وَإِذۡ قُلۡنَا لِلۡمَلَـٰٓٮِٕكَةِ ٱسۡجُدُواْ لِأَدَمَ فَسَجَدُوٓاْ إِلَّآ إِبۡلِيسَ أَبَىٰ وَٱسۡتَكۡبَرَ وَكَانَ مِنَ ٱلۡكَـٰفِرِينَ
Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; dia enggan dan takbur dan menjadilah dia dari golongan yang kafir. (34)
Al-Baqarah: 34
Satu muhasabah yang perlu kita ambil dan kembali cetuskan dalama diri sanubari kita tentang pentingnya sifat tawadhuk yang wajib ada dalam diri kita terutamanya golongan agamawan. Dengan sifat ini menyelamatkan kita daripada terjerat oleh Syaitan La'natullah dan hawa nafsu yang membuak-buak.
Manusia memang sering lupa dengan Allah SWT disebabkan kelebihan dan kesenangan yang ada pada diri manusia itu sendiri. Walhal semua kelebihan dan kesenangan itu adalah daripada Allah SWT. Tetapi anggapan manusia bahawa semua itu adalah disebabkan usaha yang kuat, sehingga hilang pujian terhadap Allah SWT.
Sebenarnya manusia memang dituntut dan diperintah oleh Allah SWT untuk beruasaha. Keran usaha yang kuat adalah tanda 'Ubudiyyah kita kepada Allah SWT. Dan usaha ini juga merupakan ibadah. Namun usaha ini bukanlah untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain. Malah ia fana dan harapan serta Tawakkul kita kepada Allah SWT mesti kita dambakan.
Ada di kalangan kita yang menganggap dirinya yang paling pandai, sehinggakan orang di sekelilingnya bodoh tidak tahu apa-apapun. Ada di kalangan kita yang merasakan setiap pandangan dan kata-katanya adalah yang paling betul dan tepat. Sehingga melihat pandangan orang lain itu salah.
Sepatutnya kita wajib ada rasa takut dan meminta ampun kepada Allah SWT apabila pandangan kita diterima. Kerana ia boleh menyebabkan pandangan kita itu dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Dan kita juga wajib bersyukur apabila pandangan kita ditolak, kerana itu dapat menyelamatkan kita dari dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Kecuali pandangan kita itu untuk menolak pandangan yang menyalahi syarak. Maka ini wajib kita pertahankan.
Ada juga di kalangan kita yang menganggap dirinya yang paling hebat semasa bercakap di khalayak ramai. Sehinggakan para pendengar kagum dengan ucapan yang kita sampaikan. Walhal, sesungguhnya segala penjelasan yang terang nyata itu sebenarnya memperdaya manusia supaya tidak nampak semua itu adalah kurniaan daripada Allah SWT.
Kadang-kala juga manusia menggunakan ilmunya itu untuk menjadi wasilah supaya orang mendengar kata-katanya dan inginkan dirinya dihormati. Seolah-olah seperti inginkan dirinya disembah dan dipuja, langsung wasilah ilmu itu untuk dirinya diperlaku seperti Tuhan.
Ingatlah, ilmu itu sebagai wasilah untuk kita semakin dekat dengan Allah SWT dan semakin kita mengenali Allah SWT. Dengan ini semakin bertambahlah rasa taat dan takut kepada Allah SWT. Tetapi kenapa manusia sering lupa dan lalai.
Ingatlah, Allah SWT sahajalah yang wajib disembah, dipuji dan dan dipuja dengan setinggi-tingginya? Kenapa kita harus memuji manusia sehinggakan hilang Allah SWT dalam pujian kita? Apakah kita lupa Allah SWT adalah Tuhan yang mentadbir dan mencipta alam ini?
Firman Allah SWT:
ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ
Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbirkan sekalian alam. (3)
Al-Fatehah: 3
Lupakah kita sebenarnya apakah tujuan kita dijadikan? Apakah tugas kita di muka bumi ini yang tidak diberikan kepada makhluk lain selain kita yang bergelar manusia? Apakah kita lupa? Sehingga hilang rasa takut dan harap kita kepada Allah SWT?
Sebagaimana firmanNya SWT
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلنَّاسُ ٱعۡبُدُواْ رَبَّكُمُ ٱلَّذِى خَلَقَكُمۡ وَٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ
Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertakwa. (21)
Al-Baqarah: 21
FirmanNya SWT lagi:
وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (56)
Az-Zaariyaat:56
Begitu juga firmanNya SWT yang lain:
وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَـٰٓٮِٕكَةِ إِنِّى جَاعِلٌ۬ فِى ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةً۬ۖ قَالُوٓاْ أَتَجۡعَلُ فِيہَا مَن يُفۡسِدُ فِيہَا وَيَسۡفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَۖ قَالَ إِنِّىٓ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?. Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya. (30)
Al-Baqarah: 30
Beberapa keterangan dan muhasabah yang perlu kita amati bersama supaya kita sedar kembali tugas dan matlamat kita berada di muka bumi Allah SWT ini.
Perlu kita faham sifat takabbur adalah lawan sifat tawadhu’. Ia bermaksud membesar diri dan membangga – banggakan keadaan dirinya, seterusnya memandang leceh dan rendah terhadap orang lain. Inilah sifat paling buruk kerana daripadanyalah akan lahir dan bercabangan sifat–sifat buruk yang lain. Ini kerana sifat itu hanya layak untuk Allah dan menjadi milikNya semata–mata.
Sifat takabbur mudah dikesan kerana wujud tanda–tanda yang zahir, antaranya; suka menunjuk diri di khalayak ramai, menonjolkan kelebihannya di hadapan mereka, suka mengetuai majlis keramaian dan berlagak semasa berjalan, tidak suka kata – katanya ditolak sekalipun salah bahkan enggan menerima teguran dan memandang rendah terhadap orang yang lemah dan miskin.
Selain itu, antara tanda–tanda takabbur lagi adalah suka menyucikan diri sendiri dan memuji-mujinya, berbangga dengan keturunannya dan menunjuk-nunjuk dengan kekayaannya, ilmunya, ibadahnya, kecantikannya, kekuatannya, penyokong dan pembantunya yang ramai dan lain-lain lagi.
Akhir sekali saya petik satu potongan ayat Al-Quranul Karim untuk sama-sama kita renungkan:
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَن يَرۡتَدَّ مِنكُمۡ عَن دِينِهِۦ فَسَوۡفَ يَأۡتِى ٱللَّهُ بِقَوۡمٍ۬ يُحِبُّہُمۡ وَيُحِبُّونَهُ ۥۤ أَذِلَّةٍ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى ٱلۡكَـٰفِرِينَ يُجَـٰهِدُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوۡمَةَ لَآٮِٕمٍ۬ۚ ذَٲلِكَ فَضۡلُ ٱللَّهِ يُؤۡتِيهِ مَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ وَٲسِعٌ عَلِيمٌ
Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya. (54)
Al-Ma edah: 54
Dari itu ingatlah semua kita tentang peri pentingnya sifat Tawadhuk yang perlu kita sematkan dalam diri kita. Sebagaimana sifat Tawadhuk Nabi SAW. Setiap para pemimpin, para Ulama', penuntut-penuntut ilmu, para pendakwah, pejuang-pejuang Islam, bangsawan, hartawan, dan sesiapa sahaja perlulah ada sifat sebegini sesama muslim.
Adapun kepada pihak musuh-musuh Islam seperti Munafiq, orang-orang zalim, Zionis, dan sebagainya, semua ini mestilah kita menunjukkan sifat Izzah. Kerana mulia kita adalah dengan Islam. Waallahua'lam.
No comments:
Post a Comment