Friday, November 7, 2008

TAFAQQUH MENURUT KACA MATA ISLAM





Firman Allah yang bermaksud:

[Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).]{At-Taubah:122}

Muslimin & Muslimat sekalian.

Alhamdulillah ketika saya mendengar ceramah yang disampaikan oleh Al-Fadhil Tuan Guru Nik Abd Aziz bin Nik Mat; tertarik di hati ini apabila beliau mengulas berkenaan di antara Ceramah Politik dan Khutbah Jumaat. Begitu juga beliau mengulas berkenaan Ustaz dan Cikgu. Harap para pembaca dapat menonton ceramah beliau dengan melayari www.kelantan.tv. Sekian dimaklumkan.

Adalah menjadi satu penjelasan atau kupasan daripada beliau Al-Fadhil Tuan Guru sendiri; bahawa jangan sekali-kali kita pisahkan Islam dengan politik di dalam kehidupan. Sebab politik itu sebahagian daripada Islam. Tetapi perkara yang ditegakkan oleh beberapa tokoh Para Ulama' Islam dan pejuang-pejuang gerakan Islam yang senantiasa meletakkan Islam ini Syumul di hati masyarakat kian luntur dengan sikap para cerdik pandai Islam sendiri yang tidak bersama-sama gerakan Islam; malah lebih teruk lagi para cerdik pandai ini sendiri yang sama-sama bersama musuh Islam untuk menyerang gerakan Islam.

Apa yang menjadi kehairanan saya menghadapi rakan-rakan Azhariyyun di sini; berlaku dikalangan agamawan sendiri ada yang sanggup membeza-bezakan diantara 'puak persatuan' dan 'puak mengaji'. Seolah-olah golongan yang digelar 'puak persatuan' tidak belajar (mengaji kitab) dan 'puak mengaji' pula tidak berpersatuan. Akibatnya, timbul banyak kritikan yang terbina, diantaranya "kita ini kuat berprogram, tetapi kurang bertafaqquh".

Di sini saya berharap jangan kita ini jadi golongan yang taasub sahaja dengan kerja persatuan tanpa belajar dan mengkaji ilmu Islam. Sebab belajar dan mengkaji ilmu Islam boleh membawa gerak kerja berpersatuan dengan lebih terarah. Golongan yang kuat bertalaqqi ini juga perlu mencorakkan pemikiran yang ada dengan terlibat dengan gerak kerja persatuan supaya ilmu dapat dipraktikkan terus.

Walhal, Tafaqquh itu Program dan Program itu Tafaqquh. Ibarat Al-Fadhil Tuan Guru tegaskan bahawa; "ceramah politik itu agama, khutbah itu ceramah politik, dan kedua-duanya itu agama suruh". Ujar Al-Fadhil Tuan Guru. Menjadi kelaziman satu aplikasi yang dibuat sebagai mekanisme orang berpersatuan meletakkan program seumpama diskusi, pembentangan kertas kerja, ceramah, talk show, forum, kesenian, sukan dan sebagainya itu mempunyai tujuan tertentu. Tetapi bentuk yang kedua selalu kita salah anggap dengan menggelar sebagai kelas Tafaqquh iaitu Daurah, kelas pengajian, Talaqqi bersanad mahupun tidak bersanad bahkan sebenarnya ia merupakan program. Menjadi kepastian bahawa kedua-dua ini program dan kedua-dua ini juga Tafaqquh.

Muslimin & Muslimat sekalian.

Meskipun Tafaqquh salah satu mekanisme untuk kita menambah ilmu pengetahuan. Tetapi adakah program yang tersedia ada itu bukan satu mekanisme untuk proses penambahan ilmu? Bagaimanakah Rasulullah SAW selaku Nabi kita yang mengajarkan para sahabat RA ajaran Islam itu dengan hanya Tafaqquh yang kita faham?

Sebagaimana Abul Abbas Ahmad bin MUhammad Basyruk RA (wafat di Baghdad 298H) menyebut: "Cukuplah takut kepada Allah merupakan ilmu pengetahuan, dan cukuplah tertipu (dan lalai) pada jalan Allah merupakan kejahilan)".

Walhal Nabi Muhammad SAW sendiri mentafaqquhkan Para Sahabat dalam banyak keadaan termasuk ketika perang, bermuamalat dan sebagainya. Inilah contoh terbaik yang perlu kita ambil sebagai para pendakwah. Biar kita rasa betapa pahit getirnya para pendokong Islam dari zaman Nabi SAW bersama Para Sahabat RA sehingga zaman mutakhir ini. Kalau dakwah hanya sampai di
masjid-masjid, surau-surau, pondok-pondok sahaja; maka bilakah Islam akan tersebar luas? Cuba para pembaca sekalian melihat di kelab-kelab malam, persisiran lorong-lorong, pantai-pantai dan sebagainya. Memerlukan cara bagaimana utk kita mentafaqquhkan golongan pinggiran muda-mudi yang jauh tersesat dengan kemaksiatan yang semakin parah ini.

Muslimin & Muslimat sekalian.

Sekiranya beginilah kita faham Islam itu hanya beberapa aspek yang jumud, walhal ianya mempunyai pelbagai aspek yang menyeluruh; maka sedikit sebanyak pengorbanan penjajah yang meninggalkan pemikiran mereka dengan memisahkan Islam dan kehidupan duniawi ini. Hatta pelajar agamawan sendiri yang terdiri di perlembahan Nil ini pun sedikit sebanyak terikut-ikut dengan rentak perangai penjajah yang menjahiliyyahkan pemikiran kita. Lebih-lebih lagi lagi jahiliyyah ini berbentuk ke arah kemodenan.

Oleh kerana itu, saya mengajak dan menyeru supaya golongan agamawan perlu belajar, mengkaji, menyelidiki, dan senantiasa memberikan apakah sumbangan kita untuk Islam. Jadilah penolong dan pendokong agama Allah, bukanlah atas pagar dan lebih malang lagi menjadi musuh kepada agama Allah. Na'uzubillahi min dzalik. Waallahu'alam.