Sunday, July 26, 2009

PRO ALLAH, RASUL DAN ISLAM.

Sayup mata memandang melihatkan calon kepimpinan baru yang terdiri dikalangan muka-muka baru yang nampak masih mentah, tetapi senantiasa berjiwa besar di dalam menerajui kepimpinan DPMM ini.

Apabila berfikir sejenak, teringat saya semasa masih baru menjadi calon tahun sesi 2004/05 dan cukup mentah di dalam kepimpinan dahulu. Pada masa itu seolah-olah merasakan diri terlalu kerdil di hadapan Allah SWT dan tidak tahu apa yang hendak dibuat.

Dan tidak ada di dalam fikiran saya sedikit pun tentang kepimpinan ini. Selepas diingat kembali betapa lemahnya hati saya bila diminta untuk mengungkapkan visi dan misi.

Di dalam hati saya tidak sanggup untuk mengutarakan janji-janji manis pada masa itu kepada ahli DPMM. Dan saya terus mengungkapkan 'visi dan misi saya ialah mencari keredhaan Allah SWT'.

Namun apa yang saya lihat dan mengharapkan terjadinya pertandingan pada waktu itu supaya saya kalah. Dan berani saya katakan bahawa 'jikalau saya kalah pada masa itu adalah menjadi satu nikmat yang paling bermakna buat diri saya selepas daripada nikmat Iman dan Islam'.

Tetapi segala harapan kita tidak tertunai kerana kehendak taqdir Allah SWT lebih daripada segala-galanya. Pada masa itu tidak terjadinya pertandingan dan saya menang tanpa bertanding. Dan lebih mengejutkan ketika itu apabila gambar calon terpampang. Saya banyak menghabiskan masa di rumah kerana terlalu malu dan segan.

Semasa saya bertembung dengan salah seorang calon EXCO seperti saya, beliau bertanya saya tentang jawatan apa yang saya minat untuk sandang apabila benar-benar sah bergelar EXCO? Saya menjawab tidak tahu dan saya terima sahaja apa-apapun.

Kemudian sahabat itu menegur saya dengan mengatakan: "Hei, tak boleh macam tu, mestilah enta ada minat nak pegang apa?". Ujarnya. Sebenarnya di dalam fikiran saya hanya takut kalau kita terlalu meminta-minta, nanti Allah SWT tidak bantu.

Ini prinsip saya pada masa itu, kerana apapun jawatan dalam DPMM pun memang semua tak layak bagi saya, sebab memang saya di sekolah dahulu kurang berpersatuan dan memang langsung tidak pandai. Oleh itu saya hanya menyerahkan keputusan itu kepada Allah SWT.

Apapun saya menganggap itu semua kisah lama, dan sekarang calon-calon baru bagi saya mereka ini sebenarnya berjiwa besar dan masing-masing ada pembawakan serta mereka sebenarnya mengambil berat terhadap DPMM. Dan jatuh bangun DPMM mereka ini bersedia untuk menjadi pendokong kepada DPMM ini. Kalau tidak masakan mereka sanggup menjadi calon hatta ramai dan pastinya pertandingan berlaku serta memang berlaku.

Dan lebih mengejutkan sebenarnya menjadi satu sejarah pada tahun sesi 2009/10 ini, calon HEWI berlaku pertandingan juga. Selama saya berada di DPMM ini tidak pernah berlaku pertandingan di dalam DPMM. Tidak tahulah saya sebelum saya di Mesir ini ada atau tidak?

Apa yang berlaku sebelum ini ramai di kalangan ahli akhawat walaupun ramai tetapi ramai yang tidak sanggup menjadi EXCO HEWI DPMM. Sekarang mereka bertambah kesedaran soal pelapis pimpinan di dalam menjaga jatuh bangun DPMM ini.

Ini bermakna suatu perubahan yang amat ketara dan kesedaran masyarakat DPMM terhadap wajibnya ada Khalifah di muka bumi ini. Hatta pimpinan di atas mestilah ada sebelum mana daripada pimpinan peringkat bawahan.

Benarlah firman Allah SWT menyebut:

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?. Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya. (30)

[AL-BAQARAH: 30]

Lagi firmanNya:

Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: Khalifah-khalifah yang berkuasa dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka. (55)

[AN-NUR: 55]

Saya kadang-kadang menjenguk laman Blog DPMM yang bukan sekadar ahli Mansurah yang melihat, bahkan seluruh ahli PMRAM yang menaruh minat berkait dengan isu-isu di Mansurah.

Hatta saya terkejut masyarakat di Malaysia juga turut sama menjenguk laman blog DPMM ini. Apabila saya menjenguk laman Blog DPMM saya tertarik dengan catatan sahabat-sahabat DPMM di shoutbox. Macam-macam isu-isu yang diperbualkan. Kadang-kadang bagi saya melihat bukan sahaja menjadi perbualan, malah menjadi perbincangan hangat.

Ada dikalangan kita yang suka-suka. Ada dikalangan kita yang marah dan ingin lepaskan geram. Ada dikalangan kita yang sedih, malah meluahkan perasaan di shoutbox yang kecil ini. Ada dikalangan kita yang berdebat dan berhujjah. Ada dikalangan kita yang serius. Ada dikalangan kita yang bergurau. Ada dikalangan kita menggunakan untuk menyampaikan maklumat baik galakan program tafaqquh, diskusi dan sebagainya. Ada juga yang berceramah, bertazkirah dan sebagainya. Semua itu saya husnu dzan pada kalian.

Namun saya sendiri jenis orang yang kurang berminat untuk mencatat di shoutbox DPMM ini. Tetapi suka baca untuk menambah pengetahuan. Kadang-kadang menjadi salah satu hiburan di hati dengan kerenah masyarakat di DPMM ini.

Isu yang paling baru saya percaya berkaitan pasukan bola DPMM yang tidak berpuas hati dengan DPMM yang memberi peruntukan sedikit. Mereka merasakan tidak cukup. Dan sebenarnya memang saya sendiri tahu tidak cukup.

Setelah itu saya merasa bersalah selaku salah seorang daripada Penasihat DPMM ini yang tidak bertanggungjawab terus bertanya kepada Pengerusi DPMM dan Bendahari DPMM. Mereka beritahu peruntukan dalam lingkungan LE 300. Memang saya percaya tidak cukup disebabkan pendaftaran pun sudah memerlukan berapa banyak.

Dengan alasan yang diberikan itu sahaja yang DPMM mampu keluarkan untuk peruntukan mereka. Saya tersenyum dengan alasan yang diberikan itu, lantas saya menasihati supaya disegerakan peruntukan itu walaupun dalam lingkungan LE300 pun.

Apabila saya fikir semula, jikalau dahulu peruntukan yang diberikan tidak salah saya LE100 hingga LE200. Di samping sumbangan atau derma daripada ahli DPMM sendiri yang kebanyakan di kalangan ahli akhawat yang menyumbang.

Dan saya benar-benar kagum dengan pasukan bola DPMM ketika itu mereka sanggup mengutip duit daripada rumah-rumah ahli DPMM semata-mata untuk mengharumkan nama DPMM di dalam perjuangan arena bola sepak di peringkat PMRAM.

Saya senantiasa memikirkan nasib DPMM kita ini yang tidak mampu untuk menyenangkan hati banyak pihak terutama ahli DPMM sendiri. Lebih-lebih lagi masalah kewangan yang kita hadapi tidak pernah selesai sejak dahulu lagi.

Malah kewangan DPMM hanya bergantung kepada yuran-yuran ahli, Unit Penyelarasan Beras (UPB), Kedai DPMM, Unit Bait Muslim, sumbangan-sumbangan dalam dan luar, kemasukan unit-unit EXCO DPMM seperti keuntungan daurah-daurah kitab, diskusi-diskusi, program-program jaulah dan rehlah serta lain-lain lagi.

Ditambah dengan masalah para EXCO yang peruntukan diberikan LE100 satu sesi yang selama lebih kurang setahun untuk bergerak. Saya sedar kalau EXCO hanya peruntukan unit sebanyak LE100 memang tidak cukup. Kalau sehari program pun sudah habis duit itu, inikan pula setahun. Akibatnya poket sendirilah. Dan saya percaya rata-rata EXCO ini ramai yang berhutang. Hendak dibuat macam mana kalau tidak hutang kerja tidak dapat dijalankan.

Teringat saya dahulu berhutang hampir LE2000 semasa menjadi Ketua Unit Pengetahuan dan Pendidikan (UPEP). Nasib baiklah mampu bayar semula. Tetapi memang benar bila tidak ada duit sangat, habiskan dengan senyuman sahajalah. Janji program boleh dijalankan dengan baik. Dan saya anggapkan ini suatu tarbiyyah buat diri saya sendiri.

Sebagaimana firman Allah SWT:

Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)? (142) Dan sesungguhnya kamu telah mengharap-harapkan mati Syahid (dalam perang Sabil) sebelum kamu menghadapinya. Maka sesungguhnya kamu (sekarang) telahpun menyaksikannya dan kamu sedang melihatnya (dengan mata kepala sendiri). (143)

[ALI-IMRAAN:142-143]

FirmanNya lagi:

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (155) (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. (156) Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayatNya. (157)

[AL-BAQARAH:155-157]

Dikuatkan dengan firmanNya yang lain:

Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum agama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami. (24)

[AS-SAJADAH: 24]

Lebih mengejutkan lagi sewa pejabat, Markaz, Dewan Persada Jazirah Al-Ward (DPJA) yang mana semua ini menjadi tuntutan kepada sebuah persatuan untuk merancang, bermesyuarat, berhimpun dan sebagainya senantiasa menjadi suatu kesulitan untuk dilangsaikan setiap bulan. Dan angka lebih daripada LE1000 wajib dihabiskan untuk setiap bulan, jikalau tidak lingkuplah DPMM ini.

Memang menjadi keberkesanan daripada dahulu sistem rolling di dalam DPMM ataupun di dalam Islam dipanggil sistem Mudharobah. Ini bagi sebuah persatuan yang tiada peruntukan khusus daripada mana-mana Badan Kerajaan atau Swasta kepada DPMM ini.

Memang sistem ini pelik, jikalau dilihat duit DPMM ini banyak, walhal sebenarnya sedikit. Kita tidak boleh belanjakan semua duit di dalam setahun, tetapi hanya separuh atau sebahagian sahaja di dalam setahun ataupun satu sesi. Kalau tidak akan berlaku muflis atau bankrap. Ini kerana lebihan yang tinggal untuk dibelanjakan tahun yang akan datang.

Adapun kemasukan yang banyak itu mesti dan menjadi kewajipan, kalau tidak DPMM tidak akan meningkat kewangannya. Dalam erti kata lain, tidak ada kemajuan langsung pada DPMM kita yang sampai sekarang saya kira masih mundur dari segi kewangan. Hanya cukup-cukup sahaja.

Walhal, dari sudut Islam sendiri mengharapkan sebuah kumpulan organisasi Islam atau jemaah Islam itu mesti mampu maju dan terkehadapan untuk menyelesaikan masalah serta membina ummah yang bertaqwa kepada Allah SWT. Mana boleh kita selaku orang berada di dalam satu organisasi Islam hanya setakat mampu membina diri sendiri tetapi tidak mampu mengislah masyarakat.

Sebagaimana firman Allah SWT:

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. (104)

[ALI-IMRAAN:104]

FirmanNya lagi:

Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman) dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik. (110)

[ALI-IMRAAN:110]

Berbanding isu pasukan bola sepak DPMM yang saya harapkan kedua-dua belah pihak berlapang-dada dan dapat berbincang dengan baik samada pimpinan ataupun pasukan bola sepak DPMM. Apapun terima kasih pada pasukan bola sepak DPMM kerana berbakti kepada DPMM.

Isu paling baru dan paling hangat diperkatakan serta lebih daripada isu pasukan bola sepak DPMM ialah siapakah calon yang akan dipilih di hati ahli DPMM ini untuk menerajui kepimpinan DPMM sesi tahun 2009/10? Tersenyum saya bila melihat shoutbox ada yang berkempen supaya mengenal dahulu manakah calon asprirasi atau pro mahasiswa? Kalau di medan kampus mahasiswa dan mahasiswi di Malaysia begitulah.

Tetapi bagi saya calon yang wajib kita pilih ialah mereka yang pro Allah dan Rasul. Ini kempen saya kepada ahli DPMM. Sebab mahasiswa dan mahasiswi Mesir ini yang rata-ratanya Azhariyyun mestilah berfikiran lebih daripada mahasiswa dan mahasiswi di Malaysia. Al-Azhar itu hebat di mata dunia, malah universiti terbaik dunia. Jadi para Siswa dan Siswi mestilah hebat pemikirannya. Walhal yang hebat itu adalah pemikiran yang cenderung kepada Islam.

Kalau kita undi calon yang pro Allah dan Rasul, maka Islam pasti terjamin. Tetapi kalau setakat pro ahli sahaja, maka semua kita memang ramai yang tidak akan berpuas hati. Sebab lumrah manusia begitu. Berbanding Allah SWT apa yang Dia kehendaki semuanya itu baik dan penuh dengan rahmat.

Sebagaimana firman Allah SWT:


Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya. (54) Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah Allah dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah). (55) Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan rasulnya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada agama) Allah, itulah yang tetap menang. (56) Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang menjadikan agama kamu sebagai ejek-ejekan dan permainan dari orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum kamu dan orang-orang kafir musyrik itu: Menjadi penolong-penolong dan bertakwalah kepada Allah, jika kamu benar-benar orang yang beriman. (57)

[AL-MAIDAH: 54-57]

Jadi saya harap kalau mencatat di shoutbox itu mestilah waras dan semuanya saya rasa waras, insya Allah. Sebab kalam yang baik dan penuh hikmah serta mengajak orang kepada Allah SWT adalah kalam yang mulia di sisi Allah SWT. Dan setiap satu kalam itu mengambarkan serba sedikit diri seseorang. Jika baik maka baiklah. Jika buruk maka buruklah. Ingat semua itu akan diperhatikan dan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

Firman Allah SWT:

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya, (1) Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya, (2) Dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun): Apa yang sudah terjadi kepada bumi? (3) Pada hari itu bumi pun menceritakan khabar beritanya: (4) Bahawa Tuhanmu telah memerintahnya (berlaku demikian). (5) Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka. (6) Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! (7) Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! / (8)

[SURAH AL-ZALZALAH]

FirmanNya lagi:


(Pertentangan di antara satu golongan dengan yang lain itu) sesungguhnya Tuhanmu sahajalah yang akan memutuskan hukumNya di antara mereka pada hari kiamat, mengenai apa yang mereka berselisihan padanya. (25)

[AS-SAJADAH: 25]

Apabila ramai yang suka mencatat di shoutbox, maka masing-masing ada peranannya di DPMM ini. Ini bermakna DPMM menjadi bukan sahaja keperluan , malah menjadi suatu kepentingan kepada semua pelajar di bumi Al-Mansurah ini.
Tetapi mesti diingat, malaikat pun mencatat kanan dan kiri.

Saya pernah mencadangkan supaya dibesarkan sedikit ruang shoutbox ini kepada MMC DPMM. Supaya menjadi suatu kesenangan kepada para ahli untuk menghuraikan lebih panjang mana-mana persoalan.

Dan saya melihat walaupun bakal diadakan forum, tetapi menjadi kesukaran kerana birokrasi sedikit untuk menggunakan dan menyukarkan pada hak yang berhasrat menyatakan hajat di hati masing-masing. Sebab kebanyakan sikap manusia suka kepada kesenangan daripada kesukaran dan mengganggap birokrasi itu melecehkan.

Apapun saya tidak kisah jikalau untuk menjayakan forum itu nanti. Asalkan segala hasrat di hati masing-masing dapat meluahkan perasaan dan proses penyelesaian masalah akan dapat diambil berat.

Justeru itu, saya berharap supaya kita sama-sama menjayakan DPMM yang kita sayang ini. Ingat kita berada di dalam satu organisasi DPMM yang bernaung di bawah PMRAM. Dasar kita Al-Quran dan As-sunnah, maka tidak lain ajaran kita mestilah Islam. Biar kita bergerak di atas nama ini. Dengan ini sahaja Allah muliakan kita.

Firman Allah SWT:


Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata. (208)

[AL-BAQARAH:208]

FirmanNya lagi:


Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi. (85)

[ALI-IMRAAN:85]

Akhir sekali, Jangan lupa mengundi. Sebab memilih pimpinan itu wajib hukumnya. Bagi sesiapa yang tidak bayar yuran harap disegerakan. Mesyuarat Agong Tahunan DPMM akan berlangsung tidak lama lagi. Harap jangan ketinggalan. Sayangkanlah DPMM kerana Allah SWT. Waallahu'alam.


No comments: