Monday, October 4, 2010

PILIHAN ALLAH S.W.T KE IJTIMA' TARBAWI

Firman Allah s.w.t:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱرۡڪَعُواْ وَٱسۡجُدُواْ وَٱعۡبُدُواْ رَبَّكُمۡ وَٱفۡعَلُواْ ٱلۡخَيۡرَ لَعَلَّڪُمۡ تُفۡلِحُونَ ۩ وَجَـٰهِدُواْ فِى ٱللَّهِ حَقَّ جِهَادِهِۦ‌ۚ هُوَ ٱجۡتَبَٮٰكُمۡ وَمَا جَعَلَ عَلَيۡكُمۡ فِى ٱلدِّينِ مِنۡ حَرَجٍ۬‌ۚ مِّلَّةَ أَبِيكُمۡ إِبۡرَٲهِيمَ‌ۚ هُوَ سَمَّٮٰكُمُ ٱلۡمُسۡلِمِينَ مِن قَبۡلُ وَفِى هَـٰذَا لِيَكُونَ ٱلرَّسُولُ شَهِيدًا عَلَيۡكُمۡ وَتَكُونُواْ شُہَدَآءَ عَلَى ٱلنَّاسِ‌ۚ فَأَقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُواْ ٱلزَّكَوٰةَ وَٱعۡتَصِمُواْ بِٱللَّهِ هُوَ مَوۡلَٮٰكُمۡ‌ۖ فَنِعۡمَ ٱلۡمَوۡلَىٰ وَنِعۡمَ ٱلنَّصِيرُ 


Hai orang-orang yang beriman, ruku'lah kamu, sujudlah kamu, sembahlah Tuhanmu dan perbuatlah kebajikan, supaya kamu mendapat kemenangan. Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. dia Telah memilih kamu dan dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan. (Ikutilah) agama orang tuamu Ibrahim. dia (Allah) Telah menamai kamu sekalian orang-orang muslim dari dahulu[993], dan (begitu pula) dalam (Al Quran) ini, supaya Rasul itu menjadi saksi atas dirimu dan supaya kamu semua menjadi saksi atas segenap manusia, Maka Dirikanlah sembahyang, tunaikanlah zakat dan berpeganglah kamu pada tali Allah. dia adalah Pelindungmu, Maka dialah sebaik-baik pelindung dan sebaik- baik penolong.


[993] Maksudnya: dalam kitab-kitab yang Telah diturunkan kepada nabi-nabi sebelum nabi Muhammad s.a.w.

[Al-Haj:77-78]

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam yang senantiasa memberikan kurniaan yang cukup besar kepada kita semua. Lebih-lebih lagi diberikan nikmat Iman dan Islam. Akhirnya doa saya dikabulkan oleh Allah s.w.t kerana dengan limpahan kurniaanNya saya diberi peluang untuk bersama dalam program Ijtima’ Tarbawi Dewan Pemuda PAS yang lepas (pada 22 hingga 24 Syawal 1431 Hijrah bersamaan 1 hingga 3 Oktober 2010 di Rusila, Marang Terengganu).

Sebelum ini saya berasa agak terlalu sukar untuk ke menghadiri program tersebut kerana ibunda yang terpaksa berehat lama dan kerap terbaring agak merunsingkan saya dan keluarga. Namun ini adalah ujian Allah s.w.t kepada kami sekeluarga yang seterusnya setelah ayahanda yang stabil dari sakit jantung, ibunda pula menerma kegeringan.

Ibunda yang terkena sakit urat saraf di kaki sebelah kanan sebagaimana menurut laporan doktor pakar orthopaedic menjadikan ruang untuk saya hadir ke program tersebut sangat sukar dan tipis. Namun apa yang terdaya boleh saya lakukan adalah berdoa dan berharap kepada Allah s.w.t untuk diberi peluang ke Ijtma’ tersebut. Alhamdulillah, Allah menerima permohonan saya ini.

Program yang dilaksanakan selama 3 hari ini amat meriah sekali kerana semua peserta dihidangkan dengan pengisian yang cukup padat tetapi memberi kepuasan dengan dihidangkan pengisian oleh ramai pimpinan PAS dari peringkat tertinggi.

Apatah lagi pengisian utama di dalam program ini iaitu pengajian Tafsir Surah Al-Hujuraat yang disampaikan oleh Presidan PAS Tuan Guru Dato’ Seri Hj Abdul Hadi Awang. Malah kupasan beliau cukup mantap amat menghiburkan kepada para peserta.

Di dalam program ini juga, memberi ruang kepada saya bertemu dengan sahabat-handai dari Al-Azhar tidak kira yang pulang bercuti mahupun yang sudah tamat pengajian dan juga rakan-rakan pelajar perubatan, Mesir. Termasuk bertemu dengan ustaz-ustaz lama Al-Azhar yang amat giat aktif dengan PAS sekarang. Apapun saya pasti kehadiran peserta di dalam program ini adalah pilihan Allah s.w.t.

Saya juga merasakan kebangkitan muda-mudi hari ini, sebenarnya sudah sedar dengan fitrah manusia yang mesti tetap bersama dengan perjuangan Islam. Dan keadaan ini bakal mampu untuk mengubah senario politik Malaysia dan juga menjadi satu anjakan paradigma kepada masyarakat Malaysia.

PAS yang merupakan gerakan Islam dengan wadah politiknya mampu menjadi teras kepada pemerintahan negara. Seperti yang dijelaskan, gerakan Islam adalah penyambung tugas kerasulan dan dakwah di sepanjang zaman, terutama selepas keruntuhan sistem khilafah yang memayungi umat Islam. PAS juga adalah sebuah parti politik tanah air di dalam sistem demokrasi sekular yang bermatlamat menubuhkan sebuah negara dengan ciri dan nilai Islam yang sempurna di dalamnya.

Justeru PAS meraih ciri dan gerak kerja yang berbeza daripada parti-parti politik yang lain. Ahlinya dikaderkan untuk menjadi pejuang Islam yang tulen, bukan sekadar ahli politik dalam istilah sebuah sstem demokrasi sekular.

Pengkaderan ahlinya adalah mengikut lunas dan sistem tarbiyah Islamiyah yang membina insan menjadi hamba Allah yang beriman dan beramal soleh. Ketua Pemuda PAS, Al-Fadhil Al-Ustaz Nasaruddin bin Hasan Tantawi mensasarkan pemuda PAS terus terbina di dalam sistem tarbiyah Islamiyah yang lengkap dan konsisten.

Harapan adalah besar untuk menyaksikan kelangsungan PAS yang unggul mendepani cabaran masa depan yang pasti, memimpin negara selepas berjaya memimpin dan membawa umat mencintai Islam dan memperjuangkannya.

Ijtima’ Tarbawi Pemuda PAS peringkat kebangsaan 2010 adalah satu usaha ke arah menyatukan tenaga jentera pemuda PAS seluruh negara untuk menumpukan usaha ke arah perlaksanaan tarbiyah yang lebih menyeluruh dan berkesan.

Apa yang pasti kewujudan PAS bukanlah secara spontan, tetapi kewujudannya adalah perintah Allah s.w.t. Sebagaimana kaedah Islam menerangkan bahawa kewajipan tidak boleh sempurna melainkan dengan kewajipan. Maka di sini, Jamaah yang wajib diberikan wala’ di Malaysia hanyalah PAS. Kerana konsepnya jelas dan syumul. Apatah lagi dasarnya Al-Quran dan As-Sunnah serta Ijma’ dan Qias.

Mudah-mudahan Allah s.w.t. memberikan kita kekuatan dan terus thabat dalam perjuangan Islam serta senantiasa mendapat keredhaan Allah s.w.t. Takbir!!!


No comments: