Saturday, January 19, 2008

BIDAYAH AL-HIKAM

Saya di sini akan mengemukakan berkaitan 'Hakikat Hikmah Tauhid dan Tasawuf(Syarah Al-Hikam)' iaitu Kalam Hikmah daripada Imam Ibnu Athoillah Assakandari. Dalam Kalam ini saya juga akan mengemukakan Syarah daripada Prof. Dr. Tengku H. Muhibbuddin Wali adalah salah seorang Ulama' di Indonesia. Prof. Dr. Muhibbuddin Wali ini, telah mengarang kitabnya yang bertajuk 'Hakikat Hikmah Tauhid dan Tasawuf(Syarah Al-Hikam)'. Dan kitabnya mula dikarang di Jakarta, 25-26 Sya'ban 1392 H bersamaan 30 Oktober 1972.

Sebenarnya sejak daripada dahulu cukup minat dengan Syarah Al-Hikam daripada Imam Ibnu Athoillah Assakandari, cuma tidak dapat belajar dengan mana-mana guru yang benar-benar Mursyid untuk kitab ini. Tetapi bila saya bertemu dengan dua orang sahabat iaitu Ustaz Basyir daripada Kelantan dan Ustaz Saiful daripada Perak yang mempunyai minat yang sama untuk mendalami kalam Hikmah Imam Ibnu Athoillah Assakandari, maka kami pun bersepakat untuk muzakarah dan munaqasyah bagi mendalami Kalam Hikmah ini. Kitab syarah Al-Hikam pertama yang masih lagi kami bincangkan bersama adalah 'As-Siddiqin War-Robbaniyyin min Khilal A-Nusus Wa-Hikam Ibnu Athoillah Assakandari' yang dikarang oleh Syeikh Said Hawa.

Ramai yang menganggap belajar kitab Syarah Al-Hikam, sekiranya tanpa guru akan sesat dan ini saya setuju. Akan tetapi, orang yang benar-benar sudah ma'ruf dengan ini ialah Ustaz Basyir yang sebelum ke Mesir sudah bergurukan dengan seorang tokoh Ulama' Malaysia iaituTuan Guru Abdullah bin Abd. Rahman di Pondok Lubuk Tapah, Kelantan. Dan beliaulah orang yang kami rasa kuat untuk mensyarahkan Kitab ini. Tambahan pula, kitab karangan Said Hawa ini juga, walaupun dibincangkan dengan terperinci, namun disertai Dalil Nas Al-Quran dan Sunnah. Tidak kurang juga, penjelasannya amat sesuai dibaca oleh sekitar masyarakat, kerana mengikut realiti semasa. Lagi satu perkara yang kuat untuk saya kemukakan dalam tulisan saya ini ialah pernah satu ketika saya pulang ke Malaysia untuk bercuti. Salah seorang pemuda penduduk di kampung saya sibuk menanyakan tentang Syarah Al-Hikam. Jadi ini menyebabkan kekeliruan yang amat bahaya dari sudut kefahamannya. Dan saya mengingatinya supaya cuba kuasai ilmu agama secara asas dahulu iaitu seperti Fardhu Ain, Fardhu Kifayah, dan lain-lain lagi. Akhirnya, bila saya kembali ke Mesir semula, saya amat bersyukur dijodohkan bertemu dua orang sahabat iaitu Ustaz Basyir dan Ustaz Saiful. Ini tidak lain dan tidak bukan adalah kasih-sayang Allah SWT pada hambanya yang menemuikan kami bertiga.

Dengan ini saya berharap, sahabat-sahabat dapat meneroka dan mengkaji pemikiran yang ada pada Imam Ibnu Athoillah Assakandari iaitu Ulama' daripada Mesir yang mengemukakan Al-Hikam ini, sebenarnya telah hilang pada realiti masyarakat umat Islam seluruhnya lebih-lebih lagi di tanahair kita Malaysia. Seolah-olah masyarakat umat Islam sudah tidak sedar siapakah Tuhan yang patut disembah. Adakah Allah atau ada Tuhan selain itu??? Sama-samalah kita ikuti episod-episod yang akan dipersembahkan....







No comments: