Friday, January 8, 2010

JANGAN MENGUNDANG BALA ALLAH SWT



Firman Allah SWT:

ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِى ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِى ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِى عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ


Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat). (41)

[AR-RUM:41]

FirmanNya lagi:

لَهُ ۥ مُعَقِّبَـٰتٌ۬ مِّنۢ بَيۡنِ يَدَيۡهِ وَمِنۡ خَلۡفِهِۦ يَحۡفَظُونَهُ ۥ مِنۡ أَمۡرِ ٱللَّهِ‌ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِہِمۡ‌ۗ وَإِذَآ أَرَادَ ٱللَّهُ بِقَوۡمٍ۬ سُوٓءً۬ا فَلَا مَرَدَّ لَهُ ۥ‌ۚ وَمَا لَهُم مِّن دُونِهِۦ مِن وَالٍ


Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya. (11)


[AR-RA'DU:11]

FirmanNya yang lain:

أَلَمۡ يَرَوۡاْ كَمۡ أَهۡلَكۡنَا مِن قَبۡلِهِم مِّن قَرۡنٍ۬ مَّكَّنَّـٰهُمۡ فِى ٱلۡأَرۡضِ مَا لَمۡ نُمَكِّن لَّكُمۡ وَأَرۡسَلۡنَا ٱلسَّمَآءَ عَلَيۡہِم مِّدۡرَارً۬ا وَجَعَلۡنَا ٱلۡأَنۡهَـٰرَ تَجۡرِى مِن تَحۡتِہِمۡ فَأَهۡلَكۡنَـٰهُم بِذُنُوبِہِمۡ وَأَنشَأۡنَا مِنۢ بَعۡدِهِمۡ قَرۡنًا ءَاخَرِينَ


Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (umat-umat itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kepada kamu dan Kami turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka dan Kami ciptakan sesudah mereka, umat yang lain? (6)

[AL-AN'AAM:6]

FirmanNya lagi:


وَلَقَدۡ أَرۡسَلۡنَآ إِلَىٰٓ أُمَمٍ۬ مِّن قَبۡلِكَ فَأَخَذۡنَـٰهُم بِٱلۡبَأۡسَآءِ وَٱلضَّرَّآءِ لَعَلَّهُمۡ يَتَضَرَّعُونَ
فَلَوۡلَآ إِذۡ جَآءَهُم بَأۡسُنَا تَضَرَّعُواْ وَلَـٰكِن قَسَتۡ قُلُوبُہُمۡ وَزَيَّنَ لَهُمُ ٱلشَّيۡطَـٰنُ مَا ڪَانُواْ يَعۡمَلُونَ
فَلَمَّا نَسُواْ مَا ذُڪِّرُواْ بِهِۦ فَتَحۡنَا عَلَيۡهِمۡ أَبۡوَٲبَ ڪُلِّ شَىۡءٍ حَتَّىٰٓ إِذَا فَرِحُواْ بِمَآ أُوتُوٓاْ أَخَذۡنَـٰهُم بَغۡتَةً۬ فَإِذَا هُم مُّبۡلِسُونَ 


Dan demi sesungguhnya Kami telah utuskan Rasul-rasul kepada umat-umat yang dahulu daripadamu (lalu mereka mendustakannya), maka Kami seksakan mereka dengan kebuluran dan penyakit, supaya mereka berdoa (kepada Kami) dengan merendah diri (serta insaf dan bertaubat). (42) Maka alangkah eloknya kalau mereka berdoa kepada Kami dengan merendah diri (serta insaf dan bertaubat) ketika mereka ditimpa azab Kami? Tetapi yang sebenarnya hati mereka keras (tidak mahu menerima kebenaran) dan Syaitan pula memperelokkan pada (pandangan) mereka apa yang mereka telah lakukan. (43) Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan). (44) Lalu kaum yang zalim itu dibinasakan sehingga terputus keturunannya dan (dengan itu bersyukurlah kerana musnahnya kezaliman, dengan menyebut): Segala puji tertentu bagi Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian Alam. (45)

[AL-AN'AAM:42-44]


Ditambah firmanNya lagi:


وَمَآ أَهۡلَكۡنَا مِن قَرۡيَةٍ إِلَّا لَهَا مُنذِرُونَ
ذِكۡرَىٰ وَمَا ڪُنَّا ظَـٰلِمِينَ 


Dan tiadalah Kami membinasakan mana-mana negeri (yang telah dibinasakan itu), melainkan setelah diutus kepadanya lebih dahulu, Rasul-rasul pemberi amaran. (208) Memperingatkan mereka dan Kami tidak sekali-kali berlaku zalim. (209)

[AS-SYU'ARA:208-209]



Sedih melihat suasana bumi Al-Mansurah ketika ini dengan masalah maksiat yang berlaku di kalangan mahasiswa/wi kita terutama pelajar perubatan. Di sini saya tidak ingin menemplak mana-mana pihak.

Namun apa yang saya risaukan perkara ini sebenarnya bakal mengundang kepada bencana yang lebih berat lagi. Walaupun kiranya saya amat mengerti di kalangan mahasiswa/wi perubatan ini mereka sebenarnya kebanyakkannya berjiwa kosong.

Apalagi kedatangan mereka di sini yang rata-ratanya kurang didikan agama. Ini juga merupakan satu ujian kepada para mahasiswa/wi baik perubatan mahupun Al-Azhar yang ada basic agama di sini.

Kecuali memang ada di kalangan kita yang sudah mengerti ini berkait apa itu halal dan apa itu haram, tetapi masih bersikap suka berkeliaran dan berpeleseran ke sana-sini ikhwah dan akhawat dengan perbuatan terkutuk lagi maksiat.

Lebih ingin saya jelaskan di sini iaitu satu perkara yang bakal mengundang padah atau mengundang bencana kepada kita semua para mahasiswa/wi di sini apabila maksiat dilakukan secara terang-terangan di bumi Al-Mansurah ini.

Mana tidaknya di hadapan mata ini melihat bagaimana para mahasiswa/wi kita yang tidak segan-silu di antara satu sama lain yang berdua-duaan di antara lelaki dan perempuan pada waktu malam.

Ada juga di kalangan mahasiswi yang keluar tanpa musyrif yang seolah-olah hilang rasa takut dalam diri mereka berkait dengan keselamatan. Soal aurat memang jelas dan terang-terangan mereka ini merasakan api neraka Allah SWT amat sejuk di mata mereka.

Saya benar-benar tersentak bilamana mendengar laporan daripada Pengerusi DPMM sesi ini berkait dengan masalah pecah rumah atau ragut semakin menjadi-jadi sehingga berlaku lebih daripada lima kes. Ini sedikit sebanyak saya pasti adalah teguran oleh Allah SWT kepada para pelajar Malaysia di sini.

Mana tidaknya bumi Al-Mansurah ini keterdapatan ramai di kalangan Para Wali Allah SWT yang berkeliaran ke sana-sini. Sedikit sebanyak kita mengambil keberkatan daripada mereka atau doa mereka kepada kita pelajar-pelajar Malaysia.

Ini diakui banyak perkara yang pelik dan ajaib bila kita keluar berjalan di sekitar Al-Mansurah ini keterdapatan mereka yang Allah SWT berikan anugerah kewalian. Bagaimana contohnya tidak perlu saya nyatakan. Sebab Islam tertegak dengan hujjah. Tetapi bagi mereka yang Allah SWT ingin tetapkan hati-hati mereka, maka diperlihatkannya dengan mata kasar.

Juga para alim Ulama' yang tidak putus-putus memberikan ilmu yang manfaat buat kita semua. Ini bagi sesiapa yang prihatin soal keberkatan bumi yang kita pijak ini. Sama ada mereka mengetahui ataupun tidak dan ataupun sengaja buat-buat tidak tahu.

Sebenarnya saya yakin dan percaya masih sempat lagi untuk kita membuat perubahan demi menyelamatkan keadaan para Mahasiswa/wi kita di sini yang sedikit sebanyak sudah lenyap pada pandangan mata kasar mereka berkait bumi yang penuh barakah ini.

Wajiblah untuk kita sama-sama mengingatkan soal taubat, akhlak, ukhuwwah, halal atau haram mestilah dijaga dan tidak dipandang remeh. Tidak kira kepimpinan mahupun tidak kepimpinan. Tanggungjawab tetap di bahu kita sebab kita yang sedar.

Ini disebabkan jikalau turunnya bala , maka semua akan terkena baik pelajar Perubatan ataupun pelajar Al-Azhar sekalipun tidak akan terlepas sama-sekali. Betapa perlu kita mengingati bagaimana kes pembunuhan yang pernah berlaku dahulu di bumi Al-Mansurah ini. Masih ingatkah kita? Bagaimana cara teguran yang Allah SWT berikan? Saya pasti semua dikalangan kita pada masa itu kelihatan fobia dan sebagainya. Ini bagi yang masih ada pada masa kes itu terjadi. Bagi yang tidak juga perlulah sama-sama mengerti soal ini.

Pada masa kejadian itu berlaku, di kalangan kita seolah-olah ingat soal hubungan kita dengan Allah SWT. Cukup-cukup kita jaga pada masa itu. Ada yang biasa tidur sebilik pun rasa tidak selamat kerana terlalu fobia. Akhirnya ruang tamu dijadikan tempat tidur beramai-ramai.

Pada masa itu juga kita merasakan ada satu kuasa lain yang dapat menyelamatkan kita ini. Iaitu bukan dengan kuasa kita semata-mata, tetapi adalah kuasa rahmat daripada Allah SWT. Maka perlu diingat carilah rahmat Allah SWT dan juga jalan keberkatan. Mestilah akur dengan bumi yang kita pijak adalah bumi Allah SWT. Harap jagalah adab-adabnya. Baik dengan makhluk Allah SWT, apatah lagi dengan Allah SWT.

Bagaimana mahu Allah SWT kasih pada kita kalau kita tidak mahu mencari jalan untuk menaruh kasih kepada Allah SWT. Sebab kasih inilah saya menulis kerana peranan kita semua selaku mahasiswa/wi amat besar di mata masyarakat. Dan di kala belajar ini juga kita mestilah mengambil masa untuk berfikir dan cuba membentuk peranan masing-masing.

Dua persatuan DPMM dan PCM yang diiktiraf oleh kita semua mestilah dihargai. Jangan dicari jalan-jalan yang lain, yang mana boleh memecah-belahkan kesatuan kita. Bagi PCM yang perlu sangat mengambil berat soal para Mahasiswa/wi yang bergelumang dengan maksiat dan cubalah untuk cari jalan yang sesuai. Walaupun saya percaya banyak perkara yang telah dibuat, namun masih banyak lagi jalan yang mesti difikirkan.

Ini kerana, apa yang berlaku rata-ratanya adalah di kalangan pelajar perubatan walaupun saya percaya ada dikalangan agamawan yang terlibat. Para pimpinan perlu duduk semeja berbincang untuk mengatasi masalah ini. Juga jikalau memerlukan kerjasama dengan DPMM perlu diadakan perbincangan di antara dua pihak melalui kepimpinan.

Di samping para ahli masing-masing perlu memandang sensitif dalam masalah ini dan senantiasa menunggu arahan diperingkat pimpinan. Macam mana mahu rancang diharap supaya PCM lebih dahulu fikirkan. Saya pasti DPMM bersedia. Cumanya mesti mengikut masa yang benar-benar sesuai di kedua-dua belah pihak.

Sebab bidang kuasa DPMM untuk mengambil tindakan kepada para pelajar perubatan amat terbatas, walaupun seringkali saya berkunjung ke sana sempat berjalan dan menegur mereka-mereka yang berpeleseran ini. Namun tindakan yang lebih argresif mestilah dijalankan. Ini mestilah bermula daripada PCM mahu atur bagaimana? Dan DPMM sedia berkhidmat baik buah fikiran ataupun tindakan yang sesuai.Saya yakin dan percaya soal amar ma'ruf nahi mungkar ini adalah tanggungjawab semua. Tetapi mestilah ada strategi.

Khusus kepada mereka-mereka yang terlibat dengan peleseran ini mestilah sedar di atas apa yang mereka lakukan selama ini. Jalan untuk mereka bertaubat cukup banyak. Para Ustaz dan Ustazah ada di sini. Jangan dilihat daripada uslub bicara yang disampaikan. Tetapi mestilah dilihat apakah isi yang hendak disampaikan.

Kenapa tidak minta nasihat, teguran ataupun pelajaran? Kenapa mesti dengan terus keadaan sebegitu-rupa? Tidak takutkah kalian bala bencana yang bakal tiba? Tidak gentarkah kalian dengan api neraka Allah SWT? Kalian masih ada peluang untuk bertaubat selagi mana pintu taubat masih dibuka. Jangan ditunggu untuk para pendakwah mencari kalian. Tetapi pergilah kepada mereka ini para pendakwah yang mahu mengajak kalian kepada Allah SWT. Sebab mereka barangkali terlepas pandang.

Ingatlah kita para muda-mudi perintis masa depan negara. Negara kita akan rosak jikalau kita rosak. Mereka yang ada bakal meninggalkan kita. Tetapi kita yang muda-mudi wajib menggantikan mereka. Baik apa bidang sekalipun. Jangan sia-siakan umur kita yang masih ada. Bertaubatlah! Insaflah! Kembalilah kepada Allah SWT.

Akhir sekali, saya memohon maaf di atas kekerasan tulisan saya ini. Carilah jalan untuk menerima teguran dan nasihat. Bukan semata-mata alasan untuk melepaskan diri dari kesalahan yang dilakukan. Buka mata pandang betul-betul manakah jalan kebaikan di hadapan. Adakah nafsu sarakah yang membasahi jiwa ataupun jiwa yang senantiasa ingat kepada Allah SWT. Wallahu'alam.

No comments: