skip to main |
skip to sidebar
KETAQWAAN DISEBALIK RAMADHAN.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
[Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. (Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui. (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur]{Al-Baqarah:183-185}
Berdasarkan maksud firman Allah SWT ini, yang menunjukkan kepada kita semua, bahawa Allah SWT menujukan khusus kepada orang yang Mukmin (beriman), supaya ia dapat menjadikan pada orang-orang Mukmin itu kesan timbulnya perasaan taat dan patuh. Justeru itu, ia juga dapat memberikan kecerdikan pada akal orang-orang yang beriman itu keimanan yang membara. Ini sebagaimana yang saa merujuk kepada Kitab 'Sofwatut-Tafasir' karangan Syaikh Ali Sobuni. Namun di situ setelah saya amati berkenaan pengertian Iman yang merupakan Tasdiq (membenarkan). Ia juga I'tiqad dengan hati kepada apa yang diketahui yang ianya daripada Ad-Dinul Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW serta ikrar dengan lidah dan amal. Tasdiq itu mestilah juga menerima serta redha dengan semuanya, tidak ada ingkar dan perasaan ragu serta tidak menjuzuk-juzukkan kepercayaannya. Sebagaimana fiman Allah yang bermaksud: [Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanya orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya kemudian mereka tidak ragu-ragu]{Al-Hujuraat:15}. Iman dan 'amal merupakan dua perkara yang berbeza dari segi takrif kerana 'amal itu adalah hasil daripada iman dan iman pula tidak sempurna pada 'amal. Lagi fiman-Nya yang bermaksud: [Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah hanya mereka yang apabila disebut Allah terasa gerunlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, bertambahlah iman mereka dan kepada Tuhan sahaja mereka bertawakkal]{Al-Anfaal:2}. Begitulah apa yang dijelaskan oleh Tuan Guru Haji Hadi Awang di dalam kitab beliau 'Muqaddimah Aqidah Muslimin' berkenaan tentang Iman dan Amal.
Apa yang jelas di sini, dengan keimanan yang kuat pada diri kita ini, maka ia dapat memupuk nilai Taqwa kita pada Allah SWT. Orang yang melaksanakan ibadah puasa pada bulan Ramadhan bukanlah disebabkan hanya kita melihat ganjaran Allah. Tetapi disebabkan kita mahukan diri kita benar-benar mendapat keredhaanNya. Oleh kerana itu Taqwa yang disemaikan di dalam jiwa kita inilah yang menyebabkan kita melakukan Ibadah ini. Sebab jelas kepada kita bahawa sebahagian Ulama' memberi takrifan berkaitan dengan Takwa ini iaitu memelihara diri daripada azab Allah dengan mengerjakan 'amal Soleh dan takut kepadanya ketika terang dan tersembunyi. Sebagaimana saya pernah terbaca 'Fi Zilalil Quran' jilid ketiga nukilan Sayyid Qutb iaitu; sesungguhnya kebenaran tidaklah mengasingkan dirinya dari fitrah. Tetapi hawa nafsulah yang mendindingi kebenaran dengan fitrah, hawa nafsulah yang menyebarkan kelam kegelapan, mendindingi pendapat pemikiran, menutupi jalan dan menyembunyikannya. Ianya tidak boleh tertewas dengan hujjah, tetapi ianya tertewas oleh ketaqwaan. Tertewas oleh ketakutan kepada Allah dan muraqabah kepadaNya ketika bersembunyi dan secara berterangan. Daripada ini nyatalah bahawa Al-Furqan (Al-Quran) yang menyinari pandangan dan menghilangkan segala kesamaran serta membuka (menjelaskan) jalan.
Oleh kerana itu, sudah pastilah ibadah puasa di bulan Ramadhan ini adalah suatu kewajipan kepada mukallaf yang kita sedia maklum dengan perintah Allah ini. Kalimah 'kutiba' di dalam Al-Quran yang bermaksud difardhukan atau diwajibkan ini sudah pastilah adalah perintah Allah. Disebabkan Taqwa kita kepada Allah inilah umat Islam seluruhnya berpuasa. Kalau disebabkan ganjaran pahala sahaja kita berpuasa adalah betul, tetapi kurang tepat kerana ini adalah sebahagian sebab seseorang itu berpuasa. Andaikata seseorang itu berpuasa yang jatuh hukumnya Sunat iaitu selain puasa Ramadhan, puasa Nazar dan lain-lain; sudah pasti sesuai kita melakukan kerana untuk mendapat ganjaran pahala dari Allah. Ini sebagai langkah Targhib (perkara menyukakan) untuk menggalakkan seseorang itu melakukan 'amal soleh. Begitu juga bagi golongan yang bukan mukallaf seperti kanak-kanak yang dididik dengan perkara amal ibadah yang bakal diwajibkan untuknya nanti. Kadang-kadang punca ramai golongan Umat Islam yang lalai daripada mengerjakan 'amal wajib ini, puncanya adalah dalam diri umat Islam ini hilangnya nilai-nilai Takwa di dalam jiwa mereka. Punca tiadanya nilai Taqwa ini, biasanya kesedaran umat Islam ini daripada banyak sudut terutamanya kesedaran, kefahaman tentang ilmu ketaqwaan itu sendiri. Al-Quran begitu mengambil berat tentang fadhilat (kelebihan) ketaqwaan dan menempatkan serta memberikan keistimewaan kepadanya. Sebilangan besar dari ayat-ayatNya yang jelas sehinggalah para pembacanya, hampir-hampir tidak tertinggal satupun muka surat ayat-ayat suci Al-Quran ataupun sebahagiannya melainkan mereka akan mendapati kalimah 'At-Taqwa' di sana sini yang dinyatakan oleh yang Maha Pengingat dan Maha Bijaksana.
Daripada sudut ilmiah saya sudah nukilkan serba sedikit pada perenggan yang awal lagi dengan saya dahulukan beberapa potongan maksud ayat Al-Quran. Biasa itulah yang saya akan lakukan apabila menyatakan beberapa fikrah dalam tulisan saya. Dan saya tidak mahu mengupas panjang lebar. Ramai yang kadang-kadang menimbulkan persoalan kepada saya. Kenapa saya gemar menulis panjang lebar? Walhal, tulisan yang panjang tidak ramai suka membaca. Dan terlalu mengupas segala permasalahan dengan perbincangan ilmiah. Dan sebenarnya saya sendiri mengerti persoalan ini. Namun di situ pendirian saya, apabila kita menulis secara santai, maka kebanyakkan ramai dikalangan kita yang minat membaca berbanding terlalu ketat dengan perbincangan ilmiah. Itu menjadi satu kepastian. Lebih-lebih lagi yang menulis khusus di dalam blog masing-masing. Ikutlah masing-masing apa yang dia merasakan boleh dengan begitu. Sebenarnya kebanyakkan daripada apa yang saya tulis dalam keadaan santai. Cuma saya memang jenis begitu. Kalau menaip di laptop ini payah hendak berhenti. Sedangkan diri sendiri malas menghadap laptop ini. Sebab setiap hari banyak kerja hendak dibuat. Harap fikir sendirilah ye. Kalau orang malas membaca banyak apa yang saya tulis, dapat baca sedikit pun jadilah. Sebenarnya saya yakin ada yang senantiasa setia dengan membaca blog saya walaupun mungkin tidak ramai. Apapun saya mengucapkan selamat menyambut Ramadhan dan moga kita senantiasa diberkati Allah SWT. Wa'Allahu'alam.
No comments:
Post a Comment