"Segala puji hanya bagi Allah Tuhan seluruh Alam."
Kalimah 'Al-Hamdu' itu dari sudut makna bahasa Arab adalah pujian dengan keindahan atas sudut 'At-Ta'dzim Wat-Tabjil' (mengagungkan,memuliakan dan membesarkan) yang disertai dengan 'Mahabbah' (kasih-sayang) yang berlawanan maknanya dengan celaan. Dan makna dari sudut bahasa ini pula sebenarnya lebih umum daripada kalimah 'As-Syukru' (kesyukuran). Adapun kalimah 'Allah' itu menurut Al-Qurthubi: Nama ini lebih agung namanya berbanding nama-nama yang lain dan lebih menghimpunkan segala namaNya. Adalah merupakan nama yang hak dan mempunyai sifat-sifat 'Uluhiyyah' iaitu sifat ketuhanan yang disembah dengan menyeluruh serta disifatkan dengan sifat 'Ar-Rububiyyah' iaitu tuhan yang mentadbir, mengurus, menyusun, menguasai dan mengatur segala alam dan makhlukNya. Nama Allah ini adalah nama yang tersendiri dengan kewujudan sebenar-benar hakikat tiada Tuhan yang disembah melainkan Dia (Allah SWT). Kalimah 'Ar-Rabb' iaitu yang berbilang makna diantaranya raja, penguasa, pentadbir, pengislah, yang disembah, tuhan yang ditaati dan segala maksud yang berhubung dengan kekuasaan Allah SWT. Adapun kalimah 'Al-'Alamin' iaitu melengkapi kepada Manusia, Jin, Malaikat, para Syaitan, dan segala makhluk di langit, di bumi dan diantara keduanya. Dan kalimah ini diambil daripada 'Al-'Allamah' (tanda) iaitu kerana alam yang ada ini menunjukkan atas tanda kewujudan Maha pencipta Allah SWT. [Rujukan Sofwatut Tafasir jilid:1]
Setelah menyebut nama Allah, maka kalimat pertama yang kita ucapkan ialah syukur kepadanya. Allah Tuhan yang mengembangkan dan menghidupkan segala sesuatu di alam sejagat dan alam semesta ini bersumber darinya, baik alam benda mati maupun benda hidup, baik yang ada di bumi maupun yang ada di langit. Dialah yang mengajarkan kepada lebah madu dari mana mencari makanan dan bagaimana cara membuat sarang. Dia juga mengajarkan kepada semut bagaimana menyimpan makanannya untuk musim dingin. Dia pulalah yang menumbuhkan batang-batang gandum yang penuh dengan biji-biji hanya dari sebutir gandum, juga menumbuhkan sebatang pohon epal dari sebutir biji epal.
Dialah yang menciptakan langit dengan kehebatan yang amat besar ini dan menetapkan garis peredaran setiap bintang dan setiap galaksinya. Dialah yang menciptakan kita dari setitis air yang memancar dan menumbuhkan kita di dalam perut ibu selama lebih kurang 6 hingga 9 bulan. Lalu setelah kita lahir ke dunia Dia pun menyediakan segala keperluan untuk perkembangan kita. Dia membentuk badan kita sedemikian rupa sehingga mampu mempertahankan diri dari kuman-kuman penyebab penyakit dan jika salah satu tulang tubuh kita patah atau retak, maka tubuh kita memiliki kemampuan untuk mengatasinya sedemikian rupa. Kemudian jika tubuh memerlukan darah maka secara dalaman ia memprodukkannya untuk memenuhi keperluan tersebut.
Meskipun demikian, yang berada di tangan Allah bukan hanya perkembangan dan pemeliharaan tubuh kita sahaja, kerana Dia juga menciptakan akal dan perasaan untuk kita, lalu mengutuskan para Nabi dan menurunkan kitab-kitab Samawi untuk membina kita.
Dari ayat ini ada satu hal yang dapat kita petik sebagai pelajaran iaitu bahawa ketergantungan kita dan seluruh alam semesta ini kepada Allah. Bukan hanya pada saat penciptaan, akan tetapi perkembangan dan keterpeliharaan kita juga datang dari-Nya. Oleh karana itu, hubungan Allah dengan segala yang maujud ini bersifat selamanya dan kekal.
Jika dilihat langit dan bumi ada peraturannya sendiri yang Allah SWT tetapkan. Begitu juga pohon kayu ada peraturan, binatang-binatang ada peraturan, di daratan ada peraturan dan di lautan juga ada peraturan. Semuanya ada peraturan yang Allah SWT tetapkan termasuk malam dan siang silih berganti serta angin yang berkisar juga ada peraturan. Apakah Syariat Islam bukan peraturan yang ditetapkan Allah kepada manusia? Sedar atau tidak berdasarkan keterangan ini, amatlah jelas bagi kita semua akan kekuasaan Allah SWT. Namun begitu, sebahagian manusia terutamanya masih lagi tidak mahu mengerti akan kekuasaanNya sehingga sanggup menolak syariat Allah dan menggunakan akal sepenuhnya dalam menghukum. Apatah lagi ada dikalangan kita ini yang ucapannya dibibir dengan kesyukuran pada Allah, tapi perilakunya atau praktikalnya tidak menunjukkan erti kesyukuran. Sedangkan hamba atau makhluk bernama manusia inilah yang Allah SWT pilih untuk mentadbir muka bumi ini sebagai khalifah. Alangkah sedih kekuasaan yang sebenar itu Allah, tetapi sebahagian manusia meninggalkan cara hidup yang Allah SWT kehendaki iaitulah cara hidup Islam. Adalah menjadi satu kepastian bahawa Islam itu ada syariatnya tersendiri (aturan dan jalan yang terang), namun manusia menolaknya kerana mempunyai sifat atau perangai Iblis la'natullahu alaihi yang enggan dan sombong. Langsung tidak mahu sujud kepada Adam AS dan melanggar arahan Allah SWT. Sedangkan Syariat Islam itu berdasarkan kepada 3 peranan yang sangat penting mengapa manusia diciptakan? Maka untuk ketiga peranan itu syariat Islam diwajibkan oleh Allah kepada manusia untuk beramal dengannya, supaya tidak terpeson daripada peranan yang sebenar dan matlamat dalam pembinaan insan yang sebenarnya.
Ketiga-tiga perkara itu yang pertama ialah Ibadah, yang kedua Khilafah dan yang ketiga ialah amanah. Ibadah dengan makna, manusia mestialah patuh kepada hukum Allah SWT secara mengabdikan diri sebagaimana makhluk-makhluk yang lain yang ada di alam ini samada langit, bumi dan segala-galanya. Cakerawala yang ada di langit, matahari, bulan, bintang beredar mengikut undang Tabi'ie yang ditetapkan kepada mereka oleh Allah. Begitulah dengan makhluk yang lain yang ada di bumi dan manusia yang menjadi sebahagian daripada makhluk juga mempunyai undang-undang yang ditetapkan oleh Allah.
Di antara undang-undang itu, yang diberi kata putus, dan di antara undang-undang itu selanjutnya, yang diizinkan kepada manusia mengkaji dengan akalnya sendiri yang diberi oleh Allah SWT.
Yang kedua, peranan Khilafah. Iaitu memeritah bumi, mentadbir bumi, mentadbir segala bidang, politik, ekonomi dan lain-lain; mentadbir dengan keizinan dari Allah SWT dengan undang-undang yang ditetapkan secara khusus atau dasar umum, manusia boleh berfikir dan meletakkan di bawah dasar umum itu mengikut kebijaksanaan yang diberi kepadanya oleh Allah SWT.
Yang ketiga, peranan amanah. Islam meletakkan bahawa memimpin masyarakat sebahagian daripada amanah yang ditunaikan. Amanah bukan sahaja dalam masalah menyimpan harta benda dan seumpamanya; termasuklah amanah itu dilaksanakan undang-undang yang diwajibkan oleh Allah SWT.
Ketiga-tiga prinsip ini tidak wujud dalam ciptaan manusia menyebabkan tidak dirasa satu tanggungjawab yang menyeluruh dan menguasai diri manusia sehingga ia sangat berbeza dengan syariat Islam, bukan sahaja dari segi prinsip tersebut, tetapi juga dari segi pendedahannya kepada manusia. Syariat Islam itu dibentangkan kepad seluruh tindakan manusia, zahir dan bathin atau roh dan jasad. Berbeza dengan undang-undang ciptaan manusia di mana ia memberi perhatian hanya kepada sebahagian daripada amalan-amalan zahir, bukan kepada semua aspeknya, disamping tidak ada aspek roh yang menjadi sebahagian daripada naluri manusia.
Akhir sekali, perlu diingat apabila kita menggungkapkan sesuatu ayat Al-Quran, maka hendaklah kita memahami dan tadabbur dengan bacaan tersebut. Waallahu'alam.
No comments:
Post a Comment