Wednesday, July 8, 2009

BERJEMAAH MENURUT HUKUM SYARA'


Senario pada hari ini kita melihat keadaan masyarakat yang sanggup melakukan kehancuran, kefasadan, kekejaman, dan kerakusan hidup. Maka tidak boleh tidak masyarakat hari ini memerlukan kesopanan, kesantunan, kebahagiaan dan kesejahteraan dalam kehidupan mereka.

Adapun penyelesaian yang boleh dibuat adalah dengan adanya pembentukan jemaah Islam, yang melakukan ‘Amar Ma’ruf Nahi Mungkar (menyuruh dengan melakukan segala segala perbuatan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT dan menegah dari segala perbuatan yang menjauhkan diri kepada Allah SWT) serta sanggup menanggung bebanan untuk berdakwah mengajak menuju kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT:Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar[*]; merekalah orang-orang yang beruntung.

[*] Ma'ruf: segala perbuatan yang mendekatkan kita kepada Allah; sedangkan munkar ialah segala perbuatan yang menjauhkan kita dari pada-Nya.

[Ali-‘Imraan: 104]

Dan berdasarkan ayat ini kita melihat suatu kaedah tafsir:

اللام في ولتكن للامر والامر للوجوب

Ia bermaksud huruf al-lam pada perkataan wal takun itu menunjukkan perintah wajib.

Ditambah dengan firman Allah SWT lagi:

Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasehat menasehati supaya mentaati kebenaran dan nasehat menasehati supaya menetapi kesabaran.

[Al-Asr:1-3]

Pada surah ini menjelaskan kepada kita 4 sifat yang dapat menyelamatkan kita pada Hari Kiamat kelak.

1- Mereka yang beriman.
2- Mereka yang beramal Soleh.
3- Mereka yang saling berwasiat dengan nasihat-menasihati dengan kebenaran.
4- Mereka yang saling berwasiat dengan kesabaran.

Betapa kita melihat Rasulullah SAW menyifatkan surah ini menyamai satu pertiga daripada Al-Quranul karim. Dua perkara yang memadai kepada kita bahawasanya menjadi kewajipan kita melaksanakan kerja dakwah.

Maka satu pertiga Al-Quran ini secara jelas menyifatkan seluruh manusia akan rugi melainkan manusia melakukan keempat-empat perkara ini. Iaitu orang yang menyempurnakan kekuatan ilmunya dengan keimanan yang teguh kepada Allah SWT dan menyempurnakan kekuatannya dengan beamal soleh (dengan melakukan ketaatan). Dan kedua-dua ini dapat menyempurnakan diri manusia itu sendiri.

Kemudian tidak cukup dengan itu, menambah kesempurnaannya dengan saling memberi wasiat ‘Amar Ma’ruf Nahi Mungkar iaitu ini adalah hak kebenaran yang mestilah dilaksanakan. Dan semua itu mestilah dengan kesabaran serta di sini mestilah ada suatu ujian yang manusia itu kena tempuhi. Ini suatu tawaran yang menyelamatkan manusia daripada menanggung kerugian.

Ibarat apabila kita berniaga mestilah mahukan keuntungan. Dan keuntungan perniagaan itu mestilah mengikut syarat-syarat yang dikehendaki. Salah satu syaratnya mestilah barangan ini berkualiti, bersih, jaminan yang panjang dan harga yang berpatutan. Serta termasuk promosi yang baik lagi mesra pelanggan.

Dan tawaran bisnes perniagaan yang Allah SWT berikan ini lebih baik dari apa yang kita gambarkan. Tidak adapun makhluk di muka bumi Allah SWT yang dapat menjanjikan Syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Dan tawaran ini juga menyelamatkan manusia daripada memasuki Neraka yang mempunyai apinya yang menyala-nyala lagi panas membara. Ini suatu jaminan yang tiada taranya.

Dengan bahasa Al-Quran yang menarik di dalam Surah ini dengan meletak suatu promosi yang benar-benar lumayan lagi tiada bandingannya. Ditambah dengan suatu tuju kata kepada umat manusia yang padat lagi ringkas, tetapi mempunyai kandungan isi yang tersirat lagi amat berharga.

Menjelaskan Imam AS-Syafie’e Rahimahullah: Jikalau berfikir manusia di dalam Surah An-‘Asr nescaya memadailah.

[Rujuk: Ighathah Al-Lahfan min masoidis Syaithon bagi Ibnu Qayyim Al-Jauzi, jilid 1 muka surat 33]

Maka Allah SWT tidak mencukupkan di kalangan manusia dengan mengenal kebenaran dan kesabaran di atas ujianNya sehinggalah mereka mewasiatkan sebahagian mereka kepada sebahagian yang lain dan memberi suatu pedoman kepada mencari redha Allah SWT serta memberi galakan kepada kebaikan.

Firman Allah SWT:


Katakanlah: "Sesungguhnya Aku sekali-kali tiada seorangpun dapat melindungiku dari (azab) Allah dan sekali-kali Aku tiada akan memperoleh tempat berlindung selain daripada-Nya". Akan tetapi (aku hanya) menyampaikan (peringatan) dari Allah dan risalah-Nya. dan barangsiapa yang mendurhakai Allah dan rasul-Nya Maka Sesungguhnya baginyalah neraka Jahannam, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.

[Al-Jin:22-23]

Berdasarkan ayat Allah SWT ini tidak akan selamat melainkan dengan melakukan kerja sebaran dakwah dengan mengajak manusia menuju kepada Allah SWT. Malah sepatutnya bila dikalangan kita diajak bersama perjuangan Islam, mestilah para pemuda menyahutnya. Bukanlah lari membiarkan sahaja. Sebab kepanasan api neraka bukan seperti api dunia.

Oleh itu kita memerlukan para Rijal yang sanggup bersama dengan gerakan Islam yang mampu menjadi pembela Islam. Di dalam keadaan kemelut masyarakat yang rosak dengan jahiliyyah moden ini, mestilah ada golongan pembangkit menyedarkan ummah. Dan bukan sahaja begitu malah kewajipan dengan secara berjemaah. Wa allahu'alam.

No comments: