Sunday, April 18, 2010

WAJIB MEYAKINI BAHAWA MASA DEPAN ADALAH UNTUK ISLAM

Pesanan Syed Qutb sebelum beliau meninggal dunia:

"Janganlah sambutan orang ramai itu menyibukkan kamu dari menyusun barisan dalaman dan menyediakan para pejuang yang mampu menghadapi segala kesukaran dan akan dapat bertahan lama."

(244 Syed Qutb , Kitab As-Syahid, m.s. 91)

Keimanan kita dengan Islam sepatutnya sampai ke peringkat meyakini bahawa masa depan kelak ialah milik Islam. Justeru itu Islamlah yang paling ampuh dan mampu untuk menyusun urusan hidup dan memimpin manusia. Agama Islam adalah satu-satunya manhaj atau cara hidup yang selaras dengan kehendak fitrah manusia. Ia dapat mengimbangkan tuntutan lahiriah dan rohaniah insan.

Allah berfirman:

أَلَا يَعۡلَمُ مَنۡ خَلَقَ وَهُوَ ٱللَّطِيفُ ٱلۡخَبِيرُ

Yang bermaksud: Tidakkah Allah yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui (segala-galanya)? Sedang Dia Maha Halus urusan Pentadbiran-Nya, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya!

(Surah Al-Mulk, Ayat: 14).


A. Manhaj Islam Bersifat Rabbani.

Manhaj Islam yang bersifat Rabbani merupakan satu corak penghayatan yang kudus mengatasi sistem dan cara hidup ciptaan manusia. Ia mampu untuk kekal dan memberikan saham tamaddunnya di setiap zaman, tempat dan peringkat.

B. Manhaj Islam Bersifat Universal (Sejagat).

Manhaj Islam yang bersifat sejagat atau universal menyerlahkan ciri-ciri keinsanan dan ciri "infitah" (bersifat terbuka atau kelapangan) serta daya untuk menanggung kemungkinan-kemungkinannya. Ciri "infitah" ini mengatasi pertimbangan kedaerahan, perkauman, kebangsaan dan sebagainya. Cara ini sebenarnya adalah cetusan dari "Sibghah Rabbaniyah" itu sendiri.

C. Manhaj Islam Bersifat Anjal (Murunah).

Keanjalan manhaj hidup Islam (atau fleksibel) memberikannya daya untuk menghadapi aneka permasalahan hidup yang datang silih berganti "Sibghah" atau cara ini memberikan Islam kebolehan untuk berijtihad menyimpulkan hukum-hakam terhadap hal-hal yang tidak ada nas, sama ada melalui qias atau maslahah mursalah, Istihsan dan sebagainya.

D. Manhaj Islam Bersifat Syumul atau Menyeluruh.

Ciri manhaj Islam yang menyeluruh membedakannya dengan sebarang manhaj atau sistem hidup duniawi yang mempunyai dimensi matlamat yang terbatas. Manhaj Islam adalah manhaj ciptaan Yang Maha Mengetahui segala masalah manusia, baik atau buruknya. Ia Maha Mengetahui apa yang membahagiakan dan apa pula yang mencelakakan manusia. Sebab itu Islam sahajalah yang mampu memenuhkan keperluan manusia, baik sebagai individu, mahupun sebagai kelompok, baik dalam urusan pimpinan mahupun perundangan. Sama ada dalam urusan dalam negeri mahupun luar negeri.

Allah s.w.t berfirman:

صِبۡغَةَ ٱللَّهِ‌ۖ وَمَنۡ أَحۡسَنُ مِنَ ٱللَّهِ صِبۡغَةً۬‌ۖ وَنَحۡنُ لَهُ ۥ عَـٰبِدُونَ

Yang bermaksud: (Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: Agama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): Celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam) dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat.

(Surah Al-Baqarah, Ayat: 138).

E. Kegagalan Sistem-sistem Ciptaan Manusia.

Kemudian kita harus mengetahui dan menginsafi tentang selok-belok serta kegagalan yang dialami oleh sistem hidup dan ciptaan manusia, baik di timur mahupun di barat. Sama ada yang berfahaman kapitalisme, demokrasi, liberal, sosialisme atau komunisme. Tidak syak lagi ini adalah kerana keterbatasannya, kelemahannya, sifat kesementaraannya dan hakikat ianya dari ciptaan insan.

E.1 Kegagalan Sistem Sosial.

Dalam arena sosial, sistem-sistem yang dipanggil sebagai sistem kanan atau kirinya ternyata gagal untuk memantapkan kebahagiaan, keharmonian dan kestabilan. Malah terlalu banyak mala petaka yang ditanggung oleh manusia hasil dari sistem-sistem ini. Ternyata ikatan kekeluargaan semakin terburai. Kasih-sayang semakin pudar, akhlak semakin luntur dan runtuh.

Nilai-nilai keutamaan dan keluhuran sudah kehilangan harga. Ketegangan dan permusuhan mengambil tempat kedamaian dan ketenangan. Semangat egoistik dan mementingkan diri mengalahkan semangat kerjasama dan mengutamakan orang lain.

E2. Kegagalan Sistem Ekonomi.

Dalam bidang Ekonomi, kapitalisme dan sosialisme ternyata gagal dalam mewujudkan (syura impiannya) atau masyarakat serba adil sebagaimana yang dilaung-laungkan. Dari sistem ini tercetuslah bermacam-macam krisis dan permasalahan hidup. Lahir pertarungan kasta, kezaliman sosial, eksploitasi kepartian, monopoli, kemiskinan, pengangguran dan seribu satu macam masalah lagi.

E.3 Kegagalan Sistem Politik.

Dalam arena politik sistem-sistem ala ketenteraan, Demokrasi, Republik, yang beraja atau tidak beraja, bertanggungjawab melahirkan, merangsang serta membiarkan penyelewengan serta kebejatan di setiap peringkat. Penyalahgunaan kuasa, sikap pilih kasih, rasuah, merasa besar diri dengan kekuasaan, di samping bencana fitnah, pembunuhan, penggulingan kuasa silih berganti, pemberontakan, penyingkiran serta bunuh diri (assasination) hampir-hampir menjadi kelaziman sistem-sistem tersebut.

E.4 Kegagalan Sistem Ketenteraan.

Dalam bidang ketenteraan, sistem-sistem ini (banyak menanggung dosa) mengabaikan nasib masyarakat dan negara Islam yang lemah seperti persoalan Kashmir, Eriteria, minoriti Islam di Filipina, persoalan Palestine dan sebagainya. Yang lebih parah dari itu ada pula negeri Arab yang menjadikan krisis tersebut sebagai daun dalam permainan politiknya untuk menggadaikan atau mempergunakannya sebagai isu dan untuk menjamin kekuasaan mereka agar berlarutan. Sistem ini juga bertanggungjawab terhadap pengabaian membina kekuatan fizikal dan jiwa ummah yang membolehkan mereka menghadapi penjajahan dan mengusir Israel dari bumi Palestine.

Dari apa yang saya nyatakan ini, menunjukkan yakin dan percayalahlahIslam bakal memerintah di muka bumi Allah SWT ini. Namun memerlukan kepada pejuang dan pendokong agama Allah SWT yang sanggup berkorban apa sahaja demi Islam.

Di sini penulis ingin menyatakan kadang-kala kita terlalu risau dengan agenda musuh yang terlalu banyak. Menyebabkan seolah-olah Islam tidak ada ruang untuk menang. Bahkan janji Allah SWT adalah janji yang benar dan bakal berlaku.

Sebagaimana firman Allah SWT:

يُرِيدُونَ لِيُطۡفِـُٔواْ نُورَ ٱللَّهِ بِأَفۡوَٲهِهِمۡ وَٱللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِۦ وَلَوۡ ڪَرِهَ ٱلۡكَـٰفِرُونَ
هُوَ ٱلَّذِىٓ أَرۡسَلَ رَسُولَهُ ۥ بِٱلۡهُدَىٰ وَدِينِ ٱلۡحَقِّ لِيُظۡهِرَهُ ۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡمُشۡرِكُونَ
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ هَلۡ أَدُلُّكُمۡ عَلَىٰ تِجَـٰرَةٍ۬ تُنجِيكُم مِّنۡ عَذَابٍ أَلِيمٍ۬
تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَتُجَـٰهِدُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ بِأَمۡوَٲلِكُمۡ وَأَنفُسِكُمۡ‌ۚ ذَٲلِكُمۡ خَيۡرٌ۬ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ
يَغۡفِرۡ لَكُمۡ ذُنُوبَكُمۡ وَيُدۡخِلۡكُمۡ جَنَّـٰتٍ۬ تَجۡرِى مِن تَحۡتِہَا ٱلۡأَنۡہَـٰرُ وَمَسَـٰكِنَ طَيِّبَةً۬ فِى جَنَّـٰتِ عَدۡنٍ۬‌ۚ ذَٲلِكَ ٱلۡفَوۡزُ ٱلۡعَظِيمُ
وَأُخۡرَىٰ تُحِبُّونَہَا‌ۖ نَصۡرٌ۬ مِّنَ ٱللَّهِ وَفَتۡحٌ۬ قَرِيبٌ۬‌ۗ وَبَشِّرِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُوٓاْ أَنصَارَ ٱللَّهِ كَمَا قَالَ عِيسَى ٱبۡنُ مَرۡيَمَ لِلۡحَوَارِيِّـۧنَ مَنۡ أَنصَارِىٓ إِلَى ٱللَّهِ‌ۖ قَالَ ٱلۡحَوَارِيُّونَ نَحۡنُ أَنصَارُ ٱللَّهِ‌ۖ فَـَٔامَنَت طَّآٮِٕفَةٌ۬ مِّنۢ بَنِىٓ إِسۡرَٲٓءِيلَ وَكَفَرَت طَّآٮِٕفَةٌ۬‌ۖ فَأَيَّدۡنَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ عَلَىٰ عَدُوِّهِمۡ فَأَصۡبَحُواْ ظَـٰهِرِينَ 


Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian). (8) Dialah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad s.a.w) dengan membawa hidayat petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), supaya Dia memenangkannya dan meninggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya. (9) Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? (10) Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (11) (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga "Adn". Itulah kemenangan yang besar. (12) Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya) dan sampaikanlah berita yang menggembirakan itu kepada orang-orang yang beriman. (13) Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa Ibni Mariam (ketika ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya)? Mereka menjawab: Kamilah pembela-pembela (agama) Allah! (Setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israil beriman dan sepuak lagi (tetap) kafir. Lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang yang menang.(14)


[As-Saff:8-14]

FirmanNya lagi:

وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَيَسۡتَخۡلِفَنَّهُمۡ فِى ٱلۡأَرۡضِ ڪَمَا ٱسۡتَخۡلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمۡ دِينَہُمُ ٱلَّذِى ٱرۡتَضَىٰ لَهُمۡ وَلَيُبَدِّلَنَّہُم مِّنۢ بَعۡدِ خَوۡفِهِمۡ أَمۡنً۬ا‌ۚ يَعۡبُدُونَنِى لَا يُشۡرِكُونَ بِى شَيۡـًٔ۬ا‌ۚ وَمَن ڪَفَرَ بَعۡدَ ذَٲلِكَ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡفَـٰسِقُونَ

Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: Khalifah-khalifah yang berkuasa dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka. (55)

[An-Nur:55]

Dengan ayat-ayat Allah SWT ini, menggambarkan kepada kita bahawasanya jalan Islam untuk mencapai kemenangan amat luas. Sebab itu kita kena sedar dari sekarang. Jadilah penolong-penolong agama Allah SWT.

Wallahu'alam.

No comments: