سوابق الهمم لا تخرق اسرار الاقدار
Maksudnya: Keputusan yang kencang(kuat) tidak dapat memecahkan pagar-pagar Qadar Ilahi.
Sahabat-sahabat sekalian, episod Al-Hikam kali ini berkaitan Kalam Hikmah daripada Al-Imam Ibnu 'Athoillah Assakandari yang berkait rapat dengan antara keputusan yang kuat dengan Qada' dan Qadar ilahi. Di sini perlu saya bahaskan terlebih dahulu berkaitan apa yang dikatakan Qada' dan apa yang dikatakan Qadar itu? Ini adalah perkara yang asas dan wajib semua muslim yang mengaku beriman dengan Qada' dan Qadar ini. Tidak kira mengikut pendapat mazhab Aqidah mana-mana sekalipun, yang penting mestilah di bawah fahaman Ahlissunnah Wal Jama'ah. Namun bagi siapa yang mempunyai fahaman seperti Zaidiyah dan Imamamiyah daripada fahaman Syi'ah, sekiranya ingin berkongsi pandangan bagi kami yang berfahaman Ahlissunnah Wal-Jama'ah, maka adalah tidak menjadi masalah. Asalkan atas dasar Islam kita bersatu menentang musuh-musuh agama Allah SWT. Bagi menambah ilmu pengetahuan, sedikit sebanyak apa yang saya belajar di dalam ilmu Tauhid, menurut Mazhab Aqidah seperti Al-'Asya'iroh dan Al-Maturidiyah berkaitan Qada' dan Qadar ini , maka kita boleh mengambil faedahnya. Namun perlu kita perhatikan di sini, ada juga dikalangan mereka yang belajar ilmu Tauhid dan tinggi pengetahuannya daripada kita, tetapi sanggup menentang arus dengan menentang dan menghalang kita untuk memperjuangkan dan mempertahankan Islam. Hakikatnya mereka ini menentang agama Allah SWT dan menentang arus Aqidah dan Iman yang mereka sendiri sepatutnya memahaminya. Sedangkan inilah perjuangan Nabi SAW serta para Sahabat RA untuk mengajak manusia beriman dan kembali menuju apa yang Allah SWT redha. Tetapi apabila manusia memandang dunia adalah segala-galanya dan seolah-olah tidak yakin dengan adanya kehidupan selepas dunia ini, maka manusia sanggup melanggar ketetapan Allah SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksud: {Mereka itulah orang-orang yang membeli (mengutamakan) kehidupan dunia (dan kesenangannya) dengan (meninggalkan perintah-perintah Allah yang membawa kebahagiaan dalam kehidupan) akhirat; maka tidak akan diringankan azab seksa mereka (pada hari kiamat), dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan}[Al-Baqarah:86]
Sahabat-sahabat sekalian, untuk memahami ilmu Tauhid(ilmu mengesakan Allah) ini, bukan hanya dengan mempelajari Mazhab A-'Asya'iroh dan Al-Maturidiyah. Ataupun belajar tentang ketuhanan berkaitan Tauhid Ar-Uluhiyyah, Tauhid Ar-Rububiyyah dan Tauhid Al-Asma' Was Sifaat bagi sebahagian Ulama' yang membahagikan untuk memudahkan orang awam memahaminya. Dan menjadi satu kemestian mempelajari ilmu Tauhid ini, samada mengikut mana-mana pendapat Ulama' atau kitab-kitab Tauhid yang Turathi(masa dahulu) atau Mu'asarah(masa kini) sekalipun, mestilah tahu tujuannya iaitu untuk kita mendapat ilmu Ma'rifatullah(ilmu mengenal Allah SWT). Itulah ilmu yang paling tinggi. Andaikata dengan Al-Quran sahaja kita mampu mengenal Allah SWT, maka tidak menjadi masalah. Namun, perlu diingat juga para 'Alim Ulama' yang tidak kira aliran Salaf, Khalaf, Muta'akhirin ataupun Mu'asarah(zaman sekarang) yang menyusun sesuatu ilmu itu adalah untuk memudahkan kita faham, lantas mampu mempraktikkan ilmu tersebut. Dengan itu kita mengenal siapakah yang mencipta, mengatur, mentadbir, menguasai seluruh alam dan segala makhluk di langit dan di bumi?
Firman Allah SWT yang bermaksud: {Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya)}[Al-Baqarah:255]
Ada dikalangan golongan tertentu yang kadang-kadang mengelirukan masyarakat Islam dengan mewajibkan belajar ilmu Tauhid mengikut sifat 20 sahaja, lantas menyempitkan fikiran masyarakat yang tidak mengerti apa-apa. Sedangkan para Sahabat RA sedikitpun tidak pernah belajar sifat 20 tersebut. Adakah mereka(para Sahababt RA) berdosa? Jawapannya adalah tidak berdosa kerana mereka mengenal Allah SWT lebih daripada kita. Sebab itulah dengan kefahaman yang tinggi pada para Sahabat Nabi SAW ini, mereka sanggup mencari syahid demi memperjuangkan agama Allah kerana sangat kenalnya mereka dengan Allah SWT.
Sahabat-sahabat sekalian, Qada' menurut Mazhab Al-'Asya'iroh adalah Qadim(azali) dan menurut Mazhab Al-Maturidiyah adalah Hadis(baharu). Adapun Qadar menurut Mazhab Al-'Asya'iroh adalah Hadis(baharu) dan menurut Mazhab Al-Maturidiyah adalah Qadim(azali). Dalam erti kata lain, perkara Qada' adalah Qadim(azali) menurut Al-'Asya'iroh ialah segala perkara berkaitan Jodoh, Ajal, Maut, Syurga, Neraka adalah azali yang memang sudah Allah SWT tetapkan. Adapun Hadis pada Qadar adalah menurut Al'Asya'iroh segala perkara yang Allah SWT kehendaki tidak mengira atau mengikut masa dan keadaan.
Firman Allah yang bermaksud: {Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: " Jadilah engkau! ". Maka ia terus menjadi. Oleh itu akuilah kesucian Allah (dengan mengucap: Subhaanallah!) - Tuhan yang memiliki dan menguasai tiap-tiap sesuatu, dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan} [Yasin:82-83]
Kadang-kadang soal jodoh atau mati yang Allah SWT sudah tetapkan kepada seseorang itu, dengan mudah Allah SWT ubah sekiranya Allah SWT kehendaki. Sebab keputusan Allah SWT adalah yang paling utama dan paling tepat. Namun Allah memberikan kepada kita sebagai orang yang beriman dengan satu senjata doa yang tidak ada pada orang yang tidak beriman dengan Allah. Dan Allah SWT boleh mengubah ketetapanNya dengan menerima doa hambaNya, sebab belas kasihanNYa. Ini menjadi kuasa Qadar pada Allah SWT. Sebab Allah SWT juga mempunyai atau memilki sifat Al-Wahhab(Maha Pemberi).
Sebagaimana Firman Allah yang bermaksud:{sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya}[Ali-'Imran:8]. Adapun menurut Al-Maturidiyah adalah sama huraiannya seperti Al-'Asya'iroh, hanya bertukar istilah Qada' dan Qadar itu. Sepertimana yang kita semua sedia maklum. Ini adalah ilmu asas yang saya percaya ramai yang mengetahui. Dan sebahagian Ulama' ada yang tidak membezakan sama sekali istilah Qada' dan Qadar. Lalu meletakkan Qada' dan Qadar itu serupa. Apapun Ulama' tetap bersepakat Qada' dan Qadar itu wajib setiap orang Islam beriman, percaya dan Yakin.
Dengan kefahaman yang serba sedikit ini, jelaslah kepada kita semua bahawasanya makhluk sama sekali tiada kuasa sedikitpun. Hanyalah Rahmat dan KurnianNYa kepada seseorang itu sahajalah yang dapat memberikan nikmat kepada kita. FirmanNya yang bermaksud: {Padahal Allah berhak menentukan rahmatNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah (jualah Yang) mempunyai limpah kurnia yang amat besar}[Al-Baqarah:105]. Oleh kerana itu, maka diharamkan kepada kita melihat hanya kepada amalan ibadat seperti sembahyang, puasa, membaca Al-Quran, berwirid, bersedekah dan sebagainya. Itu hanyalah sebagai tanda 'Ubudiyyah(memperhambakan diri) kita kepada Allah SWT. Adakah kita bersyukur(beriman) ataupun kita menjadi engkar(kufur)? Hatta berdoa juga merupakan usaha kita sebenarnya. Namun apabila kita bertawakkal, maka segala apa yang kita usahakan baik belajar, bekerja, sembahyang, membaca Al-Quran, puasa, bersedekah, berdoa, berwirid dan lain-lain itu terbatal!!! Kecuali belas kasihan, Rahmat dan KurniaanNya. Menurut Al-Marhum Syaikh Mutawali Sya'rawi salah seorang Ulama' Mesir pernah menerangkan dalam fatwanya berkaitan masalah khusyuk di dalam Sembahyang dengan mengkaitkan beliau pada usaha dan Tawakkal. Menurut beliau usaha itu jasad dan tawakal itu di dalam hati. Maka beliau memandang usaha perlu diiringi(disekalikan dan disatukan) dengan Tawakkal; iaitu secara iringan antara Tawakkal dan Usaha. Dimana Usaha itu pada Jasad dan Tawakkal itu pada Hati. Saya pernah bertanya seorang Ustaz yang pernah belajar di Mesir dahulu berkaitan kefahaman yakin dengan diri sendiri dan yakin dengan Allah SWT. Lalu beliau menjawab: "Yakin dengan diri sendiri adalah usaha kita yang sebanyak mungkin dan yakin kita dengan Allah adalah terhapus segala apa yang kita usahakan itu dan bulat-bulat kita bergantung harap kepada Allah SWT". Ramai dikalangan masyarakat kita meletakkan usaha dahulu , kemudian bertawakkal, tetapi tidak mengerti menurut apa yang dikehendak oleh Allah SWT. Lalu segala usahanya itu sampai sanggup melanggar hak hukum-hukum Syariat Allah SWT. Umpamanya bersungguh-sungguh belajar sampai meninggalkan sembahyang. Kemudian setelah merasakan diri sudah habis usaha, baharulah Tawakkal dengan menganggap sembahyang hajat, doa, membaca Al-Quran dan segala amalan ibadat ini Tawakkal kita. Hilang perasaan kita dalam diri ini hidup di dunia adalah semata-mata untuk mencari keredhaan Allah SWT. Hilang tanggungjawab hubungan kita dengan Allah dan kadang-kadang hilang tanggungjawab kita dengan sesama manusia. Sedangkan akhlak yang baik itu juga menunjukkan perangai orang yang bertawakkal. Tidak kiralah konsep Usaha dahulu kemudian Tawakkal, ataupun Tawakkal dahulu kemudian Usaha, ataupun diiringkan kedua-duanya sekalipun. Adalah yang paling penting sekali kita memahami huraian mengikut apa kehendak Allah SWT pada kita, bukan kehendak kita pada Allah. Beramal apa yang Allah SWT suka pada kita, bukan amalan apa yang kita suka. Sebagaimana fimanNya: {dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya}[Al-Baqarah:216]
Sebab itu kita memerlukan panduan dan rujukan para 'Alim Ulama' untuk menambah ilmu pengetahuan Islam. Kena minatkan diri kita ke majlis-majlis ilmu samada di masjid-masjid atau mana-mana tempat yang bersesuaian. Bukan sahaja orang yang menunutut ilmu agama sahaja wajib hadir ke majlis-majlis tersebut. Malahan seluruh umat Islam yang mengaku beriman dan Islam, wajib menuntut ilmu agama sebab untuk manfaat kita di dunia dan akhirat. Waallahu'alam.
No comments:
Post a Comment