Friday, August 28, 2009

RASA BERHARGA DAPAT BERSAMA DENGAN USTAZ NAZRUL.



Salam Ramadhan kepada semua.

Firman Allah SWT:

مَّا يَوَدُّ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِنۡ أَهۡلِ ٱلۡكِتَـٰبِ وَلَا ٱلۡمُشۡرِكِينَ أَن يُنَزَّلَ عَلَيۡڪُم مِّنۡ خَيۡرٍ۬ مِّن رَّبِّڪُمۡ‌ۗ وَٱللَّهُ يَخۡتَصُّ بِرَحۡمَتِهِۦ مَن يَشَآءُ‌ۚ وَٱللَّهُ ذُو ٱلۡفَضۡلِ ٱلۡعَظِيمِ

Orang-orang kafir dari Ahli kitab dan juga dari orang-orang musyrik, tidak suka kiranya diturunkan kepada kamu sedikit dari kebaikan (atau wahyu) dari Tuhan kamu. Padahal Allah berhak menentukan rahmatNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah (jualah Yang) mempunyai limpah kurnia yang amat besar.

[Al-Baqarah:105]

Terharu saya dengan ilmu yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Mohd Nazrul Abd Nasir. Tidak disangka beliau sanggup menerima rumah sewa kami yang tidak seberapa untuk beliau menginap. Bagi kami ahli DPMM dan beberapa ahli PCM yang mengikut Daurah Kitab Syamail Muhammadiyyah pada 1 sehingga 2 Ramadhan adalah merupakan satu kurniaan daripada Allah SWT kepada kami semua dengan kehadiran orang seperti Ustaz Nazrul ini.

Malah, apa yang menjadi satu keistimewaan khusus buat kami Ahli Bait dapat bermujalasah bersama beliau walaupun dalam 2 hari satu malam lebih kurang. Hatta saya sebenarnya kurang kenal dengan diri beliau sebelum ini. Lebih-lebih lagi dengan pengetahuan ilmu yang ada pada diri beliau amat saya kagumi.

Bagaimana Allah SWT menjadikan seorang hamba yang benar-benar dirinya cenderung dengan ilmu Islam, malah dekat dengan ramai alim Ulamak? Ini merupakan salah satu rahmat Allah SWT yang cukup berharga.

Tidak disangka beliau juga sebenarnya orang yang sangat senang didekati. Malah saya dapat berbual secara tidak langsung dengan diri beliau. Kami dapat bertukar banyak pendapat. Dan apa yang paling menarik dihati saya adalah fikrahnya cukup jelas. Inilah satu contoh sebagaimana Rasulullah SAW terhadap umat Baginda SAW.

Sebagaimana firman Allah SWT:

لَقَدۡ جَآءَڪُمۡ رَسُولٌ۬ مِّنۡ أَنفُسِڪُمۡ عَزِيزٌ عَلَيۡهِ مَا عَنِتُّمۡ حَرِيصٌ عَلَيۡڪُم بِٱلۡمُؤۡمِنِينَ رَءُوفٌ۬ رَّحِيمٌ۬

Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w) yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu dan dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.

[At-Taubah:128]

Firman Allah SWT:

مِّنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ رِجَالٌ۬ صَدَقُواْ مَا عَـٰهَدُواْ ٱللَّهَ عَلَيۡهِ‌ۖ فَمِنۡهُم مَّن قَضَىٰ نَحۡبَهُ ۥ وَمِنۡہُم مَّن يَنتَظِرُ‌ۖ وَمَا بَدَّلُواْ تَبۡدِيلاً۬

Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.

[Al-Ahzab: 23]

Oleh itu saya benar-benar berharap kepada Allah SWT, mudah-mudahan Allah SWT menghadirkan lagi kepada saya beberapa ramai Rijal sepertinya untuk saya temui. Supaya kami sama membela agama Allah SWT ini. Wallahu'alam.


Thursday, August 27, 2009

KERJA GILA SANGAT MUDAH MENGHUKUM ULAMAK

Saya pelik pada blog http://www.pasvspas.blogspot.com/ sekarang ini. Betul apa yang Ustaz Nazrul beritahu dalam daurahnya 2 hari berturut-turut di dalam awal bulan Ramadhan. Beliau menyebut: "Kalau kita layan orang bodoh, kita pun jadi bodoh macam dia."-ujar beliau.

Banyak saya perbualkan dan bertukar-tukar pandangan dengan Ustaz Nazrul, kebetulan beliau menginap 2 hari semalam di rumah saya. Lagi-lagi berkait masalah HISBAH, masalah persatuan dan macam-macam lagi. Dan diantaranya masalah blog gila ini.

Bila saya fikir semula, sambil-sambil menjenguk blog ini, di samping Ustaz Nazrul juga antara yang kerap menjenguk blog ini. Saya rasakan ada juga dikalangan kita yang terkesan dengan masalah blog ini. Kaedah yang dilakukan oleh pemilik blog ini adalah menjelaskan beberapa potongan ucapan 2 orang Tok Guru ini, kemudian menjela-jelakan masalah dan datangkan hujjah daripada beberapa Dalil, Ijma' dan Qias ulamak.

Contohnya kaitkan 2 orang Tok Guru ini dengan fahaman Wahabiyah, kemudian hujum Wahabi ini adalah sesat. Sebagaimana apa yang tuan punya blog ini sebut:

kita bermusuh dengan Wahhabi,
kerana Wahhabi memusuhi kita secara berselimut;

kita bermusuh dengan Wahhabi,
kerana Wahhabi mengkafirkan kita bulat-bulat;

kita bermusuh dengan Wahhabi,
kerana Wahhabi kata kita ahli bid`ah lagi sesat;

kita bermusuh dengan Wahhabi,
kerana Wahhabi kata kita khurafat;

kita bermusuh dengan Wahhabi,
kerana Wahhabi menyembelih umat Islam di merata tempat;

kita bermusuh dengan Wahhabi,
kerana Wahhabi kata kita tak ikut Qur`an dan Sunnah secara Salaf yang tepat;

kita bermusuh dengan Wahhabi,
kerana Wahhabi halalkan darah kita atas alasan beraqidah Allah tanpa bertempat;

kita bermusuh dengan Wahhabi,
kerana Wahhabi menghina dan mengherdik ulama-ulama kita ikut dia punya otak khianat;

kita bermusuh dengan Wahhabi,
kerana Wahhabi tak biarkan kita beramal dengan aman sebagaimana Ulama' silam beribadat;

kita bermusuh dengan Wahhabi,
kerana Wahhabi berakidah yahudi bukan Islam yang hakiki dari langit;

WAHAI WAHHABI, LANA DINUNA WA LAKUM DINUKUM .

Macam di dalam kaedah ilmu Mantiq cara penjelasan dengan Kaedah Qias: Contoh di dalam bab minum arak.

Minum Arak adalah memabukkan,
setiap yang memabukkan itu haram,
maka meminum arak itu haram.

Apapun saya cuba menukilkan beberapa pandangan atau Fatwa daripada Syaikh Yusuf Al-Qardhawi. Moga selepas ini, si tuan punya blog ini insaf, bertaubat dan betulkan kenyataan semula, lebih-lebih lagi di dalam menghukum seseorang dengan mudah.

SIAPAKAH YANG LAYAK DISEBUT KAFIR?
Dr. Yusuf Al-Qardhawi

Pertanyaan:

Siapakah sebenarnya yang layak dihukumi (disebut) kafir?

Jawab:

Yang layak disebut kafir ialah orang yang dengan
terang-terangan tanpa malu menentang dan memusuhi agama
Islam, menganggap dirinya kafir dan bangga akan perbuatannya
yang terkutuk.

Bukan orang-orang Islam yang tetap mengakui agamanya secara
lahir, walaupun dalamnya buruk dan imannya lemah, tidak
konsisten antara perbuatan dan ucapannya. Orang itu dalam
Islam dinamakan "munafik" hukumnya.

Di dunia dia tetap dinamakan (termasuk) orang Islam, tetapi
di akhirat tempatnya di neraka pada tingkat yang terbawah.
Di bawah ini kami kemukakan golongan (orang-orang) yang
layak disebut kafir tanpa diragukan lagi, yaitu:

1. Golongan Komunis atau Atheis, yang percaya pada suatu
falsafah dan undang-undang, yang bertentangan dengan syariat
dan hukum-hukum Islam. Mereka itu musuh agama, terutama
agama Islam. Mereka beranggapan bahwa agama adalah candu
bagi masyarakat.

2. Orang-orang atau golongan dari paham yang menamakan
dirinya sekular, yang menolak secara terang-terangan pada
agama Allah dan memerangi siapa saja yang berdakwah dan
mengajak masyarakat untuk kembali pada syariat dan hukum
Allah.

3. Orang-orang dari aliran kebatinan, misalnya golongan
Duruz, Nasyiriah, Ismailiah dan lain-lainnya. Kebanyakan
dari mereka itu berada di Suriah dan sekitarnya.
Al-Imam Ghazali pernah berkata:

"Pada lahirnya mereka itu bersifat menolak dan batinnya
kufur."

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah juga berkata:

"Mereka lebih kafir daripada orang-orang Yahudi dan Nasrani.
Karena sebagian besar mereka ingkar pada landasan Islam."
Seperti halnya mereka yang baru muncul di masa itu, yaitu
yang bernama Bahaiah, agama baru yang berdiri sendiri.

Begitu juga golongan yang mendekatinya, yaitu Al-Qadiyaniah,
yang beranggapan bahwa pemimpinnya adalah Nabi setelah Nabi
Muhammad saw.

[FATAWA QARDHAWI, Permasalahan, Pemecahan dan Hikmah Dr. Yusuf Al-Qardhawi]

TIADA KEAHLIAN PUNCA MENGKAFIRKAN ORANG ISLAM.

Oleh: SYEIKH YUSUF AL-QARADAWI.

PERKATAAN kafir adalah satu perkataan yang amat berbahaya, yang wajib ke atas semua muslim berhati-hati dan berfikir sejenak sebelum mengucapkannya - walaupun dia berhak atau layak melafazkannya ke atas orang lain - memandangkan bahaya yang dibawa oleh perkataan itu kepada orang yang berkata dan orang yang dikata, di dunia dan di akhirat.

Malah saya ingin tegaskan di sini bahawa hukum mengkafirkan seseorang manusia adalah satu jatuhan hukum yang benar-benar berbahaya.

[FATAWA QARDHAWI, Permasalahan, Pemecahan dan Hikmah Dr. Yusuf Al-Qardhawi]

Empunya blog ini tidak baca masalah di dalam bab usul mazahib agaknya. Ataupun mungkin saya syorkan cuba baca kitab Tarikh Al-Mazahib Al-Islamiyyah karangan Al-Imam Muhammad abu Zuhrah. Saya malas hendak bahaskan masalah ini sangat. Itu yang syorkan biar baca sendiri sahaja. Sebab blog saya ini bkan mahu melayan kerenah orang gila ini. Tetapi untuk beri kesedaran orang supaya kita kembali kepada Allah SWT.

Lagi satu, kita belajar ilmu Aqidah ini memang untuk berdebat dengan orang agaknya. Setahu saya belajar ilmu aqidah ini untuk kita kenal siapa Pencipta kita? Supaya kita makin dekat dengan Pencipta kita. Jadi biar rasa takut, lantas memberikan ubudiyyah kepadaNya dengan sehabis baik.

Lebih teruk saya lihat bukan sahaja 2 orang Tok Guru sahaja, malah Saiyid Qutb dan Syaikh Islam Ibnu Taimiyyah pun kena sekali. Sedangkan dalam masalah furu', memanglah biasanya Ulamak khilaf. Tetapi dalam masalah Usuliyah (perkara dasar di dalam Islam), para Ulama kita sepakat di dalam hal ini.

Masalah Ijma' Ulamak ataupun sepakat jumhur Ulamak termasuk Arba'a Mazahib; Al-Malikiyah, Al-Hanabilah, Al-Hanafiyah dan Mazhabuna As-Safi'eyyah; Begitu juga pandangan Ulamak tertentu seperti Syaikh Islam Ibnu Taimiyyah di dalam perkara dasar ini tetap sama. Cuma kadang-kadang apa yang menjadikan kepayahan buat kita adalah penggunaan istilah Ulamak yang diguna-pakai untuk kita ketahui. Sebab itu kita belajar kena berguru, dan memerlukan guru-guru yang mursyid dalam ilmu Islam. Tidak boleh pakai baca sendiri sahaja.

Berkait dengan 2 Tok Guru ini saya biasa dengar kuliyah keduanya setiap minggu di dalam rakaman internet. Di samping kuliyah-kuliyah semasa kedua-duanya masih muda lagi. Tidak sedikit pun menunjukkan mereka berdua ini berfahaman Al-Wahabiyah. Hatta saya pernah dengar Tok Guru Nik Aziz sebut dahulu; "Sunan Sittah ini asas bagi hambo, jangan sombong nak bincang dengan hambo pasal ilmu hadith."-ujar beliau seingat saya beliau menyebut begini.

Dan Tok Guru Haji Hadi Awang biasa menyebut; "Di dalam Mazhab kita As-Syafi'eyyah ............ (sekian-sekian). Ketika beliau membahaskan beberapa pandangan Ulamak Mazahib.

Cuma kadang-kala beliau mengambil beberapa pandangan Ulamak, termasuk Ulamak di kalangan fahaman Wahabiyah seperti Syaikh Muhammad bin Baz. Ini menunjukkan keterbukaan Ulamak Haraki ini di dalam menyatakan beberapa pandangan. Hatta pandangan fahaman Syi'ah sekalipun di dalam pandangan politik yang nampk lebih terkehadapan. Sebagaimana kita melihat Negara Iran sekarang. Ini bukan kita boleh hukum ikut suka.

Apa yang pasti kedua-dua Tok Guru kesayangan ummah ini, mereka berdua jarang menceritakan mereka belajar dengan siapa? Beberapa banyak sanad kitab yang mereka ada? Ini menunjukkan sikap tawadhuk yang ada pada diri mereka.

Berbeza dengan kita yang belajar sedikit sudah rasa diri sangat alim. Ibarat pepatah melayu ada menyebut; 'Sekangkang kera'. Sepatutnya semakin belajar, semakin rasa takut. Sepatutnya semakin belajar rasakan diri itu amat kerdil di sisi Allah SWT. Sepatutnya semakin belajar, rasa semakin tidak mengerti dan tidak tahu. Kerana luasnya ilmu Allah SWT.

Firman Allah SWT:

إِنَّمَا يَخۡشَى ٱللَّهَ مِنۡ عِبَادِهِ ٱلۡعُلَمَـٰٓؤُاْۗ

Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu.

[Al-Fathir:28]

Sekian sahaja salam Ramadhan, Waallahu'alam.

Tuesday, August 25, 2009

MASALAH KHILAFIYYAH.


Firman Allah SWT:


يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِى ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡ‌ۖ فَإِن تَنَـٰزَعۡتُمۡ فِى شَىۡءٍ۬ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأَخِرِ‌ۚ ذَٲلِكَ خَيۡرٌ۬ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلاً


Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.


[An-Nisa: 59]


Masalah khilafiyyah adalah merupakan masalah cabang hukum Islam atau biasanya disebut Al-Furu’iyyah. Kebanyakan para Ulamak kita ada yang Allah SWT mengurniakan akal yang cerdik sehingga mampu mengistinbat hukum daripada Al-Quranul Karim dan Al-Hadith Rasulullah SAW.


Para Ulamak ini biasanya sampai ke peringkat Nazar dan bertaraf mujtahid. Ini bukan perkara yang mudah, kerana Para Ulamak ini biasanya bukan sahaja menghafaz Al-Quranul Karim, malah menghafaz beribu-ribu Hadith Rasulullah SAW. Sebagaimana 4 mazhab jumhur Ulama’ iaitu Imam Malik, Imam Abu Hanifah, Imam Ahmad bin Hanbal dan Imam di dalam Mazhab kita Imamuna As-Syafi’iee Rahimahullahu ajma’in.


Apa yang menjadi masalah dari sudut masalah khilafiyyah ini, kadang-kala ada di kalangan kita yang suka mempertahankan pendapat masing-masing. Berbeza dengan para alim Ulamak dahulu yang berkhilaf sesame sendiri, tetapi di dalam keadaan beradab.


Malah sesama mereka saling belajar mempelajari antara satu sama lain. Hatta sikap tawadhuk yang ada pada Imam As-Syafi’ie Rahimahullah yang menjelaskan satu simbolik kalam yang penuh bermakna iaitu ‘Barangkali aku salah dan barangkali dia yang betul’.


Sebenarnya apabila pandangan kita ditolak, maka kita wajib bersyukur serta menyatakan (Alhamdulillahi rabbil ‘alamin) dengan sepenuh hati dan jiwa serta diungkapkan dengan lisan. Tetapi apabila pandangan kita diterima, maka kita wajib memohon ampun kepada Allah SWT dan beristighfar.


Kecuali perkara yang berkait dengan masalah Usuliyyah iaitu perkara pokok atau dasar seperti wajib sembahyang umpamanya. Ini perlu ada sensitiviti pada umat Islam. Dan ini berkait dengan hukum ahkam syara’. Termasuk kewajipan mendirikan Daulah Islamiyyah. Maka umat Islam wajib mendirikan adalah berdasarkan kaedah ‘tidak menyempurnakan kewajipan melainkan denagn kewajipan’.


Oleh itu, saya nukilkan kisah di dalam kitab Muzakirat Ad-Da’wah Wad Dai’yyah oleh Al-Imam As-Syahid Hasan Al-Banna. Bagaimana Al-Imam As-Syahid Asan Al-Banna menyelesaikan beberapa masalah khilafiyyah.


Demikian apa yang beliau ceritakan:


Di rumah Haji Mustafa, kami ada sebuah rumah lagi untuk kegiatan kami. Haji Mustafa membina rumah itu untuk mencari keredaan Allah. Para pencinta Islam berkumpul di rumah itu untuk mengkaji Al-Quran dalam suasana penuh persaudaraan.


Dalam masa yang singkat saja, berita perhimpunan ini telah tersebar luas. Biasanya, kami menyampaikan ceramah antara solat Maghrib dan Isya’. Manusia dari berbagai golongan berhimpun di situ. Selepas itu barulah saya pergi ke kedai-kedai kopi untuk memberi ceramah.


Satu malam, saya merasakan ada satu perkara anih berlaku. Saya dapati para pendengar berada di dalam keadaan kelam kabut. Mereka telah berpecah kepada beberapa kumpulan berlainan.


Sebaik saja saya mula berceramah, satu soalan telah dikemukakan oleh salah seorang pendengar. Dia menyoal, ‘Apakah pendapat tuan mengenai At-Tawasul?’ Saya menjawab, ‘Saya agak bukan perkara ini saja yang awak ingin tahu. Awak akan bertanya begitu dalam sembahyang dan salam selepas azan.


Awak akan bertanya sama ada surah Al-Kahfi dibenarkan dibaca pada hari Jumaat atau tidak. Awak juga akan bertanya sama ada perkataan ‘Saidina’ patut disatukan dengan nama Rasulullah s.a.w. atau tidak.


Awak akan bertanya di manakah ibu bapa Rasulullah s.a.w. ditempatkan selepas mereka mati dan dimanakah mereka berada sekarang. Awak akan bertanya sama ada pahala membaca Al-Quran sampai kepada orang mati atau tidak. Awak akan bertanya sama ada perhimpunan ahli-ahli sufi dan ahli-ahli Syariah merupakan satu dosa atau satu jalan menuju Allah.’


Kata-kata saya itu merangkumi semua persoalan-persoalan yang telah memecah-belahkan mereka selama ini. Orang yang bertanya terpegun mendengar kata-kata saya itu. Dia berkata, ‘Ya, saya tahu jawapan kepada semua persoalan itu.’


Saya menjawab, ‘Saudaraku, saya bukanlah seorang ulamak. Saya hanya seorang guru. Saya telah mempelajari beberapa ayat Al-Quran dan juga hadith.. Saya juga mengkaji beberapa tajuk yang menyentuh Islam dan mengetahui sedikit sebanyak mengenai Syariat Islam.


Saya menjalankan Dakwah Islamiah secara sukarela. Apabila kamu keluar (meninggalkan) dari perbincangan ini, sesungguhnya kamu telah melukakan saya. Silalah memberi perhatian andainya awak suka mendengar ceramah saya dan menganggapnya berfaedah.


Jika awak ingin mengetahui lebih banyak, awak bebas berjumpa para ulamak lain. Awak akan mendapat jawapan kepada soalan-soalan tadi dari para ulamak yang mampu menolong awak. Saya telah menyampaikan segala yang saya tahu kepada awak. Awak memberi tanggungjawab kepada seseorang menurut kemampuannya.’


Orang yang menyoal saya tadi kagum dengan kata-kata saya itu. Sepatah perkataan pun tidak keluar dari mulutnya. Dengan cara ini, saya telah berupaya mengelak kekecohan dari berlaku. Kebanyakan para hadirin berpuas hati dengan penjelasan saya.


Tanpa melepaskan peluang, saya pun berkata kepada mereka:

“Saudara-saudaraku yang dikasihi. Saya sedar penyoal tadi dan kebanyakan awak semua ingin tahu saya menyebelahi aliran yang mana satu. Awak semua ingin tahu sama ada saya menyebelahi aliran Syeikh Musa atau aliran Syeikh Abdus-Sami.


Pertanyaan begini tidak mendatangkan apa-apa keuntungan. Awak semua telah mensia-siakan lapan tahun di dalam pertikaian dan politik kepartian. Sekarang awak semua perlu berhenti dari kegiatan tersebut.

Orang-orang Islam berbeza pendapat di dalam perkara-perkara tadi selama berabad-abad dan perbezaan-perbezaan itu masih berterusan. Allah suka kita semua berkasih sayang dan bersatu. Allah tidak suka semua bertikai dan berselisih.


Saya berharap awak semua sekarang sanggup berjanji kepada Allah untuk menjauhkan diri dari perbincangan-perbincangan yang merosakkan. Berusahalah mempelajari dasar-dasar Islam. Kemudian ikutilah dasar-dasar itu dengan cara yang sebenar benarnya.


Ambillah dasar-dasar Islam dan laksanakanlah. Tinggalkanlah amalan-amalan yang bertentangan dengan Islam dan ikutilah kitab suci Al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w. agar hati awak semua menjadi terang dan jernih. Tujuan kita yang sepatutnya ialah mengikuti dasar-dasar Islam.


Kita tidak menekankan kepada sesuatu aliran pemikiran tertentu.” “Kita akan berupaya menyuarakan pendapat-pendapat kita di dalam suasana yang penuh keyakinan dan persefahaman jika terpupuk sifat kasih sayang dan amanah di kalangan kita. Saya yakin awak semua akan menerima dan berpegang dengan nasihat saya ini.”

Rayuan saya ini sangat berkesan. Kami bersurai setelah berikrar untuk bekerjasama antara satu sama lain di dalam usaha menyebarkan Islam dan di dalam usaha menjauhi perkara perkara khilafiah.


Setiap orang bebas berpegang dengan pendapat masing-masing sehinggalah Allah yang Maha Besar sendiri memberi keputusan muktamad. Selepas perbincangan tersebut, kami pun meneruskan usaha Dakwah Islamiah dengan aman.


Kini saya menekankan perkara-perkara yang berkaitan dengan persaudaraan dan kerjasama di kalangan orang-orang beriman. Saya berusaha memupuk ciri-ciri persaudaraan Islam (ukhuwwah Islamiah) di kalangan mereka.


Kadang-kala saya menyentuh perkara perkara khilafiah yang tidak menjadi punca perbalahan di kalangan mereka. Saya bertindak begitu untuk menunjukkan kepada mereka cara orang-orang bertakwa di zaman dahulu bertolak-ansur di antara satu sama lain walaupun mereka berbeza pendapat.


Satu contoh teringat saya kepada satu peristiwa yang berkaitan dengan masalah khilafiah. Masalah itu saya bentangkan kepada para hadirin. Saya bertanya mereka, ‘Siapakah di antara kamu ini bermazhab Hanafi?’ Seorang lelaki pun bangun dan mendekati saya.


Kemudian saya bertanya lagi, ‘Siapakah di antara kamu ini bermazhab Syafi’e?’ Bangun lagi seorang lelaki dan mendekati saya setelah mendengar soalan itu.


Kemudian saya memberitahu para hadirin bahawa kedua orang lelaki tadi akan bersolat dengan berimamkan saya sendiri. Kemudian saya menyoal lelaki Hanafi tadi, ‘Wahai Hanafi, apakah amalan awak mengenai pembacaan surah Al- Fatihah?’ Lelaki Hanafi itu menjawab, ‘Saya berdiam diri dan tidak membaca Al-Fatihah’.


Seterusnya saya bertanya lelaki Syafi’e pula, ‘Wahai Syafi’e, apa pula yang kamu buat?’ Jawabnya, ‘Saya membacanya.’ Seterusnya saya bertanya, ‘Apakah pendapat awak mengenai solat yang dilakukan oleh saudara yang bermazhab Hanafi itu?’ Dia menjawab, ‘Solatnya tidak sah kerana dia tidak membaca Al-Fatihah bersama Imam. Membaca Fatihah ialah salah satu rukun solah.’


Kemudian saya menyoal lelaki Hanafi pula, ‘Apakah pendapat awak mengenai saudara awak yang bermazhab Syafi’e tadi?’ Dia menjawab, ‘Dia telah melakukan satu perkara yang Makruhi Tahrim. Membaca Al-Fatihah bersama Imam adalah perbuatan Makruhi Tahrim’.


Seterusnya saya bertanya mereka berdua, ‘Sanggupkah awak memusnahkan akidah masing-masing lantaran perbezaan tadi?’ Kedua mereka menjawab serentak, ‘Sudah tentu tidak’.


Kemudian saya bertanya para hadirin, ‘Adakah awak semua akan menegur (mengkritik) mereka?’ Mereka menjawab, ‘Tidak’. Saya menyambung, ‘Puji-pujian bagi Allah. Awak semua kini boleh berdiam diri di dalam persoalan penting mengenai sah atau tidak sahnya solat seseorang.


Tetapi awak tidak boleh bertolak-ansur apabila seseorang ahli solat mengucap Allahumma Salli A’la Muhammadin atau Allahumma Salli A’1a Sayyidina Muhammadin. Perkara kecil ini awak jadikan punca pertikaian sehingga menyebabkan kekecohan besar.’


Cara saya berdakwah ini terbukti berkesan. Orang ramai mula memperbaiki sikap mereka terhadap satu sama lain. Mereka telah sedar bahawa Islam itu mudah dan luas. Dalam Islam, seseorang tidak boleh mengongkong seseorang lain. Pusat penumpuan di dalam Islam ialah Allah dan Rasul-Nya.. Kemudian para anggota Ummah dan para pemimpinnya pula menjadi tumpuan.


[Muzakirat Ad-Da’wah Wad Dai’yyah oleh Al-Imam As-Syahid Hasan Al-Banna]


Apapun maaf kemaafan daripada semua sempena bulan Ramadhan yang penuh berkat ini. Dan saya berharap kita semua dapat bersatu dan cuba sedaya upaya memanfaatkan dengan Ubudiyyah di dalam bulan Ramadhan ini.


Sebagaimana firman Allah SWT:


يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡڪُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِڪُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ 

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.


أَيَّامً۬ا مَّعۡدُودَٲتٍ۬‌ۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٍ۬ فَعِدَّةٌ۬ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَ‌ۚ وَعَلَى ٱلَّذِينَ يُطِيقُونَهُ ۥ فِدۡيَةٌ۬ طَعَامُ مِسۡكِينٍ۬‌ۖ فَمَن تَطَوَّعَ خَيۡرً۬ا فَهُوَ خَيۡرٌ۬ لَّهُ ۥ‌ۚ وَأَن تَصُومُواْ خَيۡرٌ۬ لَّڪُمۡ‌ۖ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ

(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir, (bolehlah dia berbuka), kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.

شَہۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدً۬ى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍ۬ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِ‌ۚ فَمَن شَہِدَ مِنكُمُ ٱلشَّہۡرَ فَلۡيَصُمۡهُ‌ۖ وَمَن ڪَانَ مَرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٍ۬ فَعِدَّةٌ۬ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَ‌ۗ يُرِيدُ ٱللَّهُ بِڪُمُ ٱلۡيُسۡرَ وَلَا يُرِيدُ بِڪُمُ ٱلۡعُسۡرَ وَلِتُڪۡمِلُواْ ٱلۡعِدَّةَ وَلِتُڪَبِّرُواْ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَٮٰكُمۡ وَلَعَلَّڪُمۡ تَشۡكُرُونَ


(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur.

[Al-Baqarah:183-185]


Beberapa keratan ayat Al-Quran ini perlu kita memahami sehabis baik dan perlu bertadabbur senantiasa pada ayat ini supaya kita dapat merasa hikmah dari kalam Ilahi ini. Waallahu'alam.

Tuesday, August 4, 2009

HAKIMI CALON DI HATI

Firman Allah SWT:

مِّنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ رِجَالٌ۬ صَدَقُواْ مَا عَـٰهَدُواْ ٱللَّهَ عَلَيۡهِ‌ۖ فَمِنۡهُم مَّن قَضَىٰ نَحۡبَهُ ۥ وَمِنۡہُم مَّن يَنتَظِرُ‌ۖ وَمَا بَدَّلُواْ تَبۡدِيلاً۬

Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.

[Al-Ahzab: 23]

Alhamdulillah selasainya Mesyuarat Agong Tahunan Dewan Perwakilan Mahasiswa/wi Mansurah kali ke 17. Bertukarlah sudah kepimpinan daripada sesi 2008/09 kepada sesi 2009/2010.

Semalam iaitu 3 Ogos 2009 (Isnin) menunjukkan peralihan kuasa pentadbiran DPMM. Apa yang menarik? MAT kali ini terdapat dua usul daripada ahli DPMM sendiri. Salah satunya adalah usul bertulis yang dibahaskan oleh Al-Fadhil Al-Ustaz Saiful Bahri dan satu lagi usul tergempar dibahaskan oleh salah seorang Penasihat DPMM sendiri iaitu Al-Fadhil Al-Ustaz Abdul Kadir.

Keadaan pada awalnya iaitu di sesi pagi menampakkan sedikit perlahan reaksi ahli. Di kalangan para EXCO yang nampak mendebarkan pada awal sesi ini, dapat menjelaskan beberapa persoalan daripada para ahli menerusi laporan gerak kerja masing-masing.

Alhamdulillah, keadaan yang menampakkan ketenangan, tetapi amat sulit barangkali difikirkan kerana tiada persoalan yang paradigma di kalangan ahli DPMM ketika itu. Sehinggakan kita ditegur oleh Timbalan Presiden PMRAM Al-Fadhil Al-Ustaz Shahruzan bin Mohd Hazimie. Mungkin juga disebabkan para ahli lebih berhati-hati di dalam mengungkapkan suatu persoalan.

Namun, pada sesi kedua keadaan nampak lebih gamat dan panas dengan kehadiran Al-Fadhil Al-Ustaz Saiful Bahri yang memberikan soalan bertubi-tubi semasa Bendahari membentangkan Laporan Kewangan DPMM. Dan saya memang mengharapkan kehadiran Ustaz Saiful Bahri kerana pada MAT kali ini. Ternyata beliau mampu mencergaskan sahabat-sahabat yang lain di dalam mengemukakan soalan dan pandangan.

Amat nyata di sini, harapan yang besar bagi saya untuk melihat calon di hati Al-Fadhil Al-Ustaz Mohammad Hakimi bin Mutalib untuk memberikan suatu reaksi yang baik. Pada awal sesi pagi saya melihat beliau hanya senyap sahaja. Mungkin beliau cuba melihat dahulu untuk mencari rentak keadaan sebelum daripada mempersoalkan apa-apa. Sehinggakan saya menunggu-nunggu reaksi beliau.

Apa yang yang lebih menarik, beliau memberikan suatu pandangan yang luas dan membuka fikiran para ahli di dalam perbahasan usul yang dikemukakan oleh Ustaz Saiful Bahri dan Ustaz Abdul Kadir. Pada masa yang sama dengan semangat yang ada pada Hakimi ini, memberikan satu sinar baru di dalam DPMM pada masa akan datang.

Apa yang saya kagum pada diri beliau adalah keberanian beliau di dalam menyampaikan suatu hujjah yang saya yakin pandangan beliau ini terbit dari diri beliau sendiri. Dan ini suatu kebesaran dan keagungan kuasa Allah SWT dengan menjadikan seseorang itu bejiwa tegar dan berani. Walaupun beliau tewas dalam pilihan raya kali ini, tetapi bagi saya Hakimi beliau boleh pergi jauh.

Saya sebenarnya harapkan kemenangan pada diri beliau. Tetapi inilah kuasa Allah SWT yang merancang dan kita mesti terima hakikat kerana hikmah disebaliknya kita tidak mengerti.

Sebagaimana Tuan Guru NIk Abdul Aziz Nikmat melihat pada diri Salahuddin Ayub yang ada fikrah Islam yang jelas dan boleh pergi jauh. Oleh kerana Salahuddin Ayub bertanding di Johor amat sukar untuk menang, walhal Salahuddin Ayub sendiri seorang yang dianggap penting di dalam PAS. Maka Tuan Guru Nik Abdul Aziz menarik beliau ke Kelantan untuk bertanding di Parlimen Kubang Kerian. Hasilnya beliau menang dan berjaya memasuki Parlimen.

Saya percaya Hakimi ini ada jiwa dan fikrah Islam yang baik. Lebih-lebih lagi beliau mengutarakan suatu cadangan yang baik diantaranya mencadangkan supaya diwujudkan suatu unit sebagaimana Unit Amal PAS atas alasan masalah angkat beras dan lain-lain lagi.

Walaupun pandangan ini barangkali ada pro dan kontranya, tetapi bagi saya beliau ini ada fikrah yang baik. Dan saya yakin beliau ada jiwa untuk menjadi pendokong dan pejuang Islam. Saya juga mengharapkan beliau menjadi tulang belakang pada DPMM. Jikalau DPMM tidak betul beliau akan mengkritik dengan membina. Jikalau DPMM benar, maka beliaulah akan membenarkan.

Selagimana beliau ada hati dan jiwa, saya yakin insya Allah beliau ada ruang untuk berdiri teguh dengan jalan Islam dan bukannya dengan jalan yang lain. Saya juga melihat raut wajah beliau yang semakin bertambah matang. Dan jalan beliau tetap satu sebagaimana apa yang dituntut seorang muslim.

Firman Allah SWT:

وَأَنَّ هَـٰذَا صِرَٲطِى مُسۡتَقِيمً۬ا فَٱتَّبِعُوهُ‌ۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَن سَبِيلِهِۦ‌ۚ ذَٲلِكُمۡ وَصَّٮٰكُم بِهِۦ لَعَلَّڪُمۡ تَتَّقُونَ

Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertakwa.

[Al-An'aam: 153]

Walaupun sebelum ini saya ada membuat suatu kritikan berkaitan dengan visi dan misi beliau untuk mengubah kabinet. Barangkali gurauan. Tetapi saya rasakan beliau ada suatu sikap yang amat berlainan. Kadang-kadang keikhlasan seseorang itu bukan dilihat dengan kata-kata sahaja. Tetapi mestilah dilihat dan diperhatikan dengan banyak sudut.

Segala kelemahan seseorang itu biasalah saya sendiri banyak kelemahan. Tetapi yang penting kita cuba berubah daripada kurang baik kepada yang lebih baik. Ramai orang suka kritik, tetapi ramai yang tidak suka di kritik. Saya pun tidak kisah untuk dikritik tetapi mesti berfakta dan kritikan itu mestilah lebih membina.

Saya harap ramai pihak kena terima Hakimi ini. Lebih-lebih lagi di kalangan Akhawat yang kurang terima dengan gurauan beliau semasa mengajar sebelum ini. Saya juga berharap segala kontrovasi terhadap diri beliau dilenyapkan begitu sahaja. Dan segala kelemahan beliau saya harap kita tegur dengan baik. Saya percaya beliau boleh terima teguran. Lagipun kita semua sudah bermuhasabah di dalam MAT baru-baru ini.

Insya Allah beliau akan lebih matang dan terus membantu DPMM. Ini kerana DPMM memang memerlukan ahli seperti Hakimi bagi pandangan saya. Soal saya kritik itu hanya pandangan yang lemah dari diri saya. Saya ulangi beliau adalah calon di hati saya. Saya kritik visi dan misi beliau bukan bermakna tidak suka. Saya sudah menyaksikan dan ramai yang juga yang menyaksikan beliau pada hari MAT semalam. Ini membuktikan beliau mampu dan ada bakat tersendiri.

Apapun saya harap semua kita ada peranan masing-masing di dalam melihat jatuh bangun DPMM ini. Kita akan terus kuat sekiranya kita terus bersatu atas nama Islam ini. Dan Islam memerlukan bukan sahaja penyokong, malah pendokong yang boleh memberi sinar harapan kepada Islam. Dan DPMM mengharapkan para Rijal dan para Nisa' yang sanggup berkorban demi memartabatkan Islam di muka bumi Allah SWT ini. Wallahu'alam.