Monday, March 23, 2009

EPISOD AL-HIKAM 6 (JANGAN BOSAN BERDOA KEPADA ALLAH SWT)



“Janganlah ada kiranya lambat waktu kurnia (Allah SWT) di samping bersungguh-sungguh dalam berdoa, menyebabkan putus harapanmu (kepada Allah). Kerana itu Allah SWT telah menjamin kepadamu pada memperkenankan doamu, pada apa yang dipilih oleh Tuhan untukmu, tidak pada apa yang kamu pilih sendiri untukmu.”


Kita selaku hamba Allah hendaklah berdoa dan memoho kepadaNya, sebab ini adalah petanda bahawa kita adalah makhlukNya yang tidak dapat melepaskan diri daripadaNya. Dan barangsiapa yang tidak merasa perlu memohon kepada Allah, maka dia adalah hamba-hambaNya yang sombong.


Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.

[Al-Mukmin:60]


Kita harus berdoa kepada Allah SWT dan Allah akan memperkenankan doa kita . Kita boleh memohon sesuatu kepadaNya, tetapi Tuhanlah yang berhak menentukan pada apa yang kita pilih. Sebab kita tidak mengetahui apakah sesuatu yang kita mohon itu baikkah di sisi Allah atau sebaliknya.


Kita tidak boleh dalam berdoa memohon kepadaNya supaya diperkenankanNya harapan kita dalam waktu yang kita tentukan. Tetapi Allah berhak dan berkuasa memperkenankan doa kita pada waktu yang dikehendaki olehNya,dan bukan pada waktu yang kita kehendaki. Sebagaimana yang kita telah sebutkan tadi, bahawa kita tidak mengetahui apakah yang kita mohonkan itu, apakah baik buat kita atau sebaliknya.


Dan perlu diingat kita tidak boleh mengharap apa yang kita minta dari Allah SWT sedangkan kehendak Allah SWT mahukan untuk kita itu yang sepatutnya diminta. Sebagaimana sikap Imam Syahid Hasan Al-Banna sendiri berkait dengan prinsipnya walaupun berhadapan dengan alim Ulama’.


Beliau sendiri mengesahkan tentang perbincangan dengan Syaikh Yusuf Ad-Dajwi:

Saya selalu membaca tulisan Syeikh Yusuf ad-Dajwi Beliau adalah seorang lelaki yang berperibadi baik. Lantaran minat saya kepada sufi, maka wujudlah hubungan rohani dan ilmu antara kami berdua. Kerap kali saya menziarahinya.


Saya juga mengetahui banyak ulamak yang ada hubungan rapat dengan Syeikh Dajwi. Beliau sangat disegani oleh mereka. Saya pun mengambil keputusan hendak berjumpa beliau dan menyuarakan pendapat saya. Saya berharap beliau dapat membantu saya menyekat arus perubahan yang sedang mengancam Islam.


Satu hari, selepas saja berbuka puasa, saya pun menziarahi Syeikh Dajwi yang terkemuka itu. Ketika itu dia sedang dikerumuni oleh sejumlah orang-orang alim yang terkemuka. Salah seorang dari mereka ialah Ahmad Bik Kamil. Itulah kali terakhir saya bertemu dengan Ahmad Bik Kamil.


Saya pun menceritakan keadaan dan perubahan yang sedang melanda Negara kepada Syeikh Dajwi dan para hadirin yang lain. Beliau pun menampakkan kesedihannya dan memberi pandangannya mengenai perkara tersebut.


Dia juga menyebut akibat yang bakal berlaku. Dia menyentuh mengenai kelemahan golongan Islam untuk menghadapi gejala buruk itu. Dia juga menceritakan kelemahan Al-Azhar untuk menentang ancaman baru itu.


Dia juga menyentuh mengenai Persatuan Nahdatul Islam, iaitu satu pertubuhan yang diasaskan oleh beliau sendiri dengan bantuan beberapa ulamak terkenal. Usaha-usaha pertubuhan, itupun terbukti tidak berhasil.


Beliau juga menceritakan usaha Al-Azhar dalam menentang para pendakyah

agama Kristian dan Atheis (Mulhid). Disentuhnya juga mengenai Persidangan

Agama-agama yang diadakan di Jepun. Beliau telah menghantar majalah-majalah

Islam ke persidangan tersebut.


Kesimpulan perbincangannya itu ialah untuk menunjukkan bahawa setiap usaha telah menemui kegagalan. Menurutnya, dalam keadaan begini, sudah memadai seseorang itu memelihara dirinya dengan menyelamatkan dirinya dari zaman kebendaan yang tidak bertuhan itu.


Saya masih ingat lagi pepatah yang disebutnya untuk memperkuatkan hujahnya. Kerap kali dia menyebut pepatah tersebut di dalam perbincangan. Pernah satu ketika dia menulis pepatah itu diatas kad yang dihantarkannya kepada saya.


Pepatah itu berbunyi seperti berikut:

“Jika roh didalam diriku sudah sedia untuk mencapai kebahagiaan, ku tak

peduli siapa yang mati dan siapa yang terbunuh.”


Syeikh Dajwi menasihati saya supaya meneruskan usaha saya dengan cara yang sebaik mungkin dan serahlah hasil dan keputusannya kepada Allah. Allah tidak akan membebankan seseorang dengan bebanan yang di luar kemampuannya.


Saya tidak suka dengan penjelasan Syeikh Dajwi itu. Saya rasa menyesal. Terbayanglah

oleh saya kegagalan yang bakal berlaku. Jika setiap ulama’ memberi jawapan yang begitu, maka hasilnya nanti ialah kekecewaan dan kegagalan.


Saya berkata kepada Syeikh Dajwi:

‘Tuan, saya membangkang pendapat tuan itu. Pendapat itu melambangkan azam yang lemah. Pendapat itu ialah satu alasan untuk mengelakkan diri dari tanggungjawab.

Tuan takutkan siapa? Adakah tuan takutkan Al-Azhar atau kerajaan? Pencen tuan sudah mencukupi.


Tuan boleh dudukdi rumah dan bekerja untuk Islam. Sesungguhnya, rakyat bersama tuan. Hadapilah mereka. Mereka itu merupakan rakyat Islam.


Saya melihat mereka di kedai-kedai kopi, di masjid-masjid, di jalan-jalan dan di lorong-lorong. Saya dapati hati mereka ini penuh dengan kecintaan Iman dan Islam.


Sebenarnya tenaga hebat yang ada pada rakyat ini tidak dipedulikan. Para pengikut fahaman lucah dan Mulhid (Atheis) tidak akan mampu berhadapan dengan seorang Muslim sejati.

Mereka berjaya menerbitkan majalah dan akhbar kerana kita telah lalai dan cuai. Mereka ini akan lenyap jika kita semua ada kesedaran politik………’


‘……Tuan yang saya segani, jika tuan tidak mahu melakukan sesuatu untuk Allah,

maka sekurang-kurangnya lakukan sesuatu untuk dunia tuan. Berusahalah untuk mendapatkan roti harian tuan.


Andainya Islam lenyap dari rakyat, maka Al-Azhar juga turut lenyap dan para ulama’nya akan terkapai-kapai, tidak tahu hendak ke mana. Lantaran itu, tuan pun turut tidak mendapat makanan dan pakaian.


Jika tuan tidak dapat mempertahankan Islam, sekurang-kurangnya berusahalah untuk

mempertahankan diri tuan. Berusahalah mendapat keuntungan duniawi jika tuan tidak

ingin berusaha mendapatkan keuntungan di Akhirat. Jika tidak, tuan akan rugi kedua-duanya sekali. Yakni rugi dunia dan juga Akhirat.’


Kata-kata saya itu saya lahirkan dengan penuh rasa kesal dan bersungguh-sungguh.

Kata-kata saya itu keluar dari hati yang luka.


Salah seorang ulama’ yang hadir telah hilang kesabarannya. Dia bangun dan membangkang kata-kata saya. Dia menuduh saya menghina Syeikh Dajwi dan kurang sopan. Dia juga menuduh saya mengecam para ulama’ dan Al-Azhar.


Baginya, tindak-tanduk saya itu samalah dengan menghina Islam. Menurutnya, Islam tidak akan lemah kerana Allah sendiri memeliharanya.


Sebelum sempat saya menjawab tuduhan itu, Ahmad Bin Kamil pun bangun

dan berkata, ‘Ya Ustaz, pemuda ini berkata benar. Adalah menjadi kewajipan awak

sekarang untuk maju ke depan.


Lama manakah lagi awak hendak membeku diri? Pemuda ini ingin awak semua bersatu untuk memperjuangkan islam. Jika awak perlu tempat untuk bermesyuarat, maka rumah saya sentiasa terbuka untuk dimiliki dan tengah buat artikel sedikit diguna oleh pihak tuan.


Jika awak perlu wang, maka orang-orang Islam yang pemurah tidak pernah berkurangan. Awak semua adalah para pemimpin negara. Keluarlah dan kami akan menurut kamu. Perbahasan yang kosong ini tidak mendatangkan apa-apa.’


Saya bertanya kepada orang sebelah saya, ‘Siapakah orang itu?’ Dia

memberitahu nama orang itu ialah Ahmad Bin Kamil. Itu kali pertama dan terakhir

saya melihatnya.


Para hadirin di dalam majlis itu telah terbahagi kepada dua kumpulan. Satu

kumpulan memihak ulama’ yang membangkang pendapat saya dan satu kumpulan

lagi memihak Ahmad Bin Kamil. Syeikh Dajwi hanya berdiam diri. Kemudian

barulah terfikir olehnya hendak menyelesaikan pertikaian itu.


Katanya: ‘Saya berdo’a kepada Allah agar memberi kita kekuatan untuk melaksanakan kehendak-Nya. Sesungguhnya kita semua memang ingin berbuat demikian. Hal ini terserahlah kepada Allah. Saya rasa masanya sudah tiba untuk kita bertemu Syeikh Muhammad Saad. Marilah kita pergi menemuinya.’


Kami semua pun pergi ke rumah Syeikh Muhammad Saad. Rumahnya berdekatan dengan rumah Syeikh Dajwi. Saya mengambil tempat berhadapan Syeikh Dajwi agar saya dapat berbincang perkara perkara penting dengannya.


Syeikh Muhammad Saad menghidangkan gula-gula (halwa) kepada para hadirin. Hidangan begini memang adat ketika bulan Ramadhan. Syeikh Muhammad Saad mendekati hidangan dan saya pula mendekatinya. Sebaik saja dia sedar saya berada di sisinya, dia pun bertanya, ‘Awak ni siapa?’ Saya menjawab, ‘Nama saya Hassan Al-Banna.’


Dia bertanya lagi, ‘Awak juga bersama kami?’ Saya menjawab, ‘Ya tuan. Saya tidak

akan pergi selagi kita tidak mencapai satu kesimpulan.’


Dia mengambil segenggam gula-gula dan memberi kepada saya sambil berkata, ‘Ambillah gula-gula ini. Insya Allah kita akan mencapai satu penyelesaian.’ Saya menjawab, ‘Puji-pujian bagi Allah.


Tuan, kita tidak mahu membuang masa lagi berfikir mengenai perkara ini. Perkara ini

memerlukan tindakan. Jika saya gemarkan gula-gula ini, sudah tentu saya akan

membelinya sendiri dan berehat di rumah. Saya tidak akan bersusah payah datang ke

sini untuk menemui tuan.


Tuan, Islam sedang diserang hebat oleh musuh-musuhnya tetapi para penganut dan pemimpinnya membuang masa memakan gula-gula. Adakah tuan fikir Allah tidak akan mempersoalkan sesiapa pun?


Jika ada para pemimpin lain selain tuan untuk bekerja demi agama Islam, tunjukkanlah mereka kepada saya. Saya akan pergi kepada mereka. Mungkin saya akan mendapat sesuatu di dalam diri mereka yang tidak dimiliki oleh tuan.’


Suasana di rumah Syeikh Muhammad Saad menjadi sunyi senyap. Syeikh Dajwi menangis teresak-esak sehingga airmatanya membasahi janggutnya. Beberapa

orang yang lain turut menangis.


Syeikh Muhammad Saad memecah kesunyian dengan kata-katanya yang bernada sedih, ‘Saudara, apa yang patut saya lakukan?’ Saya menjawab, ‘Tuan, senang saja,’ Allah berfirman yang maksudnya:


“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan

kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya

dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa):

“Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami

tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban

yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum

kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak

sanggup kami memikulnya. Beri ma’aflah kami; ampunilah kami; dan

rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap

kaum yang kafir”.

(Al-Baqarah: 286)


‘Saya inginkan tuan cadangkan nama-nama ulama’ yang cintakan Islam. Mereka ini akan bertemu dan sama-sama mencari jalan untuk menghadapi keadaan seperti ini. Satu akhbar mingguan boleh diterbitkan untuk menentang unsur-unsur Barat dan Atheis (Mulhid).


Kita juga boleh menerbitkan bahan-bahan kesusasteraan Islam untuk mengubati penyakit-penyakit yang disebarkan oleh musuh-musuh Islam.


Kita juga boleh menubuhkan berbagai persatuan dan menggalakkan para pemuda

Islam memasukinya. Kita sepatutnya mempercepatkan usaha kebangkitan Islam. Kita

boleh melancarkan banyak rancangan serentak.’


Syeikh Muhammad Saad berkata, ‘Sungguh baik sekali cadangan itu.’

Kemudian dia mengarahkan supaya dibawa keluar segala pinggan mangkuk yang

berisi gula-gula. Kertas dan pena pun dibawa masuk.


Dia berkata, ‘Sekarang kita akan mencatitkan sebarang keputusan yang diambil.’ Banyak nama-nama telah kami bincangkan. Satu senarai panjang yang berisi nama-nama ulama’ terkemuka pun disediakan.


Di antara nama-nama yang termasuk di dalam senarai itu ialah Syeikh Dajwi, Syeikh Muhammad Al-Khizr Hussain, Syeikh Abdul Aziz Jawish, Syeikh Abdul Wahab Najjar, Syeikh Muhammad Ahmad Ibrahim dan Syeikh Abdul Aziz al-Khauli. Semoga Allah limpahkan rahmat ke atas mereka. Nama Syeikh Muhammad Rasyid Ridha telah dicadangkan dan Syeikh Dajwi menyokong.


Syeikh Dajwi berkata, ‘Tiada perselisihan di dalam perkara ini. Perkara ini melibatkan Islam menentang gejala bukan Islam.’


Syeikh Dajwi pernah berselisih pendapat dengan Syeikh Syed Rashid di dalam beberapa perkara. Namun begitu, apabila nama Syeikh Rashid Ridha dicadangkan, sokongan telah diberi oleh Syeikh Dajwi.


Di antara nama orang-orang yang dihormati dan berpengaruh yang telah dicadangkan ialah Ahmad Taimoor Pasya, Naseem Pasya, Abu Bakar Yahya Pasya, Mutawalli Bek Ghaneem, Abdul Aziz Bek Muhammad (kini dipanggil Abdul Aziz Pasya Muhammad), Abdul Hameed Bek Sa’id dan lain-lain lagi.


Kemudian Syeikh Muhammad Saad berkata, ‘Sekarang awak berkewajipan

menghubungi orang-orang yang awak kenal rapat dan saya pula akan menghubungi

orang-orang yang saya kenal rapat. Insya Allah, kita akan bertemu lagi selepas

seminggu.’


Kami terus mengadakan perjumpaan demi perjumpaan sehingga akhirnya kami berjaya menubuhkan satu gerakan Islam dengan bantuan para ulama’ yang terkemuka.


Para ulamak ini mengadakan berbagai perjumpaan selepas Hari Raya Aidil Fitri. Sebuah majalah bergelar ‘Al- Fatah’ telah diterbitkan. Syeikh Abdul Baqi Sawwar Na’im menjadi ketua pengarang dan Syed Muhibuddin Al-Khatib bertugas sebagai pengurus majalah tersebut.


Tidak lama kemudian, tugas ketua pengarang dan pengurus majalah itu dijalankan oleh Syed Muhibuddin al-Khatib. Majalah itu menjadi terkenal lantaran usahanya. Majalah ‘Al- Fatah’ berperanan sebagai panduan untuk para belia terpelajar.


Kumpulan para ulamak terkemuka ini terus memberi sumbangan mereka

untuk perjuangan Islam selepas saya meninggalkan Darul Ulum kerana tamat

pengajian. Usaha-usaha ini telah membawa kepada penubuhan ‘Jami’atu-sy-Syubbanul-

Muslimin’.


[Rujukan Muzakirat ad-Da’ie Wad Du’at bagi Imam Syahid Hasan Al-Banna]


Para pembaca sekalian.


Perlu diingat Nabi SAW sendiri diturunkan sebagai Da’ie dan seumpama pelita yang terang-benderang. Jadi kepentingan Risalah Islam ini wajib disebarkan. Dan tanggungjawab pendokong-pendokong agama Allah SWT. Dan kesedaran umat Islam demi Islam tersebar luas.


Sebagaimana Ibnu Al-Qaiyim menyebut:


‘Maka Makam Dakwah (mengajak) kepada Allah sebaik-baik daripada makam-makam lain bagi seorang hamba’.


[Rujukan Miftah darus Sa’adah jilid satu muka surat 153]


Sebab itulah doa sebagai senjata umat Islam, namun mestilah disusuli dengan kehendak Allah untuk kita lakukan.

Maka dari ini semua, dapat kita ambil kesimpulan, bahawa doa kita baru dikatakan mustajab apabila Tuhan memperkenankan doa kita itu dengan redhaNya dan pilihanNya, bukan pilihan kita, dan pada waktu yang Dia kehendaki, bukan pada waktu yang kita kehendaki.


Sebab amal ibadah apa pun sahaja, kebagusannya melihat kepada penghabisannya (khatimahnya). Apakah husnul khatimah (diakhiri dengan baik menurut Allah) ataukah su ul khatimah (buruk menurut Allah).


Dan kita berlindung kepada Allah dari doa yang mengakibatkan kepada kita tidak baik pada penghabisannya.

Mudah-mudahan Allah SWT memperkenankan segala doa-doa kita, demi kebaikan kita sekalian, dunia dan akhirat.

No comments: