Sunday, April 26, 2009

PEJUANG DAN MURABBI CONTOH!!!


Sedikit pengalaman semasa saya diberi peluang oleh Allah SWT dapat pulang bercuti di Malaysia pada tahun 2007 (tidak ingat tarikh yang tepat) dan lebih kurang selama 3 bulan lebih saya dapat menghabiskan masa bercuti di Malaysia.


Bila saya sampai ke kampung halaman sendiri iaitu Kampung Parit Keroma Darat, Muar Johor. Tiada perubahan besar melihat pada rumah saya; hanya pada jalan Datuk Haji Kusai yang dicelah-celahnya terdapat lebuh raya.

Di awal percutian, tidak disangka adik-beradik saya nampak berubah raut wajah. Kecuali Abang Ijal (Faizal bin Hodari) yang sulung daripada mula saya pergi ke Mesir sampai pulang nampak tidak berubah. Termasuk Emak dan Ayah tidak berubah sangat. Cuma melihatkan Emak yang nampak bertambah uban di kepalanya.


Sayup mata memandang sudah lebih kurang 4 tahun tidak balik memang benar-benar saya rasa terkejut dan dilema dengan suasana Malaysia ni. Sebenarnya saya berasa segan-silu bersama keluarga sendiri. Solah-olah macam bukan keluarga sendiri.


Kerap-kali adik-beradik, sanak-saudara, pakcik-pakcik, makcik-makcik, atuk-atuk sering mentertawakan saya, sebab gaya bahasa saya nampak berubah. Termasuklah istilah-istilah bahasa yang kadang-kadang payah untuk memberi faham kepada orang lain. Maklumlah di Mesir banyak istilah-istilah bahasa arab seperti ikhwah, akhawat, ammu, ustaz, ustazah, biah, waqi’, dan sebagainya.


Masuk seminggu lebih saya hanya habiskan masa di kampung sahaja. Rupanya betul kata ustaz-ustaz lama Mesir; tinggal di Malaysia pada seminggu awal sahaja rasa seronok, kemudian tidak tahu apa yang hendak dibuat.

Perasaan bosan timbul bila tiada kerja hendak dibuat, akhirnya dengan izin Allah bertemulah saya dengan Ustaz Zakaria Noor. Memang menjadi rutin setiap minggu mengajar di masjid berdekatan rumah saya.


Kebetulan Ustaz Zakaria ni memang sangat diminati oleh ayah. Ayah sangat-sangat mengajak saya cuba sekali mendengar kuliyah yang disampaikan. Dulu saya memang kurang minat mendengar kuliyah di kampung sendiri.

Ini disebabkan melihatkan ustaz-ustaz yang mengajar lebih tertumpu kepada perkara-perkara sunat. Seperti solat-solat Sunat, cara menyambut Nisfu Syaaban, dan banyak lagi bab-bab yang kadang-kadang masyarakat masih jahil dalam bab perkara wajib seperti Tafsir, Hadith, Aqidah, Ibadat, Muamalat, Munakahat, Hukum Jinayat, Sirah, Tasawuf dan sebagainya yang kurang dianggap penting.


Semasa saya mendengar kuliyah yang diajar oleh Ustaz Zakaria, saya memperlihatkan suatu kelainan cara penyampaian beliau dengan uslub-uslub bahasa yang mudah difahami, ilmu yang luas, dan saya kirakan isi yang beliau sampaikan amat mendalam.


Kebetulan kitab yang beliau ajar adalah berjudul Wasiat-wasiat Iman dan Nasihat-nasihat Agama iaitu versi jawi. Seingat saya beliau mensyarahkan dalam bab pada menyatakan Kelebihan Al-Quran.


Setelah selesai pengajian dan Solat Isyak berjemaah; sebelum sempat saya pulang beliau menyapa saya serta mengajak pergi minum di warung. Kemudian saya dengan rasa senang hati, menerima pelawaan beliau. Sebenarnya saya tidak kenal diri beliau; tetapi seolah-olah seperti ada hubungan rohani yang kuat dalam hati saya dengan beliau.


Ketika di warung beliau nampak ringan hati untuk belanja minum. Seronok rasanya dapat berbual-bual bersama beliau. Diantara perbualan kami beliau menanyakan: “Syaikh, tinggal mana? Anak siapa?” .


Lalu saya menjawab: “Saya tinggal kat kampung ni. Anak kepada Haji Hodari”. Beliau nampak terkejut, lalu menuturkan: “Eh, ana tak pernah nampak sebelum ni pun”. Saya balas:“Saya baru pulang bercuti lama tak balik Ustaz”. Ujar saya.


Sambung beliau: “Enta belajar mana?”. Dengan segan silu saya terus jawab: “Biasa-biasa jer Ustaz”. “Yelah biasa-biasa tu mana Syaikh”. Ujar beliau. Saya tak dapat nak elak, malu juga nak sebut saya belajar Mesir memandangkan diri yang amat kerdil. Akhirnya saya beritahu: “Sebenarnya saya ni belajar kat Mesir”.

Lalu beliau tersenyum yang pada mulanya nampak series pada raut wajah beliau dan terus mengatakan: “Oh, rupanya orang Al-Azhar”. Beliau terus bertanya: “Dulu pernah ikut Usrah?”. Saya hanya mengangguk-anggukkan kepala.


Beliau menambah: “Esok nak ikut saya pergi Usrah kat Sungai Abong?”.Saya kata: “Boleh gak, tapi saya tak tahu tempat”. Takpe nanti saya ambik, tapi kita pergi kuliyah dulu di masjid lain, kebetulan saya kena mengajar Tafsir kat sana”.Ujar beliau.


Ketika beliau sampai ke rumah saya dengan keretanya untuk ke Usrah bersama; pada masa itu waktu malam hujan lebat turun. Semasa saya sedang bersiap, ayah sempat berbual dengan beliau.


Saya masih teringat ayah mengatakan; “Anak saya ni Muhammad Adham sangat-sangat perlukan didikan Ustaz. Kalau dia tak betul, harap Ustaz tegurlah yer.” Lalu beliau mengangguk dan menjawab: “Insya Allah.”


Ayah amat gembira saya dapat rapat dengan Ustaz Zakaria. Ayah pernah kata: “Sebenarnya ayah segan dengan Ustaz Zakaria ni. Tak pernah pun ayah dapat berbual dengan dia secara terus. Tapi senang-senang jer Am (nama gelaran saya yang biasa dipanggil oleh keluarga, sanak-saudara, dan masyarakat kampung) boleh rapat dengan Ustaz Zakaria. Baru ni jer ayah dapat bual macam ni.”


Menjadi titik tolak permulaan inilah saya sering ikut beliau usrah dan saya sedikit sebanyak menjadi pembantu tak rasmi bagi beliau. Bila ada salah seorang bertanyakan gerangan saya. Beliau yang usia dalam lingkungan lebih kurang 40 tahun, sangat senang mengaku saya adalah anak beliau.


Setiap kali usrah dijalankan, saya sering diminta untuk mengulas untuk membuat kesimpulan daripada Usrah yang dijalankan. Dan terkejut saya bila seorang ahli Usrah bertanya kepada saya: “Ustaz sanggup ke hidup dalam perjuangan macam ni. Tak ingin ke pakai kereta mewah, rumah besar, dan hidup senang. Sedangkan Ustaz belajar kat Mesir bukan main susah. Tapi balik berjuang dalam PAS?”


Tidak disangka Ustaz Zakaria terus menjawab: “Ana senang jer hidup macam ni. Ada rumah sendiri. Kereta sendiri. Keluarga sendiri.” Memang saya melihat kehidupan beliau dengan penuh masa. Pagi mengajar sampai ke petang di sekolah. Pulang rumah uruskan keluarga dan sambung di waktu petang mengajar di masjid. Pada waktu malam sambung mengajar dan kerja untuk PAS samada program, Usrah, mesyuarat dan sebagainya.


Kadang-kadang timbul tanda tanya dalam fikiran saya. Hatta sampai saya pernah bertanya beliau: “Masa bila Ustaz rehat? Masa bila Ustaz buat persediaan untuk mengajar?” Beliau jawab: “Ana curi-curi masa juga. Tapi kita berjuang ni masa rehat memang kurang. Kena banyak sabar.”


Sejak mengenali beliau, saya dapati beliau seorang yang tenang, tetapi berpendirian tegas dalam meletakkan Islam di hadapan. Kegigihan beliau setiap hari dan masa yang banyak dikorbankan untuk perjuangan Islam ini sepatutnya dicontohi oleh kita.


Diantara ketegasan beliau, pernah beliau mengajar di kampung saya; beliau mengatakan: “Saya samasekali tak akan pergi ke jemputan majlis kenduri kahwin yang ada muzik nyanyian karaoke”.


Ayah yang merupakan anak murid kepada Ustaz Zakaria; ketika membuat majlis kenduri kahwin abang saya iaitu Abang Apis (Hafiz bin Hodari); ada dikalangan saudara-mara yang mencadangkan supaya diadakan nyanyian karaoke. Ayah dengan hati yang kuat terus menolak, walaupun terpaksa membuatkan hati dikalangan saudara-mara sendiri sakit.


Sehinggakan saya memuji ayah kerana tegas dengan pendirian tersebut. Ayah menjawab: “Sebenarnya ayah malu nanti kalau diadakan muzik karaoke; takut Ustaz Zakaria tak datang majlis ayah. Biar saudara-mara sakit hati dengan ayah, jangan sampai Ustaz Zakaria tak datang majlis ayah. Nasib baik ayah tolak cadangan tu. Nanti ayah malu nak datang kelas Ustaz Zakaria, sedangkan pesan dia ayah tak ikut.”


Bukan maksud saya di sini; hendak membahaskan masalah berkait nyanyian muzik yang manakah dibolehkan oleh Islam? Atau adakah nyanyian karaoke ini haram? Tetapi saya lebih mahu menjuruskan cara Ustaz Zakaria mendidik masyarakat supaya memahami ajaran Islam dan menjiwai Islam dengan sebenar-benarnya.


Saya juga pernah mendengar ungkapan Ustaz Zakaria; bila menyebut tentang firman Allah SWT Surah Huud bagi ayat 113 yang bermaksud:


Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolongpun selain daripada Allah, Kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan.


[Surah Huud:113]

Beliau amat berpegang dengan ayat ini dan menyebut: “Ada setengah Ulama yang menafsirkan maksud cenderung ini; warna baju sama pun tak boleh. Tapi kita ini sebagai sebagai orang yang faham kadang-kadang sanggup menggadai prinsip dengan menghalalkan cara. Sedangkan Islam tidak menghalalkan cara.”


Penjelasan tentang cenderung kepada orang yang zalim maksudnya ialah menggauli mereka serta meredhai perbuatannya. Akan tetapi, jika bergaul dengan mereka tanpa meredhai perbuatannya dengan maksud agar mereka kembali kepada kebenaran atau memelihara diri, Maka dibolehkan.


Malah masyarakat kampung saya sendiri yang kebanyakan berfikiran UMNO sangat menghormati beliau. Dan ramai dikalangannya yang senantiasa mengikut pengajian beliau. Walaupun sudah tahu Ustaz Zakaria ni cop PAS. Dan ayah pernah menyebut: “Ayah sangat tertarik dengan cara penyampaian Ustaz Zakaria mengajar. Kadang-kadang bila melihatkan muka Ustaz Zakaria ni; jadi kasihan pun ada.”


Apa yang menimpa nasib beliau sendiri dengan keadaan isteri yang sakit teruk. Beliau sempat menghadiri program di Markaz PAS kawasan Bakri. Sedangkan beliau juga senantiasa sibuk menjaga isterinya yang sakit tenat.


Ramai juga dikalangan ahli Usrah, anak-anak murid pengajian, sahabat-sahabat sekerja beliau dalam PAS yang sangat simpati dengan beliau kerana mengenangkan ujian yang ditimpa beliau dengan sakitnya isteri. Sedangkan beliau merupakan orang yang penting di dalam PAS kawasan.


Kebetulan saya mendapat peluang mengajar di kampung sendiri, saya cuba bertanyakan beliau bagaimanakah cara yang terbaik dan rahsia untuk mengajar masyarakat. Dengan tenang beliau menjawab: “Syaikh, enta sebelum mengajar selepas daripada melakukan Solat Sunat Ba’diyyah maghrib tu, enta jangan lupa berdoa minta pada Allah SWT supaya diberikan ilmu yang bermanfaat. Kemudian bila enta mengajar nanti Allah akan curahkan ilmu sebanyak-banyaknya, walaupun enta tak sedia manapun.”


Pernah semasa fatrah berhari raya. Saya bersama emak dan ayah menziarahi di rumah beliau. Sungguh tidak disangka, di rumah beliau ada tempat pengasingan tetamu di antara lelaki dan wanita. Sehinggakan tempat wanita pintunya di belakang dan lelaki di hadapan. Saya terkejut sampai tahap begini beliau memahami dan beramal dengan Islam.


Di kala saya ingin kembali ke Mesir dan tidak silap saya sehari sebelum bertolak; saya sempat menemui beliau. Semasa memberitahu perihal pemergian saya, beliau nampak diam dan merenung sejenak. Lalu beliau mengatakan: “Tidak apa enta pergi tu. Lagipun sana lebih banyak manfaat. Boleh tambahkan ilmu lagi”.


Apabila saya sudah berada di Mesir; amat tidak disangka calon daripada ADUN Sungai Abong bagi PAS kawasan Bakri iaitu Doktor Syaikh Ibrahim mendapat kemenangan. Sampaikan saya terbayang dalam fikiran. Markaz PAS kawasan Bakri adalah tempat saya pernah mengikuti Usrah, mesyuarat, program, Solat Tarawikh, dan sebagainya.


Dan inilah salah satu kawasan yang dimenangi oleh PAS dalam negeri Johor Darul Ta’zim. Saya berasa gembira dengan kemenangan yang telah diberikan oleh Allah SWT ini. Tetapi selepas beberapa hari yang amat menyedihkan PAS kawasan Bakri kehilangan seorang pejuang yang banyak menyumbangkan tenaga. Ini saya rasakan memang benar-benar permata yang hilang.


Semasa saya menjawab panggilan telefon secara direct daripada ayah yang memberitahu kematian Ustaz Zakaria. Seingat saya, ayah sambil mengungkapkan dengan nada tangisan: “Ustaz Zakaria sudah tak ada lagi. Dia mati dalam keadaan tidur. Tetapi isterinya mati dahulu setelah selang beberapa hari.”


Saya dalam keadaan makan dan menjadi hilang selera langsung berhenti, lalu saya dengan sendiri tidak dapat menahan air mata saya yang keluar mengalir tidak tahu apa sebabnya. Apa yang pasti Al-Marhum Ustaz Zakaria sempat melihat kemenangan PAS di kawasan tempat beliau sendiri. Dan negeri Johor adalah tempat tanah peluh keringat dan kelahiran beliau sendiri. Ustaz Zakaria (Ketua Urusan Ulama' PAS Kawasan Bakri) telah meninggal dunia pada 23 Mac 2008.


Bagi memastikan kematian beliau; inilah maklumat rasmi yang saya dapat:


Pada pagi Jumaat, 21 Mac 2008, PAS Negeri Johor telah kehilangan seorang tokoh apabila Naib Yang Di Pertua PAS Kawasan Bakri, Saudara Ismail Ibrahim telah kembali ke Rahmatullah. Allahyarham Saudara Ismail telah meninggal dunia di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar akibat serangan jantung. Allahyarham merupakan seorang aktivis yang bergiat dengan PAS sejak sekian lama. Antara jawatan yang pernah disandang oleh beliau adalah Ketua Pemuda PAS Negeri Johor dan Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Johor.


Belum pun hilang luka kehilangan tersebut, PAS Johor menerima satu lagi kejutan apabila Ustaz Zakaria Noor pula dijemput Allah untuk menemuinya. Berita pemergian beliau disambut dengan rasa sangat terkejut oleh semua kerana sehari sebelum itu, Allahyarham bersama-sama dengan sahabat-sahabat lain berada di satu majlis Maulidurrasul. Allahyarham pernah memegang jawatan sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Bakri dan juga EXCO Dewan Pemuda PAS Negeri Johor. Antara yang turut bersama menziarahi Jenazah termasuk ADUN Sungai Abong, Dr Syeikh Ibrahim dan ADUN Maharani, Dr Mohamad Taslim.


Pemergian 2 tokoh besar dalam PAS Negeri Johor ini pasti sangat di rasai kesannya bukan hanya bagi kawasan Bakri tetapi juga PAS Negeri Johor secara keseluruhannya. Semoga Allah menempatkan mereka dikalangan para Syuhada di sisiNya.


Al Fatihah kepada Saudara Ismail Ibrahim dan Ustaz Zakaria Noor. Kedua-duanya merupakan tonggak utama yang telah bekerja keras membantu kemenangan PAS di DUN Bakri baru-baru ini. Waallahu’alam.

Thursday, April 16, 2009

UKHUWWAH ITU ADALAH DISEBABKAN NIKMAT ALLAH SWT



Firman Allah SWT yang bermaksud:


Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, Maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu Karena nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu Telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.


[Ali-‘Imraan:103]


Ada yang menyebut tali Allah itu adalah Al-Quran. Sebagaimana Ibnu Abi Syaibah dan dan Ibnu Jarir yang meriwayatkan dari Abi Said Al-Khudri mengatakan: Rasulullah SAW bersabda:


Kitab Allah adalah tali Allah yang dibentangkan daripada langit ke muka bumi.


[Sahih: Tafsir At-Thobari, jilid 4, m/s 31; Sohihul Jami’, No: 4473]


Begitu juga keterangan menurut Ibnu Abi Syaibah yang meriwayatkan dari Abi Syuraih Al-Khaza’ie mengatakan: Rasulullah SAW bersabda:


Bahawasanya Al-Quran ini menjadi suatu sebab yang di tepinya adalah genggaman Allah dan di tepinya (lagi) adalah genggaman-genggaman kamu, maka berpeganglah kamu dengannya nescaya bahawasanya kamu sekali-kali tidak akan sesat selama-lamanya.


[Sahih: Musannaf Ibnu Abi Syaibah, jilid 6, m/s 125; dan Sahih At-Targhib Wat-Tarhib, No: 38]


Adapun ada riwayat yang lain yang telah meriwayatkan Ibnu Abi Hatim dari Sammak bin Al-Walid Al-Hanafi: Bahawasanya beliau bertemu Ibnu Abbas: Lalu menanyakan:


Apakah engkau menegur pemerintah-pemerintah terhadap kami yang mereka menzalimi kami, dan memaki kami, serta melampaui batas terhadap kami pada zakat-zakat kami; tidakkah kami menyekat mereka?.......


(Beliau) menjawab: Jangan, jadikanlah oleh engkau terhadap mereka sebagai (hidup) berjemaah lagi berjemaah; hanyasanya tidak lain umat-umat terdahulu telah binasa disebabkan pecah-belahnya (mereka). Adapun aku telah mendengar firman Allah SWT yang bermaksud: [Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai ]


[Sahih: Ibnu Abi Hatim, jilid 3, m/s 723; As-Sohihah, No: 204]


Ditambah lagi oleh riwayat Imam Muslim dan Al-Baihaqi yang telah meriwayatkan dari Abi Hurairah bahawa Rasulallah SAW Telah bersabda:


Bahawasanya Allah meredhai bagi kamu 3 perkara dan memurkai bagi kamu 3 perkara: (iaitu) meredhai bagi kamu supaya kamu menyembahNya dan janganlah kamu mensyirikkanNya (menyekutukanNya) sedikitpun; dan supaya kamu berpegang semuanya dengan tali (agama) Allah serta janganlah kamu bercerai-berai; dan supaya kamu saling nasihat-menasihati orang yang Allah melantik pemimpin di kalangan kamu……..


Dan Allah memurkai bagi kamu: (iaitu) berborak; dan banyak soal; serta meluputkan (membuang) harta.


[Sahih: Muslim: Kitab Al-Aqdhiyah, No: 1715]


Imam Ahmad dan Imam Abu Daud telah meriwayatkan dari Mu’awiyah bin Abi Sufyan: Bahawa Rasulallah SAW telah bersabda:


Bahawasanya 2 Ahli Kitab mereka berpecah-belah pada agama mereka atas 72 pegangan; dan bahawasanya umat ini bakal berpecah atas 73 pegangan; yakni jatuh tiap-tiap(semuanya) di dalam api neraka kecuali satu (sahaja) dan adalah Al-Jamaah.


[Hasan: Musnad Ahmad, jilid 4, m/s 102; Sahih At-Targhib Wat-Tarhib, No: 51]


Allah SWT menerangkan dalam ayat ini bahawasanya masyarakat arab yang sangat dekat sebelum ini (ketika Jahiliyyah) dengan menjadikan hamba sebahagian mereka kepada sebahagian yang lain. Lalu Allah SWT mengurniakan kepada dengan menyatukan di antara hati-hati mereka dan menghimpunkan mereka di bawah pandangan Tauhid.


Tidaklah patut mereka melupakan permusuhan-permusuhan mereka yang dahulu; walhal Allah SWT telah mengeringkan darah-darah mereka semasa Jahiliyyah. Jikalau tidak kerana nikmat yang dapat menyelamatkan daripada jalan yang membawa akibatnya yang buruk yang telah Allah kurniakan ini, nescaya mereka akan terus menjadi sedemikian rupa.


Penjelasan firman Allah ini menjadi betapa peri pentingnya supaya umat Islam menelitinya kembali. Dan adalah merupakan suatu rahsia kekuatan orang-orang Islam yang bukan dilihat pada ramai bilangan, kemewahan harta kekayaan; walhal atas dasar asas Aqidah dan Keimanan yang tersembunyi pada kesatuan mereka. Dan ini menjadikan pihak musuh tidak dapat meniru gaya yang tersendiri yang ada pada Umat Islam.


Sebenarnya pihak musuh Islam langsung tidak merasa bimbang, apabila umat Islam lebih memandang kepada gaya pemikiran barat yang amat jauh tersasar dari gaya pemikiran atau cara hidup Islam. Apatah lagi dengan cara semangat kebangsaan daripada pemikiran nasinalisme yang tidak menjamin apa-apa penyelesaian dalam umat Islam menghadapi komplot prejudis yang menimpa sebahagian umat Islam yang lain.


Bahkan sebenarnya pihak musuh Islamlah yang mencipta pemimpin-pemimpin nasionalis ini. Dan pemikiran ini sendiri yang lebih melihat kepada ramainya bilangan umat Islam yang diketuai atau dikepalai oleh pemimpin-pemimpin nasionalis ini yang akhir mmbawa kepada kancah pertentangan sesama sendiri oleh di kalangan pemimpin-pemimpin ini yang masing-masing memperjuangkan semangat kebangsaan.


Sewajarnya pemimpin-pemimpin yang lebih mementingkan Aqidah dan Keimanan. Dan yang lebih membawa umat Islam ke landasan yang betul serta menunjukkan jalan serta membimbing ke arah hukum agama Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud:


Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum agama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.


[As-Sajdah: 24]


Menurut As-Syaikh Muhammad Al-Ghazali:


Bahawasanya kelemahan ikatan Ukhuwwah Islamiyyah adalah ancaman buruk. Walhal adalah merupakan suatu jalan (ruangan) atau wasilah kepada masuk campurnya orang-orang bukan Islam, nescaya mereka (pihak musuh) mengambil hasilnya (peluang) agar mengisi atau memenuhi undang-undang rekaan mereka untuk maslahah (kebaikan) mereka. Walhal Islam menjadi rugi pada permulaan dan penghabisannya.


[Nahwu Tafsir Maudhu’ie Li Suaril Quran]


Ya Allah Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihiMu,

bertemu untuk mematuhi (perintahMu),

bersatu memikul beban dakwahMu,

hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariatMu,

maka eratkanlah Ya Allah akan ikatannya.

Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini akan jalanNya (yang sebenar).

Penuhkanlah (piala) hati ini dengan cahaya RabbaniMu yang tidak kunjung malap.

Lapangkan hati-hati ini dengan limpahan Iman atau keyakinan dan keindahan tawakkal kepadaMu.

Hidup suburkan hati-hati ini dengan ma’rifat (pengetahuan sebenar) tentangMu…

(Jika Engkau mentaqdirkan mati) maka matikanlah pemilik hati-hati ini sebagai para syuhada’ dalam perjuangan agamaMu.

Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong.

Ya Allah perkenankanlah permintaan ini.

Saturday, April 11, 2009

PERSAUDARAAN (UKHUWWAH)



Mengatakan Syaikh Abd Nasir Ulwan: Al-Ukhuwwah adalah ikatan jiwa yang mewarisi perasaan yang mendalam dengan kelembutan, mahabbah, dan penghormatan; setiap orang saling mengikatnya dan ia adalah merupakan daripada ikatan-ikatan aqidah Islam, dan pertalian pada keimanan dan ketaqwaan.


Maka ini adalah merupakan perasaan ukhuwwah yang sebenar, lahir pada jiwa seorang muslim yang benar-benar cerdik di dalam menjadikan sikap-sikap positif daripada saling tolong-menolong atau bantu-membantu, cinta kepada yang lain (utamakan orang lain daripada diri sendiri), kasih-sayang serta salaing maaf-memaafkan di antara satu sama lain.


Dan menjadikan sikap-sikap yang sihat yang jauh daripada tiap-tiap yang boleh membawa mudharat kepada manusia pada diri sendiri , harta-benda, belaian-belaian dengan segala kemuliaan mereka.


Demi sesungguhnya Islam menggalakkan atas ukhuwwah ini pada Allah SWT. Dan di antara ketetapan-ketetapan dan kelaziman-kelaziman pada kebanyakan daripada ayat-ayat Al-Quran dan Hadith-hadith Nabi.


[Tarbiyah Al-Aulad fil Islam, jilid:1,m/s:357]


Persaudaraan (Ukhuwwah) yang Umum: Allah SWT menciptakan manusia semuanya daripada asal yang satu kemudian berbangsa-bangsa, bercerai-berai, berbilang-bilang lisan-lisan dan tujuan-tujuan mereka.


Firman Allah SWT yang bermaksud:


Hai manusia, Sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal.


[Al-Hujuraat; 13]


Maka asas hubungan di antara manusia ini. Bahawasanya tertegak di atas saling berkenal-kenalan dengan tidak berbalah-balahan. Di atas saling bersepakat dengan tidak bermusuh-musuhan. Di atas saling bantu-membantu dengan tidak lawan-melawan.


Ini disebabkan semuanya atas dasar ciptaan asal yang satu. Dan merasa kehidupan pada naungan ketuhanan dengan Tuhan yang satu. Jadi mengapakah manusia saling berbalah-balahan dan bermusuh-musuhan? Mengapakah manusia saling berbunuh-bunuhan dan berlawan-lawanan?


Dan tidak mungkin manusia hidup pada satu hakikat yang asal. Kerana mereka inginkan hidup yang paling utama pada satu hakikat ketuhanan, lalu mereka kenal apa itu erti ketaqwaan yang merupakan asas yang paling utama di kalangan diri manusia itu sendiri. Bukanlah melihat pada jenis tubuh badan, rupa paras, rupa bentuk, warna kulit atau pada lisan percakapan mereka sendiri. Tapi seluruhnya daripada asal yang satu. Namun begitu, persaudaraan atas dasar keimanan itu adalah dasar yang khusus (terutama) dan tertentu kepada semua yang beragama Islam.


Persaudaraan Atas Dasar Keimanan


Adalah merupakan ikatan yang lebih kukuh daripada demikian itu ialah di antara diri manusia pada sifat insaniyyah yang umum. Dan dengan itu manusia diberi fitrah dengan mencintai terhadap yang setara, serupa dan sebanding. Dan tidak ada sesuatupun yang menjadikan diri manusia itu terikat hatinya dengan manusia yang lain kecuali diri manusia itu terikat dengan aqidah, kefahaman, kesedaran dan menunaikan Ad-Din (cara hidup) Islam yang sempurna pada hatinya.


Firman Allah SWT yang bermaksud:


Orang-orang beriman itu Sesungguhnya bersaudara. sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.


[Al-Hujuraat: 10]


Imam Al-Qurthubi mengatakan: Di dalam firman Allah SWT yang bermaksud: {Orang-orang beriman itu Sesungguhnya bersaudara} Maksudnya pada agama dan kehormatan adalah tidak ada pada nasab keturunan. Dan bagi ini dikatakan: Ukhuwwah keagamaan lebih tetap daripada ukhuwwah nasab keturunan. Maka nasab keturunan terputus dengan perbezaan pada agama, adapun ukhuwwah keagamaan tidak akan terputus dengan perbezaan nasab keturunan.


Maka ini adalah satu ikatan atau perjanjian yang mengikat orang-orang yang beriman. Hanya sesungguhnya pertalian aqidah dan keimanan yang terkandung di bawahnya para pengikutnya.


Maka aqidah itu adalah satu-satunya aqidah yang menjamin benar-benar terikat di antara para pengikutnya dengan ikatan ukhuwwah yang bukanlah ukhuwwah palsu lagi dusta bahkan ukhuwwah kecintaan iaitu ukhuwwah dengan Al-Ithar (melebihkan orang lain daripada diri sendiri).


Ukhuwwah pada aqidah dan keimanan adalah merupakan sekuat-kuat daripada ikatan nasab keturunan. Kerana ikatan aqidah tidak boleh hilang dengan hilangnya nasab keturunan. Akan tetapi ikatan nasab keturunan boleh hilang dengan hilangnya aqidah.


Dan menjadi suatu sejarah aqidah ini agar dapat disaksikan bahawasanya bilakah lagi ia menjadi ketetapan pada hati-hati manusia. Betapa Para sahabat RA melakukan dengan sekuat-kuat daripada ikatan nasab keturunan.

Dan sesungguhnya seperti apa yang berlaku di peperangan Badar. Di antaranya:


1- Umar bin Al-Khattab RA membunuh bapa saudara sebelah ibunya sendiri iaitu Al-‘As bin Hisyam bin Al-Mughirah pada hari itu.


2- Dan setelah selesai peperangan . Telah melalui Mus’ab bin ‘Amiir Al-‘Abdari dengan saudaranya Abi ‘Aziz bin ‘Amiir yang telah teluka pada peperangan melawan orang-orang Islam. Telah melalui olehnya dengannya dan salah seorang Al-Ansaar yang sangat-sangat (sakit) tangannya. Lalu mengatakan Mus’ab terhadap orang Al-Ansaar itu: Sangat-sangat (sakit) kedua-dua tangan engkau dengannya. Maka jika di hadapannya suatu kesenangan, (nescaya) mudah-mudahan dapat menebusnya (kesenangan itu) daripada (diri) engkau. Lalu Abu ‘Aziz mengatakan terhadap saudaranya Mus’ab: Apakah ini wasiat engakau denganku? Lalu Mus’ab menjawab: Bahawasanya mana-mana orang Al-Ansaar (adalah) saudaraku bukannya engkau!!!


[Rujuk: Ar-Rahiqul Makhtum bagi Safiur-Rahman Al-Mubarakfuri]


Sesungguhnya datang suatu sunnah yang mulia agar mempastikan pengertian ini dan menjelaskan bahawasanya orang Islam itu mempunyai pakaian jasad yang satu dan anggota badan yang satu. Maka apabila sakit salah satu anggota tubuhnya, (nescaya ) sakit anggota badan yang lainnya.


Sabda Nabi SAW yang bermaksud:


Perumpamaan orang-orang yang beriman adalah pada saling rindu-merindui, belas kasihan, dan kasih-mengasihi di antara mereka seperti perumpamaan satu jasad apabila mengadu (sakit) satu anggota dikalangannya, (nescaya) saling terasa (sakit) padanya semua anggota yang lain dengan keadaan berjaga (tidak tidur malam) dan menjaga (memelihara di antara satu sama lain)


[Riwayat Al-Bukhari dan Muslim dari An-Nu’man bin Basyir]


Dan sabdanya lagi yang bermaksud:


Orang yang beriman bagi orang yang beriman itu seprti bangunan yang menguatkan sebahagian pada sebahagian yang lain.


[Riwayat Al-Bukhari daripada hadith Abi Musa Al-Asya’ari

(Kitab Al-Adab pada bab pada menyatakan: Saling bantu-membantu sebahagian pada sebahagian yang lain)]


Oleh itu, kita perlulah senantiasa menjaga hubungan persaudaraan sesama Islam atas dasar cinta kerana Allah SWT. Bukan atas dasar yang lain. Waa'Allahu'alam.