Monday, March 23, 2009

EPISOD AL-HIKAM 6 (JANGAN BOSAN BERDOA KEPADA ALLAH SWT)



“Janganlah ada kiranya lambat waktu kurnia (Allah SWT) di samping bersungguh-sungguh dalam berdoa, menyebabkan putus harapanmu (kepada Allah). Kerana itu Allah SWT telah menjamin kepadamu pada memperkenankan doamu, pada apa yang dipilih oleh Tuhan untukmu, tidak pada apa yang kamu pilih sendiri untukmu.”


Kita selaku hamba Allah hendaklah berdoa dan memoho kepadaNya, sebab ini adalah petanda bahawa kita adalah makhlukNya yang tidak dapat melepaskan diri daripadaNya. Dan barangsiapa yang tidak merasa perlu memohon kepada Allah, maka dia adalah hamba-hambaNya yang sombong.


Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.

[Al-Mukmin:60]


Kita harus berdoa kepada Allah SWT dan Allah akan memperkenankan doa kita . Kita boleh memohon sesuatu kepadaNya, tetapi Tuhanlah yang berhak menentukan pada apa yang kita pilih. Sebab kita tidak mengetahui apakah sesuatu yang kita mohon itu baikkah di sisi Allah atau sebaliknya.


Kita tidak boleh dalam berdoa memohon kepadaNya supaya diperkenankanNya harapan kita dalam waktu yang kita tentukan. Tetapi Allah berhak dan berkuasa memperkenankan doa kita pada waktu yang dikehendaki olehNya,dan bukan pada waktu yang kita kehendaki. Sebagaimana yang kita telah sebutkan tadi, bahawa kita tidak mengetahui apakah yang kita mohonkan itu, apakah baik buat kita atau sebaliknya.


Dan perlu diingat kita tidak boleh mengharap apa yang kita minta dari Allah SWT sedangkan kehendak Allah SWT mahukan untuk kita itu yang sepatutnya diminta. Sebagaimana sikap Imam Syahid Hasan Al-Banna sendiri berkait dengan prinsipnya walaupun berhadapan dengan alim Ulama’.


Beliau sendiri mengesahkan tentang perbincangan dengan Syaikh Yusuf Ad-Dajwi:

Saya selalu membaca tulisan Syeikh Yusuf ad-Dajwi Beliau adalah seorang lelaki yang berperibadi baik. Lantaran minat saya kepada sufi, maka wujudlah hubungan rohani dan ilmu antara kami berdua. Kerap kali saya menziarahinya.


Saya juga mengetahui banyak ulamak yang ada hubungan rapat dengan Syeikh Dajwi. Beliau sangat disegani oleh mereka. Saya pun mengambil keputusan hendak berjumpa beliau dan menyuarakan pendapat saya. Saya berharap beliau dapat membantu saya menyekat arus perubahan yang sedang mengancam Islam.


Satu hari, selepas saja berbuka puasa, saya pun menziarahi Syeikh Dajwi yang terkemuka itu. Ketika itu dia sedang dikerumuni oleh sejumlah orang-orang alim yang terkemuka. Salah seorang dari mereka ialah Ahmad Bik Kamil. Itulah kali terakhir saya bertemu dengan Ahmad Bik Kamil.


Saya pun menceritakan keadaan dan perubahan yang sedang melanda Negara kepada Syeikh Dajwi dan para hadirin yang lain. Beliau pun menampakkan kesedihannya dan memberi pandangannya mengenai perkara tersebut.


Dia juga menyebut akibat yang bakal berlaku. Dia menyentuh mengenai kelemahan golongan Islam untuk menghadapi gejala buruk itu. Dia juga menceritakan kelemahan Al-Azhar untuk menentang ancaman baru itu.


Dia juga menyentuh mengenai Persatuan Nahdatul Islam, iaitu satu pertubuhan yang diasaskan oleh beliau sendiri dengan bantuan beberapa ulamak terkenal. Usaha-usaha pertubuhan, itupun terbukti tidak berhasil.


Beliau juga menceritakan usaha Al-Azhar dalam menentang para pendakyah

agama Kristian dan Atheis (Mulhid). Disentuhnya juga mengenai Persidangan

Agama-agama yang diadakan di Jepun. Beliau telah menghantar majalah-majalah

Islam ke persidangan tersebut.


Kesimpulan perbincangannya itu ialah untuk menunjukkan bahawa setiap usaha telah menemui kegagalan. Menurutnya, dalam keadaan begini, sudah memadai seseorang itu memelihara dirinya dengan menyelamatkan dirinya dari zaman kebendaan yang tidak bertuhan itu.


Saya masih ingat lagi pepatah yang disebutnya untuk memperkuatkan hujahnya. Kerap kali dia menyebut pepatah tersebut di dalam perbincangan. Pernah satu ketika dia menulis pepatah itu diatas kad yang dihantarkannya kepada saya.


Pepatah itu berbunyi seperti berikut:

“Jika roh didalam diriku sudah sedia untuk mencapai kebahagiaan, ku tak

peduli siapa yang mati dan siapa yang terbunuh.”


Syeikh Dajwi menasihati saya supaya meneruskan usaha saya dengan cara yang sebaik mungkin dan serahlah hasil dan keputusannya kepada Allah. Allah tidak akan membebankan seseorang dengan bebanan yang di luar kemampuannya.


Saya tidak suka dengan penjelasan Syeikh Dajwi itu. Saya rasa menyesal. Terbayanglah

oleh saya kegagalan yang bakal berlaku. Jika setiap ulama’ memberi jawapan yang begitu, maka hasilnya nanti ialah kekecewaan dan kegagalan.


Saya berkata kepada Syeikh Dajwi:

‘Tuan, saya membangkang pendapat tuan itu. Pendapat itu melambangkan azam yang lemah. Pendapat itu ialah satu alasan untuk mengelakkan diri dari tanggungjawab.

Tuan takutkan siapa? Adakah tuan takutkan Al-Azhar atau kerajaan? Pencen tuan sudah mencukupi.


Tuan boleh dudukdi rumah dan bekerja untuk Islam. Sesungguhnya, rakyat bersama tuan. Hadapilah mereka. Mereka itu merupakan rakyat Islam.


Saya melihat mereka di kedai-kedai kopi, di masjid-masjid, di jalan-jalan dan di lorong-lorong. Saya dapati hati mereka ini penuh dengan kecintaan Iman dan Islam.


Sebenarnya tenaga hebat yang ada pada rakyat ini tidak dipedulikan. Para pengikut fahaman lucah dan Mulhid (Atheis) tidak akan mampu berhadapan dengan seorang Muslim sejati.

Mereka berjaya menerbitkan majalah dan akhbar kerana kita telah lalai dan cuai. Mereka ini akan lenyap jika kita semua ada kesedaran politik………’


‘……Tuan yang saya segani, jika tuan tidak mahu melakukan sesuatu untuk Allah,

maka sekurang-kurangnya lakukan sesuatu untuk dunia tuan. Berusahalah untuk mendapatkan roti harian tuan.


Andainya Islam lenyap dari rakyat, maka Al-Azhar juga turut lenyap dan para ulama’nya akan terkapai-kapai, tidak tahu hendak ke mana. Lantaran itu, tuan pun turut tidak mendapat makanan dan pakaian.


Jika tuan tidak dapat mempertahankan Islam, sekurang-kurangnya berusahalah untuk

mempertahankan diri tuan. Berusahalah mendapat keuntungan duniawi jika tuan tidak

ingin berusaha mendapatkan keuntungan di Akhirat. Jika tidak, tuan akan rugi kedua-duanya sekali. Yakni rugi dunia dan juga Akhirat.’


Kata-kata saya itu saya lahirkan dengan penuh rasa kesal dan bersungguh-sungguh.

Kata-kata saya itu keluar dari hati yang luka.


Salah seorang ulama’ yang hadir telah hilang kesabarannya. Dia bangun dan membangkang kata-kata saya. Dia menuduh saya menghina Syeikh Dajwi dan kurang sopan. Dia juga menuduh saya mengecam para ulama’ dan Al-Azhar.


Baginya, tindak-tanduk saya itu samalah dengan menghina Islam. Menurutnya, Islam tidak akan lemah kerana Allah sendiri memeliharanya.


Sebelum sempat saya menjawab tuduhan itu, Ahmad Bin Kamil pun bangun

dan berkata, ‘Ya Ustaz, pemuda ini berkata benar. Adalah menjadi kewajipan awak

sekarang untuk maju ke depan.


Lama manakah lagi awak hendak membeku diri? Pemuda ini ingin awak semua bersatu untuk memperjuangkan islam. Jika awak perlu tempat untuk bermesyuarat, maka rumah saya sentiasa terbuka untuk dimiliki dan tengah buat artikel sedikit diguna oleh pihak tuan.


Jika awak perlu wang, maka orang-orang Islam yang pemurah tidak pernah berkurangan. Awak semua adalah para pemimpin negara. Keluarlah dan kami akan menurut kamu. Perbahasan yang kosong ini tidak mendatangkan apa-apa.’


Saya bertanya kepada orang sebelah saya, ‘Siapakah orang itu?’ Dia

memberitahu nama orang itu ialah Ahmad Bin Kamil. Itu kali pertama dan terakhir

saya melihatnya.


Para hadirin di dalam majlis itu telah terbahagi kepada dua kumpulan. Satu

kumpulan memihak ulama’ yang membangkang pendapat saya dan satu kumpulan

lagi memihak Ahmad Bin Kamil. Syeikh Dajwi hanya berdiam diri. Kemudian

barulah terfikir olehnya hendak menyelesaikan pertikaian itu.


Katanya: ‘Saya berdo’a kepada Allah agar memberi kita kekuatan untuk melaksanakan kehendak-Nya. Sesungguhnya kita semua memang ingin berbuat demikian. Hal ini terserahlah kepada Allah. Saya rasa masanya sudah tiba untuk kita bertemu Syeikh Muhammad Saad. Marilah kita pergi menemuinya.’


Kami semua pun pergi ke rumah Syeikh Muhammad Saad. Rumahnya berdekatan dengan rumah Syeikh Dajwi. Saya mengambil tempat berhadapan Syeikh Dajwi agar saya dapat berbincang perkara perkara penting dengannya.


Syeikh Muhammad Saad menghidangkan gula-gula (halwa) kepada para hadirin. Hidangan begini memang adat ketika bulan Ramadhan. Syeikh Muhammad Saad mendekati hidangan dan saya pula mendekatinya. Sebaik saja dia sedar saya berada di sisinya, dia pun bertanya, ‘Awak ni siapa?’ Saya menjawab, ‘Nama saya Hassan Al-Banna.’


Dia bertanya lagi, ‘Awak juga bersama kami?’ Saya menjawab, ‘Ya tuan. Saya tidak

akan pergi selagi kita tidak mencapai satu kesimpulan.’


Dia mengambil segenggam gula-gula dan memberi kepada saya sambil berkata, ‘Ambillah gula-gula ini. Insya Allah kita akan mencapai satu penyelesaian.’ Saya menjawab, ‘Puji-pujian bagi Allah.


Tuan, kita tidak mahu membuang masa lagi berfikir mengenai perkara ini. Perkara ini

memerlukan tindakan. Jika saya gemarkan gula-gula ini, sudah tentu saya akan

membelinya sendiri dan berehat di rumah. Saya tidak akan bersusah payah datang ke

sini untuk menemui tuan.


Tuan, Islam sedang diserang hebat oleh musuh-musuhnya tetapi para penganut dan pemimpinnya membuang masa memakan gula-gula. Adakah tuan fikir Allah tidak akan mempersoalkan sesiapa pun?


Jika ada para pemimpin lain selain tuan untuk bekerja demi agama Islam, tunjukkanlah mereka kepada saya. Saya akan pergi kepada mereka. Mungkin saya akan mendapat sesuatu di dalam diri mereka yang tidak dimiliki oleh tuan.’


Suasana di rumah Syeikh Muhammad Saad menjadi sunyi senyap. Syeikh Dajwi menangis teresak-esak sehingga airmatanya membasahi janggutnya. Beberapa

orang yang lain turut menangis.


Syeikh Muhammad Saad memecah kesunyian dengan kata-katanya yang bernada sedih, ‘Saudara, apa yang patut saya lakukan?’ Saya menjawab, ‘Tuan, senang saja,’ Allah berfirman yang maksudnya:


“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan

kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya

dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa):

“Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami

tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban

yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum

kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak

sanggup kami memikulnya. Beri ma’aflah kami; ampunilah kami; dan

rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap

kaum yang kafir”.

(Al-Baqarah: 286)


‘Saya inginkan tuan cadangkan nama-nama ulama’ yang cintakan Islam. Mereka ini akan bertemu dan sama-sama mencari jalan untuk menghadapi keadaan seperti ini. Satu akhbar mingguan boleh diterbitkan untuk menentang unsur-unsur Barat dan Atheis (Mulhid).


Kita juga boleh menerbitkan bahan-bahan kesusasteraan Islam untuk mengubati penyakit-penyakit yang disebarkan oleh musuh-musuh Islam.


Kita juga boleh menubuhkan berbagai persatuan dan menggalakkan para pemuda

Islam memasukinya. Kita sepatutnya mempercepatkan usaha kebangkitan Islam. Kita

boleh melancarkan banyak rancangan serentak.’


Syeikh Muhammad Saad berkata, ‘Sungguh baik sekali cadangan itu.’

Kemudian dia mengarahkan supaya dibawa keluar segala pinggan mangkuk yang

berisi gula-gula. Kertas dan pena pun dibawa masuk.


Dia berkata, ‘Sekarang kita akan mencatitkan sebarang keputusan yang diambil.’ Banyak nama-nama telah kami bincangkan. Satu senarai panjang yang berisi nama-nama ulama’ terkemuka pun disediakan.


Di antara nama-nama yang termasuk di dalam senarai itu ialah Syeikh Dajwi, Syeikh Muhammad Al-Khizr Hussain, Syeikh Abdul Aziz Jawish, Syeikh Abdul Wahab Najjar, Syeikh Muhammad Ahmad Ibrahim dan Syeikh Abdul Aziz al-Khauli. Semoga Allah limpahkan rahmat ke atas mereka. Nama Syeikh Muhammad Rasyid Ridha telah dicadangkan dan Syeikh Dajwi menyokong.


Syeikh Dajwi berkata, ‘Tiada perselisihan di dalam perkara ini. Perkara ini melibatkan Islam menentang gejala bukan Islam.’


Syeikh Dajwi pernah berselisih pendapat dengan Syeikh Syed Rashid di dalam beberapa perkara. Namun begitu, apabila nama Syeikh Rashid Ridha dicadangkan, sokongan telah diberi oleh Syeikh Dajwi.


Di antara nama orang-orang yang dihormati dan berpengaruh yang telah dicadangkan ialah Ahmad Taimoor Pasya, Naseem Pasya, Abu Bakar Yahya Pasya, Mutawalli Bek Ghaneem, Abdul Aziz Bek Muhammad (kini dipanggil Abdul Aziz Pasya Muhammad), Abdul Hameed Bek Sa’id dan lain-lain lagi.


Kemudian Syeikh Muhammad Saad berkata, ‘Sekarang awak berkewajipan

menghubungi orang-orang yang awak kenal rapat dan saya pula akan menghubungi

orang-orang yang saya kenal rapat. Insya Allah, kita akan bertemu lagi selepas

seminggu.’


Kami terus mengadakan perjumpaan demi perjumpaan sehingga akhirnya kami berjaya menubuhkan satu gerakan Islam dengan bantuan para ulama’ yang terkemuka.


Para ulamak ini mengadakan berbagai perjumpaan selepas Hari Raya Aidil Fitri. Sebuah majalah bergelar ‘Al- Fatah’ telah diterbitkan. Syeikh Abdul Baqi Sawwar Na’im menjadi ketua pengarang dan Syed Muhibuddin Al-Khatib bertugas sebagai pengurus majalah tersebut.


Tidak lama kemudian, tugas ketua pengarang dan pengurus majalah itu dijalankan oleh Syed Muhibuddin al-Khatib. Majalah itu menjadi terkenal lantaran usahanya. Majalah ‘Al- Fatah’ berperanan sebagai panduan untuk para belia terpelajar.


Kumpulan para ulamak terkemuka ini terus memberi sumbangan mereka

untuk perjuangan Islam selepas saya meninggalkan Darul Ulum kerana tamat

pengajian. Usaha-usaha ini telah membawa kepada penubuhan ‘Jami’atu-sy-Syubbanul-

Muslimin’.


[Rujukan Muzakirat ad-Da’ie Wad Du’at bagi Imam Syahid Hasan Al-Banna]


Para pembaca sekalian.


Perlu diingat Nabi SAW sendiri diturunkan sebagai Da’ie dan seumpama pelita yang terang-benderang. Jadi kepentingan Risalah Islam ini wajib disebarkan. Dan tanggungjawab pendokong-pendokong agama Allah SWT. Dan kesedaran umat Islam demi Islam tersebar luas.


Sebagaimana Ibnu Al-Qaiyim menyebut:


‘Maka Makam Dakwah (mengajak) kepada Allah sebaik-baik daripada makam-makam lain bagi seorang hamba’.


[Rujukan Miftah darus Sa’adah jilid satu muka surat 153]


Sebab itulah doa sebagai senjata umat Islam, namun mestilah disusuli dengan kehendak Allah untuk kita lakukan.

Maka dari ini semua, dapat kita ambil kesimpulan, bahawa doa kita baru dikatakan mustajab apabila Tuhan memperkenankan doa kita itu dengan redhaNya dan pilihanNya, bukan pilihan kita, dan pada waktu yang Dia kehendaki, bukan pada waktu yang kita kehendaki.


Sebab amal ibadah apa pun sahaja, kebagusannya melihat kepada penghabisannya (khatimahnya). Apakah husnul khatimah (diakhiri dengan baik menurut Allah) ataukah su ul khatimah (buruk menurut Allah).


Dan kita berlindung kepada Allah dari doa yang mengakibatkan kepada kita tidak baik pada penghabisannya.

Mudah-mudahan Allah SWT memperkenankan segala doa-doa kita, demi kebaikan kita sekalian, dunia dan akhirat.

Tuesday, February 24, 2009

EPISOD AL-HIKAM 5 (TANDA-TANDA TERTUTUP MATAHATI)


“Kegiatan anda pada menghasilkan sesuatu yang telah terjamin untuk anda, di samping itu anda meninggalkan sesuatubdi mana anda telah dituntut (diperintahkan pada mengerjakannya) adalah menunjukkan atas (telah) butanya (tertutup) matahati anda”.


Dari keterangan ini dapat kita fahami bahawa apabila mata kita melihat segala sesuatu yang mungkin dilihat, maka matahati kita melihat segala sesuatu yang tidak mungkin dilihat oleh penglihatan mata kepala sendiri. Inilah perbezaan diantara Al-Basirah dan Al-Basor.


Kalam Hikmah ini memberikan pengertian kepada kita agar kita jangan begitu mementingkan diri dalam mencari rezeki yang dijamin oleh Allah SWT.


Kita boleh berusaha, bahkan seterusnya berusaha mencari rezki yang halal, tetapi kita dianjurkan agar jangan sampai lupa diri, sehingga sluruh perhatian kita, kita tumpahkan untuk hidup duniawi ini sahaja.


Kerana apabila seluruh kekuatan kita, perhatian dan perasaan kita semuanya untuk ini,maka pasti akan mengakibatkan kurang kesungguhan kita dalam melaksanakan kewajipan-kewajipan kita terhadap ajaran agama.


Betapa tidak. Allah SWT dengan kurniaanNya dan kebaikanNyatelah menjamin rezeki hamba-hambaNya. Kerana itu Allah SWT telah berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud:


Dan berapa banyak binatang yang tidak (dapat) membawa (mengurus) rezkinya sendiri. Allah-lah yang memberi rezki kepadanya dan kepadamu dan dia Maha mendengar lagi Maha Mengetahui.


[Al-Ankabut:60]


Dan firmanNya lagi yang bermaksud:


Dan perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan shalat dan Bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. kami tidak meminta rezki kepadamu, kamilah yang memberi rezki kepadamu. dan akibat (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertakwa.

[Thoha:132]


Dua maksud ayat Al-Quran ini memberikan pengertian kepada kita bahawa dalam masalah rezeki, kita tidak boleh susah. Sebab ada dalam jaminan Allah SWT, asal sahaja kita berusaha sesuai dengan ketentuan-ketentuan dari tingkatan-tingkatan keadaan kita.


Apabila masalah rezeki sudah terang persoalannya, maka imbalan daripad itu ialah Allah SWT menuntut kita untuk melaksanakanamal ibadah berupa kewajipan-kewajipan kita terhadap Allah SWT dan mengerjakan amal-amal kebajikan lain-lain seperti yang telah digariskan oleh ajaran-ajaran agama kita.


Dengan amal ibadah kita dapat sampai kepada kebahagian di akhirat yang kekal baqa’. Dan dengan amal ibadah pula dapat kita berbakti kepada Allah SWT.


Berfirman Allah SWT dalam Al-Quran yang bermaksud:


Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.


[Adz-zariyat:56]


Kemudian dalam surah yang sama Allah melanjutkan firmanNya yang bermaksud:


Aku tidak menghendaki rezki sedikitpun dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi-Ku makan. Sesungguhnya Allah dialah Maha pemberi rezki yang mempunyai kekuatan lagi sangat kokoh.


[Adz-zaariyat 57:58]


Dari ayat-ayat ini jelaslah bagi kita, bahawa Allah tidak meminta kepada kita sesuatu seperti yang kita perlukan di dalam hidup dan kehidupan kita.


Tetapi Allah SWT menjadikan kita manusia pada khususnya dengan hikmah supaya kita berterima kasih kepadaNya, dengan jalan beribadah, secara tegas mematuhi segala perintah-perintahNya dan menjauhi segala larangan-laranganNya.


Perlu kita ketahui tanda-tanda orang yang tenggelam dalam berusaha pada apa yang telah dijamin oleh Allah, tanda-tanda ialah:


1- Timbul penyesalan, apabila sesuatu yang telah diberikan oleh Tuhan dicabut kembali olehNya, apakah dengan jalan hilang dicuri orang, dibinasakan dengan datangnya kebanjiran, atau musnah ditelan api dan seumpamanya.


2- Tidak ada taqwa dalam hati dan tindak-tanduk pada menghasilkan rezeki yang dicari. Pendeknya asal wang mask, haram dan halal ditelan semuanya.


3- Lalai dari kewajipan yang menjadi hak kita yang tak dapat tidak pada sebabnya ada rezeki itu. Dengan kata lain dapat dikatakan bahawa masanya asyik ia dengan perusahaannya atau pekerjaannya sehingga lupa sembahyang dan puasa dan sebagainya.


Kemudian tanda-tanda bagi hamba-hamba Allah yang tidak pusing dan tidak tengglam dalam pekerjaannya, tetapi biasa sahaja, sehingga meskipun ia berusaha namun ada batas-batasnya; maka tanda-tandanya ialah 3 pula:


1- Redha pada apa yang terjadi. Apabila ia mendapat untung besar, maka ia bersyukur kepada Allah SWT dan apabila ia mendapat cubaan dari Tuhan sehingga ia jatuh rugi misalnya, maka ia bersabar dan menyerahkan dirinya kepada Allah SWT.


2- Senantiasa Taqwa kepada Allah dalam usaha mncari rezeki yang halal.


3- Senantiasa memelihara cara-cara yang baik, tindak-tanduk yang bagus, tidak memfitnah orang, tidak sentiment dan sakit hati, tidak aniaya kepada orang lain (dan sebagainya) di dalam pekerjaannya dalam berusaha demi mencari rezeki yang halal.


Maka dengan ini semua, teranglah bagi kita siapakah orang-orangnyayang dalam usaha-usahanya dalam menghasilkan rezeki, ia diredhai oleh Allah atau sebaliknya.


Kalam hikmah di atas dalam pengertiannya menyuruh kita supaya kita tetap memelihara hati kita, agar selalu mendapat limpahan-limpahan petunjuk dan tuntutan Allah dalam seluruh persoalan hidup yang kita hadapi.


Kerana itu meskipun kita di dalam hidup ini berusaha mengatasi hidup dan kehidupan dengan mencapai rezeki yang halal, maka janganlah kita lupa pada Allah dengan persoalan yang kita hadapi dengan jalan mematuhi ajaran-ajaran agamaNya.


Dan apabila sebaliknya, maka ini adalah dalil, bahawa hati kita telah buta dan tertutup, sehingga kebenaran dan keadilan dalam arti yang luas, gelap dan tidak kelihatan.


Akhirnya kebahagian yang kekal abadi yang menjadi cita-cita para hambaNya yang soleh akan sirna dan lenyap sama sekali.

Saturday, February 21, 2009

Sunday, January 4, 2009

JANGAN TERTIPU




Firman Allah SWT yang bermaksud:


1. Orang-orang yang kafir dan menghalangi (manusia) dari jalan Allah, Allah menyesatkan perbuatan-perbuatan mereka[1391].

2. Dan orang-orang mukmin dan beramal soleh serta beriman kepada apa yang diturunkan kepada Muhammad dan Itulah yang Haq dari Tuhan mereka, Allah menghapuskan kesalahan-kesalahan mereka dan memperbaiki keadaan mereka.

3. Yang demikian adalah Karena Sesungguhnya orang-orang kafir mengikuti yang bathil dan Sesungguhnya orang-orang mukmin mengikuti yang Haq dari Tuhan mereka. Demikianlah Allah membuat untuk manusia perbandingan-perbandingan bagi mereka.

[1391] Maksudnya: semua amal perbuatan mereka tidak mendapat bimbingan dari Allah, tidak dihargai dan tidak mendapat pahala.

[Muhammad:1-3]


Muslimin dan Muslimat sekalian.


Perlu diingat kita selaku golongan yang bersama memperjuangkan syariat Nabi Muhammad SAW adalah golongan yang berada di pihak yang benar dan Allah menjamin serta memberi keistimewaan yang sempurna. Berbanding golongan mereka yang mnghalang manusia dari jalan Allah. Golongan ini bukan sahaja sesat, bahkan Allah SWT mensia-siakan amal perbuatan mereka.


Betapa kita golongan beriman ini kenalah senantiasa bersama dengan ujian yang Allah SWT berikan. Kadang-kala kita melihat beberapa golongan mereka yang tidak bersama perjuangan Islam ini, lebih teratur amalan ibadahnya. Berbanding golongan yang bersama dengan gerakan Islam seolah-olah terumbang ambing dengan maksiat yang dilakukan.


Ini adalah sebagai suatu ujian kepada pejuang Allah, dan perlu senantiasa insaf dan cepat bertaubat serta teruskan dengan prinsip perjuangan. Jangan kita rasa gundah-gulana dengan keadaan kita yang terlepas di dalam melakukan dosa dan maksiat sehingga putus harapan untuk memperjuangkan syariat Nabi kita Muhammad SAW ini yakni Islam.


Walaupun kita melihat mereka yang beramal kebaikan, tetapi tidak memperjuangkan syariat Islam ini kadang-kala lebih bagus daripada kita. Bahkan amalan mereka ini nampak lebih baik daripada kita. Walhal, dasar yang mereka pegang adalah salah. Maka amalan mereka ditolak serta disia-siakan oleh Allah SWT.


Muslimin dan Muslimat sekalian.


Sebab itu berada bersama gerakan Islam adalah suatu kewajipan bagi setiap orang yang mengaku dirinya Islam. Mengikut telunjuk kepada mereka yang diberi amanah oleh Allah SWT untuk memimpin suatu jemaah Islam adalah wajib.


Ini adalah dasar utama yang mesti semua orang Islam fahami dengan sebenar-benarnya. Dan lebih mengkagumi mereka yang sefikrah dengan kita itu adalah lebih utama daripada golongan mereka yang baik amalannya tetapi tidak bersama dengan Syariat Muhammad ini.


Umpama kapal dari Mesir ke Jordan, sekiranya kita menaiki kapal ke Palestin, maka bagaimana mahu sampai ke Jordan. Walaupun kita duduk di dalam kapal tidak membuat masalah dan berbuat baik di dalam kapal sekalipun.


Sebagaimana firman Allah SWT bermaksud:


35. Janganlah kamu lemah dan minta damai padahal kamulah yang di atas dan Allah pun bersamamu dan dia sekali-kali tidak akan mengurangi pahala amal-amalmu.


[Muhammad:35]


Berbeza sekiranya kita menaiki kapal ke Jordan, maka tetap akan sampai ke Jordan. Sebab kita sudah memenangi dasarnya. Begitu juga dasar Islam kita pertahankan, maka keistimewaan yang kita dapat sebagaimana dijelaskan di dalam ayat Al-Quran surah Muhammad yang saya nyatakan di atas.


Dalam ayat surah Muhammad ini menunjukkan sifat yang khusus kepada golongan Kafir dan golongan beriman, tetapi boleh ditujukan umum kepada kita semua. Dan ini menunjukkan satu isyarat atau petanda bahawasanya keimanan seseorang tidak akan sempurna dengan tanpa mengikuti Syariat Nabi Muhammad SAW. [Rujukan: Hasyiah As-Sowi jilid 4 muka surat 81].


Sebagaimana firmanNya lagi:


33. Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul dan janganlah kamu merusakkan (pahala) amal-amalmu.

34. Sesungguhnya orang-orang kafir dan (yang) menghalangi manusia dari jalan Allah Kemudian mereka mati dalam keadaan kafir, Maka sekali-kali Allah tidak akan memberi ampun kepada mereka.

35. Janganlah kamu lemah dan minta damai padahal kamulah yang di atas dan Allah pun bersamamu dan dia sekali-kali tidak akan mengurangi pahala amal-amalmu.

36. Sesungguhnya kehidupan dunia hanyalah permainan dan senda gurau. dan jika kamu beriman dan bertakwa, Allah akan memberikan pahala keppadamu dan dia tidak akan meminta harta-hartamu.

[Muhammad:33-36]


Akhir sekali, perlu diingat kita mestilah senantiasa berdiri teguh, dan jangan sekali-kali mengubah niat untuk mementingkan hal peribadi adalah segala-galanya. Sedangkan Islam adalah agama yang mempunyai masa depan yang cerah. Dan pendokongnya mestilah jangan memutuskan ikatan, dan senantiasa mengawal nafsu daripada nafsu yang berbuak-buak kepada kesenangan dunia semata-mata.

EPISOD AL-HIKAM 4 (PEDOMAN MANUSIA DALAM MENGATUR HIDUP)

Tenangkan jiwamu dari Tadbir, kerana apa yang telah berdiri dengannya (telah mengatur padanya) oleh selainmu tentang hal keadaanmu, maka janganlah engkau campur tangan pada sesuatu itu untuk (kepentingan) dirimu.


Tadbir: Bahawa menentukan sseorang pada dirinya hal-hal dimana ia atas hal-hal tersebut berdasarkan atas kehendak syahwatnya semata-mata. Untuk itu maka diaturnya segala sesuatu menurut syahwatnya, berupa teori dan praktikal. Dan ia sendiri berikan perhatiannya dan mementingkannya (dalam segala gerak-gerinya dan tindak-tanduknya).


Tadbir ialah merencanakan sesuatu yang bersifat memutuskan tanpa tawakal dan menyerah diri kepada Allah SWT. Ini tidak baik, tetapi apabila Tadbir itu disertai dengan disrtakan dengan Tawakal dan Tafwidh (penyerahan) kepada Allah, maka tidak apa-apa, bahkan dianjurkan oleh Islam.


Sebahagian Ulama’ berkata: Meninggalkan Tadbir yang begini sifatnya beerti meninggalkan penghidupan seluruhnya, sebab orang yang tidak bertadbir, maka ia akan digilas oleh Tadbir orang lain menurut lahiriyah amaliyah.


Kenapa kita harus menyerah diri kepada Allah di samping Tadbir? Sebab apabila kita telah beriman kepada Qadha dan Qadar Allah SWT, maka pada hakikatnya Allah telah mengatur segala-galanya. Tetapi apabila kita berfikir sempit dan melihat sepintas lalu sahaja, maka keadaan ini dapat menjatuhkan diri kita dari mengatur hidup ini secara baik sesuai dengan keridhaan Allah SWT.


Untuk memperkuatkan keterangan tadi, maka berkata seorang ahli Tasawuf juga Mufassir dan ahli hukum, bernama Sahl bin Abdullah (Abu Muhammad Sahl BIN Abdullah Tasturi. Beliau menghafaz Al-Quran dalam usia 7 tahun dan beliau meninggal dunia pada tahun 283H) sebagai berikut:


Hak Allah untuk hamba-hambanya ada 3 persoalan:

(1) Menentukan hukum-hukumNya untuk dilaksanakan oleh hamba-hambaNya.

(2) Menentukan tentang ajal (waktu mati) dari hamba-hambaNya.

(3) Menentukan segala sesuatu yang dihadapi oleh hamba-hambaNya di dunia dan di akhirat.


Dan Hak Hamba yang wajib dilaksanakannya untuk Allah ada 3 pula:

(1) Mengikuti Nabi

(2) Tawakal dan menyerah diri kepadaNya

(3) Sabar atas ketentuan-ketentuan Allah hingga kita meninggalkan dunia yang fana ini.


Adapun pengertian ‘Hak Allah untuk hamba-hambanya’, ialah taidak ada jalan bagi hamba-hambaNya untuk campur tangan pada segala sesuatu dimana keadaan hal ini Tuhan menentukan dengan kehendakNya dan kekuasaanNya.


Adapun pengertian ‘Hak hamba untuk Allah’ ialah bahawa hamba-hambaNya diperintah oleh Allah untuk menjalankan hal-hal di atas.


Kerana itu barangsiapa yang tidak patuh kepada ajaran-ajaran agamaNya, sebagaimana yang telah disampaikan oleh Para Nabi dan Para Ulama’, maka disebut mubtadie’ , yakni orang yang mengada-ngadakan sesuatu di luar ajaran Islam.


Barangsiapa yang tidak bertawakal kepadaNya berrti ia bermaksud mengatur hal keadaannya dengan tidak memerlukan bantuan Allah SWT.


Akhir sekali, barangsiapa yang melaksanakan hak-hak kewajipannya seperti tersebut tadi, maka orang-orang itu sejahteralah matahatinya, dan bersinarlah jiwnya, akalnya, dan kalbunya dengan Rahmat Allah SWT.

Monday, December 1, 2008

GENERASI YANG MENTERJEMAHKAN AL-QURAN DALAM KEHIDUPAN


Firman Allah SWT yang bermaksud:

{Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman}[Yunus:57]

Adalah menjadi kepastian kepada golongan pemuda hari ini yang perlu bangkit memperjuangkan Al-Quran supaya dapat diterjemahkan di dalam masyarakat. Namun, Al-Quran seolah-olah hanya dilagukan. Dan lebih hebat lagi seolah-olah hanya dipertandingkan. Melihat kepada suara siapa yang paling sedap. Malah golongan yang menjadi pendokong kepada Al-Quran pula seperti diperlekehkan begitu sahaja.

Betapa golongan As-Salafus Soleh RA yang lebih mementingkan untuk mempraktikkannya dengan menterjemahkan maksud Al-Quran itu di dalam kehidupan mereka. Walhal, mereka memandang tinggi maksud atau kehendak Kalamullah itu sendiri. Hatta, mereka menganggap suatu kelebihan bagi orang yang mengetahui maksud atau penafsiran beberapa potongan daripada ayat-ayat Al-Quran.

Dan Imam Mujahid pernah menyebut: Aku menyukai orang yang berakhlak di sisi Allah Ta'ala yang mereka lebih mengetahui dengan apa yang Allah turunkan (Al-Quran). Dan Al-Hassan mengatakan: Demi Allah apa yang Allah turunkan sepotong ayat kecuali (sebenarnya) aku suka untuk mengetahuinya apa yang Allah turunkan (sepotong ayat tersebut) dan aku sendiri ingin sekali mengetahui maksud ayat tersebut. [Zadul Musaiyar: jilid 1/muka surat 4].

Adapun Imam As-Sya'bi mengatakan: Masruq telah pergi ke Basrah (untuk mengetahui) tentang penafsiran sepotong ayat Al-Quran, lalu dikatakan kepadanya: Bahawasanya orang yang boleh menafsirkan ayat itu sudah pergi ke Syam (meninggalkan Basrah), lalu (Masruq) bersiap siaga dan bertolak ke Syam sehinggalah beliau dapat mengetahui penafsiran (ayat tersebut).

Imam Ikrimah mengatakan: Berkaitan dengan firman Allah yang bermaksud: {dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya}[An-Nisa':100]. Aku mencari nama orang ini selama 14 tahun baharulah kau mendapati siapa gerangannya. Dan beliau mengatakan: Ibnu Abdul Barr dan nama sebenarnya ialah Damarah bin Habib.

Dan mengatakan Iyas Ibnu Mua'wiyah: Perumpamaan orang yang membaca Al-Quran padahal mereka tidak mengetahui penafsirannya adalah seperti satu kaum yang datangnya Kitab kepada mereka, tetapi malam kegelapan yang menguasai mereka. Dan bukanlah mereka sebenarnya berada di pagi hari. Lalu engkau menaruhkan syak ke dalam hati mereka, namun mereka tidak menyedari tentang kitab itu. [Zadul Musaiyar jilid 1/muka surat 4, Al-Muharrar Al-Wajiz bagi Ibnu Atiyyah jilid 1/muka surat 26 dan Tafsir Al-Qurtubi jilid 1/muka surat 26]

Oleh kerana itu, perlu diingat kita mestilah menjadi golongan yang senantiasa memerhatikan ayat-ayat Allah dengan melihat kepada Alim Ulama'dan bersama dengan golongan yang memperjuangkan agama Allah. Hatta, tetap bersama dengan kumpulan orang-orang Islam yang menegakkan kalimah Allah. Walaupun akal kita ini lebih hbat daripada komputer sekalipun. Tetapi mestilah tindakan, perilaku dan jalan kita mengikut landasan yang betul. Wa'allahu'alam.