allahu a’lam.