Gambar hiasan sahaja....
Senario hari ini dilihat begitu mencabar dengan pertembungan yang berlaku dengan penjajahan ideologi oleh pihak Yahudi dan barat kepada ummat Islam seluruhnya. Malahan pihak pemimpin-pemimpin negara di setiap negara ummat Islam sekarang seolah-olah diperalatkan oleh pihak barat. Sehinggakan kemelut di Palestin, Iraq dan sebagainya masih tidak dapat pembelaan. Ditambah lagi, badan-badan pertubuhan tertentu seperti OIC yang diharapkan dapat menyelesaikannya; tetapi seperti 'permata yang dianggapkan kaca'. Sebenarnya tiada apa yang boleh kita harapkan langsung. Dan juga sebahagian pemimpin-pemimpin di setiap negara ummat Islam adalah boneka semata-mata. Bangsa kita melayu ramai yang menyalahkan bangsa Arab yang mementingkan diri sehinggakan tidak peduli kepada negara ummat Islam yang diperkotak-katikkan oleh pihak musuh Islam yang laknat. Tetapi saya melihat di sini, puncanya adalah sikap pemimpin-pemimpin negara ummat Islam yang mementingkan diri sendiri dan tidak pernah serius dalam menyelesaikan masalah umat Islam seluruhnya. Tidak kira bangsa apapun kita, adalah menjadi satu kepentingan kepada kita semua supaya menegakkan yang Hak dan menentang yang Bathil dengan meletakkan kebenaran Islam itu adalah yang tertinggi.
Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah SWT ada beberapa golongan-golongan atau kumpulan-kumpulan tertentu yang berdiri untuk menegakkan kebenaran Islam ini. Sebagaimana Allah SWT berfirman yang maksudnya:{Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah berceri-berai dan berselisihan (dalam ugama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar}[Ali Imran:104,105]. Biasanya golongan-golongan ini mengemudi gerakan-gerakan yang berteraskan Islam. Gerakan-gerakan ini perjuangan zahirnya adalah untuk mengembalikan Islam supaya ia berdiri pada tempatnya. Sebagaimana zaman Rasulullah SAW bersama para sahabatnya RA yang membina piagam Madinah sebagai Daulah Islam contoh. Diikuti zaman Khulafa' Ar-Rasyidin. Seterusnya zaman Bani Umaiyyah dan zaman 'Abbasiyyah. Sehinggalah zaman Islam Turki Uthmaniyyah yang telah ditumbangkan oleh pengkhianat Islam la'natullah Kamal Artartuk.
Sahabat-sahabat semua, tambahan masalah dalaman ummat Islam yang meruncing sekarang ini berkaitan isu fahaman yang begitu bergoncang sekali. Isu fahaman dikalangan ummat Islam ini berlaku adalah disebabkan dikalangan kita ummat Islam yang langsung tidak memerhatikan dan meneliti sejarah serta asal-usul mazhab. Hatta timbul pertikaian ini disebahagian tempat negara ummat Islam. Timbul isu fahaman berkaitan ta'sub Mazhab, Salafi, Wahabi, Sunni, Syiah dan sebagainya. Perlu diingat semboyan {Wahdatul Fikri Wa-wahdatul'Amal} iaitu kesatuan pemikiran dan kesatuan amal(praktikal) mesti direalisasikan. Masalah ini tidak akan berlaku sekiranya kita meneliti sejarah dan asal-usul Mazhab sesuatu fahaman itu. Kadang-kadang dikalangan kita yang dia mengakui bermazhab As-Syafi'eyyah, tetapi tidak mengerti asal-usul mazhab mereka sendiri, apatah lagi mudah sangat menghujum satu-satu fahaman itu. Begitu juga mereka yang berfahaman Wahabi sanggup menghujum mana-mana fahaman yang menganggap lain daripada fahaman mereka bukanlah daripada Ahlussunnah Wal- Jama'ah. Sebenarnya bila kita memerhatikan kembali sedikit sejarah bagaimana aliran salaf daripada kurun mula hijrah sehingga 300H yang menjadi manhaj yang terbaik untuk semua ummat Islam mengambil pedomannya. Kemudian selepas daripada tahun 300H mula timbul kemasukan aliran Falsafah yang sedikit sebanyak mencemari fahaman Islam. Begitu juga aliran fahaman Mu'tazilah yang menyamakan sifat Allah dengan sifat makhluk. Oleh kerana fahaman ini menggunakan hujjah akal fikiran, maka timbul Mazhab Aqidah iaitu Al-'Asya'iroh dan diikuti Al-Maturidiyyah adalah termasuk dibawah fahaman Ahlissunnah Wal-Jama'ah. Mazhab Aqidah ini, menggunakan akal mereka untuk menentang fahaman yang menyamakan sifat Allah dengan sifat makhluk. Kemudian apabila zaman Muta'akhirin iaitu berlaku aliran khalaf, maka wujud mazhab-mazhab Sunni dikalangan Ulama' Mujtahidun seperti Al-Malikiyyah, Al-Hanafiyyah, As-Syafi'eyyah dan Al-Hanabilah. Mazhab-mazhab Sunni ini semuanya adalah termasuk Ahlussunnah Wal-Jama'ah. Oleh kerana berlaku taa'sub Mazhab dikalangan pengikut-pengikut Mazhab Sunni ini yang masing-masing merasakan mazhab merekalah yang paling betul. Bagi menyatukan Ummat Islam ketika itu, maka Syaikh Islam Imam Ibnu Taimiyyah yang diikuti anak muridnya Imam Ibnu Qayyim Al-Jauzi yang mengajak ummat Islam supaya bersatu dengan kembali kepada Al-Quran dan Hadith Rasulullah SAW. Lalu membentuk mazhab Salafi dan cabangnya Mazhab Wahabi yang diasaskan oleh Syaikh Muhammad bin Abdul Wahab. Dan ini juga termasuk daripada fahaman Ahlussunnah Wal-Jama'ah. Sebab itulah saya mengajak kepada semua supaya kita sentiasa merujuk kepada kitab daripada Ulama'-ulama' yang Mu'tabar. Dan kita kena berhati-hati supaya tidak mengambil maklumat daripada penulis-penulis jalanan yang ingin memenangkan hujjah mereka tanpa melihat kepada dasar ilmu yang sebenarnya.
Sahabat-sahabat semua, kita juga sentiasa membaca Al-Quran dan Hadith Rasulullah SAW. Dan bukan sebagai teori sahaja, tetapi kena melihat kepada apa yang berlaku pada hari ini untuk dipratik dan direalisasikan. Kitab Al-Quran adalah satu kertas kerja dasar yang sesuai untuk semua perjalanan hidup manusia seluruhnya, perlu kita pastikan pekerjaan atau perbuatan kita itu adakah ianya lari dari dasarnya ataupun tidak? Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:{Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut ugama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan Syurga, dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab neraka); dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan dan (sebenarnya) tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka Kitab-kitab Suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, - mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izinNya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus (menurut undang-undang peraturanNya)}[Al-Baqarah:213].
Akhir sekali, saya memohon maaf atas serba kekurangan pada diri ini yang amat terbatas unuk menjelaskan secara terperinci. Sebagai pedomannya perhatikanlah maksud ayat Al-Quran Surah Al-Baqarah ini yang saya tatapkan. Waallahu'alam.
No comments:
Post a Comment