Tuesday, August 25, 2009

MASALAH KHILAFIYYAH.


Firman Allah SWT:


يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِى ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡ‌ۖ فَإِن تَنَـٰزَعۡتُمۡ فِى شَىۡءٍ۬ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأَخِرِ‌ۚ ذَٲلِكَ خَيۡرٌ۬ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلاً


Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.


[An-Nisa: 59]


Masalah khilafiyyah adalah merupakan masalah cabang hukum Islam atau biasanya disebut Al-Furu’iyyah. Kebanyakan para Ulamak kita ada yang Allah SWT mengurniakan akal yang cerdik sehingga mampu mengistinbat hukum daripada Al-Quranul Karim dan Al-Hadith Rasulullah SAW.


Para Ulamak ini biasanya sampai ke peringkat Nazar dan bertaraf mujtahid. Ini bukan perkara yang mudah, kerana Para Ulamak ini biasanya bukan sahaja menghafaz Al-Quranul Karim, malah menghafaz beribu-ribu Hadith Rasulullah SAW. Sebagaimana 4 mazhab jumhur Ulama’ iaitu Imam Malik, Imam Abu Hanifah, Imam Ahmad bin Hanbal dan Imam di dalam Mazhab kita Imamuna As-Syafi’iee Rahimahullahu ajma’in.


Apa yang menjadi masalah dari sudut masalah khilafiyyah ini, kadang-kala ada di kalangan kita yang suka mempertahankan pendapat masing-masing. Berbeza dengan para alim Ulamak dahulu yang berkhilaf sesame sendiri, tetapi di dalam keadaan beradab.


Malah sesama mereka saling belajar mempelajari antara satu sama lain. Hatta sikap tawadhuk yang ada pada Imam As-Syafi’ie Rahimahullah yang menjelaskan satu simbolik kalam yang penuh bermakna iaitu ‘Barangkali aku salah dan barangkali dia yang betul’.


Sebenarnya apabila pandangan kita ditolak, maka kita wajib bersyukur serta menyatakan (Alhamdulillahi rabbil ‘alamin) dengan sepenuh hati dan jiwa serta diungkapkan dengan lisan. Tetapi apabila pandangan kita diterima, maka kita wajib memohon ampun kepada Allah SWT dan beristighfar.


Kecuali perkara yang berkait dengan masalah Usuliyyah iaitu perkara pokok atau dasar seperti wajib sembahyang umpamanya. Ini perlu ada sensitiviti pada umat Islam. Dan ini berkait dengan hukum ahkam syara’. Termasuk kewajipan mendirikan Daulah Islamiyyah. Maka umat Islam wajib mendirikan adalah berdasarkan kaedah ‘tidak menyempurnakan kewajipan melainkan denagn kewajipan’.


Oleh itu, saya nukilkan kisah di dalam kitab Muzakirat Ad-Da’wah Wad Dai’yyah oleh Al-Imam As-Syahid Hasan Al-Banna. Bagaimana Al-Imam As-Syahid Asan Al-Banna menyelesaikan beberapa masalah khilafiyyah.


Demikian apa yang beliau ceritakan:


Di rumah Haji Mustafa, kami ada sebuah rumah lagi untuk kegiatan kami. Haji Mustafa membina rumah itu untuk mencari keredaan Allah. Para pencinta Islam berkumpul di rumah itu untuk mengkaji Al-Quran dalam suasana penuh persaudaraan.


Dalam masa yang singkat saja, berita perhimpunan ini telah tersebar luas. Biasanya, kami menyampaikan ceramah antara solat Maghrib dan Isya’. Manusia dari berbagai golongan berhimpun di situ. Selepas itu barulah saya pergi ke kedai-kedai kopi untuk memberi ceramah.


Satu malam, saya merasakan ada satu perkara anih berlaku. Saya dapati para pendengar berada di dalam keadaan kelam kabut. Mereka telah berpecah kepada beberapa kumpulan berlainan.


Sebaik saja saya mula berceramah, satu soalan telah dikemukakan oleh salah seorang pendengar. Dia menyoal, ‘Apakah pendapat tuan mengenai At-Tawasul?’ Saya menjawab, ‘Saya agak bukan perkara ini saja yang awak ingin tahu. Awak akan bertanya begitu dalam sembahyang dan salam selepas azan.


Awak akan bertanya sama ada surah Al-Kahfi dibenarkan dibaca pada hari Jumaat atau tidak. Awak juga akan bertanya sama ada perkataan ‘Saidina’ patut disatukan dengan nama Rasulullah s.a.w. atau tidak.


Awak akan bertanya di manakah ibu bapa Rasulullah s.a.w. ditempatkan selepas mereka mati dan dimanakah mereka berada sekarang. Awak akan bertanya sama ada pahala membaca Al-Quran sampai kepada orang mati atau tidak. Awak akan bertanya sama ada perhimpunan ahli-ahli sufi dan ahli-ahli Syariah merupakan satu dosa atau satu jalan menuju Allah.’


Kata-kata saya itu merangkumi semua persoalan-persoalan yang telah memecah-belahkan mereka selama ini. Orang yang bertanya terpegun mendengar kata-kata saya itu. Dia berkata, ‘Ya, saya tahu jawapan kepada semua persoalan itu.’


Saya menjawab, ‘Saudaraku, saya bukanlah seorang ulamak. Saya hanya seorang guru. Saya telah mempelajari beberapa ayat Al-Quran dan juga hadith.. Saya juga mengkaji beberapa tajuk yang menyentuh Islam dan mengetahui sedikit sebanyak mengenai Syariat Islam.


Saya menjalankan Dakwah Islamiah secara sukarela. Apabila kamu keluar (meninggalkan) dari perbincangan ini, sesungguhnya kamu telah melukakan saya. Silalah memberi perhatian andainya awak suka mendengar ceramah saya dan menganggapnya berfaedah.


Jika awak ingin mengetahui lebih banyak, awak bebas berjumpa para ulamak lain. Awak akan mendapat jawapan kepada soalan-soalan tadi dari para ulamak yang mampu menolong awak. Saya telah menyampaikan segala yang saya tahu kepada awak. Awak memberi tanggungjawab kepada seseorang menurut kemampuannya.’


Orang yang menyoal saya tadi kagum dengan kata-kata saya itu. Sepatah perkataan pun tidak keluar dari mulutnya. Dengan cara ini, saya telah berupaya mengelak kekecohan dari berlaku. Kebanyakan para hadirin berpuas hati dengan penjelasan saya.


Tanpa melepaskan peluang, saya pun berkata kepada mereka:

“Saudara-saudaraku yang dikasihi. Saya sedar penyoal tadi dan kebanyakan awak semua ingin tahu saya menyebelahi aliran yang mana satu. Awak semua ingin tahu sama ada saya menyebelahi aliran Syeikh Musa atau aliran Syeikh Abdus-Sami.


Pertanyaan begini tidak mendatangkan apa-apa keuntungan. Awak semua telah mensia-siakan lapan tahun di dalam pertikaian dan politik kepartian. Sekarang awak semua perlu berhenti dari kegiatan tersebut.

Orang-orang Islam berbeza pendapat di dalam perkara-perkara tadi selama berabad-abad dan perbezaan-perbezaan itu masih berterusan. Allah suka kita semua berkasih sayang dan bersatu. Allah tidak suka semua bertikai dan berselisih.


Saya berharap awak semua sekarang sanggup berjanji kepada Allah untuk menjauhkan diri dari perbincangan-perbincangan yang merosakkan. Berusahalah mempelajari dasar-dasar Islam. Kemudian ikutilah dasar-dasar itu dengan cara yang sebenar benarnya.


Ambillah dasar-dasar Islam dan laksanakanlah. Tinggalkanlah amalan-amalan yang bertentangan dengan Islam dan ikutilah kitab suci Al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w. agar hati awak semua menjadi terang dan jernih. Tujuan kita yang sepatutnya ialah mengikuti dasar-dasar Islam.


Kita tidak menekankan kepada sesuatu aliran pemikiran tertentu.” “Kita akan berupaya menyuarakan pendapat-pendapat kita di dalam suasana yang penuh keyakinan dan persefahaman jika terpupuk sifat kasih sayang dan amanah di kalangan kita. Saya yakin awak semua akan menerima dan berpegang dengan nasihat saya ini.”

Rayuan saya ini sangat berkesan. Kami bersurai setelah berikrar untuk bekerjasama antara satu sama lain di dalam usaha menyebarkan Islam dan di dalam usaha menjauhi perkara perkara khilafiah.


Setiap orang bebas berpegang dengan pendapat masing-masing sehinggalah Allah yang Maha Besar sendiri memberi keputusan muktamad. Selepas perbincangan tersebut, kami pun meneruskan usaha Dakwah Islamiah dengan aman.


Kini saya menekankan perkara-perkara yang berkaitan dengan persaudaraan dan kerjasama di kalangan orang-orang beriman. Saya berusaha memupuk ciri-ciri persaudaraan Islam (ukhuwwah Islamiah) di kalangan mereka.


Kadang-kala saya menyentuh perkara perkara khilafiah yang tidak menjadi punca perbalahan di kalangan mereka. Saya bertindak begitu untuk menunjukkan kepada mereka cara orang-orang bertakwa di zaman dahulu bertolak-ansur di antara satu sama lain walaupun mereka berbeza pendapat.


Satu contoh teringat saya kepada satu peristiwa yang berkaitan dengan masalah khilafiah. Masalah itu saya bentangkan kepada para hadirin. Saya bertanya mereka, ‘Siapakah di antara kamu ini bermazhab Hanafi?’ Seorang lelaki pun bangun dan mendekati saya.


Kemudian saya bertanya lagi, ‘Siapakah di antara kamu ini bermazhab Syafi’e?’ Bangun lagi seorang lelaki dan mendekati saya setelah mendengar soalan itu.


Kemudian saya memberitahu para hadirin bahawa kedua orang lelaki tadi akan bersolat dengan berimamkan saya sendiri. Kemudian saya menyoal lelaki Hanafi tadi, ‘Wahai Hanafi, apakah amalan awak mengenai pembacaan surah Al- Fatihah?’ Lelaki Hanafi itu menjawab, ‘Saya berdiam diri dan tidak membaca Al-Fatihah’.


Seterusnya saya bertanya lelaki Syafi’e pula, ‘Wahai Syafi’e, apa pula yang kamu buat?’ Jawabnya, ‘Saya membacanya.’ Seterusnya saya bertanya, ‘Apakah pendapat awak mengenai solat yang dilakukan oleh saudara yang bermazhab Hanafi itu?’ Dia menjawab, ‘Solatnya tidak sah kerana dia tidak membaca Al-Fatihah bersama Imam. Membaca Fatihah ialah salah satu rukun solah.’


Kemudian saya menyoal lelaki Hanafi pula, ‘Apakah pendapat awak mengenai saudara awak yang bermazhab Syafi’e tadi?’ Dia menjawab, ‘Dia telah melakukan satu perkara yang Makruhi Tahrim. Membaca Al-Fatihah bersama Imam adalah perbuatan Makruhi Tahrim’.


Seterusnya saya bertanya mereka berdua, ‘Sanggupkah awak memusnahkan akidah masing-masing lantaran perbezaan tadi?’ Kedua mereka menjawab serentak, ‘Sudah tentu tidak’.


Kemudian saya bertanya para hadirin, ‘Adakah awak semua akan menegur (mengkritik) mereka?’ Mereka menjawab, ‘Tidak’. Saya menyambung, ‘Puji-pujian bagi Allah. Awak semua kini boleh berdiam diri di dalam persoalan penting mengenai sah atau tidak sahnya solat seseorang.


Tetapi awak tidak boleh bertolak-ansur apabila seseorang ahli solat mengucap Allahumma Salli A’la Muhammadin atau Allahumma Salli A’1a Sayyidina Muhammadin. Perkara kecil ini awak jadikan punca pertikaian sehingga menyebabkan kekecohan besar.’


Cara saya berdakwah ini terbukti berkesan. Orang ramai mula memperbaiki sikap mereka terhadap satu sama lain. Mereka telah sedar bahawa Islam itu mudah dan luas. Dalam Islam, seseorang tidak boleh mengongkong seseorang lain. Pusat penumpuan di dalam Islam ialah Allah dan Rasul-Nya.. Kemudian para anggota Ummah dan para pemimpinnya pula menjadi tumpuan.


[Muzakirat Ad-Da’wah Wad Dai’yyah oleh Al-Imam As-Syahid Hasan Al-Banna]


Apapun maaf kemaafan daripada semua sempena bulan Ramadhan yang penuh berkat ini. Dan saya berharap kita semua dapat bersatu dan cuba sedaya upaya memanfaatkan dengan Ubudiyyah di dalam bulan Ramadhan ini.


Sebagaimana firman Allah SWT:


يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡڪُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِڪُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ 

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.


أَيَّامً۬ا مَّعۡدُودَٲتٍ۬‌ۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٍ۬ فَعِدَّةٌ۬ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَ‌ۚ وَعَلَى ٱلَّذِينَ يُطِيقُونَهُ ۥ فِدۡيَةٌ۬ طَعَامُ مِسۡكِينٍ۬‌ۖ فَمَن تَطَوَّعَ خَيۡرً۬ا فَهُوَ خَيۡرٌ۬ لَّهُ ۥ‌ۚ وَأَن تَصُومُواْ خَيۡرٌ۬ لَّڪُمۡ‌ۖ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ

(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir, (bolehlah dia berbuka), kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.

شَہۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدً۬ى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍ۬ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِ‌ۚ فَمَن شَہِدَ مِنكُمُ ٱلشَّہۡرَ فَلۡيَصُمۡهُ‌ۖ وَمَن ڪَانَ مَرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٍ۬ فَعِدَّةٌ۬ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَ‌ۗ يُرِيدُ ٱللَّهُ بِڪُمُ ٱلۡيُسۡرَ وَلَا يُرِيدُ بِڪُمُ ٱلۡعُسۡرَ وَلِتُڪۡمِلُواْ ٱلۡعِدَّةَ وَلِتُڪَبِّرُواْ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَٮٰكُمۡ وَلَعَلَّڪُمۡ تَشۡكُرُونَ


(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur.

[Al-Baqarah:183-185]


Beberapa keratan ayat Al-Quran ini perlu kita memahami sehabis baik dan perlu bertadabbur senantiasa pada ayat ini supaya kita dapat merasa hikmah dari kalam Ilahi ini. Waallahu'alam.

No comments: