Saturday, February 16, 2008

EPISOD Al-HIKAM 2 (Ketentuan Allah s.w.t dan Penghidupan Manusia)

SYEIKH ABDUL HAMID IBNU ABDUL MUTTALIB

ارادتك التجريد مع اقامة الله اياك في الاسباب من الشهوة الخفية وارادتك السباب مع اقامة الله اياك في التجريد انحطاط عن الهمة العلية
"Kehendak anda kepada tajrid di samping Allah s.w.t mendirikan(meletakkan) anda di dalam Asbab (sebab-sebab) adalah syahwat yang tidak nampak dilihat. Kehendak anda kepada Asbab (sebab-sebab) di samping Allah mendirikan anda di dalam tajrid bererti turun Himmah (kepentingan yang tinggi)".
Para pembaca semua, pada kali ni saya ingin bawakan kepada saudara-saudara tentang beberapa usaha atau kerja kita seharian yang secara umumnya. Umpama pedagang, pegawai, guru, petani, peguam, pelajar universiti dan sebagainya.Dan daripada kalam hikmah ini ada 2 tingkatan. Tingkatan ini nampak khusus, tapi sebenarnya adalah umum. Berbeza apa yang ita belajar daripada kalam hikmah episod yang lepas. Nampaknya seperti umm, tapi sebenarnya khusus. Kerana episod yang lepas adalah ciri-ciri yang ada pada manusia. Bagi saudara yang mempunyai tingkatan yang tinggi umpama Al-Aa'rifin kemudian Al-Muridin dan diikut Al-'Ibaad. [sila rujuk Hikam Episod 1]. Maksud kalam hikmah ini yang terungkap di atas, sebenarnya kalau kita renungkan, fikirkan, bayangkan tentang kedudukan kita pada sekian lama kita menjalankan kehidupan yang sampai pada hari ini, supaya kita dapat sentiasa muhasabah tentang diri kita. Adakah betul kita menjalankan kehidupan selama ini?....atau perlukah kita berubah atau mahu teruskan kehidupan yang ada sekarang?....atau pernahkah kita cari jalan yang terbaik untuk diri? Moga Allah membukakan jalan kepada kita dengan penghayatan kita kepada apa yang saya bawakan. Bukan saya minta upah untuk ini, tetapi semata-mata untuk mencari keredhaan Allah s.w.t. dan biarlah Allah yang membalas hasil kerja yang saya lakukan. Dan tidak lain hanya ingin sahabat-sahabat pembaca mendapat keyakinan yang kuat dengan Allah Ta'ala. Oleh sebab itu, saya ingin memperdalamkan dan menjerumuskan pembaca-pembaca semua ke lembah dasar fana. Dan episod kali ini saya yakin dan percaya pemaca-pembaca yang mengikutinya dan teliti sungguh-sungguh pasti akan merasa nikmat yang terpancar dan tidak terperi dari sudut ketenangan batin mahupun zahir. Dan ini akan mendidi ruh dan jiwa serta hati kita . Dan ilmu ini lebih menjurus membincangkan berkenaan hati, dan mudah-mudahan cepat terkesan insya Allah.
Tingkatan pertama bagi manusia yang ditentukan Allah dalam status Al-Asbab (sebab-sebab). Iaitu bagi siapa yang memang lazimnya melakukan kerja dunia seperti berniaga, guru, bertani, belajar dan sebagainya. Sebenarnya, mereka ini tidak perlu mengubah daripada pekerjaan mereka untuk mendapatkan kepada maqam tajrid (semata-mata beribadat kepada Allah dengan tidak mencampuri urusan duniawi). Iaitu dengan beribadat sahaja, tidak bekerja atau berusaha. Dalam akhlak Tasauf sebenarnya adalah syahwat semata-mata yang tersembunyi di dalam diri kita. Kalau kita sebagai petani, maka teruskan kerja kita. Kalau kita sebagai pelajar dan masih bergantung harap kepada keluarga kita, sebenarnya perlu diteruskan, lebih-lebih lagi kepada penuntut agama. Walaupun umur kita semakin meningkat dan makan masa yang cukup banyak untuk tamatkan pengajian(pengajian khusus kerana menuntut ilmu sampai ke mati), lebih-lebih lagi pelajar daripada luar negara baik di Benua Arab,Timur Tengah, Pakistan dan sebagainya. Benar kadang-kadang ada yang sampai 10 tahun atau lebih lagi masa untuk pulang ke tanah air. Sebenarnya perlu banyak bersabar dan sentiasa mengamati tempoh Para Alim Ulama' dulu belajar. Wang yang dihantar oleh keluarga itu adalah adalah rezeki daripada Allah. Dan bagi yang bekerja, segala hasil untung samada gaji, upah atau lain-lain lagi adalah rezeki daripada Allah. Adapun yang paling penting semua itu, tidak terlepas untuk kita mencari keredhaan Allah s.w.t. Melainkan segala kedudukan ini boleh kita ubah sekiranya tindak-tanduk kita selam ini banyak yang menyalahi Syara'(hukum agama). Umpamanya kita menjadi pegawai, mudah kita terlibat dengan pekerjaan haram. Dan juga kerja sebagai tukang menyebabkan kita tinggalkan Solat Fardhu. Dan juga pelajar yang biasanya di Universiti atau Kolej-kolej terdedah kepada rakan-rakan yang mengerjakan maksiat dan suka bermain-main dan malas belajar. Cuma apapun kerja atau perbuatan kita, samada belajar, bertani, bertukang dan sebagainya yang mendorong ke lembah maksiat, perlu berhati-hati dan memilih jalan untuk keluar takut tersalah langkah. Dan jika yakin tersalah langkah, jangan cepat menyesal dan teruskan memilih dan mencari jalan yang baik. Mulakan dengan Solat Istikharah dan Solat Hajat selaras pengharapan yang benar-benar kita pada Allah, kemudian pilihlah jalan-jalan atau langkah-langkah yang kecil barulah yang besar. Umpamanya sebagai pelajar, pindah atau cari rakan-rakan yang boleh membawa kita dekat dengan Allah s.w.t. Dan akhir sekali jika benar-benar yakin tiada jalan, maka pilihlah jalan yang paling besar untuk Tajrid. Begitu juga umpama pegawai, terpaksa menghadapi kerja haram, seperti amalan rasuah yang berleluasa di tempat kerja dan payah untuk dielak. Kalau boleh ditentang amalan ini atau dilawan habis-habisan, maka itu adalah sebaik-baiknya. Tetapi jika tidak, perlu pindah ke kerja lain. Jika buntu tiada jalan juga dan yakin untuk Tajrid, maka lakukanlah kerana itu sebenarnya kehendak Allah. Ini adalah akhlak Tasawuf yang perlu kita perhatikan.
Sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
[Dan pohonkanlah (wahai Muhammad, dengan berdoa): "Wahai Tuhanku! Masukkanlah daku ke dalam urusan ugamaku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia; dan berikanlah kepadaku dari sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku"] [Al-Isra':80]
FirmanNya lagi yang bermaksud:
[Dan bagaimana kamu akan menjadi kafir padahal kepada kamu dibacakan ayat-ayat Allah (Al-Quran), dan dalam kalangan kamu ada RasulNya (Muhammad, s.a.w)? Dan sesiapa berpegang teguh kepada (ugama) Allah, maka sesungguhnya ia telah beroleh petunjuk hidayah ke jalan yang betul (lurus)] [Ali-Imran:101]
Bagi tingkatan kedua manusia yang ditentukan Allah dalam status Tajrid. Manusia di tingkatan ini sudah tinggi nilainya di sisi Allah s.w.t. Adalah tingkatan ini ada 2 macam. Salah-satunya bekerja atau berusaha urusan dunia, tapi hati sedikitpun tidak meletakkan usaha itu menghasilkan apa-apa. Dan usahanya hanya permainan sahaja. Kerana memang Allah s.w.t akan memberikan apa sahaja kepada para walinya yang memang dikasihiNya. Dan jika hamba ini mahukan atau hajatkan, maka Allah akan berikan sekelip mata. Dan hamba ini tidak hajatkan pun tetap diberikanNya.
Sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
[..........Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu] [At-Tallaq:2,3]
Dan hamba Allah yang kedua ini, jenisnya memang tidak bekerja sikit habuk pun kerja dan usaha yang mendatangkan hasil. Kerana ketetapan yang Allah berikan kepadanya. Umpamanya para Ulama', Tuan-tuan Guru, para Kiyai, para Daie dan kadang-kadang Penuntut Ilmu Agama. Kalau para Ulama', Tuan-tuan Guru, para Kiyai yang samada mengajar di masjid, pondok-pondok, atau padang umum biasanya tidak payah sedikit habuk pun untuk mencari rezeki, ada sahaja yang beri beras, ikan, duit, dan sebagainya. Kepada penuntut Ilmu Agama yang tidak putus-putus pemberian sedekah orang padanya serta tidak lupa para Da'ie yang siang dan malamnya dengan kerja sebaran Dakwah sepenuh masa dan tenaga dengan agama Allah (Islam), biasanya rezeki mereka Allah s.w.t sentiasa jamin. Walaupun semua golongan ini kadang-kadang kita lihat nampak susah akan kehidupannya, tetapi hati mereka senang dan merasa cukup dengan apa yang ada. Mereka ini lebih mementingkan sentiasa mengharapkan Allah s.w.t. memberikan Istiqamah perhambaan mereka dengan Allah dan kehendak supaya Islam sentiasa tersebar luas di merata tempat. Ini benar-benar berlaku, seperti Rasulullah bersama para sahabatnya diperintah Allah supaya berhijrah ke Madinah. Maka bermulalah amal jihad mereka yang berterusan. Mereka tidak pedulikan maslahah-maslahah mereka, juga kebun-kebun mereka. Hanya kepentingan pada maslahah mereka yang difikirkan adalah jihad pada jalan Allah s.w.t.
Sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
[Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) ugama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya] [Al-Baqarah:195]
Dan maksud kebinasaan yang Allah s.w.t. melarang dan menegah mereka adalah sebenarnya Allah meletakkan(menetapkan) maqam Jihad, amal secara ukhrawi, Dakwah da berkhidmat sepenuh masa. Ini adalah maqam yang paling halus yang Allah telah tetapkan dengan Tajrid dan sentiasa mengekalkan dengan Tajrid itu. Dan semua ini bukanlah bagi tiap-tiap manusia, tetapi bagi lapisa yang disebut As-Siddiqin iaitu terbina atas Ma'rifatullah(Mengenal Allah) dan Ubudiyyah(perhambaan) kepadanya. [rujuk As-Siddiqin War-Robbaniyyin min Khilal An-Nusus Wa Hikam Ibnu 'Atoillah As-Sakandari: karangan Al-'Alim Ad-Da'ieyyah Syeikh Said Hawa]. Kesimpulannya, jelaslah kepada kita kedudukan pembaca-pembaca semua yang meneliti episod ini. Cuma setiap pilihan kita ataupaun keputusan yang hendak dibuat mestilah yang paling tepat. Kadang-kadang amalan ibadat yang kita gemar dan suka, belum tentu mencapai keredhaan Allah kepada kita. Sebab amalan ibadat mengikut kehendak Allah itu adalah yang paling tepat walau sukar dan tidak gemar kita untuk mengerjakannya. Walau kerja itu harus di sisi manusia, tetapi jika dilakukan untuk mencari keredhaan Allah itu juga ibadat. Dan yang baik dan paling tepat adalah Rahmat dan Kurniaan Allah s.w.t. Bukanlah amalan kita semata-mata.
Sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
[..........maka kalau tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu, nescaya menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang rugi] [Al-Baqarah:64]
Dengan ini, apakah keputusan yang kuat pada kita?.......atau adakah keputusan itu pada kita sendiri?....atau kita perlukah mencari kawan atau guru utuk nenunjukkan kita? Maka ikutilah Episod akan datang!!!!!

No comments: