Tuesday, May 27, 2008

MEWAJIBKAN MENGELAKKAN PERBALAHAN DIANTARA UMMAT ISLAM DENGAN MENELITI SEJARAH.


Gambar hiasan sahaja....

Senario hari ini dilihat begitu mencabar dengan pertembungan yang berlaku dengan penjajahan ideologi oleh pihak Yahudi dan barat kepada ummat Islam seluruhnya. Malahan pihak pemimpin-pemimpin negara di setiap negara ummat Islam sekarang seolah-olah diperalatkan oleh pihak barat. Sehinggakan kemelut di Palestin, Iraq dan sebagainya masih tidak dapat pembelaan. Ditambah lagi, badan-badan pertubuhan tertentu seperti OIC yang diharapkan dapat menyelesaikannya; tetapi seperti 'permata yang dianggapkan kaca'. Sebenarnya tiada apa yang boleh kita harapkan langsung. Dan juga sebahagian pemimpin-pemimpin di setiap negara ummat Islam adalah boneka semata-mata. Bangsa kita melayu ramai yang menyalahkan bangsa Arab yang mementingkan diri sehinggakan tidak peduli kepada negara ummat Islam yang diperkotak-katikkan oleh pihak musuh Islam yang laknat. Tetapi saya melihat di sini, puncanya adalah sikap pemimpin-pemimpin negara ummat Islam yang mementingkan diri sendiri dan tidak pernah serius dalam menyelesaikan masalah umat Islam seluruhnya. Tidak kira bangsa apapun kita, adalah menjadi satu kepentingan kepada kita semua supaya menegakkan yang Hak dan menentang yang Bathil dengan meletakkan kebenaran Islam itu adalah yang tertinggi.
Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah SWT ada beberapa golongan-golongan atau kumpulan-kumpulan tertentu yang berdiri untuk menegakkan kebenaran Islam ini. Sebagaimana Allah SWT berfirman yang maksudnya:{Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah berceri-berai dan berselisihan (dalam ugama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar}[Ali Imran:104,105]. Biasanya golongan-golongan ini mengemudi gerakan-gerakan yang berteraskan Islam. Gerakan-gerakan ini perjuangan zahirnya adalah untuk mengembalikan Islam supaya ia berdiri pada tempatnya. Sebagaimana zaman Rasulullah SAW bersama para sahabatnya RA yang membina piagam Madinah sebagai Daulah Islam contoh. Diikuti zaman Khulafa' Ar-Rasyidin. Seterusnya zaman Bani Umaiyyah dan zaman 'Abbasiyyah. Sehinggalah zaman Islam Turki Uthmaniyyah yang telah ditumbangkan oleh pengkhianat Islam la'natullah Kamal Artartuk.
Sahabat-sahabat semua, tambahan masalah dalaman ummat Islam yang meruncing sekarang ini berkaitan isu fahaman yang begitu bergoncang sekali. Isu fahaman dikalangan ummat Islam ini berlaku adalah disebabkan dikalangan kita ummat Islam yang langsung tidak memerhatikan dan meneliti sejarah serta asal-usul mazhab. Hatta timbul pertikaian ini disebahagian tempat negara ummat Islam. Timbul isu fahaman berkaitan ta'sub Mazhab, Salafi, Wahabi, Sunni, Syiah dan sebagainya. Perlu diingat semboyan {Wahdatul Fikri Wa-wahdatul'Amal} iaitu kesatuan pemikiran dan kesatuan amal(praktikal) mesti direalisasikan. Masalah ini tidak akan berlaku sekiranya kita meneliti sejarah dan asal-usul Mazhab sesuatu fahaman itu. Kadang-kadang dikalangan kita yang dia mengakui bermazhab As-Syafi'eyyah, tetapi tidak mengerti asal-usul mazhab mereka sendiri, apatah lagi mudah sangat menghujum satu-satu fahaman itu. Begitu juga mereka yang berfahaman Wahabi sanggup menghujum mana-mana fahaman yang menganggap lain daripada fahaman mereka bukanlah daripada Ahlussunnah Wal- Jama'ah. Sebenarnya bila kita memerhatikan kembali sedikit sejarah bagaimana aliran salaf daripada kurun mula hijrah sehingga 300H yang menjadi manhaj yang terbaik untuk semua ummat Islam mengambil pedomannya. Kemudian selepas daripada tahun 300H mula timbul kemasukan aliran Falsafah yang sedikit sebanyak mencemari fahaman Islam. Begitu juga aliran fahaman Mu'tazilah yang menyamakan sifat Allah dengan sifat makhluk. Oleh kerana fahaman ini menggunakan hujjah akal fikiran, maka timbul Mazhab Aqidah iaitu Al-'Asya'iroh dan diikuti Al-Maturidiyyah adalah termasuk dibawah fahaman Ahlissunnah Wal-Jama'ah. Mazhab Aqidah ini, menggunakan akal mereka untuk menentang fahaman yang menyamakan sifat Allah dengan sifat makhluk. Kemudian apabila zaman Muta'akhirin iaitu berlaku aliran khalaf, maka wujud mazhab-mazhab Sunni dikalangan Ulama' Mujtahidun seperti Al-Malikiyyah, Al-Hanafiyyah, As-Syafi'eyyah dan Al-Hanabilah. Mazhab-mazhab Sunni ini semuanya adalah termasuk Ahlussunnah Wal-Jama'ah. Oleh kerana berlaku taa'sub Mazhab dikalangan pengikut-pengikut Mazhab Sunni ini yang masing-masing merasakan mazhab merekalah yang paling betul. Bagi menyatukan Ummat Islam ketika itu, maka Syaikh Islam Imam Ibnu Taimiyyah yang diikuti anak muridnya Imam Ibnu Qayyim Al-Jauzi yang mengajak ummat Islam supaya bersatu dengan kembali kepada Al-Quran dan Hadith Rasulullah SAW. Lalu membentuk mazhab Salafi dan cabangnya Mazhab Wahabi yang diasaskan oleh Syaikh Muhammad bin Abdul Wahab. Dan ini juga termasuk daripada fahaman Ahlussunnah Wal-Jama'ah. Sebab itulah saya mengajak kepada semua supaya kita sentiasa merujuk kepada kitab daripada Ulama'-ulama' yang Mu'tabar. Dan kita kena berhati-hati supaya tidak mengambil maklumat daripada penulis-penulis jalanan yang ingin memenangkan hujjah mereka tanpa melihat kepada dasar ilmu yang sebenarnya.
Sahabat-sahabat semua, kita juga sentiasa membaca Al-Quran dan Hadith Rasulullah SAW. Dan bukan sebagai teori sahaja, tetapi kena melihat kepada apa yang berlaku pada hari ini untuk dipratik dan direalisasikan. Kitab Al-Quran adalah satu kertas kerja dasar yang sesuai untuk semua perjalanan hidup manusia seluruhnya, perlu kita pastikan pekerjaan atau perbuatan kita itu adakah ianya lari dari dasarnya ataupun tidak? Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:{Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut ugama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan Syurga, dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab neraka); dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan dan (sebenarnya) tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka Kitab-kitab Suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, - mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izinNya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus (menurut undang-undang peraturanNya)}[Al-Baqarah:213].
Akhir sekali, saya memohon maaf atas serba kekurangan pada diri ini yang amat terbatas unuk menjelaskan secara terperinci. Sebagai pedomannya perhatikanlah maksud ayat Al-Quran Surah Al-Baqarah ini yang saya tatapkan. Waallahu'alam.


Monday, May 26, 2008

EPISOD AL-HIKAM 3 (ANTARA KEPUTUSAN YANG KUAT DENGAN QADA' DAN QADAR ILAHI)

Sekadar hiasan......

سوابق الهمم لا تخرق اسرار الاقدار
Maksudnya: Keputusan yang kencang(kuat) tidak dapat memecahkan pagar-pagar Qadar Ilahi.

Sahabat-sahabat sekalian, episod Al-Hikam kali ini berkaitan Kalam Hikmah daripada Al-Imam Ibnu 'Athoillah Assakandari yang berkait rapat dengan antara keputusan yang kuat dengan Qada' dan Qadar ilahi. Di sini perlu saya bahaskan terlebih dahulu berkaitan apa yang dikatakan Qada' dan apa yang dikatakan Qadar itu? Ini adalah perkara yang asas dan wajib semua muslim yang mengaku beriman dengan Qada' dan Qadar ini. Tidak kira mengikut pendapat mazhab Aqidah mana-mana sekalipun, yang penting mestilah di bawah fahaman Ahlissunnah Wal Jama'ah. Namun bagi siapa yang mempunyai fahaman seperti Zaidiyah dan Imamamiyah daripada fahaman Syi'ah, sekiranya ingin berkongsi pandangan bagi kami yang berfahaman Ahlissunnah Wal-Jama'ah, maka adalah tidak menjadi masalah. Asalkan atas dasar Islam kita bersatu menentang musuh-musuh agama Allah SWT. Bagi menambah ilmu pengetahuan, sedikit sebanyak apa yang saya belajar di dalam ilmu Tauhid, menurut Mazhab Aqidah seperti Al-'Asya'iroh dan Al-Maturidiyah berkaitan Qada' dan Qadar ini , maka kita boleh mengambil faedahnya. Namun perlu kita perhatikan di sini, ada juga dikalangan mereka yang belajar ilmu Tauhid dan tinggi pengetahuannya daripada kita, tetapi sanggup menentang arus dengan menentang dan menghalang kita untuk memperjuangkan dan mempertahankan Islam. Hakikatnya mereka ini menentang agama Allah SWT dan menentang arus Aqidah dan Iman yang mereka sendiri sepatutnya memahaminya. Sedangkan inilah perjuangan Nabi SAW serta para Sahabat RA untuk mengajak manusia beriman dan kembali menuju apa yang Allah SWT redha. Tetapi apabila manusia memandang dunia adalah segala-galanya dan seolah-olah tidak yakin dengan adanya kehidupan selepas dunia ini, maka manusia sanggup melanggar ketetapan Allah SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksud: {Mereka itulah orang-orang yang membeli (mengutamakan) kehidupan dunia (dan kesenangannya) dengan (meninggalkan perintah-perintah Allah yang membawa kebahagiaan dalam kehidupan) akhirat; maka tidak akan diringankan azab seksa mereka (pada hari kiamat), dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan}[Al-Baqarah:86]
Sahabat-sahabat sekalian, untuk memahami ilmu Tauhid(ilmu mengesakan Allah) ini, bukan hanya dengan mempelajari Mazhab A-'Asya'iroh dan Al-Maturidiyah. Ataupun belajar tentang ketuhanan berkaitan Tauhid Ar-Uluhiyyah, Tauhid Ar-Rububiyyah dan Tauhid Al-Asma' Was Sifaat bagi sebahagian Ulama' yang membahagikan untuk memudahkan orang awam memahaminya. Dan menjadi satu kemestian mempelajari ilmu Tauhid ini, samada mengikut mana-mana pendapat Ulama' atau kitab-kitab Tauhid yang Turathi(masa dahulu) atau Mu'asarah(masa kini) sekalipun, mestilah tahu tujuannya iaitu untuk kita mendapat ilmu Ma'rifatullah(ilmu mengenal Allah SWT). Itulah ilmu yang paling tinggi. Andaikata dengan Al-Quran sahaja kita mampu mengenal Allah SWT, maka tidak menjadi masalah. Namun, perlu diingat juga para 'Alim Ulama' yang tidak kira aliran Salaf, Khalaf, Muta'akhirin ataupun Mu'asarah(zaman sekarang) yang menyusun sesuatu ilmu itu adalah untuk memudahkan kita faham, lantas mampu mempraktikkan ilmu tersebut. Dengan itu kita mengenal siapakah yang mencipta, mengatur, mentadbir, menguasai seluruh alam dan segala makhluk di langit dan di bumi?
Firman Allah SWT yang bermaksud: {Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya)}[Al-Baqarah:255]
Ada dikalangan golongan tertentu yang kadang-kadang mengelirukan masyarakat Islam dengan mewajibkan belajar ilmu Tauhid mengikut sifat 20 sahaja, lantas menyempitkan fikiran masyarakat yang tidak mengerti apa-apa. Sedangkan para Sahabat RA sedikitpun tidak pernah belajar sifat 20 tersebut. Adakah mereka(para Sahababt RA) berdosa? Jawapannya adalah tidak berdosa kerana mereka mengenal Allah SWT lebih daripada kita. Sebab itulah dengan kefahaman yang tinggi pada para Sahabat Nabi SAW ini, mereka sanggup mencari syahid demi memperjuangkan agama Allah kerana sangat kenalnya mereka dengan Allah SWT.
Sahabat-sahabat sekalian, Qada' menurut Mazhab Al-'Asya'iroh adalah Qadim(azali) dan menurut Mazhab Al-Maturidiyah adalah Hadis(baharu). Adapun Qadar menurut Mazhab Al-'Asya'iroh adalah Hadis(baharu) dan menurut Mazhab Al-Maturidiyah adalah Qadim(azali). Dalam erti kata lain, perkara Qada' adalah Qadim(azali) menurut Al-'Asya'iroh ialah segala perkara berkaitan Jodoh, Ajal, Maut, Syurga, Neraka adalah azali yang memang sudah Allah SWT tetapkan. Adapun Hadis pada Qadar adalah menurut Al'Asya'iroh segala perkara yang Allah SWT kehendaki tidak mengira atau mengikut masa dan keadaan.
Firman Allah yang bermaksud: {Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: " Jadilah engkau! ". Maka ia terus menjadi. Oleh itu akuilah kesucian Allah (dengan mengucap: Subhaanallah!) - Tuhan yang memiliki dan menguasai tiap-tiap sesuatu, dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan} [Yasin:82-83]
Kadang-kadang soal jodoh atau mati yang Allah SWT sudah tetapkan kepada seseorang itu, dengan mudah Allah SWT ubah sekiranya Allah SWT kehendaki. Sebab keputusan Allah SWT adalah yang paling utama dan paling tepat. Namun Allah memberikan kepada kita sebagai orang yang beriman dengan satu senjata doa yang tidak ada pada orang yang tidak beriman dengan Allah. Dan Allah SWT boleh mengubah ketetapanNya dengan menerima doa hambaNya, sebab belas kasihanNYa. Ini menjadi kuasa Qadar pada Allah SWT. Sebab Allah SWT juga mempunyai atau memilki sifat Al-Wahhab(Maha Pemberi).
Sebagaimana Firman Allah yang bermaksud:{sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya}[Ali-'Imran:8]. Adapun menurut Al-Maturidiyah adalah sama huraiannya seperti Al-'Asya'iroh, hanya bertukar istilah Qada' dan Qadar itu. Sepertimana yang kita semua sedia maklum. Ini adalah ilmu asas yang saya percaya ramai yang mengetahui. Dan sebahagian Ulama' ada yang tidak membezakan sama sekali istilah Qada' dan Qadar. Lalu meletakkan Qada' dan Qadar itu serupa. Apapun Ulama' tetap bersepakat Qada' dan Qadar itu wajib setiap orang Islam beriman, percaya dan Yakin.
Dengan kefahaman yang serba sedikit ini, jelaslah kepada kita semua bahawasanya makhluk sama sekali tiada kuasa sedikitpun. Hanyalah Rahmat dan KurnianNYa kepada seseorang itu sahajalah yang dapat memberikan nikmat kepada kita. FirmanNya yang bermaksud: {Padahal Allah berhak menentukan rahmatNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah (jualah Yang) mempunyai limpah kurnia yang amat besar}[Al-Baqarah:105]. Oleh kerana itu, maka diharamkan kepada kita melihat hanya kepada amalan ibadat seperti sembahyang, puasa, membaca Al-Quran, berwirid, bersedekah dan sebagainya. Itu hanyalah sebagai tanda 'Ubudiyyah(memperhambakan diri) kita kepada Allah SWT. Adakah kita bersyukur(beriman) ataupun kita menjadi engkar(kufur)? Hatta berdoa juga merupakan usaha kita sebenarnya. Namun apabila kita bertawakkal, maka segala apa yang kita usahakan baik belajar, bekerja, sembahyang, membaca Al-Quran, puasa, bersedekah, berdoa, berwirid dan lain-lain itu terbatal!!! Kecuali belas kasihan, Rahmat dan KurniaanNya. Menurut Al-Marhum Syaikh Mutawali Sya'rawi salah seorang Ulama' Mesir pernah menerangkan dalam fatwanya berkaitan masalah khusyuk di dalam Sembahyang dengan mengkaitkan beliau pada usaha dan Tawakkal. Menurut beliau usaha itu jasad dan tawakal itu di dalam hati. Maka beliau memandang usaha perlu diiringi(disekalikan dan disatukan) dengan Tawakkal; iaitu secara iringan antara Tawakkal dan Usaha. Dimana Usaha itu pada Jasad dan Tawakkal itu pada Hati. Saya pernah bertanya seorang Ustaz yang pernah belajar di Mesir dahulu berkaitan kefahaman yakin dengan diri sendiri dan yakin dengan Allah SWT. Lalu beliau menjawab: "Yakin dengan diri sendiri adalah usaha kita yang sebanyak mungkin dan yakin kita dengan Allah adalah terhapus segala apa yang kita usahakan itu dan bulat-bulat kita bergantung harap kepada Allah SWT". Ramai dikalangan masyarakat kita meletakkan usaha dahulu , kemudian bertawakkal, tetapi tidak mengerti menurut apa yang dikehendak oleh Allah SWT. Lalu segala usahanya itu sampai sanggup melanggar hak hukum-hukum Syariat Allah SWT. Umpamanya bersungguh-sungguh belajar sampai meninggalkan sembahyang. Kemudian setelah merasakan diri sudah habis usaha, baharulah Tawakkal dengan menganggap sembahyang hajat, doa, membaca Al-Quran dan segala amalan ibadat ini Tawakkal kita. Hilang perasaan kita dalam diri ini hidup di dunia adalah semata-mata untuk mencari keredhaan Allah SWT. Hilang tanggungjawab hubungan kita dengan Allah dan kadang-kadang hilang tanggungjawab kita dengan sesama manusia. Sedangkan akhlak yang baik itu juga menunjukkan perangai orang yang bertawakkal. Tidak kiralah konsep Usaha dahulu kemudian Tawakkal, ataupun Tawakkal dahulu kemudian Usaha, ataupun diiringkan kedua-duanya sekalipun. Adalah yang paling penting sekali kita memahami huraian mengikut apa kehendak Allah SWT pada kita, bukan kehendak kita pada Allah. Beramal apa yang Allah SWT suka pada kita, bukan amalan apa yang kita suka. Sebagaimana fimanNya: {dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya}[Al-Baqarah:216]
Sebab itu kita memerlukan panduan dan rujukan para 'Alim Ulama' untuk menambah ilmu pengetahuan Islam. Kena minatkan diri kita ke majlis-majlis ilmu samada di masjid-masjid atau mana-mana tempat yang bersesuaian. Bukan sahaja orang yang menunutut ilmu agama sahaja wajib hadir ke majlis-majlis tersebut. Malahan seluruh umat Islam yang mengaku beriman dan Islam, wajib menuntut ilmu agama sebab untuk manfaat kita di dunia dan akhirat. Waallahu'alam.








Saturday, May 17, 2008

HATI SEORANG YANG LEMAH.


Wahai sahabat-sahabatku sekalian, firman Allah SWT yang bermaksud: {Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam, dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman, dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat, dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar, dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah), dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah, dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa, dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya, dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar. Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata} [Al-Ahzab:35-36]
Wahai sahabat-sahabatku semua, bagaimana isteri Nabi SAW Ummu Salmah dan Nasibah binti Ka’ab Al-Ansoriyyah bertanya kepada Nabi berkenaan kerja kebajikan banyak dikhususkan laki-laki di dalam ayat-ayat Allah swt, dan tidak dikhususkan perempuan, lalu Allah SWT menurunkan ayat-ayat yang aku sebutkan maksudnya tadi dengan mengkhususkan kedua-duanya sekali iaitu laki-laki dan perempuan-[Riwayat daripada Ibnu Abbas di dalam kitab Tanwir Al-Miqbas susunan Abi Tahir bin Ya’qub Al-Fairuzabadi ]. Bukanlah sebenarnya aku mendedahkan beberapa potongan maksud ayat-ayat di sini untuk mensyarahkan ayat-ayat tersebut dengan lebih terperinci mengikut Ulama’ Mufassirin baik dikalangan aliran salaf mahupun aliran khalaf ataupun mana-mana Ulama Mu’tabar. Bahkan daripada ayat-ayat tersebut sebenarnya sebagai suatu hikmah yang boleh kita ambil. Kerana hikmah barang kehilangan atau keciciran bagi orang beriman, maka barangsiapa yang menjumpainya adalah berhak baginya. Dan ambillah hikmah itu dari mana sahaja datangnya. Firman Allah yang bermaksud: {Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.}- [Al-Baqarah:269].
Lebih-lebih lagi ayat-ayat Al-Quran yang banyak terkandung hikmahnya. Umpamanya dalam Surah Yasin ayat kedua yang bermaksud: {Demi Al-Quran yang mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap kukuh}-[Yasin:2]. Tambahan pula, Al-Quran sudah semestinya bukan sekadar teorinya sahaja, bahkan sebagai praktikal. Adalah menjadi suatu kesesuaian Al-Quran itu untuk digunakan sepanjang zaman.
Justeru itu, di dalam fatrah di bulan Mei ini terdetik dalam hatiku ingin menyatakan beberapa pendirian dan prinsip di dalam blogku ini. Kerana dgn pendirian dan prinsip ini memberi kekuatan untukku terus istiqamah dengan pembawakanku ini. Adalah menjadi suatu kewajipan untukku melakukan sesuatu perbuatan atau perkerjaan itu dengan niat dan tujuan. Ibarat pemandu kenderaan yang memandu ada halatujunya sendiri. Samada ke rumah, kedai, pasar atau tempat-tempat lain. Pendirian dan prinsip di dalam blogku ini juga, menjadikan aku sentiasa menitikberatkan dengan tajdid (memperbaharui) niatku ini yang tidak lain hanyalah untuk mencari keredhaan Allah SWT. Ini merupakan niat yang hakiki dan merupakan kewajipan bagi orang yang mengakui beriman kepada Allah SWT dan sebagai orang yang mengakui keislamannya. Sebagaimana potongan Hadith Nabi SAW yang bermaksud: {Hanyasanya segala amalan itu adalah dengan niat, dan bagi setiap seseorang itu apa yang dia itu niatkan}-Muttafaqun alaihi. Namun mudah untuk kita ungkapkan sesuatu perkara, perbuatan, atau pekerjaan untuk mencari keredhaan Allah SWT tanpa menyatakan tujuan secara zahiriah. Niat yang tulus Ikhlas ini mestilah dengan pelaksanaannya mengikutkan apa yang Allah redhai. Ada dikalangan manusia yang menyatakan keikhlasan untuk mencari redha Allah SWT, baik penyaksiannya pun mengaku dengan kalimah syahadahnya iaitu {Sahaja aku naik saksi bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah, dan aku naik saksi bahawa Muhammad itu pesuruh(utusan) Allah}. Juga menyebut dalam sembahyangnya sepanjang 5 waktu sehari semalaman iaitu {bahawasanya sembahyangku, Ibadatku, hidupku dan mati untuk Allah sebagai tuhan yang mentadbir semesta alam}. Dan apa sahaja pengakuan di sisi Allah SWT yang hanya dinyatakan dibibir-bibir manusia ini, kadang-kadang tetap tidak dibukakan pintu petunjukNya. Perkara ini berlaku tidak lain dan tidak bukan apabila manusia melawan hukum Allah SWT. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: {Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan}-[Al-Ankabut: 45]. Ayat ini jelas kepada kita bahawasanya perintah Allah supaya kita meneliti Al-Quran untuk kita melaksanakannya dan perintah sembahyang. Maka dua perintah dalam maksud potongan ayat ini, menjelaskan kepada kita bahawasanya sembahyang yang dapat mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar adalah dengan meneliti dan melaksanakan apa yang dikehendaki di dalam Al-Quran.
Dalam penulisanku terus terang aku nyatakan, bahawasanya aku tidak gemar menulis dengan membanyakkannya maqalah tanpa melihat kepada kualiti dan mutu penulisan tersebut. Lagipun aku meletakkan penulisan secara bulanan lebih baik daripada mingguan. Dan tidak gemar menulis tanpa membuat kajian yang bersungguh. Malah aku sukakan idea pemikiran yang baru dalam penulisanku. Bukanlah bermaksud untuk aku membuat pegangan baru dalam kefahaman Islam. Tetapi pengolahan gaya pemikiranku sahaja. Dan aku juga cuba menulis untuk menyesuaikan suasana zaman sekarang ini untuk memupuk nilai kefahaman dan kesedaran orang. Aku juga orang yang belajar dan memerlukan tunjuk ajar daripada semua yang menjenguk atau meneliti tulisanku. Sebab kelemahanku kadang-kadang aku terlepas pandang. Apabila aku menulis, seolah-olah aku sedang berbual-bual dengan orang yang disampingku, tetapi tidak seperti menulis sebuah cerpen. Maka ini juga kegemaranku dalam menulis. Cuma konsepku dalam blogku ini kalau sahabat semua perhatikan, aku bukanlah orang yang menulis dengan semberono(membabi buta) dan tidak tersusun. Malah aku mengikut tertib perkara yang aku mahu sampaikan. Bukan sahaja yang aku susun ikut episod seperti bab Hikam, malah yang aku susun tidak ikut episod pun. Umpamanya berkaitan dengan unsur fikrah ataupun tazkirah, sebenarnya aku tetap menyusunnya. Barangsiapa yang meneliti benar-benar tulisanku daripada awal blog ini, maka akan mengerti sedikit sebanyak pembawakanku. Apa yang aku harapkan supaya orang yang membaca sentiasa berfikir, mengamati dan cuba beramal apa yang dikehendaki daripada tulisanku. Dan ada bab-bab yang aku sengaja lewatkan untuk menyambungnya. Umpamanya tentang bab Hikam itu sendiri. Kerana aku yakin bab ini amat sulit untuk orang mengambil buah hasilnya. Ramai yang inginkan pengetahuan tentang ini supaya dia boleh menjelaskannya kepada orang lain. Tetapi tidak cukup kalau tidak beramal dengan apa yang dia ketahui. Bagaimanakah untuk beramal dan menyebarkan? Konsep ini amat aku ambil berat sekali. Janganlah pandang entang dengan sesuatu perkara yang sebenarnya kita sendiri belum amatinya lagi. Dari tulisanku juga adalah sebagai tatapan tazkirah. Dalam erti kata lain boleh diulang baca bagi sesiapa yang rasa futur dan lemah, bagi mengembalikan semangatnya semula. Malah aku juga akan membacanya jika aku lemah sepertimana sahabat-sahabat membaca, sebab aku ini selalu lupa dan silap.
Wahai sahabatku, demikianlah tugas risalah dakwah mengajak manusia menuju redha Allah SWT ini adalah satu kewajipan kepada semua Muslim. Sehinggakan matlamat mengembalikan perundangan Islam di seluruh muka bumi Allah ini dapat disirnakan. Sebagaimana Fathi Yakan salah seorang pendakwah yang tidak asing lagi untuk kita sebutkan, berpendapat bahawasanya kewajipan itu adalah Fardhu Ain bagi setiap Muslim. Sebagai orang yang takutkan Allah, lebih-lebih lagi golongan Ulama' apatah lagi. Umpama satu ungkapan dari Ibnu Mas'ud menyebut: {Ulama' itu bagi sesiapa yang takut(dengan Allah)}.-[Rujuk Ad-Da'wah Al-Islamiyyah karangan Dr Sodiq Amin]. Bukanlah aku di sini menggelar diriku sebagai seorang Ulama', malah merasa takut dihatiku bila mudah orang mengungkapkan {itu Ulama' dan ini Ulama'} sedangkan ilmuku yang terlalu sedikit dan bila difikirkan seolah-olah macam tiada ilmu. Apatah lagi diriku seorang insan yang hina lagi tidak banyak mengerti ini, malah masih menuntut ilmu dan banyak perkara yang perlu dipelajari ini. Apapun sedikit sebanyak maklumat atau pengisian yang aku tonjolkan di dalam blogku ini, mudah-mudahan Allah SWT memberi sedikit saham diakhirat kelak. Kalau diharapkan amalan ibadatku sehari semalam, baik sembahyangku, puasaku, sedekahku dan sebagainya; apakah sangat-sangat ini mampu mengundangku untuk baik ganjarannya di akhirat kelak? Jawapannya sekali-kali tidak melainkankan Rahmat dan Kurniaan Allah SWT kepadaku. Namun kerja amalan sebaran dakwah ini sebagaimana sunnah Rasulullah SAW, juga sunnah-sunnah para Nabi yang lain ini adalah sunnah terbesarnya yang mesti kita benar-benar mengamatinya dan melaksanakannya.

Akhir kata, dengarlah wahai sahabat-sahabatku sekalian, satu sifat yang memberi pengertian yang menyeluruh yang dapat kita sifatkan kepada da'wah kita ini ialah: "Islamiyyah". Kalimah ini mempunyai pengertian yang luas, bukan pengertian yang sempit seperti mana yang difahami oleh kebanyakan orang. Kita berkeyakinan bahawa Islam adalah suatu pengertian yang menyeluruh, menyusun seluruh aspek, memberi fatwa dalam semua permasalahan, menentukan kepada permasalahan itu suatu sistem yang konkrit dan terperinci. Islam tidak berlepas tangan berdepan dengan permasalahan hidup dan sistem-sistem yang diperlukan untuk membawa Islam kepada manusia. Setengah orang tersalah, memahami bahawa Islam itu hanya terbatas dalam soal-soal ibadat dan bentuk-bentuk rohaniah sahaja. Mereka membataskan diri dan fahaman mereka di sekitar yang sempit ini sejajar dengan fahaman yang sempit terhadap Islam. Tetapi kita tidak memahami Islam seperti fahaman itu, malah kita memahami Islam dengan fahaman yang luas, ruang lingkupnya merangkumi seluruh urusan dunia dan akhirat. Dakwaan ini bukanlah semata-mata dakwaan kosong atau sengaja kita meluaskannya supaya sesuai dengan pendapat kita, tetapi inilah yang kita fahami dari kitab Allah dan sejarah orang-orang Islam yang terdahulu. Benar, da'wah kita adalah bersifat Islamiyyah dengan seluruh pengertian yang terkandung dalam kalimah 'Islamiyyah' itu, setelah itu sahabatku semua fahamilah apa yang sahabat mahu fahami dan dalam sahabat memahami itu sahabat terikat dengan kitab Allah dan sunnah RasulNya juga sejarah jejak langkah para Salihin muslimin yang terdahulu. Kitab Allah asas dan sumber Islam, manakala sunnah RasulNya berperanan sebagai menerang dan mentafsirkan Al Qur'an, manakala sejarah dan jejak langkah para salihin pula; mereka adalah golongan yang telah diredhai Allah, telah melaksanakan perintah Allah dan menerima ajarannya dan mereka adalah merupakan contoh yang praktik dan gambaran yang menjelmakan perintah dan ajaran itu. Sekian dariku.

Monday, April 14, 2008

SEBAB-SEBAB YANG MEMBAWA KEPADA KELEMAHAN JIWA.


1. Sikap ibubapa yang tidak mengambil berat tentang pendidikan anak-anak sejak kecil.
Tanpa disedari, keadaan tersebut membawa kepada penyerapan nilai-nilai yang negatif ke dalam jiwa anak-anak. Umpamanya, mengatakan bahawa:
“Kamu lebih baik dan mulia daripada orang lain. Kamu adalah daripada keturunan yang baik. Kamulah golongan yang berharta banyak jika dibandingkan dengan orang lain.”
Sentiasa memuji dan menyanjung mereka atas sebab-sebab tertentu ataupun tanpa sebab. Memenuhi tuntutan anak-anak, tidak kira samada mendatangkan manfaat ataupun tidak. Enggan mengenakan hukuman ataupun memberi tunjuk ajar sekiranya mereka melakukan kesilapan samada terhadap dirinya sendiri ataupun kepada orang lain. Sebaliknya dengan mudah membebaskan mereka, sedangkan mereka melakukan kesilapan. Perkara-perkara seumpama ini menjadikan mereka terbiasa dengan kesilapan.

2. Cara tarbiyyah yang terlalu keras, kasar dan berbentuk paksaan
Ini menjadikan anak-anak terperangkap dengan dirinya sendiri dan menjadikan jiwa mereka pasif. Akhirnya, mereka cuba untuk meneguhkan dirinya sendiri dan menjadi hero di hadapan orang lain. Mendakwa dirinya hebat dan handal malah seorang jaguh. Pada hakikatnya, semua itu adalah sangkaan yang meragukan dan palsu semata-mata. Dengan itu, leburlah keperibadian, tewas dengan diri sendiri dan tidak mampu untuk mempertahankan pandangan serta pegangannya di hadapan orang lain. Alangkah mudahnya tewas meskipun dalam pertarungan yang terlalu remeh.

3. Lemah dalam membina jiwa anak-anak dan suasana persekitaran yang tidak menggalakkan.
Anak-anak tidak sempat menamatkan pengajian dan tidak mampu menguasai ilmu serta rapuhnya hubungan kekeluargaan dan lain-lain lagi. Dengan itu, anak-anak akan menjadikan suasana luaran sebagai alternatif bagi meneguhkan diri dan menampung segala kekurangan diri. Ini semua akan menjadikan mereka ta`asub pada pandangan peribadi dan menggesa orang lain supaya menerima pandangannya. Cuba menampilkan diri sebagai seorang yang mengetahui segala perkara tersirat. Golongan ini tidak jemu bercakap tentang perkara yang boleh membersihkan imej sendiri dan mengangkat martabatnya di sisi orang lain.

4. Bakat dan keupayaan tertentu yang tidak dipupuk sejak kecil dengan norma-norma kehidupan yang mengiktiraf bahawa segala anugerah tersebut adalah dari Allah.
Sepatutnya mereka sentiasa bersyukur kepada Allah Ta`ala yang Maha Pencipta. Hal yang sedemikian perlu dititikberatkan, jika tidak, mereka akan membesar dengan rasa tinggi dari orang lain, perasaan membanding-bandingkan diri sesama manusia dan sentiasa berusaha untuk meyakinkan orang lain bahawa merekalah yang terbaik. Kadang kadang, bakat dan kebolehan sendiri menyebabkan kehancuran sekiranya ia tidak digunakan dengan bijaksana. Kisah Qarun boleh dijadikan pengajaran terbaik. Qarun yang telah Allah kurniakan segunung harta. Dikatakan kepadanya “Takutilah Allah dan bersyukurlah kepadaNya di atas harta yang telah dianugerahkan kepada engkau: Allah berfirman:
قال إنما أوتيته على علم من عندى
Maksudnya: Qorun berkata aku memperoleh harta benda itu adalah dengan ilmu pengetahuan ku sendiri.
[Al Qasas: 78]
Kisah Qorun telah tersemat di dalam Al Quran. Firman Allah SWT:
إن قارون من قوم موسى فبغى عليهم وآتيناه من الكنوز مآ إن مفاتحه لتنوؤ العصبة أولى
القوة إذ قال له قومه لا تفرح ان الله لا يحب الفرحين وابتغ فيما آتاك دار الآخرة ولا تنس نصيبك من الدنيا وأحسن كما أحسن الله إليك ولا تبغ الفساد فى الأرض لإن الله لا يحب المفسدين.
Maksudnya: “Sesungguhnya Qorun adalah salah seorang dari kaum Musa, kemudian ia dianiaya kepada bangsanya. Telah kami berikan kepadanya harta benda yang banyak, sehingga anak-anak kunci gudang-gudangnya amat berat dipikul ramai orang yang kuat. Ketika kaumnya berkata kepadanya: Janganlah engkau terlalu bersuka-ria, kerana Allah tidak mengasihi orang-orang yang sangat bersuka-ria.
Hendaklah kamu menuntut akhirat dengan kekayaan yang diberikan Allah kepada engkau dan janganlah engkau lupa bahagian nasib engkau di dunia dan berbuat baiklah kepada manusia seperti mana Allah telah berbuat baik kepada engkau dan janganlah engkau berbuat bencana di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak mengasihi orang-orang yang berbuat bencana.”
[Al Qasas: 76-77]
Akhirnya Qorun menerima azab kemusnahan dari Allah. Allah berfirman:
فخسفنا به وبداره الأرض فما كان له من فئة ينصرونه من دون الله وما كان من المنتصرين
Maksudnya: Maka kami benamkan Qorun berserta rumah tangganya ke dalam bumi. Tiada siapa yang menolongnya selain daripada Allah, tetapi dia tidak mendapat pertolongan.
[Al Qasas: 81]

وأصبح الذين تمنوا مكانه بالأمس يقولون ويكأن الله يبسط الرزق لمن يشاء من عباده
ويقدر لو لا أن من الله علينا لخسفنا ويكأنه لا يفلح الكافرون
Maksudnya: Orang–orang yang bercita-cita kelmarin untuk setempat dengan Qorun berkata: Ajaib, seolah-olah Allah melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya dan menyempitkannya. Jikalau Allah tidak memberi kurnia kepada kami nescaya Allah membenamkan kami pula. Ajaib, kerana sesungguhnya tiada menang orang-orang kafir.
[Al Qasas: 82]
Kadang-kadang taat setia dengan ajaran Islam, bersusah payah dalam beribadat, memperbanyakkan amalan sunat menyebabkan manusia merasakan dirinya lebih istimewa dari orang lain. Mereka menyangka dirinya mempunyai kedudukan istimewa di sisi Allah dengan amalan tersebut lalu memandang lekeh terhadap orang lain dan menghina orang yang melakukan maksiat. Iblis telah membuat tipu daya dengan ibadat mereka. Ketika mana Allah memerintahkan iblis agar sujud kepada Nabi Adam AS lalu iblis enggan: Allah Ta`la berfirman yang maksudnya:
“Allah berfirman: Apakah yang melarang kamu tidak mahu tunduk, ketika Aku menyuruhmu. Sahut iblis Aku terlebih baik daripadanya. Engkau jadikan aku dari api dan engkau jadikannya dari tanah.
(Al A’raf: 12)
Sebagai balasannya Allah telah mencabut segala rahmat daripadanya. Seorang ahli ibadat yang bernama Zulkhuaisoroh telah terpedaya dengan ibadatnya mendakwa di hadapan Rasulullah SAW: “Inilah bahagian amalan yang aku maksudkan untuk Allah.”
Berkata Ibnu Qaiyim: “Lihatlah kepada seorang yang banyak sujud dan beribadat, serta zuhud, terdapat pada dahi mereka tanda sujud iaitulah Zul Khuaisarah Al Tamimi Al Khariji. Dia adalah seorang pelampau yang mengingkari Nabi Muhammad SAW. Dia berpesan kepada para sahabatnya agar melakukan penghinaan terhadap orang-orang muslimin, sehingga sanggup menghunus pedang dan menghalalkan darah orang Islam.
Ayad Ibnu Himar RA seorang peminum arak yang sering mabuk, datang menemui Nabi SAW agar dikenakan hukuman hudud di atas kesalahannya. Kekuatan iman, keyakinan, kecintaan kepada Allah, sifat tawadhu` dan penyesalan dirinya yang tinggi menyebabkan Rasulullah SAW melarang para sahabat dari mencela beliau. Jelaslah dari sini, mereka yang banyak melakukan maksiat kepada Allah tetapi akhirnya bertaubat adalah lebih selamat berbanding dengan orang yang banyak beribadat namun akhirnya melakukan perkara yang dimurkai Allah Ta`ala.
Ibnu Qaiyim berkata: “Pendosa yang mencela diri dengan dosa-dosanya adalah lebih dicintai oleh Allah daripada orang yang melakukan ketaatan kepada Allah bertujuan menunjuk-nunjuk. Sesungguhnya kamu tidur dan bangun dalam keadaan menyesal lebih baik daripada orang yang bertahajud di malam hari dan bangun dalam keadaan ujub.” Orang yang ujub tidak diangkat amalan mereka.
Berkata seorang ulamak sufi Ibnu `Ataillah dalam kitabnya:
ربما فتح لك باب الطاعة وما فتح لك باب القبول وربما قضى عليك بالذنب فكان سببا فى الوصول. معصية أورثت ذلا وانكسارا خير من طاعة أورثت عجبا واستكبارا
“Mungkin Allah membuka pintu ketaatan tetapi ditutup pintu penerimaan (kabul). Sebagaimana adakalanya ditakdirkan engkau berbuat dosa tetapi menjadi sebab yang mendekatkan diri kepada Allah. Maksiat yang melahirhan rasa tercela dan penyesalan adalah lebih baik di sisi Allah daripada ketaatan yang membawa kepada rasa sombong, ujub dan takabbur.”-Ibnu Atoillah As-Sakandari

[
5. Tidak ada sifat saling nasihAt menasihati sesama manusia.
Nasihat merupakan suatu perkara yang amat pahit untuk diterima. Lantaran itu, ramai yang enggan memberi nasihat dan bermuka-muka kerana bimbang orang yang dinasihati akan berubah hati terhadapnya dan menimbulkan kemarahan. Sentimen ini, boleh mencetuskan anggapan pada sesetengah pihak bahawa kesilapan adalah kebenaran maka mereka yang bersalah terus bergelumang dengan kesalahannya.
Sebaliknya kita dapati sikap suka memuji dan mengampu berleluasa di kalangan manusia pada tahap yang tidak diterima akal, terutamanya apabila orang yang dipuji itu adalah di kalangan mereka yang mempunyai pangkat dan kuasa. Orang akan berlumba-lumba untuk memujinya samada pujian sebenar ataupun palsu. Ianya tercetus lantaran sifat tamak dan mengidamkan apa yang terdapat pada orang yang dipuji samada kemegahan, harta, kenaikan pangkat dan sebagainya.
Kadang-kadang, perkara yang menjadi pendorong bagi sesetengah manusia suka memuji adalah kerana menagih kasih sayang daripada orang yang dipuji lantas menyanjung mereka. Sesetengah orang mendakwa bahawa perkara yang mendorong seseorang mengasihi saudaranya yang lain ialah dengan memuji-mujinya secara terang-terangan agar bertambah lagi kasih sayangnya. Benar, bertambahnya kasih-sayang dan kemesraan tetapi bukan kerana Allah. Cinta yang hakiki ialah cinta kerana Allah dan mendekatkan diri kepadaNya (taqarrub). Akan tetapi cinta sebegini menjauhkan hamba dari Allah SWT. Ungkapan pujian walaupun ringan tetapi membawa kesan yang membinasakan orang yang mendengar, sepertimana yang akan dijelaskan selepas ini.

6. Tidak menitikberatkan pembinaan dalaman.
Peringkat usia tiga puluhan dihabiskan tanpa sebarang usaha untuk menyempurnakan segala kekurangan yang ada, lantas menyebabkan gejala lemah jiwa sebati dalam diri dan keperibadiannya. Mendidik anak anak di waktu kecil umpama mengukir di atas batu. Sepertimana yang telah kita ketahui dalam kisah Ashabul Ukhdud, kita melihat apa yang diminta oleh tukang sihir daripada Raja.
Dari Suhaib RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Ada seorang Raja sebelum zaman kamu yang memiliki seorang tukang sihir apabila tukang sihirnya tua, dia berkata kepada si Raja: “Sesungguhnya aku telah tua, utuskan kepadaku seorang budak agar aku boleh mengajarkannya ilmu sihir. Maka Raja tersebut mengutuskan seorang budak kepadanya untuk diajarkan sihir...”
(Riwayat Muslim)
Tukang sihir itu telah meminta seorang budak untuk diajar sihir kerana ia mengetahui bahawa umur muda adalah amat sesuai sekali untuk menerima, menghafal dan menguasai ilmu. Sepertimana pokok mudah dibentuk pada peringkat awal dan menjadi susah setelah sempurna pertumbuhannya.
Demikian juga manusia, alangkah mudahnya dididik sewaktu kecil dan amat sukar sekali setelah dewasa.

7. Tidak memuhasabah diri secara berterusan. Berpuas hati dengan amal ibadat tanpa melihat kepada percubaan hawa nafsu untuk menguasai amalannya.
Apabila seseorang itu mampu menilik diri dan amalan lahiriah, sebaliknya mengabaikan amalan hati seperti ikhlas, membenarkan Allah, bertawakal kepada Allah dan mengembalikan diri kepada-Nya; takut akan berlakunya riya`, takbbur, ‘ujub terpedaya dan lain lain lagi yang berkaitan dengan kecacatan amal maka sifat tercela tersebut bermaharajalela dalam diri tanpa disedari lantas dia menyangka bahawa dia sudah beruntung. Merasa dirinya tergolong di kalangan orang-orang yang soleh dan ahli syurga sedangkan itu bukanlah ciri-ciri orang soleh yang sebenar. Hakikat ciri-ciri orang yang soleh seperti mana yang disifatkan oleh Al Quran:
والذين يؤتون ما آتوا وقلوبهم وجلة أنهم الى ربهم راجعون
Maksudnya: Dan orang-orang yang telah memberikan apa–apa yang telah diberikannya (sedekah, zakat dan sebagainya) sedang hati mereka itu takut kerena mereka akan kembali kepada Tuhannya.
[Al Mu’minun: 60]
Daripada Imam Ahmad, sesungguhnya Saidatina Aisyah telah berkata:
يا رسول الله يؤتون ما آتوا وقلوبهم وجلة هم الذي يسرق ويزنى ويشرب الخمر وهويخاف الله عز وجل ؟ قال: لا يا ابنة الصديق ولكن الذي يصلى ويصوم ويتصدق وهو يخاف الله عز وجل…. رواه الترمذى وابن أبى حاتم ونحوه
Ertinya: Saidatina Aishah bertanya kepada Rasullullah SAW: Wahai Rasullullah orang-orang yang telah memberikan apa–apa yang telah dianugerahkan oleh Allah dan hati-hati mereka itu takut dan mereka juga adalah orang yang mencuri, berzina meminum arak, sedang ia takukan Allah? Sabda Rasullullah: Tidak wahai anak As Siddiq, akan tetapi adalah mereka yang sembahyang berpuasa bersedekah sedang dia takutkan Allah
Ibnu Qoiyyim berkata: “Amalan soleh yang telah dipengaruhi oleh hawa nafsu adalah amalan orang yang sangat berzuhud, banyak beribadat dan juga tekun dalam amalan mereka tetapi pada hakikatnya dirinya jauh daripada Allah. Sebaliknya orang melakukan banyak kemaksiatan kepada Allah tetapi hatinya lebih hampir kepada Allah dan tidak terkesan dengan hawa nafsu adalah lebih dekat kepada martabat ikhlas dan pelepasan dari azab.”

-(تهذيب مدارج السالكين)

8. Menonjol dan menampilkan diri tanpa persediaan dan pembentukan awal.

Mereka yang tampil kehadapan dan terdedah kepada kemasyhuran sebelum sampai waktunya akan mudah tercicir dalam banyak perkara. Sepertimana yang disebut oleh Imam As-Syafie yang bermaksud:
Apabila terkehadapan orang muda yang belum mantap ilmunya hilanglah darinya ilmu yang banyak.
Ini akan membantutkan usaha mencari ilmu, membentuk diri, mendidik jiwa dan menghidupkan hati. Sesetengah manusia apabila disuluh dengan cahaya kemasyhuran sedangkan dia masih belum ada persediaan diri yang mantap maka samalah keadaannya seperti orang yang menghampiri cahaya dan mendapati dirinya terlalu besar sedang itu hanyalah bayang-bayang, sedangkan dirinya tetap tidak berubah.
Bayang-bayang telah banyak memperdaya manusia. Mereka menyangka dirinya amat besar dan melihat orang lain tidak sepertinya di segi kehebatan. Gerak hati itu dizahirkan pada tingkahlaku mereka dan menggunakan segenap upaya untuk membenarkan kepalsuannya. Mengelakkan diri dari kelihatan jahil dan berhajat kepada ilmu pengetahuan. Mereka menyangkakan dirinya adalah di kalangan orang yang berilmu dan meletakkan dirinya sebaris dengan saf ulama` sedangkan dia tidak pernah bersusah payah untuk mengkaji, menghafal, belajar dan mengikuti jejak langkah penuntut ilmu. Mereka telah terpedaya dengan bayang-bayang kemegahan, dan populariti. Apabila ditanya sebarang persoalan maka ia akan menjawab membuta tuli untuk menyembunyikan kejahilan diri sendiri.
(Syarah Al Hikam Ibnu 'AtaoillahAs-Sakandari olehا Dr. Mohd. Said Ramadhan Al Buthi – بتصرف )
Apabila pendapatnya ditolak dia akan merasa marah dan apabila berhujah ataupun berdialog dia akan terus melenting jika disanggah. Apabila diberi nasihat dan tunjuk ajar ia enggan menerimanya. Mereka melihat dirinya di atas permukaan cermin cembung yang menampakkan dirinya kelihatan lebih besar. Mengandaikan orang lain lebih sesat sedangkan pada hakikatnya dialah yang lebih sesat.
الاخلاق الإسلامية وأسسها لحنبكة - بتصرف
Orang yang sebegini pada hakikatnya membuka pekung di dadanya sendiri, memandu diri sendiri kearah kebinasaan. Tidak mengunakan kesempatan yang ada untuk membentuk diri. Lambat laun, secara tiba-tiba sahaja mendapati dirinya telah dilingkungi manusia sambil menuding jari padanya. Terperangkap dengan rencah kehidupan dunia dan tidak lagi punya waktu untuk memelihara hati, membersihkan jiwa atau membajai akal fikiran dengan cahaya ilmu.
(Syarah Hikam Al Athaillah: Mohd. Said Ramadhan Al Buthi)







FENOMENA MASALAH JIWA

Sepertimana yang kita sedia maklum, sesiapa yang ingin merawat sesuatu penyakit maka dia terlebih dahulu hendaklah mengenalpasti jenis penyakit kemudian mengkaji sebab-sebabnya, agar mudah untuk mengenal pasti penawar yang paling sesuai.
Dari sini, jelas kepada kita kepentingan mengenal pasti fenomena penyakit lemah diri dan jiwa ini. Sesiapa yang menganggap ianya suatu yang mudah dan enteng pada hakikatnya adalah silap. Kita berinteraksi dengan diri dan jiwa manusia yang sebahagian besarnya tidak dapat dikesan dengan mata kasar. Tiada garis panduan yang jelas untuk berinteraksi dengannya. Hawa nafsu merupakan musuh manusia yang paling utama, kerananya nabi Adam as dikeluarkan daripada syurga lantaran bisikan syaitan yang tidak berkesudahan. Terdapat banyak bentuk kelemahan jiwa, antaranya ialah sentiasa akur dengan runtunan hawa nafsu dan keseronokan, meninggalkan perintah Allah, tidak menjauhi larangan-Nya, menghalalkan segala yang diharamkan oleh Allah. Manakala bentuk kelemahan jiwa yang tersembunyi pula ia memerlukan kesungguhan untuk ditanggapi dan ia berbeza antara seorang dengan seorang lain. Dengan izin Allah saya akan jelaskan pada helaian yang akan datang contoh-contoh gambaran fenomena ini sebagai perumpamaan untuk menyingkap ke dalam diri masing-masing dan memeriksa hal dalaman diri mereka dan seterusnya mengenal pasti tempat kelemahannya.
Sesetengah orang membuat rumusan bahawa contoh kelemahan diri yang dipamerkan di sini terlalu jauh dan tidak wujud pada diri mereka. Rumusan ini mungkin benar bagi sesetengah orang dan sebahagian besar daripada gambaran di dalam risalah ini hanyalah sebagai contoh sahaja. Ini bermakna boleh jadi realitinya tidaklah sedahsyat seperti yang digambarkan namun begitu ianya wujud dan berlaku pada sesetengah kalangan manusia yang lain dan kemungkinan ia bertepatan dengan realiti mereka. Dengan itu contoh tersebut mengenai sasaran sebahagian besar manusia.

CONTOH CONTOH KELEMAHAN JIWA.

Contoh yang pertama iaitu seseorang yang suka menceritakan tentang diri sendiri di hadapan khalayak ramai perihal kemuliaan diri, tidak jemu menyebut-nyebut tentang ketokohan dan kehebatan serta segala pencapaian yang telah lampau, berbangga-bangga dengan segala bentuk kekuatan, kemegahan, kekuasaan, keturunan, anak anak, harta benda dan segala bentuk kebanggaan. Sebaliknya kita lihat, mereka sangat takut untuk mengakui kejahilan diri, tidak menunjukan keinginan untuk mengetahui atau mempelajari dan memahami sesuatu. Sentiasa berhati hati agar tidak melakukan kesilapan di hadapan orang lain. Ketika diminta untuk melakukan sesuatu yang di luar kemampuannya, dia tidak sekali-kali akan mengatakan bahawa dia tidak mampu agar tidak menampakkan kelemahan dirinya. Apabila diajukan persoalan tentang agama, ia akan menjawabnya, meskipun tanpa pengetahuan untuk mengelakan diri dari dianggap tidak tahu atau seolah-olah dia berhajat kepada sesuatu maklumat dan sebagainya yang boleh mengurangkan kewibawaannya
Dari contoh-contoh tersebut, jelaslah kepada kita bahawa mereka yang berperibadi sedemikian tidak mahu melihat orang lain mengatasinya sedangkan itu semua adalah suatu yang di luar kemungkinan. Dia akan menggunakan pelbagai cara untuk menyembunyikan kelebihan orang lain dengan menyebut kelemahan mereka dan mendakwa bahawa dirinya lebih mulia daripada orang lain.

1) Taasub dengan pandangan peribadi.

Mereka yang tergolong dalam kategori ini sentiasa merasa taasub dengan pandangan peribadi, tak kira samada benar mahupun sebaliknya. Apabila pendapatnya disanggah maka dia akan cuba mempertahankannya dan tidak merasa tenteram sehinggalah orang yang menyanggahinya akur dan tunduk kepadanya.


2) Tidak mahu mengakui kesilapan diri sendiri.

Mereka ini terlalu sukar untuk mengakui kelemahan dirinya. Melakukan apa sahaja untuk mengelakkan diri dari melakukan kesilapan dan ada kalanya memaksa diri sendiri untuk melakukan pendustaan agar tidak dianggap oleh orang lain dia telah melakukan kesilapan.

3) Merasa sempit dada bila dikritik dan dinasihati.
Merasakan kepahitan dan kesakitan yang teramat sangat apabila dikritik dan diberi nasihat. Adakalanya jika dibelenggu oleh perasaan yang terlalu menghimpit dia akan merasakan seolah-olah dunia ini miliknya. Lebih-lebih lagi jika orang yang memberi nasihat tersebut lebih muda daripadanya. Keadaan ini berlaku lantaran diheret oleh runtunan perasaan yang menyebabkan api kemarahannya memarak.

4) Bahagia dan seronok dengan pujian
Pengidap penyakit ini terlalu ramai, mereka merasa terlalu sukacita dan seronok bila mendapat pujian khususnya jika orang yang memuji itu memiliki kedudukan dan pangkat. Dia akan sentiasa mengulangi pujian tersebut dan membuat sesuatu agar manusia sentiasa menyebut-nyebut tentang kebaikan dan kejayaannya


5) Gembira dan seronok apabila mendapat perhatian.
Contohnya, ketika memberi pertolongan kepada golongan miskin dan mereka yang berada di dalam kesusahan atau ketika menjawab soalan. dan juga ketika melakukan ketaatan kepada Allah dan lain lain lagi. Sebaliknya kita dapati dia akan bermasam muka ketika manusia lain memandang rendah pada ketika dia memang selayaknya mendapat kejian. Keadaan ini boleh berlaku ketika ia melakukan maksiat atau perkara syubhah dan melakukan kesilapan dalam pekerjaannya atau tidak mampu menjawab pertanyaan orang.


6) Gila kuasa, ghairah untuk menonjolkan diri dan mahu sentiasa dipilih.

Golongan ini biasanya berasa gah dengan tanggung jawab dan sentiasa bergelut untuk merebut suatu jawatan dengan apa cara sekali pun. Masakan tidak? Ini semua adalah jalan untuk kemegahan dan meraih pangkat serta memikat hati manusia agar mereka sentiasa mengagungkannya dan mengikut pandangannya.
Ada ketikanya syaitan cuba menggodanya untuk melakukan suatu tugas dan amanah serta membisikkan bahawa khidmatnya itu adalah untuk Islam. Sedangkan itu semua adalah untuk kemaslahatan dirinya semata-mata. Seolah-olah tidak terlaksana khidmat Islami jika tidak melantik dirinya sebagai pemimpin atau pengarah. Oleh kerana itu kita mendapati orang yang berpenyakit seperti ini sentiasa menantikan perbualan telefon atau temu janji yang berkaitan dengan tugas. Apabila disisihkan maka dia akan diselubungi rasa sedih dan merasa sempit dada. Bahkan ia cuba memburuk-burukkan orang yang menyisihkannya serta sentiasa meletakkan kesalahan kepada orang lain dan menghebahkannya di kalangan orang ramai.
Sebaliknya jika beliau terpilih untuk mentadbir suatu tugas, nescaya orang bawahannya akan menerima kecelakaan. Sergahan, kekasaran dan tempelakan merupakan tabiat dan kebiasaan. Terlalu mem-perhitungkan perkara yang kecil dan remeh-temeh ataupun perkara yang besar tanpa belas kasihan. Selalu mengherdik, bertindak kasar, menghina, mempersenda dan menuding kesalahan kepada orang lain. Segala bantahan dibuat secara terang-terangan tanpa mengambil kira perasaan orang. Sentiasa mengarahkan orang bawahan agar berkhidmat melakukan urusan peribadinya dan sentiasa sibuk dengan urusan luar serta mengabaikan tugas sendiri. Jika mereka cuai maka bersedialah untuk menerima padah. Membuat keputusan sendiri tanpa bermesyuarat dengan orang lain. Merasakan dirinya sentiasa berada di atas dan yang terbaik. Mana mungkin melakukan perbincangan dengan orang yang tidak setaraf. Lantaran itu, keputusannya sentiasa tergesa-gesa dan tindak-tanduknya membuta tuli.
Kita juga mendapati dia banyak membicarakan tentang bebanan tugas dan besarnya tanggungjawab yang dipikul. Sebaliknya dia sentiasa cuba bersikap lepas tangan terhadap tugasnya kecuali jika dalam keadaan terdesak. Apabila disuarakan “lepaskan jawatan kamu kepada orang lain” nescaya dia akan merajuk, jiwanya membuak-buak, melenting, marah, memberontak dan menuduh orang lain merancang membuat keputusan tersebut. Dia telah lupa tentang cinta dan kasihnya terhadap semangat keperwiraan dan kepahlawanan yang pernah dilaungkan. A‎pabila berada di dalam sesebuah pentadbiran, mereka akan sentiasa menyusahkan orang lain dan tidak mudah tunduk. Merasakan dirinya sahaja yang sentiasa layak menegur orang atasan. Seringkali cuba untuk berlepas diri bila melakukan sesuatu yang bercanggah.


7) Tidak mengakui kesilapan dan kekurangan diri.

Orang yang berkenaan sentiasa ingin lari daripada mengingati kepincangan diri dan cuba menyembunyikannya, agar orang lain akan menganggap bahawa dia tidak pernah melakukan sebarang kesilapan atau meskipun ada tetapi terlalu sedikit. Untuk itu, ia sentiasa berusaha agar apa sahaja yang berlaku di masa lalu tidak lagi diingati, sekalipun ianya memang benar kesilapannya.


8) Tidak menunaikan hak orang lain.

Sentiasa merasa berat ketika melaksanakan hak orang lain seperti menziarahi orang sakit, melepaskan kesusahan orang lain, menolong orang dizalimi, menghulur bantuan kepada yang memerlukan dan sebagainya. Sebaliknya jika ia ditimpa sakit- contohnya- maka dia mestilah diziarahi, sekiranya orang lain tidak terdaya melaksanakan hak ziarah tersebut kerana urusan tertentu sudah pasti ia akan mengambil kira dan mencelanya.


9) Mengungkit-ungkit segala khidmat bakti dan amal kebaikkan.

Orang sebegini tidak jemu-jemu menyebut segala sumbangan dan khidmat bakti yang telah dihulurkan dan sentiasa mengharapkan ucapan terima kasih dan penghargaan dari sesiapa yang telah mendapat khidmatnya. Bahkan menghendaki orang lain segera menunaikan hajatnya, memulakan salam, berhenti ketika terserempak dengannya, berdiri tegap menghormatinya dan lain-lain perilaku yang melambangkan tanda hormat. Jika orang lain tidak melakukan itu semua nescaya cemuhan, celaan dan penghinaan merupakan balasan yang dinantikan.
Terdapat juga di kalangan mereka yang sentiasa menginginkan ganjaran mata benda atas segala khidmat yang diberikan. Jika ia tidak memperolehinya maka air muka dan tingkah lakunya akan berubah terhadap mereka.


10) Terpedaya dengan kebolehan dan kelebihan sendiri.

Mereka ini tidak menyandarkan segala kelebihan dan kenikmatan yang dikecapi kepada Allah. Sebaliknya menyandarkannya ke atas diri sendiri semata-mata. Tanpa kebolehan dan bakat yang dianugerahkan oleh Allah tersebut nescaya dia tidak akan memperolehi pelbagai nikmat yang lain. Baginya dialah sahaja yang layak mendapat kebaikan, orang lain tidak layak, “Kenapa tidak?!! Sedang dialah seorang yang mempunyai kebijaksanaan, akal yang tajam, keinginan tinggi, kecergasan yang berterusan, peka dalam menghuraikan segala peristiwa, berupaya mengistinbat hukum, kuat ingatan, banyak menghafal Al Quran serta teliti dari sudut pembacaannya, sentiasa bangun malam, berpuasa sunat, banyak merujuk kitab, mengenali ramai ulama, pendakwah yang berpengaruh, memiliki uslub yang istimewa dalam menarik orang. Tidakkah dengan kebolehan dan kelebihan dirinya ini, telah melorongkan dirinya untuk mengecapi pelbagai nikmat lain?! Kedudukannya disisi Allah telah melayakkannya untuk memperolehi pelbagai nikmat lagi!!” Demikianlah sangkaan dan dakwaan mereka, seperti dakwaan Qorun:
قال إنما أوتيته على علم عندي
Maksudnya: Qorun berkata: “Aku memperoleh harta benda adalah dengan ilmu pengetahuan aku sendiri”.
(Al Qasas: 78)



11) Tidak suka orang lain memperolehi kebaikan.

Berasa sedih dan sempit dada apabila sahabatnya mendapat nikmat dan mengharapkan nikmat tersebut tidak kekal. Sebaliknya seronok dan gembira apabila sahabatnya ditimpa musibah.



12) Merasakan dirinya sahaja yang berhak untuk bercakap di dalam mana-mana majlis yang dihadiri.

Anda melihat mereka yang terdiri dari golongan ini sering memintas percakapan orang lain, menjawab apa sahaja yang diperkatakan, suka memperkatakan tentang perihal diri sendiri, kisah hidupnya, meninggi diri dengan tujuan untuk berbangga dengan pencapaian sendiri dan kehandalannya.



13) Menghebahkan amal kebajikan sendiri.

Apabila mendapat taufik daripada Allah untuk melakukan amal kebajikan atau amalan yang menghampirkan diri kepada Allah(taqarrub) dan meninggalkan perkara mungkar, dia akan menghebahkan segala amalan yang telah dilakukan samada secara sinis ataupun terus terang. Berusaha untuk menyandarkan segala yang telah dilakukan adalah hasil daripada usahanya sendiri, bukan hasil usaha orang lain. Golongan ini amat marah apabila hasil kerja dan kebajikannya disandarkan kepada orang lain dan jiwanya menjadi tidak tenteram. Sebaliknya jika disandarkan amalan orang lain kepadanya maka dia tidak akan melakukan sesuatu untuk menyatakan hakikat yang sebenarnya.



14) Sentiasa takutkan kemiskinan.

Ini juga merupakan salah satu daripada contoh kelemahan jiwa yang terdapat pada sesetengah orang. Terlalu bakhil, takut ditimpa kemiskinan dan kesempitan hidup adalah antara identiti mereka. Jiwanya sentiasa diburu ketakutan untuk menghadapi hari-hari mendatang yang belum pasti. Ini semua menjadikannya tidak mahu menyumbang khidmat bakti di jalan Allah dan membantu orang yang memerlukan.



15) Tidak mampu untuk berhadapan dengan orang lain kerana merasa lemah diri.

Tidak terdaya menerima hakikat kesalahan diri sendiri dan cuba lari daripadanya. Jika orang lain menjelaskan kesalahannya dia sanggup berdusta untuk membebaskan diri dari dakwaan yang diajukan kepadanya.



16) Mudah berubah pendapat dan goyah pendirian.

Apa yang menyedihkan ialah d‎ia telah telah tewas di hadapan orang lain dan diri sendiri tanpa disedari. Dia seringkali mempunyai pandangan yang berbeza dengan orang lain, tetapi tidak berani untuk menyatakannya kerana takut celaan, dipersendakan dan seterusnya tewas di hadapan mereka.








KATEGORI MANUSIA DALAM MENGHADAPI JIWA.



Firman Allah SWT:
ونفس وما سواها فألهمها فجورها وتقواها قد أفلح من زكاها وقد خاب من دساها
Maksudnya: Demi diri (manusia) dan yang menyempurnakannya (Allah). Lalu diilhamkan oleh Allah kepadanya mana yang buruknya dan mana yang baiknya.
(As Syams: 7 – 10)
Sesungguhnya Allah telah menciptakan pada setiap hambanya nafsu ammarah yang cenderung pada kejahatan untuk menguji sejauh mana tulusnya pengabdian mereka terhadap Allah. Antara sifat-sifat tersebut ialah kejahilan, berlaku zalim dan bersifat bakhil. Semua sifat tersebut cenderung pada kejahatan dan menyimpang dari kebaikan, bencikan kepayahan dan bebanan tanggungjawab.
Allah telah mencipta sifat ini sebagai gelanggang pertarungan dan medan praktis untuk menguji kejujuran pengabdian hambanya kepada Allah. Tanpa sifat-sifat tersebut nescaya manusia akan menjadi seperti malaikat yang tidak pernah menderhaka kepada Allah.
Allah menggesa hambanya agar memerangi hawa nafsu dan sebagai habuan kemenangan mereka dalam pertarungan itu dijanjikan keredhaan dan syurga Allah buat mereka. Allah berfirman:
فأما من طغى واثر الحياة الدنيا فإن الجحيم هى المأوى وأما من خاف مقام ربه ونـهى
النفس عن الهوى فإن الجنة هي المأوى..
Maksudnya: Maka barangsiapa yang durhaka dan mengutamakan kehidupan di dunia, maka sesungguhnya nerakalah tempat kediamannya. Adapun orang yang takut akan kebesaran Tuhannya dan menahan dirinya daripada hawa nafsunya, maka syurgalah tempat kediamannya.
(An Naziaat: 38 - 41)
Manusia berinteraksi dengan jiwa dan nafsu dalam tiga kategori:
Golongan Pertama:
Mereka yang beriman kepada Allah, para malaikat, kitab-kitab, para Rasul, hari akhirat, qada` dan qadar Allah Ta’ala; menjadikan syariat Allah sebagai landasan hidup dan percaya bahawa nafsunya adalah penghalang utama untuk mengikhlaskan dirinya untuk beribadat kepada Allah. Nafsu tersebut berada di antara dua tulang rusuk manusia dan ia juga merupakan salah satu daripada musuh-musuh manusia. Kita diseru berjihad menentang hawa nafsu dan sentiasa berhati-hati dan berjaga-jaga dalam menghadapi musuh–musuh tersebut tak kira samada kecil mahupun besar. Memerangi hawa nafsu dan syahwat serta mematahkan sebarang kecenderungan terhadapnya. Mengikut keinginan nafsu sekadar dalam hal-hal yang diharuskan dengan syarat secara tidak berlebih-lebihan dan melampaui batas serta tidak mengabaikan amal ibadat. Malah sanggup pula menggadai jiwa raganya sama-mata kerana ingin menyahut seruan Allah. Firman Allah SWT:
ان الله اشترى من المؤمنين أنفسهم وأموالهم بأن لهم الجنة يقاتلون فى سبيل الله فيقتلون ويقتلون وعدا عليه حقا في التوراة والإنجيل والقرآن ومن أوفى بعهده من الله فاستبشروا ببيعكم الذى بايعتم به وذلك هو الفوز العظيم ..
Maksudnya: Sesungguhnya Allah telah membeli diri dan harta orang-orang yang beriman, bahawa untuk mereka itu syurga. Mereka berperang di jalan Allah, lalu mereka membunuh atau terbunuh, sebagai janji benar bagi Allah (yang termaktub) dalam Taurat, Injil dan Quran. Siapakah yang lebih menepati janjinya dari Allah? Sebab itu bergembiralah dengan perjualan yang kamu jual itu. Demikian itulah kemenangan yang besar.
(At Taubah: 111]
Allah SWT menjelaskan dalam ayat berikutnya bahawa golongan ini adalah sepertimana yang difirmankan oleh Allah SWT:
التائبون العابدون الحامدون السائحون الراكعون الساجدون الآمرون بالمعروف والناهون عن المنكر والحافظون لحدود الله وبشر المؤمنين
Maksudnya: Orang–orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji Allah, yang berpuasa (atau mengembara menuntut ilmu), yang ruku`, yang sujud, yang menyuruh dengan ma`ruf dan melarang yang mungkar, lagi memelihara batas-batas (perintah) Allah. Berilah khabar gembira orang–orang yang beriman itu dengan syurga.
(At Taubah: 112)
Kita dapati segala pergerakan, diam, berdiri dan duduknya hanyalah kerana Allah SWT dan bukan mengikut nafsunya. Ini bertepatan dengan apa yang difirmankan oleh Allah SWT:
ومن الناس من يشترى نفسه ابتغاء مرضات الله . والله رؤوف بالعباد
Maksudnya: Setengah manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana menghendaki keredhaan Allah dan Allah Pengasih kepada hambaNya.
[Al Baqarah: 207]
Kemenangan mereka dalam melawan jiwa dan nafsu akan terserlah melalui perilaku dan ikrar taat setianya kepada Allah, mentauhidkan dan membesarkan syiar Allah, menjauhi segala larangan, tidak merasa marah dan menaruh dendam ke atas dirinya sendiri. Sebaliknya mereka berasa marah sekiranya melampaui batas larangan Allah. Kaya jiwa membawa erti, berpada dengan apa yang ada, tidak terlalu bergembira apabila memperolehi nikmat dunia dan tidak pula bersedih hati apabila kehilangan habuan dunia, tidak melihat mereka yang lebih hebat mengatasi dirinya dalam hal keduniaan dan tidak pula terliur apabila melihat harta.
Tawakkal kepada Allah dan redha dengan segala ketentuan-Nya. Mengutamakan kepentingan agama daripada kepentingan dunia, berterus-terang dengan kebenaran dan berpaut teguh dengannya. Segala yang halal menjadi pilihan, menjauhi perkara-perkara yang bersifat keduniaan, berakhlak mulia, mudah bergaul, lemah lembut, berhati-hati terhadap segala perkara yang haram, menunaikan amanah, menepati janji, bersedekah ketika senang dan susah, tangan kanan menderma tanpa pengetahuan tangan kiri, bercakap benar, rendah diri, melihat kekurangan dan kelemahan dirinya. Apabila melihat orang yang lebih tua daripadanya ia berkata: “Beliau mendahului aku dalam beramal soleh,” apabila melihat orang yang lebih muda darinya beliau mengatakan: “Aku mendahuluinya dalam melakukan dosa.”
Bersaudara kerana Allah dan tidak menaruh rasa dendam terhadap kebaikan yang dianugerahkan oleh Allah kepada orang lain. Jiwanya tenang ketika berhadapan dengan saudaranya yang lain, memahami Islam dengan kefahaman yang sahih, tidak mendahulukan perkara yang sunat daripada yang wajib, sentiasa menekuni setiap pekerjaan dan bidang pengkhususannya, sabar dan teliti dalam setiap tindak-tanduk, sentiasa menyeru kepada Allah, menyuruh manusia melakukan kebaikan dan menjauhi kemungkaran. Memulakan dengan diri sendiri, keluarga dan kaum kerabatnya, sentiasa mengambil berat hal ehwal umat Islam, mempunyai sensitiviti yang kuat dengan isu mereka dan sentiasa mengharapkan pengiktirafan dari Allah. Tidak taasub dengan pandangan peribadi dan sentiasa berpandukan kata kata imam Syafie:
رأيي صواب يحتمل الخطأ ورأي غير خطأ يحتمل الصواب
Bermakna: Mungkin kebenaran pandanganku ada kesilapan dan mungkin pada kesilapan pandangan orang lain ada kebenaran.
Tidak mendedahkan diri kepada cinta dunia dan sukakan jawatan serta sentiasa mengharapkan agar dirinya dibimbing. Apabila diberi amanah, ia dapat menerimanya dengan hati terbuka dan penuh minat. Bersedia meninggalkan segala jawatan pada bila–bila masa jika diminta berbuat demikian dan menganggap hari perlucutan jawatannya sebagai suatu hari yang menggembirakan.
Menjadikan sunnah Nabi sebagai pedoman dalam setiap perbuatan dan kata-kata, sentiasa segera bertaubat dan memohon keampunan daripada Allah SWT. Inilah dia hamba yang sebenar terhadap Tuhannya dan mendapat pertolongan dari Allah SWT samada di dunia mahupun akhirat, seperti mana yang difirmankan oleh Allah SWT yang bermaksud:
Sesungguhnya Allah menolong mereka yang menolong agamanya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa.
[Al Hajj: 40]
Berjiwa kental mengharungi cabaran ketika di medan juang untuk menentang kebatilan di samping pertolongan Allah SWT, firman Allah SWT:
إنا لننصر رسلنا والذين آمنوا في الحياة الدنيا ويوم يقوم الأشهاد يوم لا ينفع الظالمين معذرتهم ولهم اللعنة
ولهم سوء الدار
..
Maksudnya: Sesungguhnya kami menolong Rasul-Rasul kami dan orang-orang yang beriman waktu hidup di dunia dan hari qiamat. Iaitu hari yang tidak bermanfaat segala alasan bagi orang yang zalim; mereka mendapat laknat dan untuk mereka penempatan yang buruk.
[Al Ghafir: 51 - 52]
Namun apa yang menyedihkan ialah manusia yang tergolong dalam kategori ini tidak ramai. Meskipun mereka itu wujud seiring dengan peredaran zaman tetapi tapi pada darjat yang berbeza-beza. Sepertimana sabda Rasulullah:
لا تزال طائفة من أمتي ظاهرين على الحق لا يضرهم من خذلهم حتى يأتي أمر الله وهم كذلك ..

Ertinya: Akan tetap wujud segolongan dari umatku berterus terang menyatakan kebenaran tidak memudharatkan mereka orang yang memperlecehkan mereka, sehinggalah datang ketentuan Allah (hari kiamat) dan mereka tetap begitu (menyatakan kebenaran).-Muttafaqun 'Alaihi

Golongan Ke Dua:
Golongan yang kedua ialah mereka yang mengikut hawa nafsu dan langsung tidak menyanggahi segala tuntutannya. Mereka adalah golongan yang menuju kepada kehancuran. Apakah mereka ini tidak mendapat rahmat daripada tuhan? Masakan tidak. Mereka telah beralih daripada menyembah tuhan dan penciptanya kepada menyembah hawa nafsu mereka. Mereka ini bertepatan dengan firman Allah SWT:
أرأيت من اتخذ إلهه هواه أفأنت تكون عليه وكيلا أم تحسب أن أكثرهم يسمعون أو يعقلون إن هم إلا كالأنعام
بل هم أضل سبيلا
..
Maksudnya: Adakah engkau lihat orang yang mengambil hawa nafsunya sebagai tuhan? Adakah engkau menjadi wakil (penjaga) untuknya. Bahkan adakah engkau kira bahawa kebanyakkan mereka mendengar atau memikirkan? Mereka tidak lain hanya seperti binatang, bahakan mereka lebih sesat jalannya.
[Al Furqan: 43]
Nafsu telah mengheretnya kepada dunia yang penuh dengan segala perhiasan dan keindahan lalu tenggelam dalam runtunan nafsu tersebut. Meliarkan pandangan dan dikekang oleh kemahuan syahwat. Mengisi perut dengan segala apa yang disukai tanpa menghiraukan samada halal ataupun haram. Dirinya tidak berupaya memikul bebanan dan tanggungjawab, tidak menjaga sembahyang lima waktu dan puasa serta ibadat-ibadat yang lain, menjadi hamba kepada diri sendiri dan menjadi tawanannya, dirantai oleh nafsu syahwat. Apabila diberi peringatan dengan nama Allah SWT dan disuruh menunaikan segala hak-haknya mereka akan mengejek dan mempersendakannya. Mereka telah banyak melakukan pendustaan untuk membebaskan diri dari balasan dan celaan orang yang berada di sekelilingnya. Bersikap riak untuk memperelokkan tanggapan orang tentang dirinya, tidak jemu memperkatakan tentang diri sendiri, keperwiraan dan segala kejayaan. Tidak ada halangan baginya untuk menceritakan hikayat yang palsu agar dikagumi dan mempamerkan segala kebaikan di hadapan manusia, menjadikannya sebagai satu kebanggaan dengan cara yang keji. Melakukan kebaikan untuk kepentingan diri dan maslahah (kepentingan) peribadi. Slogan mereka ialah matlamat menghalalkan cara. Mereka ini mengikuti jalan syaitan dan menjadi tentera dan puak mereka.
استحوذ عليهم الشيطان فأنساهم ذكر الله أولئك حزب الشيطان ألآ إن حزب
الشيطان هم الخاسرون
Maksudnya: Mereka telah dikuasai (diperintah) oleh syaitan, lalu dia melupakan mereka dari mengingati Allah. Mereka itulah golongan yang mengikut syaitan ingatlah bahawa pengikut syaitan itu amat rugi.
[Al Mujadalah: 19]
Apa yang menyedihkan ialah golongan ini sangat ramai, mudah dilihat dan dikenali berdasarkan pengabdian mereka yang mutlak terhadap diri dan nafsunya.

Golongan Ketiga:
Golongan ini adakalanya tunduk dengan kehendak hawa nafsu dan adakala menyanggahinya. Terdapat pada diri mereka pengabdian dua dimensi iaitu pengabdian terhadap diri sendiri dan pengabdian terhadap Allah. Kadar pengabdian dua dimensi tersebut berbeza bagi setiap orang mengikut sejauh mana mereka tunduk kepada hawa nafsu dan akur kepada perintah Allah. Golongan ini menumpaskan hawa nafsu dalam pelbagai perkara tetapi nafsu pula yang menjadi raja dalam beberapa perkara lain. Wujud pada diri mereka unsur kekuatan dan kelemahan dalam menghadapi nafsu.
Mereka yang termasuk di dalam kategori ini sangat ramai. Terdapat di kalangan mereka yang terpedaya dengan keampuhan mereka berhadapan dengan hawa nafsu dalam beberapa keadaan, terutamanya ketika diperhati dan dilihat oleh orang ramai dan mereka menyangkakan bahawa mereka telah memperolehi kemenangan yang mutlak. Sebaliknya mereka lupa dengan teknik tipu daya syaitan. Dari segi zahir, mereka telah memperolehi kemenangan namun sebaliknya mereka telah menuruti kehendak diri dan hawa nafsunya tanpa disedari.
Kita perlu sedar bahawa pertarungan melawan hawa nafsu adalah pertarungan yang getir dan hebat yang tiada kesudahannya melainkan mati. Sepertimana yang disebut oleh seorang ulamak yang soleh:
يموت الموءمن وسيفه يقطر دما
Maknanya: Orang mukmin mati dalam keadaan pedangnya menitik darah.
Kita perlu sentiasa memuhasabah dan memeriksa hal dalaman diri secara berterusan agar mudah untuk membentangkan segala kelemahan dan mengubah diri serta tidak mudah tewas dengan hawa nafsu. Seterusnya kita menuju kepada kekuatan dan kemenangan. Allah Maha Perkasa untuk merealisasi tujuan tersebut.

Monday, April 7, 2008

FIKRAH ISLAM


TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT

Fikrah Islam atau fikrah kita ialah ajaran Allah,yang lengkap yang sempurna, syumul dan merangkumi seluruh kehidupan mukmin.

Inilah Islam, Addeen yang ditanzilkan atau diturunkan oleh Allah dan dibawa oleh Rasulullah S.A.W dan dilaksanakan di zaman awal. Allah Taa'la telah menjelaskan dan menegaskan tentang kesempurnaannya.

Oleh kerana Dienul Islam telah sempurna maka kita tidak boleh menambah atau mengurangkannya, begitu juga kita tidak boleh mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain.

Hendaklah kita sedar bahawa kita adalah pengikut dan penganut Dienul Islam dan mengakui sebagai hamba Allah, dan kita bukannya pencipta Deen . Oleh yang demikian kitalah yang perlu menyesuaikan diri dengan Islam dan bukannya Islam itu harus bersesuaian dengan selera kita, kehendak kita dan kemahuan masyarakat seperti firman Allah:

"Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini ,nescaya mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah.Mereka tidak lain hanya mengikuti prasangka dan mereka tidak lain hanyalah berdusta terhadap Allah." (Al-an'am-116)

Nilai kita ialah nilai Islam, iaitu nilai yang telah ditetapkan Allah dan dilaksanakan oleh Rasulullah S.A.W oleh yang demikian kita sedikitpun tidak boleh tidak redha pada syariat Islam.

Tasawwur Islami hendaklah difahami dengan betul. Kita hendaklah bersifat jiddiah (serius) di dalam memahami Islam dan tidak mencampur adukan dengan isme-isme lain.

Untuk itu kita hendaklah mengenal Islam dan mengenali jahiliyyah, mengenal Islam untuk dihayati dan mengenali jahiliyyah untuk dijauhi. Kita hendaklah mengenal setiap rupa, bentuk dan taktik jahiliyyah untuk dijauhi. Dengan itu barulah kita dapat membezakan yang mana Islam dan yang mana bukan Islam. Sabda Rasulullah S.A.W:

"Barangsiapa mengenal / mempelajari bahasa sesebuah kaum maka mereka terselamat dari tipu daya mereka".

Kita juga mesti mengenal realiti agar kita tidak salah faham, seperti mengatakan loteri kebajikan itu halal. Di dalam memahami Islam dan realitinya kita sememangnya kurang ilmu, oleh itu kita perlu berjama'ah. Kita sememangnya tidak mempunyai ilmu yang serupa. Tetapi dengan harakah kita mampu mengatasinya.

Satu lagi sikap yang mesti ada ialah kita jangan mudah menerima sesuatu yang bukan Islam, jangan mudah terpengaruh dengan istilah dan teknik atau slogan yang menarik seperti. Demi pembangunan, demi kemajuan dan Malam 'Amal. Dalam hal ini kita hendaklah mengenengahkan fikrah Islam dengan jelas dan pendirian Islam yang tegas kepada masyarakat.

Kita juga mesti mempunyai al-wa yu al-Islamiyy (kesedaran Islam). Ianya bukan sama dengan ilmu Islam. Dalam usaha memperolehi 'kesedaran Islam' perlu kepada kesabaran, tekun dan gigih dalam usaha. Seorang yang mempunyai 'kesedaran Islam' akan mudah terasa dan sensitif terhadap apa jua yang bercanggah dengan Islam.

Untuk itu kita perlu kepada didikan atau 'tarbiyyah'. 'Tarbiyyah' yang boleh melahirkan syakhsiyyah atau keperibadian muslim sejati.

Seorang mujahid Islam, Al-Ustaz Fathi Yakan menyatakan pembentukan sahsiyyah itu hanyalah dapat dibentuk di dalam suasana yang tertentu, yang jauh dari tarikan jahiliyyah. Umpamanya dengan mengadakan halaqah, usrah, ijtima' dan sebagainya.

Seorang muslim hendaklah tidak menghilangkan satu fikrah Islam pun dari pemikirannya. Siapa yang cuba menyembunyikan fikrah Islam adalah dikira menyeleweng. Ingatlah bahawa fikrah yang kita bawa adalah deen ditanzilkan oleh Allah S.W.T. Addeen yang dimaksudkan di sini bukanlah Addeen yang diterjemahkan kepada agama, sebagaimana yang difahami oleh kebanyakan orang.

Keaslian Islam hanyalah boleh dilihat dari sumber asalnya iaitu Al-Quran dan Al-Hadith dan juga dari ulama' dan mujahid Islam yang mu'tabar.

Allah telah memberi kata putus dan memberi pilihan samada beriman atau tidak, sebagaimana firmannya :

Ertinya : "Dan katakanlah (wahai Muhammad): "Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya". Kerana Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana khemah; (Al-Kahfi : 29)

Kita hendaklah memikir terus dan jauh sehingga hari qiamat. Oleh kerana kita tidak tahu di manakah tempat kita samada syurga atau neraka. Ketidaktahuan ini jua hendaklah kita punya sifat takut dan harap.Takut ialah bagi yang mengenalinya dan harap bagi yang melaksanakannya.

Iltizam kita pada Islam hendaklah pada setiap masa dan tidak pada majlis rasmi sahaja. Untuk ini juga kita perlu 'kesedaran Islam yang jelas' dan bukannya ilmu semata-mata. Ilmu sahaja tanpa kesedaran tidak dapat membawa kepada Islam ... individu.Dalam konteks masyarakat ialah yang menghayati Islam sepenuhnya.

Ilmu-ilmu Islam hendaklah diproses dan diolah melalui acuan iman/tarbiyyah iman sehingga lahir kesedaran dan ingin melaksanakan Islam, dengan patuh. Kesedaran fikiran sahaja tidak mencukupi tetapi tetapi haruslah iltizam dengan Islam. Ertinya di mana sahaja kita berada, kita membawa Islam. Ini juga bererti peribadi kita menterjemahkan Islam .... Islam menjadi darah daging.

Namun begitu kita tidak dapat nafikan dalam proses tersebut masih terdapat lagi saki baki jahiliyyah. Pernah Abu Zar memanggil Bilal dengan panggilan 'Ibnu Assauda'. Bilal memberitahu Rasulullah S.A.W dan Nabi kemudiannya berkata kepada Abu Dzar bahawa ia masih ada saki baki jahiliyyah. Disuruh balas dengan memijak pipinya.

Hendaklah Islam itu menjadi pendorong kita dalam melakukan gerak kerja samada membuat yang baik dan meninggalkan yang dilarang, jangan sekali didorong oleh kepentingan politik, kumpulan, parti, pangkat, bintang dan sebagainya.

"Proses tarbiyyah imaniyyah adalah begitu dan amat penting bagi membentuk insan mu'min"

Mudah-mudahan Allah merahmati kita semua sebagai hambaNya. WaaAllahu 'Alam.