Monday, April 7, 2008

FIKRAH ISLAM


TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT

Fikrah Islam atau fikrah kita ialah ajaran Allah,yang lengkap yang sempurna, syumul dan merangkumi seluruh kehidupan mukmin.

Inilah Islam, Addeen yang ditanzilkan atau diturunkan oleh Allah dan dibawa oleh Rasulullah S.A.W dan dilaksanakan di zaman awal. Allah Taa'la telah menjelaskan dan menegaskan tentang kesempurnaannya.

Oleh kerana Dienul Islam telah sempurna maka kita tidak boleh menambah atau mengurangkannya, begitu juga kita tidak boleh mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain.

Hendaklah kita sedar bahawa kita adalah pengikut dan penganut Dienul Islam dan mengakui sebagai hamba Allah, dan kita bukannya pencipta Deen . Oleh yang demikian kitalah yang perlu menyesuaikan diri dengan Islam dan bukannya Islam itu harus bersesuaian dengan selera kita, kehendak kita dan kemahuan masyarakat seperti firman Allah:

"Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini ,nescaya mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah.Mereka tidak lain hanya mengikuti prasangka dan mereka tidak lain hanyalah berdusta terhadap Allah." (Al-an'am-116)

Nilai kita ialah nilai Islam, iaitu nilai yang telah ditetapkan Allah dan dilaksanakan oleh Rasulullah S.A.W oleh yang demikian kita sedikitpun tidak boleh tidak redha pada syariat Islam.

Tasawwur Islami hendaklah difahami dengan betul. Kita hendaklah bersifat jiddiah (serius) di dalam memahami Islam dan tidak mencampur adukan dengan isme-isme lain.

Untuk itu kita hendaklah mengenal Islam dan mengenali jahiliyyah, mengenal Islam untuk dihayati dan mengenali jahiliyyah untuk dijauhi. Kita hendaklah mengenal setiap rupa, bentuk dan taktik jahiliyyah untuk dijauhi. Dengan itu barulah kita dapat membezakan yang mana Islam dan yang mana bukan Islam. Sabda Rasulullah S.A.W:

"Barangsiapa mengenal / mempelajari bahasa sesebuah kaum maka mereka terselamat dari tipu daya mereka".

Kita juga mesti mengenal realiti agar kita tidak salah faham, seperti mengatakan loteri kebajikan itu halal. Di dalam memahami Islam dan realitinya kita sememangnya kurang ilmu, oleh itu kita perlu berjama'ah. Kita sememangnya tidak mempunyai ilmu yang serupa. Tetapi dengan harakah kita mampu mengatasinya.

Satu lagi sikap yang mesti ada ialah kita jangan mudah menerima sesuatu yang bukan Islam, jangan mudah terpengaruh dengan istilah dan teknik atau slogan yang menarik seperti. Demi pembangunan, demi kemajuan dan Malam 'Amal. Dalam hal ini kita hendaklah mengenengahkan fikrah Islam dengan jelas dan pendirian Islam yang tegas kepada masyarakat.

Kita juga mesti mempunyai al-wa yu al-Islamiyy (kesedaran Islam). Ianya bukan sama dengan ilmu Islam. Dalam usaha memperolehi 'kesedaran Islam' perlu kepada kesabaran, tekun dan gigih dalam usaha. Seorang yang mempunyai 'kesedaran Islam' akan mudah terasa dan sensitif terhadap apa jua yang bercanggah dengan Islam.

Untuk itu kita perlu kepada didikan atau 'tarbiyyah'. 'Tarbiyyah' yang boleh melahirkan syakhsiyyah atau keperibadian muslim sejati.

Seorang mujahid Islam, Al-Ustaz Fathi Yakan menyatakan pembentukan sahsiyyah itu hanyalah dapat dibentuk di dalam suasana yang tertentu, yang jauh dari tarikan jahiliyyah. Umpamanya dengan mengadakan halaqah, usrah, ijtima' dan sebagainya.

Seorang muslim hendaklah tidak menghilangkan satu fikrah Islam pun dari pemikirannya. Siapa yang cuba menyembunyikan fikrah Islam adalah dikira menyeleweng. Ingatlah bahawa fikrah yang kita bawa adalah deen ditanzilkan oleh Allah S.W.T. Addeen yang dimaksudkan di sini bukanlah Addeen yang diterjemahkan kepada agama, sebagaimana yang difahami oleh kebanyakan orang.

Keaslian Islam hanyalah boleh dilihat dari sumber asalnya iaitu Al-Quran dan Al-Hadith dan juga dari ulama' dan mujahid Islam yang mu'tabar.

Allah telah memberi kata putus dan memberi pilihan samada beriman atau tidak, sebagaimana firmannya :

Ertinya : "Dan katakanlah (wahai Muhammad): "Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya". Kerana Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana khemah; (Al-Kahfi : 29)

Kita hendaklah memikir terus dan jauh sehingga hari qiamat. Oleh kerana kita tidak tahu di manakah tempat kita samada syurga atau neraka. Ketidaktahuan ini jua hendaklah kita punya sifat takut dan harap.Takut ialah bagi yang mengenalinya dan harap bagi yang melaksanakannya.

Iltizam kita pada Islam hendaklah pada setiap masa dan tidak pada majlis rasmi sahaja. Untuk ini juga kita perlu 'kesedaran Islam yang jelas' dan bukannya ilmu semata-mata. Ilmu sahaja tanpa kesedaran tidak dapat membawa kepada Islam ... individu.Dalam konteks masyarakat ialah yang menghayati Islam sepenuhnya.

Ilmu-ilmu Islam hendaklah diproses dan diolah melalui acuan iman/tarbiyyah iman sehingga lahir kesedaran dan ingin melaksanakan Islam, dengan patuh. Kesedaran fikiran sahaja tidak mencukupi tetapi tetapi haruslah iltizam dengan Islam. Ertinya di mana sahaja kita berada, kita membawa Islam. Ini juga bererti peribadi kita menterjemahkan Islam .... Islam menjadi darah daging.

Namun begitu kita tidak dapat nafikan dalam proses tersebut masih terdapat lagi saki baki jahiliyyah. Pernah Abu Zar memanggil Bilal dengan panggilan 'Ibnu Assauda'. Bilal memberitahu Rasulullah S.A.W dan Nabi kemudiannya berkata kepada Abu Dzar bahawa ia masih ada saki baki jahiliyyah. Disuruh balas dengan memijak pipinya.

Hendaklah Islam itu menjadi pendorong kita dalam melakukan gerak kerja samada membuat yang baik dan meninggalkan yang dilarang, jangan sekali didorong oleh kepentingan politik, kumpulan, parti, pangkat, bintang dan sebagainya.

"Proses tarbiyyah imaniyyah adalah begitu dan amat penting bagi membentuk insan mu'min"

Mudah-mudahan Allah merahmati kita semua sebagai hambaNya. WaaAllahu 'Alam.



No comments: