Thursday, April 29, 2010

MANSURAH DIPENUHI AIR MATA



Firman Allah SWT:

الٓمٓ
أَحَسِبَ ٱلنَّاسُ أَن يُتۡرَكُوٓاْ أَن يَقُولُوٓاْ ءَامَنَّا وَهُمۡ لَا يُفۡتَنُونَ
وَلَقَدۡ فَتَنَّا ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ‌ۖ فَلَيَعۡلَمَنَّ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ صَدَقُواْ وَلَيَعۡلَمَنَّ ٱلۡكَـٰذِبِينَ

Alif, Laam, Miim. (1) Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? (2) Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta. (3)

[Al-Ankabut:1-3]


Allahu Akbar sayu mata memandang melihat video ini. Kita benar-benar diuji oleh Allah SWT kali ini, kali yang sebelum ini, dan macam-macam Mansurah hadapi rupanya. Terima kasih Wahai Mansurah. Sirru 'ala barakatillah.

WAH, SUKALAH JADI PENYOKONG KUAT AL-AZHAR

Alhamdulillah gambar rakan-rakan kita di Mansurah mendapat liputan besar di dalam Surat Khabar Soutul Azhar hari ini pada Muktamar Wafidin tempoh hari. Dan gambar-gambar ini menunjukkan sokongan seluruh Wafidin kepada pihak Al-Azhar khususnya kepada Al-Imam Al-Akbar dan Rais Al-Jami'ah. Rakan-rakan boleh belilah surat khabar dan boleh tengok sendiri. Sekian, Waallahu'alam.

AIR MATA MANSURAH KALI KETIGA BERJAYA DICIPTA


Saya amat terkilan dengan sikap JPMK yang membiarkan para pelajar tahun satu Qiraat tidak dapat menduduki peperiksaan Syafawi (ujian lisan) yang sepatutnya diambil ujian itu pada hari ini.

Manakah sikap mereka yang mahukan kecemerlangan para pelajar terjamin? Saya kira sewajarnya pihak berwajib ini mengambil tindakan awal sebelum perkara ini berlaku. Desakan telah dibuat oleh pihak pimpinan pelajar, begitu juga dari pihak para pelajar Qiraat seluruhnya.

Namun sejarah telah membuktikan bahawasanya JPMK memang telah gagal di dalam hal menguruskan kebajikan pelajar sehinggakan menjadi satu sejarah 39 orang pelajar Qiraat pada tahun ini tidak dapat menduduki peperiksaan.

Dan jangkaan saya benar-benar berlaku dan sejarah ini benar-benar tercatat. Apapun saya berharap kepada semua pihak, khususnya para pelajar Qiraat dapat bersabar. Sebenarnya saya lagi pelik kepada mereka yang tidak diuji oleh Allah SWT. Dan tidak disangka juga para pelajar Qiraat tahun satu ini dipilih oleh Allah SWT dalam ujian ini. Diharap juga jangan luput dari berdoa kepada Allah SWT.

Jadi saya mengucapkan takziyah dan tahniah kepada adik-adik Qiraat yang seramai 39 orang ini. Takziyah kerana tidak dapat menduduki peperiksaan hari ini dan tahniah kerana antunna dipilih oleh Allah SWT. Waallahu'alam.

Tuesday, April 27, 2010

POTRET-POTRET SAYU MATA MEMANDANG

Ustaz Abduh dari Juzur Qamar memberi rangsangan semangat kepada seluruh wakil mesyuarat delegasi Wafidin sebanyak 12 negara.


Semangat semua berbincang menunjukkan rasa kasih sayang kepada Universiti Al-Azhar cawangan Mansurah.


Semua bergambar setelah mana selesai mesyuarat wafidin dari selepas Isyak hingga jam 12 malam bagi memastikan halatuju warga wafidin di Mansurah terlaksana.


Simpati dengan adik-adik Qiraat tahun satu seramai 39 orang bakal mengundang kesedihan dan nasib mereka untuk tidak dapat menduduki peperiksaan.


Siapakah yang menjaga mereka sekiranya ikhwah kuliyah Al-Azhar tidak ada di Mansurah?


Wahai pihak-pihak berwajib sekalian!
Di manakah anda bila kami perlukan bantuan?
Di manakah anda bila mana kami menghadapi kesulitan?
Di manakah tanggungjawab anda bila kami ditimpa kesusahan?
Apakah salah kami semua sehinggakan kami diperlakukan sebegini?
Wahai pihak-pihak berwajib sekalian!
Andaikata kami menghadapi keperitan di sini
Maka kami bakal menuntut di akhirat kelak
Segala apa yang kami hadapi
Kami menuntut keadilan!
Kami menuntut kebajikan dari anda!
Tunggulah balasan dari Allah dengan sikap anda ini!


QIRAAT MANSURAH MENJADI SEJARAH BARU

Assalamualaikum.


Masalah yang ada di Mansurah kali ini lebih meruncing apabila keputusan yang dibuat oleh Mantiqah Al-Azhar cawangan Mansurah yang bahawasanya pelajar-pelajar tahun satu Qiraat Mansurah tidak boleh menduduki peperiksaan selagi mana Kasyful Asma' ataupun fail-fail pelajar seramai 39 orang masih lagi tidak sampai di Mantiqah tersebut.

Namun usaha terus dibuat diperingkat Maahad Qiraat Fatayat Al-Mansurah sendiri untuk mendesak melalui surat yang saya lampirkan. Berdasarkan perbincangan pihak persatuan kita DPMM bersama pihak Mudirah Maahad pada jam 1.30 petang tadi, insya Allah surat ini akan dihantar oleh pihak Maahad ke Mantiqah. Surat itu terkandung di dalam juga maklumat supaya desakan daripada pihak Mudirah Maahad kepada pihak Mantiqah sendiri supaya mendesak Safarah Malaysia supaya disegerakan fail-fail tersebut.

Kita juga sudah berulang-kali menghubungi pihak Safarah iaitu Encik Khairi Jalaluddin supaya ada tindakan dari pihak Safarah. Apa yang pasti pada hari khamis (29 April 2010) ini adalah tarikh imtihan syafawi (ujian lisan) bagi pelajar-pelajar tahun satu. Dan insya Allah pada 8 Mei 2010 adalah tarikh bagi imtihan tahriri (ujian bertulis). Sekiranya fail-fail ini tidak sempat sampai, maka menjadi satu sejarah buat pelajar-pelajar Qiraat untuk tidak menduduki peperiksaan.

Kami juga terus berhubung dengan pihak DPM Syoubra. Pihak DPM Syoubra juga sudah merujuk di Qitaa' Maahad Al-Azhar dan mendapat maklumat yang sama bahawa fail-fail dari Safarah masih tidak sampai lagi. Namun melalui budi bicara pihak Mudir Maahad Qiraat Syoubra membenarkan untuk pelajar-pelajar tahun satu untuk menduduki peperiksaan.

Andaikata sejarah ini berlaku, nescaya pihak Safarah akan bertanggungjawab di dalam masalah ini. Dan saya harap kepada pihak pelajar-pelajar Qiraat dapat bersabar sekiranya berlaku. Seluruh pihak seperti PMRAM, DPM Syoubra, DPM Mansurah sudah cuba buat apa yang terdaya. Insya Allah kebenaran akan menyebelahi kita. Sirru ala barakatillah.

Saturday, April 24, 2010

MAJLIS MUKTAMAR WAFIDIN SEJARAH AIR MATA KEDUA MANSURAH

Assalamualaikum.

Firman Allah SWT:

وَلَا تَرۡكَنُوٓاْ إِلَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ فَتَمَسَّكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَڪُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنۡ أَوۡلِيَآءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ

Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api Neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan. (113)

[HUD:113]


Bagi pendirian kebanyakan mahasiswa/wi Malaysia di Mansurah amat menentang keras dengan isu ini. Kerana isu ini akan menimbulkan permasalahan yang cukup besar pada masa akan datang. Antara faktor yang disepakati kebanyakan mahasiswa/wi :

1) Ekonomi dan penempatan.

Bagi mahasiswa/wi Melayu di Al Azhar Mansurah terdapat lebih kurang 27 pasangan yang telah berkhawin. Keadaan ini tentu akan bersangkut paut dengan permasalahan ekonomi dan penempatan. Bagi mahasiswa/wi yang belum mendirikan rumah tangga tentu permasalahan ini boleh ditangani walaupun terdapat sedikit kepahitan. Bagi mereka yang sudah berumahtangga ini merupakan cabaran yang terbesar terhadap mereka. Selain itu , sebahagian mahasiswa/wi Al Azhar tidak mendapat bantuan kewangan yang kukuh dan stabil. Kebanyakan dari mereka hanya mengharap saluran kewangan dari ibubapa.

Selain itu, penempatan yang sukar diperolehi di Kaherah serta mahal dan akan memberi masalah yang besar kepada rumah-rumah negeri dan Badan Kebajikan Anak Negeri kerana isu perpindahan ini bukan hanya berlaku kepada muhafazah (cawangan) Mansurah sahaja tetapi di seluruh 7 muhafazah yang lain yang terdapat mahasiswa/wi Melayu Al Azhar. Kaherah akan padat dengan pelajar wafidin (luar negara) dari seluruh dunia

2)Silibus dan Takhasus

Sebelum ini mahasiswa/wi wafidin (luar negara) Al Azhar diberikan pilihan untuk mengikuti bentuk takhasus (fakulti) yang di tawarkan . Seperti Fakulti Bahasa Arab, Fakulti Usuludin dan Fakulti Syariah . Di dalam cabang Fakulti Usuludin terdapat beberapa takhasus, seperti Aqidah Falsafah, Dakwah, Hadis serta Tafsir. Mengikut maklumat yang diperolehi. Perpindahan semua mahasiswa/wi wafidin (luar negara) untuk ditempatkan di satu fakulti akan menjejaskan sistem pembelajaran dan tiada pilihan bagi mengikuti bidang yang diminati.

Silibus pembalajaran akan berubah. Bagi mereka yang berada di tahun 4 pengajian , bagaimana nasib mereka? Adakah mereka terpaksa memulakan pembelajaran mereka dari mula?

3) Qiraat di Mansurah

Mansurah adalah satu-satunya tempat yang terdapat pelajar qiraat bagi mahasiswi . Jika perpindahan pengajian ini diteruskan , akan memberi kesan dalam isu keselamatan . Selama ini kes kecurian dan pecah rumah kerap berlaku.

Maka pihak pengurusan Al Azhar Mansurah telah mengadakan Majlis Muktamar Wafidin bagi menjelaskan isu ini. Antara pihak pengurusan yang hadir :

1- Amid Kuliyyah Ususludin dan Dakwah Universiti Al Azhar Mansurah
2- Amid Kuliyyah Bahasa Arab Universiti Al Azhar Mansurah
3- Amid Kuliyyah Dirasat Dan Islamiyyah Dan Bahasa Arab (Mahasisiwi)
4- Semua Wakil Kuliyyah
5- Rais Syuun Wafidin
6- Mudir Tahrir
7- Doktor dan Doktorah

Hari ini amat menggemparkan apabila Muktamar Wafidin yang berlangsung dengan penuh panas. Namun apa yang saya mahu ulas di sini setelah mana selesai Muktamar Wafidin tadi, saya sempat bertanya pandangan dari salah seorang Rais Qisim Lughah Al-Arabiyah iaitu Al-Fadhil Al-Ustaz Doktor Syaikh Ali Luqom.

Di mana beliau menampakkan kekecewaan pada Muktamar ini. Dan sempat saya mendengar ungkapan beliau: "Saya tidak redha dengan mujtama' hari ini, jika berlaku perpindahan lebih baik kamu semua pulang ke Malaysia, sebab mereka ini tidak mahukan Islam". Namun beliau sempat mencadangkan kepada kami Wafidin supaya berpakat dengan semua furuk Muhafazah berkerjasama menyatakan pandangan dengan menghantar surat kepada Rais Al-Azhar untuk menyatakan bantahan.

Sebelum itu saya tergamam dengan kalam Amid Kuliyah Usuluddin Wad Da'wah iaitu Al-Fadhil Al-Ustaz Doktor Ismail Hammad dalam ucapannya yang menyatakan: "Saya harap pelajar-pelajar Usuluddin ada di sini untuk menyatakan hak kamu. Dan harap Wafidin harus bergaul dengan masyarakat arab Mesir supaya dapat menguasai Bahasa Arab dengan baik dan kemudian bahasa ini boleh di bawa balik ke tempat kamu".

Begitu juga Wakil Amid Kuliyah Al-Lughah Al-Arabiyah Al-Fadhil Al-Ustaz Mun'im juga secara jelas menyatakan ketidaksetujuan beliau.

Namun apa yang menyedihkan apabila Ustaz Usman Al-Amani yang hanya dapat bercakap sedikit setelah mana pembesar suara yang dipegangnya dirampas. Termasuk beberapa persoalannya yang tidak dapat penjelasan yang jelas oleh pihak Rais Syuun Wafidin apabila ditanya tentang siapakah yang menetapkan Qarar perpindahan ini dan apakah puncanya?

Apa yang pasti Ustaz Usman Al-Amani salah seorang wakil Malaysia yang dapat bercakap menunjukkan pendirian kami yang enggan berpindah kerana kami begitu puas hati dengan pembelajaran di Universiti Al-Azhar As-Syarif cawangan Mansurah. Juga rampasan pembesar suara oleh seorang lelaki Mesir yang tidak dikenali ketika mana seorang rakan kita dari Senegal sedang bercakap. Beliau sempat menyatakan tentang ketenangan yang kami rasai belajar di sini sebelum rampasan alat pembesar suara dibuat. Dan pada masa yang sama seluruh wafidin mengetuk-ngetuk meja ketika itu. Dan senantiasa bertepuk tangan menyokong 2 orang wakil Wafidin Malaysia dan Senegal.

Saya di antara orang yang ingin menyatakan pandangan, tetapi saya dijelaskan oleh pihak pengurusan yang ada di situ supaya cukup untuk seorang sahaja pelajar kamu bercakap. Setelah Al-Fadhil Ustaz Usman selesai bercakap, tiba-tiba beliau ditegur oleh pihak pengurusan di situ bahawa pihak kita tidak ada adab dalam bercakap.

Apa yang pasti kita mempunyai peluang lagi pada hari Selasa ini. Mungkin peluang yang tipis. Namun kebebasan suara kita di Al-Azhar mesti ada. Terima kasih kepada para ahli DPMM semua yang dapat sama-sama menunjukkan pendirian kita semua. Waallahu'alam.

Sunday, April 18, 2010

WAJIB MEYAKINI BAHAWA MASA DEPAN ADALAH UNTUK ISLAM

Pesanan Syed Qutb sebelum beliau meninggal dunia:

"Janganlah sambutan orang ramai itu menyibukkan kamu dari menyusun barisan dalaman dan menyediakan para pejuang yang mampu menghadapi segala kesukaran dan akan dapat bertahan lama."

(244 Syed Qutb , Kitab As-Syahid, m.s. 91)

Keimanan kita dengan Islam sepatutnya sampai ke peringkat meyakini bahawa masa depan kelak ialah milik Islam. Justeru itu Islamlah yang paling ampuh dan mampu untuk menyusun urusan hidup dan memimpin manusia. Agama Islam adalah satu-satunya manhaj atau cara hidup yang selaras dengan kehendak fitrah manusia. Ia dapat mengimbangkan tuntutan lahiriah dan rohaniah insan.

Allah berfirman:

أَلَا يَعۡلَمُ مَنۡ خَلَقَ وَهُوَ ٱللَّطِيفُ ٱلۡخَبِيرُ

Yang bermaksud: Tidakkah Allah yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui (segala-galanya)? Sedang Dia Maha Halus urusan Pentadbiran-Nya, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya!

(Surah Al-Mulk, Ayat: 14).


A. Manhaj Islam Bersifat Rabbani.

Manhaj Islam yang bersifat Rabbani merupakan satu corak penghayatan yang kudus mengatasi sistem dan cara hidup ciptaan manusia. Ia mampu untuk kekal dan memberikan saham tamaddunnya di setiap zaman, tempat dan peringkat.

B. Manhaj Islam Bersifat Universal (Sejagat).

Manhaj Islam yang bersifat sejagat atau universal menyerlahkan ciri-ciri keinsanan dan ciri "infitah" (bersifat terbuka atau kelapangan) serta daya untuk menanggung kemungkinan-kemungkinannya. Ciri "infitah" ini mengatasi pertimbangan kedaerahan, perkauman, kebangsaan dan sebagainya. Cara ini sebenarnya adalah cetusan dari "Sibghah Rabbaniyah" itu sendiri.

C. Manhaj Islam Bersifat Anjal (Murunah).

Keanjalan manhaj hidup Islam (atau fleksibel) memberikannya daya untuk menghadapi aneka permasalahan hidup yang datang silih berganti "Sibghah" atau cara ini memberikan Islam kebolehan untuk berijtihad menyimpulkan hukum-hakam terhadap hal-hal yang tidak ada nas, sama ada melalui qias atau maslahah mursalah, Istihsan dan sebagainya.

D. Manhaj Islam Bersifat Syumul atau Menyeluruh.

Ciri manhaj Islam yang menyeluruh membedakannya dengan sebarang manhaj atau sistem hidup duniawi yang mempunyai dimensi matlamat yang terbatas. Manhaj Islam adalah manhaj ciptaan Yang Maha Mengetahui segala masalah manusia, baik atau buruknya. Ia Maha Mengetahui apa yang membahagiakan dan apa pula yang mencelakakan manusia. Sebab itu Islam sahajalah yang mampu memenuhkan keperluan manusia, baik sebagai individu, mahupun sebagai kelompok, baik dalam urusan pimpinan mahupun perundangan. Sama ada dalam urusan dalam negeri mahupun luar negeri.

Allah s.w.t berfirman:

صِبۡغَةَ ٱللَّهِ‌ۖ وَمَنۡ أَحۡسَنُ مِنَ ٱللَّهِ صِبۡغَةً۬‌ۖ وَنَحۡنُ لَهُ ۥ عَـٰبِدُونَ

Yang bermaksud: (Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: Agama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): Celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam) dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat.

(Surah Al-Baqarah, Ayat: 138).

E. Kegagalan Sistem-sistem Ciptaan Manusia.

Kemudian kita harus mengetahui dan menginsafi tentang selok-belok serta kegagalan yang dialami oleh sistem hidup dan ciptaan manusia, baik di timur mahupun di barat. Sama ada yang berfahaman kapitalisme, demokrasi, liberal, sosialisme atau komunisme. Tidak syak lagi ini adalah kerana keterbatasannya, kelemahannya, sifat kesementaraannya dan hakikat ianya dari ciptaan insan.

E.1 Kegagalan Sistem Sosial.

Dalam arena sosial, sistem-sistem yang dipanggil sebagai sistem kanan atau kirinya ternyata gagal untuk memantapkan kebahagiaan, keharmonian dan kestabilan. Malah terlalu banyak mala petaka yang ditanggung oleh manusia hasil dari sistem-sistem ini. Ternyata ikatan kekeluargaan semakin terburai. Kasih-sayang semakin pudar, akhlak semakin luntur dan runtuh.

Nilai-nilai keutamaan dan keluhuran sudah kehilangan harga. Ketegangan dan permusuhan mengambil tempat kedamaian dan ketenangan. Semangat egoistik dan mementingkan diri mengalahkan semangat kerjasama dan mengutamakan orang lain.

E2. Kegagalan Sistem Ekonomi.

Dalam bidang Ekonomi, kapitalisme dan sosialisme ternyata gagal dalam mewujudkan (syura impiannya) atau masyarakat serba adil sebagaimana yang dilaung-laungkan. Dari sistem ini tercetuslah bermacam-macam krisis dan permasalahan hidup. Lahir pertarungan kasta, kezaliman sosial, eksploitasi kepartian, monopoli, kemiskinan, pengangguran dan seribu satu macam masalah lagi.

E.3 Kegagalan Sistem Politik.

Dalam arena politik sistem-sistem ala ketenteraan, Demokrasi, Republik, yang beraja atau tidak beraja, bertanggungjawab melahirkan, merangsang serta membiarkan penyelewengan serta kebejatan di setiap peringkat. Penyalahgunaan kuasa, sikap pilih kasih, rasuah, merasa besar diri dengan kekuasaan, di samping bencana fitnah, pembunuhan, penggulingan kuasa silih berganti, pemberontakan, penyingkiran serta bunuh diri (assasination) hampir-hampir menjadi kelaziman sistem-sistem tersebut.

E.4 Kegagalan Sistem Ketenteraan.

Dalam bidang ketenteraan, sistem-sistem ini (banyak menanggung dosa) mengabaikan nasib masyarakat dan negara Islam yang lemah seperti persoalan Kashmir, Eriteria, minoriti Islam di Filipina, persoalan Palestine dan sebagainya. Yang lebih parah dari itu ada pula negeri Arab yang menjadikan krisis tersebut sebagai daun dalam permainan politiknya untuk menggadaikan atau mempergunakannya sebagai isu dan untuk menjamin kekuasaan mereka agar berlarutan. Sistem ini juga bertanggungjawab terhadap pengabaian membina kekuatan fizikal dan jiwa ummah yang membolehkan mereka menghadapi penjajahan dan mengusir Israel dari bumi Palestine.

Dari apa yang saya nyatakan ini, menunjukkan yakin dan percayalahlahIslam bakal memerintah di muka bumi Allah SWT ini. Namun memerlukan kepada pejuang dan pendokong agama Allah SWT yang sanggup berkorban apa sahaja demi Islam.

Di sini penulis ingin menyatakan kadang-kala kita terlalu risau dengan agenda musuh yang terlalu banyak. Menyebabkan seolah-olah Islam tidak ada ruang untuk menang. Bahkan janji Allah SWT adalah janji yang benar dan bakal berlaku.

Sebagaimana firman Allah SWT:

يُرِيدُونَ لِيُطۡفِـُٔواْ نُورَ ٱللَّهِ بِأَفۡوَٲهِهِمۡ وَٱللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِۦ وَلَوۡ ڪَرِهَ ٱلۡكَـٰفِرُونَ
هُوَ ٱلَّذِىٓ أَرۡسَلَ رَسُولَهُ ۥ بِٱلۡهُدَىٰ وَدِينِ ٱلۡحَقِّ لِيُظۡهِرَهُ ۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡمُشۡرِكُونَ
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ هَلۡ أَدُلُّكُمۡ عَلَىٰ تِجَـٰرَةٍ۬ تُنجِيكُم مِّنۡ عَذَابٍ أَلِيمٍ۬
تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَتُجَـٰهِدُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ بِأَمۡوَٲلِكُمۡ وَأَنفُسِكُمۡ‌ۚ ذَٲلِكُمۡ خَيۡرٌ۬ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ
يَغۡفِرۡ لَكُمۡ ذُنُوبَكُمۡ وَيُدۡخِلۡكُمۡ جَنَّـٰتٍ۬ تَجۡرِى مِن تَحۡتِہَا ٱلۡأَنۡہَـٰرُ وَمَسَـٰكِنَ طَيِّبَةً۬ فِى جَنَّـٰتِ عَدۡنٍ۬‌ۚ ذَٲلِكَ ٱلۡفَوۡزُ ٱلۡعَظِيمُ
وَأُخۡرَىٰ تُحِبُّونَہَا‌ۖ نَصۡرٌ۬ مِّنَ ٱللَّهِ وَفَتۡحٌ۬ قَرِيبٌ۬‌ۗ وَبَشِّرِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُوٓاْ أَنصَارَ ٱللَّهِ كَمَا قَالَ عِيسَى ٱبۡنُ مَرۡيَمَ لِلۡحَوَارِيِّـۧنَ مَنۡ أَنصَارِىٓ إِلَى ٱللَّهِ‌ۖ قَالَ ٱلۡحَوَارِيُّونَ نَحۡنُ أَنصَارُ ٱللَّهِ‌ۖ فَـَٔامَنَت طَّآٮِٕفَةٌ۬ مِّنۢ بَنِىٓ إِسۡرَٲٓءِيلَ وَكَفَرَت طَّآٮِٕفَةٌ۬‌ۖ فَأَيَّدۡنَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ عَلَىٰ عَدُوِّهِمۡ فَأَصۡبَحُواْ ظَـٰهِرِينَ 


Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian). (8) Dialah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad s.a.w) dengan membawa hidayat petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), supaya Dia memenangkannya dan meninggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya. (9) Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? (10) Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (11) (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga "Adn". Itulah kemenangan yang besar. (12) Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya) dan sampaikanlah berita yang menggembirakan itu kepada orang-orang yang beriman. (13) Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa Ibni Mariam (ketika ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya)? Mereka menjawab: Kamilah pembela-pembela (agama) Allah! (Setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israil beriman dan sepuak lagi (tetap) kafir. Lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang yang menang.(14)


[As-Saff:8-14]

FirmanNya lagi:

وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَيَسۡتَخۡلِفَنَّهُمۡ فِى ٱلۡأَرۡضِ ڪَمَا ٱسۡتَخۡلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمۡ دِينَہُمُ ٱلَّذِى ٱرۡتَضَىٰ لَهُمۡ وَلَيُبَدِّلَنَّہُم مِّنۢ بَعۡدِ خَوۡفِهِمۡ أَمۡنً۬ا‌ۚ يَعۡبُدُونَنِى لَا يُشۡرِكُونَ بِى شَيۡـًٔ۬ا‌ۚ وَمَن ڪَفَرَ بَعۡدَ ذَٲلِكَ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡفَـٰسِقُونَ

Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: Khalifah-khalifah yang berkuasa dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka. (55)

[An-Nur:55]

Dengan ayat-ayat Allah SWT ini, menggambarkan kepada kita bahawasanya jalan Islam untuk mencapai kemenangan amat luas. Sebab itu kita kena sedar dari sekarang. Jadilah penolong-penolong agama Allah SWT.

Wallahu'alam.