Saturday, May 17, 2008

HATI SEORANG YANG LEMAH.


Wahai sahabat-sahabatku sekalian, firman Allah SWT yang bermaksud: {Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam, dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman, dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat, dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar, dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah), dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah, dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa, dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya, dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar. Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata} [Al-Ahzab:35-36]
Wahai sahabat-sahabatku semua, bagaimana isteri Nabi SAW Ummu Salmah dan Nasibah binti Ka’ab Al-Ansoriyyah bertanya kepada Nabi berkenaan kerja kebajikan banyak dikhususkan laki-laki di dalam ayat-ayat Allah swt, dan tidak dikhususkan perempuan, lalu Allah SWT menurunkan ayat-ayat yang aku sebutkan maksudnya tadi dengan mengkhususkan kedua-duanya sekali iaitu laki-laki dan perempuan-[Riwayat daripada Ibnu Abbas di dalam kitab Tanwir Al-Miqbas susunan Abi Tahir bin Ya’qub Al-Fairuzabadi ]. Bukanlah sebenarnya aku mendedahkan beberapa potongan maksud ayat-ayat di sini untuk mensyarahkan ayat-ayat tersebut dengan lebih terperinci mengikut Ulama’ Mufassirin baik dikalangan aliran salaf mahupun aliran khalaf ataupun mana-mana Ulama Mu’tabar. Bahkan daripada ayat-ayat tersebut sebenarnya sebagai suatu hikmah yang boleh kita ambil. Kerana hikmah barang kehilangan atau keciciran bagi orang beriman, maka barangsiapa yang menjumpainya adalah berhak baginya. Dan ambillah hikmah itu dari mana sahaja datangnya. Firman Allah yang bermaksud: {Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.}- [Al-Baqarah:269].
Lebih-lebih lagi ayat-ayat Al-Quran yang banyak terkandung hikmahnya. Umpamanya dalam Surah Yasin ayat kedua yang bermaksud: {Demi Al-Quran yang mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap kukuh}-[Yasin:2]. Tambahan pula, Al-Quran sudah semestinya bukan sekadar teorinya sahaja, bahkan sebagai praktikal. Adalah menjadi suatu kesesuaian Al-Quran itu untuk digunakan sepanjang zaman.
Justeru itu, di dalam fatrah di bulan Mei ini terdetik dalam hatiku ingin menyatakan beberapa pendirian dan prinsip di dalam blogku ini. Kerana dgn pendirian dan prinsip ini memberi kekuatan untukku terus istiqamah dengan pembawakanku ini. Adalah menjadi suatu kewajipan untukku melakukan sesuatu perbuatan atau perkerjaan itu dengan niat dan tujuan. Ibarat pemandu kenderaan yang memandu ada halatujunya sendiri. Samada ke rumah, kedai, pasar atau tempat-tempat lain. Pendirian dan prinsip di dalam blogku ini juga, menjadikan aku sentiasa menitikberatkan dengan tajdid (memperbaharui) niatku ini yang tidak lain hanyalah untuk mencari keredhaan Allah SWT. Ini merupakan niat yang hakiki dan merupakan kewajipan bagi orang yang mengakui beriman kepada Allah SWT dan sebagai orang yang mengakui keislamannya. Sebagaimana potongan Hadith Nabi SAW yang bermaksud: {Hanyasanya segala amalan itu adalah dengan niat, dan bagi setiap seseorang itu apa yang dia itu niatkan}-Muttafaqun alaihi. Namun mudah untuk kita ungkapkan sesuatu perkara, perbuatan, atau pekerjaan untuk mencari keredhaan Allah SWT tanpa menyatakan tujuan secara zahiriah. Niat yang tulus Ikhlas ini mestilah dengan pelaksanaannya mengikutkan apa yang Allah redhai. Ada dikalangan manusia yang menyatakan keikhlasan untuk mencari redha Allah SWT, baik penyaksiannya pun mengaku dengan kalimah syahadahnya iaitu {Sahaja aku naik saksi bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah, dan aku naik saksi bahawa Muhammad itu pesuruh(utusan) Allah}. Juga menyebut dalam sembahyangnya sepanjang 5 waktu sehari semalaman iaitu {bahawasanya sembahyangku, Ibadatku, hidupku dan mati untuk Allah sebagai tuhan yang mentadbir semesta alam}. Dan apa sahaja pengakuan di sisi Allah SWT yang hanya dinyatakan dibibir-bibir manusia ini, kadang-kadang tetap tidak dibukakan pintu petunjukNya. Perkara ini berlaku tidak lain dan tidak bukan apabila manusia melawan hukum Allah SWT. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: {Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan}-[Al-Ankabut: 45]. Ayat ini jelas kepada kita bahawasanya perintah Allah supaya kita meneliti Al-Quran untuk kita melaksanakannya dan perintah sembahyang. Maka dua perintah dalam maksud potongan ayat ini, menjelaskan kepada kita bahawasanya sembahyang yang dapat mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar adalah dengan meneliti dan melaksanakan apa yang dikehendaki di dalam Al-Quran.
Dalam penulisanku terus terang aku nyatakan, bahawasanya aku tidak gemar menulis dengan membanyakkannya maqalah tanpa melihat kepada kualiti dan mutu penulisan tersebut. Lagipun aku meletakkan penulisan secara bulanan lebih baik daripada mingguan. Dan tidak gemar menulis tanpa membuat kajian yang bersungguh. Malah aku sukakan idea pemikiran yang baru dalam penulisanku. Bukanlah bermaksud untuk aku membuat pegangan baru dalam kefahaman Islam. Tetapi pengolahan gaya pemikiranku sahaja. Dan aku juga cuba menulis untuk menyesuaikan suasana zaman sekarang ini untuk memupuk nilai kefahaman dan kesedaran orang. Aku juga orang yang belajar dan memerlukan tunjuk ajar daripada semua yang menjenguk atau meneliti tulisanku. Sebab kelemahanku kadang-kadang aku terlepas pandang. Apabila aku menulis, seolah-olah aku sedang berbual-bual dengan orang yang disampingku, tetapi tidak seperti menulis sebuah cerpen. Maka ini juga kegemaranku dalam menulis. Cuma konsepku dalam blogku ini kalau sahabat semua perhatikan, aku bukanlah orang yang menulis dengan semberono(membabi buta) dan tidak tersusun. Malah aku mengikut tertib perkara yang aku mahu sampaikan. Bukan sahaja yang aku susun ikut episod seperti bab Hikam, malah yang aku susun tidak ikut episod pun. Umpamanya berkaitan dengan unsur fikrah ataupun tazkirah, sebenarnya aku tetap menyusunnya. Barangsiapa yang meneliti benar-benar tulisanku daripada awal blog ini, maka akan mengerti sedikit sebanyak pembawakanku. Apa yang aku harapkan supaya orang yang membaca sentiasa berfikir, mengamati dan cuba beramal apa yang dikehendaki daripada tulisanku. Dan ada bab-bab yang aku sengaja lewatkan untuk menyambungnya. Umpamanya tentang bab Hikam itu sendiri. Kerana aku yakin bab ini amat sulit untuk orang mengambil buah hasilnya. Ramai yang inginkan pengetahuan tentang ini supaya dia boleh menjelaskannya kepada orang lain. Tetapi tidak cukup kalau tidak beramal dengan apa yang dia ketahui. Bagaimanakah untuk beramal dan menyebarkan? Konsep ini amat aku ambil berat sekali. Janganlah pandang entang dengan sesuatu perkara yang sebenarnya kita sendiri belum amatinya lagi. Dari tulisanku juga adalah sebagai tatapan tazkirah. Dalam erti kata lain boleh diulang baca bagi sesiapa yang rasa futur dan lemah, bagi mengembalikan semangatnya semula. Malah aku juga akan membacanya jika aku lemah sepertimana sahabat-sahabat membaca, sebab aku ini selalu lupa dan silap.
Wahai sahabatku, demikianlah tugas risalah dakwah mengajak manusia menuju redha Allah SWT ini adalah satu kewajipan kepada semua Muslim. Sehinggakan matlamat mengembalikan perundangan Islam di seluruh muka bumi Allah ini dapat disirnakan. Sebagaimana Fathi Yakan salah seorang pendakwah yang tidak asing lagi untuk kita sebutkan, berpendapat bahawasanya kewajipan itu adalah Fardhu Ain bagi setiap Muslim. Sebagai orang yang takutkan Allah, lebih-lebih lagi golongan Ulama' apatah lagi. Umpama satu ungkapan dari Ibnu Mas'ud menyebut: {Ulama' itu bagi sesiapa yang takut(dengan Allah)}.-[Rujuk Ad-Da'wah Al-Islamiyyah karangan Dr Sodiq Amin]. Bukanlah aku di sini menggelar diriku sebagai seorang Ulama', malah merasa takut dihatiku bila mudah orang mengungkapkan {itu Ulama' dan ini Ulama'} sedangkan ilmuku yang terlalu sedikit dan bila difikirkan seolah-olah macam tiada ilmu. Apatah lagi diriku seorang insan yang hina lagi tidak banyak mengerti ini, malah masih menuntut ilmu dan banyak perkara yang perlu dipelajari ini. Apapun sedikit sebanyak maklumat atau pengisian yang aku tonjolkan di dalam blogku ini, mudah-mudahan Allah SWT memberi sedikit saham diakhirat kelak. Kalau diharapkan amalan ibadatku sehari semalam, baik sembahyangku, puasaku, sedekahku dan sebagainya; apakah sangat-sangat ini mampu mengundangku untuk baik ganjarannya di akhirat kelak? Jawapannya sekali-kali tidak melainkankan Rahmat dan Kurniaan Allah SWT kepadaku. Namun kerja amalan sebaran dakwah ini sebagaimana sunnah Rasulullah SAW, juga sunnah-sunnah para Nabi yang lain ini adalah sunnah terbesarnya yang mesti kita benar-benar mengamatinya dan melaksanakannya.

Akhir kata, dengarlah wahai sahabat-sahabatku sekalian, satu sifat yang memberi pengertian yang menyeluruh yang dapat kita sifatkan kepada da'wah kita ini ialah: "Islamiyyah". Kalimah ini mempunyai pengertian yang luas, bukan pengertian yang sempit seperti mana yang difahami oleh kebanyakan orang. Kita berkeyakinan bahawa Islam adalah suatu pengertian yang menyeluruh, menyusun seluruh aspek, memberi fatwa dalam semua permasalahan, menentukan kepada permasalahan itu suatu sistem yang konkrit dan terperinci. Islam tidak berlepas tangan berdepan dengan permasalahan hidup dan sistem-sistem yang diperlukan untuk membawa Islam kepada manusia. Setengah orang tersalah, memahami bahawa Islam itu hanya terbatas dalam soal-soal ibadat dan bentuk-bentuk rohaniah sahaja. Mereka membataskan diri dan fahaman mereka di sekitar yang sempit ini sejajar dengan fahaman yang sempit terhadap Islam. Tetapi kita tidak memahami Islam seperti fahaman itu, malah kita memahami Islam dengan fahaman yang luas, ruang lingkupnya merangkumi seluruh urusan dunia dan akhirat. Dakwaan ini bukanlah semata-mata dakwaan kosong atau sengaja kita meluaskannya supaya sesuai dengan pendapat kita, tetapi inilah yang kita fahami dari kitab Allah dan sejarah orang-orang Islam yang terdahulu. Benar, da'wah kita adalah bersifat Islamiyyah dengan seluruh pengertian yang terkandung dalam kalimah 'Islamiyyah' itu, setelah itu sahabatku semua fahamilah apa yang sahabat mahu fahami dan dalam sahabat memahami itu sahabat terikat dengan kitab Allah dan sunnah RasulNya juga sejarah jejak langkah para Salihin muslimin yang terdahulu. Kitab Allah asas dan sumber Islam, manakala sunnah RasulNya berperanan sebagai menerang dan mentafsirkan Al Qur'an, manakala sejarah dan jejak langkah para salihin pula; mereka adalah golongan yang telah diredhai Allah, telah melaksanakan perintah Allah dan menerima ajarannya dan mereka adalah merupakan contoh yang praktik dan gambaran yang menjelmakan perintah dan ajaran itu. Sekian dariku.

No comments: