Thursday, June 25, 2009

CUBALAH RENUNGKAN




*Doa tok guru Nik Aziz: “Ya Allah. Kami diserang , dihimpit segenap penjuru dalam menegakkan agamaMu, sesungguhnya kami tak terdaya. Maka kami berserah padaMu untuk bantu kami menegakkan agamaMu.”

*Enta kena yakin pada Allah, ada jalan keluar, generasi enta ada cabaran tersendiri, yang penting ada strategi dan ilmu, ana yakin dengan enta orang (semua).


*Sesiapa mencintai Allah, pasti semakin sunyi dengan manusia, pasti semakin sunyi dengan manusia, datanglah keramaian terasa keseorangan, saat kesukaan dia berduka, orang ketawa dia menangis, jasad dengan manusia tetapi hati tetap dengan Allah, ketenangan dan kebahagiaan adalah hembusan di langit diturunkan ke dalam hati orang beriman, dia tetap berhati teguh dikala insan lain mengalami kegoncangan.


*Kekadang hati merintih derita, jiwa menangis sedih, akal mengeluh letih…Namun hakikat hidup takkan berubah, yang perlu diubah adalah diri yang menghadapinya…Hati memilih jalan, akal memulakan langkah dan iman meluruskan arah…Moga kasih Allah bersama sahabat-sahabat semua…Amin..

*Nikmat paling manis apabila Allah mentarbiyah kita dengan pelbagai bentuk ujian, namun tautan ukhuwwah mampu berhadapan dengan sejuta kesulitan yang memberi suntikan semangat perjuangan…Alirkan halawatul ukhuwwah…Kesungguhan dalam berjuang melalui rabitah hati.


*Berkokok Si Ayam di pagi hari: ‘Mari menuju kecemerlangan’. Rahmat mencurahkan bagi mereka yang berqiam 2 rakaat tahjut, 2 rakaat solat taubat dan sekurang-kurangnya serakaat solat witir.


*Kita ada perancangan dan mereka juga ada, tetapi sebaik-baik perancangan adalah dengan meletakkan Allah dan Rasul di
hadapan. Mohon padaNya moga diberi kekuatan mengalahkan perancangan mereka.

*Tahniah, buat setinggi-tingginya kerana menyambut Maulid Nabi. Kalau hatimu malu mencari-cari cinta Allah SWT dan Nabi SAW, terpenuh hatimu cinta wanita.


*Dengan barakah Maulid Nabi, pada saat ini mula perbanyakkan selawat. Banyak khasiat.

*Jalan menuju cinta Allah dan Rasul berliku-liku. Tetapi tiada yang mustahil bagi Allah mengubah hati kita untuk cinta sepenuh hati.

*Mudah sahaja dan sangat-sangat mudah jika nak tahu hati sdang sakit, bilamana cinta dan rindu tidak hadir pada Allah dan Rasulullah.

*Moga kita merasai kemanisan iman, Cinta Allah dan Nabi.

*Berselawatlah….selagi nyawa dikandung badan..Maafkan aku! Doakan aku karam dalam cinta Allah atau Nabi.

*Rasailah malu bila menyampaikan ilmu pada masyarakat, tetapi hati kosong dari kecintaan,
kerinduan pada Allah dan Rasulullah.

*Jika malu mencari cinta Allah dan Rasulullah, pasti timbul cinta perempuan sepenuh hati.


*Carilah hikmah dalam setiap ketentuan Tuhan, supaya timbul rasa kesabaran dan kesyukuran, setiap yang payah itu pasti ada kesenangan, setiap kesabaran itu pasti ada ganjaran, jika ssuatu itu ditaqdirkan untuk kita, tiada sesiapa yang boleh beri halangan, namun jika
sesuatu itu tidak ditakdirkan untuk kita, pasti takkan kita dapat walaupun sudah dalam genggaman.

*Tiada rasa ketahanan tanpa ujian, tiada rasa kehambaan tanpa keresahan, tiada rasa pergantungan tanpa kepayahan. Moga Allah memberi kekuatan dalam keperitan. Doakan kejayaan kami.

*Hidup ini indah, harmoni dan selamat dengan cinta Allah dan Rasulullah. Seperti aku cinta perempuan, senantiasa feeling terasa di mana aku berada. Begitu juga dengan cinta Allah dan Rasulullah.

*Berkata Dai’e fillah Habib Kazim As-Segaf: Hendaklah kita melazimi Qasidah dan apabila bangkit dari tidur hendaklah berqasidah, kerana ia boleh menyucikan hati.


*Aku seronok dengan duniaku. Aku leka dengan duniaku. Aku lalai dengan duniaku di saat maut menjengahku.Hilanglah sgala kesedapan dunia itu. Hilanglah segala-galanya. Itulah yang tinggal hanya penyesalan yang berpanjangan.

*Tanda seseorang itu tergolong dalam insan yang baik, pada kanak-kanak ia hargai dan jauh sekali menyakiti hati kanak-kanak, pada rakan-rakannya ia beri contoh akhlak yang terpuji dan sering nasihat umpama saudaranya, pada orang dewasa ia hormati, jika ada kesalahan ia tegur dengan hikmah, pada yang alim ia taat...penuh dengan adab agar dilimpahi barakah.
Kesudahannya ia dapat anugerah kecintaan, kerinduan pada Allah dan Rasulullah kerana ia insan yang beradab.

*Budi merangkak, akal menjalani, ikhtiar berusaha dan untung menyudahi.

*Derita perjuangan bukan satu bebanan tetapi satu latihan, gundah perjuangan bukan satu ancaman tetapi satu didikan, mehnah perjuangan bukan satu kekuatan. Walau perit manapun perjuangan, sesukar manapun perjalanan, kita pejuang tabahkan hati, kita mujahid, kekuatan diri, kekukuhan tekad, mara dalam perjuangan Islam.


*Gagal atau berjaya bukanlah penting, yang lebih istimewa usaha untuk mengatasi kegagalan dan usaha untuk menikmati kejayaan. Ya Allah, bukalah hijab dihati sahabatku dalam memahami ilmuMu.


*Pesan pada diri, tabahkan hati dan kuatkan semangat. Pesan pada hati kukuhkan iman dan banyakkan zikrullah. Pesan pada naluri, jangan mengeluh dan kecewa. Kerana nikmat Islam itu begitu indah.


*Orang yang tidak ingat Allah dan Rasulullah, apatah lagi tiada niat untuk berusaha cinta dan ridu. Samalah kehidupannya dengan Iblis la’natullah dan kuncu-kuncunya.

*Ingin mutiara selami laut dan ingin berjaya tempuhlah penderitaan.


*Tiada istilah ketakutan dalam menyemai sebuah kemengan untuk Islam, biarpun nyawa menjadi taruhan. Tiada istilah keletihan biarpun titisan peluh menjadi bukti segala tenaga yang kita pertaruhkan. Andai gentar menjadi halangan, ingatlah Allah sebagai pembela yang membawa kita ke gerbang bahagia.


*Ada orang yang berdekatan badan tetapi hati berjauhan dan ada pula badan yang berjauhan tetapi hati berdekatan.


*Jangan takut jatuh, kerana yang tidak pernah memanjatlah tidak pernah jatuh. Jangan takut gagal, kerana yang tidak pernah gagal hanyalah orang yang tidak pernah mencuba melangkah. Jangan takut salah, kerana kesalahan yang satu, kita dapat menambah pengetahuan untuk mencari jalan yang benar pada langkah yang kedua.


*Dua sifat terkeji biasa ada pada hati ilmuan ialah ‘ujub (perasaan akan ilmu atau amalnya yang banyak). Dan riyak (keakuan dalam usaha ibadatnya). Berusalah membersihkannya.

*Hari ini manusia asyik dengan cinta. Sungguh mengasyikkan. Khayal dibuai hanyut dunia mereka. Mencari ketenangan atau kebahagiaan jiwa. Apakah mereka berjaya mengapai semua itu?

Peringatan: Ini semua mesej yang sampai kepada saya. Semua ini himpunan kalam hikmah yang berharga dan amat mahal harganya. Selagimana kalam-kalam ini bersesuaian dengan syara’ dan sekali-kali tidak menyalahinya mengikut pengamatan saya berdasarkan pengetahuan saya yang sangat kecil di sisi Allah SWT.


Namun demikian sekiranya ada yang bercanggah mengikut syara’, maka diharap tinggalkan. Biarlah kita lalu dengan jalan Islam. Bila ikut Islam. Ikut pepatah melayu: ‘Membujur lalu melintang patah’. Lihatlah gesaan nas-nas Al-Quran dan As-Sunnah SAW mengajar kita untuk mengenal erti hikmah yang Allah SWT kurniakan..

Sebagaimana firman Allah SWT :

Allah menganugerahkan Al hikmah (kefahaman yang dalam tentang Al Quran dan As Sunnah) kepada siapa yang dikehendaki-Nya. dan barangsiapa yang dianugerahi hikmah, ia benar-benar Telah dianugerahi karunia yang banyak. dan Hanya orang-orang yang berakallah yang dapat mengambil pelajaran (dari firman Allah).


[Al-Baqarah:269]



FirmanNya lagi:



Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah[*] dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.

[An-Nahl:125]

[*] Hikmah: ialah perkataan yang tegas dan benar yang dapat membedakan antara yang hak dengan yang bathil.


Sabda Rasulullah SAW:


الحكمة ضالة المؤمن انى وجدها فهو احق بها

Hikmah itu barang kehilangan orang Mukmin, di mana sahaja dia menemuinya itulah yang lebih berhak menerimanya.


Sabdanya lagi:

خذوا الحكمة من اى وعاء خرجت
Ambillah hikmah itu dari mana sahaja datangnya.

Mudah-mudahan kita dapat mengambil manfaat daripada segala kalam hikmah ini. Dan hasil lidah yang mengungkap segala mutiara kata ini, mudah-mudah tersemat di jiwa kalbu hati nurani orang yang mendengar dan membacanya, langsung terus mengamalkannya. Dan mendapat keredhaan Allah SWT. Waallahu’alam.

Monday, June 15, 2009

GERAKAN TAJDID (PEMBAHARUAN) DI DALAM TAFSIR


Sudi saya di sini kiranya untuk mengajak para pembaca supaya mngamati suatu gerakan tajdid (pembaharuan) di dalam Tafsir Al-Quran. Tidak lain dan tidak bukan atas dasar mengajak diri ini dan para pembaca supaya senantiasa kembali kepada kitab suci Al-Quran sepenuhnya serta membangkitkan kesedaran kepada meneliti ajaran Al-Quran.

Sebagaimana firman Allah SWT:
Sebagaimana (Kami Telah menyempurnakan nikmat kami kepadamu) kami Telah mengutus kepadamu Rasul diantara kamu yang membacakan ayat-ayat kami kepada kamu dan mensucikan kamu dan mengajarkan kepadamu Al Kitab dan Al-Hikmah, serta mengajarkan kepada kamu apa yang belum kamu ketahui.
(Al-Baqarah 151)

Pada kurun ke 19, dunia Islam ditimpa dengan kelembapan, kejumudan, kehinaan, kerosakkan dan pereputan bangsa penjajah. Maka datanglah Jamaluddin al-Afghoni yang menyeru dengan suatu seruan untuk menyedarkan umat Islam.

Adalah merupakan yang awal murid-muridnya adalah Syaikh Muhammad Abduh yang mengambil suatu pelajaran di dalam tafsir Al-Quran di atas jalan yang diwahyukan dengan pembaharuan dasar-dasar Islam dan mengikat ajaran-ajaran Islam dan mengikat ajaran-ajaran agama dengan kehidupan kemodenan.

Dan menzahirkan bahawa Islam tidak bertentangan selama-lamanya bersama ketamadunan, kemodenan, dan kemajuan di dalam kehidupan.

Mengiringinya selepas itu As-Said Rasyid Redha yang merakamkan pelajaran ini di dalam majalah Al-Manar yang pertama. Kemudian menghimpunkannya dan menambah ke atasnya di dalam Tasfsir Al-Manar yang mengambil kira tafsir zaman yang baharu. Mencuba mengikat Al-Quran Al-Karim dengan masyarakat dan kehidupan. Dan menentukan bahawa Islam itu agama dunia yang kekal bertahun-tahun lagi mengislah (membuat pembaikan) bagi setiap zaman dan tempat.

Pegangan tafsiran ini di atas tafsir Al-Quran dengan Al-Quran dan As-Sunnah yang Sahih. Begitu juga dengan rujukan kepada Ilmu Bahasa Arab dan Ijtihad serta penelitian kepada nas Al-Quran ke atas yang benar-benar saling lengkap-melengkapi satu sama lain.

Tidak merosakkan segala ayat dan bukanlah memisahkan sebahagiannya dari sebahagian yang lain supaya dapat menafsirkan tiap-tiap semua daripadanya dengan satu-persatu.

Tafsir ini mengambil himpunan daripada segala ayat agar mengemukakan sekaligus dengan tujuannya yang asas dan hadafnya yang umum. Adapun ia tidak mengertikan terlalu banyak dengan kajian-kajian Nahu, Balaghah dan Lughawiyah.

Bahkan kadang-kala lebih menumpukan kepada mencari makna atau maksud. Adapun juga tidak menumpukan banyak dengan memasukkan pada perincian-perincian Furu’ (perkara-perkara cabang) dan Juz’iyyat (perkara-perkara juzuk). Bahkan menumpukan hadaf kepada Al-Kulliyaat (perkara-perkara umum) dan makna-makna atau maksud-maksud yang umum.

Ia menyentuh sebab-sebab bagi menghubungkan Al-Quran dengan ilmu-ilmu kemasyarakatan, semulajadi dan siasah (politik) umat semuanya.

Dalam erti kata lain, ia menyaksikan dengan pandangan-pandangan masakini daripada para ahli falsafah, para ahli kemasyarakatan, para ahli siasah (politik) dan sebagainya. Begitu juga meneliti pada setiap munasabah yang menjadi kesepakatan di antara Al-Quran dan Ilmu itu sendiri.

Tulisan As-Sayyid Rasyid Redha di dalam tafsir Al-Manar mempunyai suatu ibarat yang merupakan tafsir yang menghimpunkan di antara hukum perundangan syariat dan segala sunnah Allah SWT di dalam masyarakat manusia.

Dan meletakkan Al-Quran itu hidayah yang umum bagi manusia pada setiap zaman dan tempat serta menjadi hujjah Allah SWT. Begitu juga ayat-ayatNya mukjizat bagi manusia dan jin serta yang dapat membawa ke arah petunjukNya. Dan menjadi kegunaan orang-orang Islam pada zaman ini.

Namun kebanyakkan orang-orang Islam pada zaman ini berpaling dan tidak seumpama golongan terdahulu yang mereka tetap berpegang dengannya kerana ia menjadi sebab jalan kepada kebahagian dunia dan akhirat.

Tafsir ini juga cara penafsirannya dengan tafsiran yang mudah dan mengelak dari unsur-unsur campur aduk kalam (yang sukar) dengan istilah-istilah segala ilmu dan seni. Di mana memberi kefahaman secara umum dan tidak menggunakan darinya secara khusus.

Dan sebenarnya ini adalah asas kaedah yang digunakan oleh salah seorang yang alim lagi bijaksana iaitu Al-Ustaz Al-Imam As-Syaikh Muhammad Abduh yang mudah-mudahan sebaik-baik balasan Allah SWT membalasnya dan sebanyak-banyak pemberian pahala kepadanya.

Melihat Syaikh Muhammad Abduh bahawa beliau mengambil berat di kalangan ahli-ahli tafsir yang menafsirkan dengan semata-mata Ilmu Nahu atau Ilmu Balaghah atau Ilmu Falsafah; penafsiran mereka banyak terkeluar dari maksud asal daripada Kitab Ilahi ini (Al-Quran) dan menghilangkan mereka pada pandanagan-pandangan yang dilupakan mereka maknanya secara hakiki.

Walhal, penafsiran yang menuntutnya Syaikh Muhammad Abduh adalah kefahaman Kitab Al-Quran ini di mana ia merupakan penunjuk agama yang memberi pedoman terhadap manusia kepada perkara yang di dalamnya memberi kebahagian terhadap manusia di dalam kehidupan dunia mahupun di dalam kehidupan akhirat.Maka dengan kefahaman ini adalah suatu maksud yang lebih tinngi daripadanya.

Disebalik kajian-kajian beliau bahawasanya yang mengikuti beliau atau yang menjadi wasilah bagi penghasilannya; sudah pastilah As-Sayyid Rasyid Redha yang saya jelaskan tadi akan penafsirannya dan merupakan jalan asas beliau bagi tafsir Al-Manar.

Tidak lain dan tidak bukan pastilah bahawasanya Al-Quran Al-Karim merupakan kitab petunjuk dan perundangan syariat dan bukanlah kitab untuk memperincikan segala ilmu dan seni semata-mata.

Ini dipastikan dengan apa saya kutip kalam beliau Sayyid Rasyid Redha di dalam Kitab Qissatul Quran juzuk yang kedua yang dikarang oleh Profesar Dr Ahmad As-Syarbasi keluaran Majalah Al-Azhar bulan Rejab 1427H:

“Wahai Muslimun, bahawasanya Allah SWT menurunkan ke atas kamu kitabNya sebagai petunjuk dan cahaya agar diajarkan kamu Al-Kitab (Al-Quran) dan Al-Hikmah (Sunnah Nabi SAW) serta menyucikan kamu. Menyediakan kamu bagi apa yang disediakan dengannya daripada kebahagian dunia dan akhirat”.

“Tidak ada undang-undang dunia yang diturunkannya itu kering-kontang sebagaimana undang-undang hukuman ini. Tidak ada kitab yang sebaik bagi mengubati (penyakit) tubuh badan.. Tidak ada sejarah manusia bagi menjelaskan peristiwa-peristiwa dan segala waqi’ (yang berlaku) hari ini dan bukanlah perjalanan kesenian bagi menjelaskan suatu usaha dan manfaat”.

“Sebenarnya Allah SWT menjadikannya dengan mengikut kemampuan kamu (kesesuaian bagi kamu). Bukanlah terhenti sekadar hanya atas wahyu yang diturunkan daripada Tuhan kamu (sehingga sampai hari kiamat kesesuaiannya)”.

Kebiasaannya kita melihat kitab tafsir yang dikarang oleh ahli tafsir yang mengambil satu-persatu ayat sebagaimana telah ada di dalam mushaf. Lalu menafsirkannya atas berturut-turutan.

Maka apa yang saya dapati di dalam Tafsir Al-Manar tidak mengikat dengan satu-persatu ayat. Akan tetapi beliau (Syaikh Rasyid Redha) menafsirkan dengan menghimpunkan satu jumlah ayat yang berkenaan yang dikemukakan secara umum kemudian beliau menafsirkan. Maka setelah habis, beliau berpindah dan menafsirkan lagi sejumlah ayat yang berkenaan selepas itu secara berturutan tetapi mengikut jumlah ayat yang berkenaan. Beginilah cara kaedah yang beliau gunakan.

Sesungguhnya memperluaskan tentang ini oleh Al-Ustaz Sayyid Qutb pada kitabnya Fi Zilal Quran. Maka mengambil himpunan ayat yang berkenaan daripada ayat Al-Quran yang lengkap kemudian menafsirkannya. Maka setelah habis beliau meletakkan himpunan ayat yang berkenaan lagi secara berturutan kemudian menafsirkannya.

Sungguhpun begitu, kita dapati di kalangan golongan terdahulu, mereka menafsirkan secara satu-persatu ayat.

Adapun yang mengikut jalan yang lain sebagaimana pelaksanaan Ibnu Qaiyim pada ketika menyibukkan dirinya dengan penafsiran yang mengambil satu judul atau satu tajuk daripada ayat Al-Quran yang ditentukan. Di mana beliau mengambil satu judul atau satu tajuk, lalu menghimpunkan ayat-ayat yang berkaitan itu sepertimana yang beliau ungkapkannya di dalam kitabnya At-Tibyan.

Namun demikian saya mengajak semua agar sederhana dengan berbagai pemikiran ahli tafsir dan tidak mudah untuk kita mengkritik sewenang-wenangnya tanpa belajar, mengkaji, meneliti dan perlulah mengambil kira serta benar-benar memahami bidang Ilmu Tafsir yang luas. Di mana para Ulama’ dahulu dan kini yang menguasai bidang Ilmu Tafsir ini mereka mempunyai kredibiliti dan kepakaran masing-masing.

Ada di antara Ulama’ yang pakar di dalam bidang Ilmu Feqh, maka kecenderungannya menafsirkan ayat Al-Quran lebih kepada At-Tafsir Al-Feqhi, yang pakar di dalam bidang Ilmu Nahu, maka kecenderungannya menafsirkan ayat Al-Quran lebih kepada At-Tafsir An-Nahwi, yang pakar di dalam bidang Ilmu Balaghoh, maka biasanya menafsirkan ayat Al-Quran lebih kepada At-Tafsir Al-Bayani, yang pakar di dalam bidang Ilmu Tasawuf, maka kecenderungannya menafsirkan ayat Al-Quran lebih kepada At-Tafsir As-Sufi, yang pakar di dalam bidang ilmu As-Siasah Al-Islamiyyah, maka kecenderungannya menafsirkan ayat lebih kepada At-Tafsir As-Siyasi.

Dan ada juga tafsir yang dipanggil At-Tafsir Al-Maudu’ie (Tafsir mengikut judul atau tajuk).

Sungguhpun begitu, Ulama’ ini biasanya menguasai keluasan bidang ilmu Islam yang mana mereka ini lebih cenderung dengan mengikut kepakaran masing-masing atas dasar sikap yang didahulukan mesti didahulukan. Apapun penguasaan mereka di dalam bidang ilmu pengetahuan sekali-kali amatlah kecil di sisi pengetahuan Allah SWT, walaupun besar di sisi kita. Wa Allahu’alam.

Wednesday, May 13, 2009

KEPENTINGAN MENGENAL TOKOH ‘ULAMA ISLAM


Senario pada hari ini, amat mendukacitakan dikalangan masyarakat kita yang kurang mengenali Para ‘Alim ‘Ulama yang terkenal dan masyhur pada zaman dahulu kala. Dimana zaman semasa kegemilangan Islam menjadi kuasa besar dunia. Dari itu menjadi suatu tanggungjawab saya selaku orang yang diberi peluang oleh Allah SWT serta dapat belajar serba sedikit ilmu Islam di bumi Ardhul Kinanah ini.

Saya amat kesal melihatkan begitu ramai masyarakat Malaysia yang seb
enarnya amat ketinggalan dalam mengenali golongan-golongan cerdik pandai; seumpama Para ‘Alim ‘Ulama, Para Cendiakawan, ahli profesional negarawan yang pakar dalam bidang ilmuan masing-masing samada ilmu Islam, Sains, Teknologi, Binaan, Geografi, Sasterawan dan sebagainya.

Tetapi apa yang merunsingkan Negara kita sekarang ini iaitu Malaysia yang lebih mengutamakan golongan-golongan yang bukan para Ilmuan dan cendiakiawan. Ini saya melihat bagaimana masyarakat lebih mengenali para artis dan sangat-sangat mengagungkan mereka. Hatta kepopularan lebih dilihat kepada mereka bukan lebih dilihat kepada Para Ilmuan.

Sebab itu kepopularan itu amat penting sebenarnya untuk digarapkan. Dan mestilah ditujukan yang lebih utama kepada Para Ilmuan dahulu kerana ini lebih menjuruskan kepada masa depan Negara kita ini; baik dari sudut ketamadunan, pembangunan, politik, pentadbiran, pendidikan, ekonomi, sosial dan sebagainya.

Dan perlu diingat sebenarnya kemasyhuran dan kepopula
ran ini bukanlah boleh dicari-cari. Tetapi kemasyhuran dan kepopularan ini adalah anugerah daripada Allah SWT sendiri.

Apabila sikap keikhlasan daripada umat Islam dan senantisa bersungguh-sungguh di dalam mengamalkan ajaran Islam serta senantiasa memperjuangkan ajaran Islam supaya dimartabatkan, maka Allah akan memberikan anugerah kepada siapa yang dikehendakiNya.

Sebagaimana Firman Allah SWT yang bermaksud:

Katakanlah: "Wahai Tuhan yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu. Engkau masukkan malam ke dalam siang dan Engkau masukkan siang ke dalam malam. Engkau keluarkan yang hidup dari yang mati, dan Engkau keluarkan yang mati dari yang hidup[*] dan Engkau beri rezki siapa yang Engkau kehendaki tanpa hisab (batas)".

[Ali-'Imraan:26-27]

[*] sebagian Mufassirin memberi misal untuk ayat ini dengan mengeluarkan anak ayam dari telur, dan telur dari ayam dan dapat juga diartikan bahwa pergiliran kekuasaan di antara bangsa-bangsa dan timbul tenggelamnya sesuatu umat adalah menurut hukum Allah.

Dan ini sebenarnya melibatkan masyarakat Islam seluruhnya bukan dibahu orang persendirian yang beramal dengan ajaran Islam. Ini sebagaimana maksud ungkapan daripada Saiyidina Umar Al-Khattab RA yang bermaksud:

Kami suatu Kaum yang Allah muliakan kami dengan Islam; barangsiapa mencari selain apa yang Allah muliakannya, (nescaya) Allah akan hinakannya.

Jelaslah di sini Saiyidina Umar Al-Khattab RA menggunakan kalimah Nahnu bermaksud Kami dan bukanlah tertonggak di bahu seorang tapi menjadi kewajipan kepada suatu golongan yang ramai.

Apabila seorang sahaja yang beramal dengan ajaran Islam, maka kemuliaan yang Allah SWT berikan pada seorang. Tetapi apabila masyarakat seluruhnya beramal dengan ajaran Islam, maka sudah pasti Allah SWT memberikan Keizzahan Islam itu sendiri dengan tanpa kita mencari, bahkan terus menerus memperjuangkan agama Allah SWT yang suci ini.

Menjadi perhatian penting di sini bukanlah untuk Para Ilmuan sendiri yang memasyhurkan atau mempopularkan diri mereka sendiri. Tetapi tanggungjawab masyarakat untuk menaikkan mereka ke arah memimpin Malaysia. Dan segala pandangan mereka perlu dipandang tinggi oleh masyarakat selagi mana bersesuaian dengan apa yang digariskan oleh Islam.

Dari itu saya amat merasa tanggungjawab untuk memperkenalkan masyarakat tentang tokoh-tokoh Para ‘Ulama Salafus Soleh yang mereka ini sebenarnya masyhur dan popular suatu ketika dahulu kerana ajaran Islam yang mereka amalkan.


Oleh kerana saya masih lagi merupakan seorang Thalib yang agak mentah di dalam ilmu Islam dan seorang yang masih lagi digelar Al-Mubtadie’ serta masih jauh lagi untuk menggapai sebagai orang yang pakar dalam bidang keilmuan Islam.

Maka di sini saya mulakan dengan beberapa Para ‘Alim ‘Ulama Islam dikalangan Ashab RA (Para Sahabat Nabi SAW) yang mereka ini lebih saya juruskan dalam bidang meriwayatkan tafsir Al-Quran Al-Karim walaupun golongan Para Sahabat RA ini sebenarnya pakar juga di dalam bidang lain seumpama bidang Hadith dan sebagainya. Ini kerana takhassus (pengkhususan) saya di dalam bidang Ilmu Tafsir di kuliyah Al-Azhar As-Syarif ini.

Bukanlah bermakna saya taksub dengan bidang saya sendiri, tetapi ramai sahabat-sahabat saya di Universiti Al-Azhar ini yang menjurus dalam jurusan masing-masing seperti Takhassus Hadith, Aqidah dan Falsafah, Dakwah, Syari’ah, Lughah ‘Arabiyah dan sebagainya.

Maka mereka ini yang lebih berhak untuk menjelaskan dan memperkenalkan Muhaddithin (Ahli bidang ilmu Hadith), Fuqaha (Ahli bidang ilmu Feqh) dan sebagainya.

Dengan ini saya lebih khususkan kepada Para Sahabat yang mereka ini benar-benar masyhur di dalam meriwayatkan tafsir Al-Quran.

Mereka ini saya jelaskan secara umum dan ringkas sebagaimana saya nukilkan di dalam Kitab yang bertajuk At-Tafsir bil Ma’thur Wa Manahij Al-Mufassirin karangan Doktor Muhammad Mus’ad As-Sa’id salah seorang Profesar Tafsir dan Ulumul Quran di Kuliyah Kami; iaitu Kuliyah Usuluddin Wad Da’wah di Al-Mansurah, Mesir.

Sepuluh orang Para Sahabat yang Masyhur di dalam menafsirkan Al-Quran Al-Karim. Mereka adalah Abu Bakr As-Siddiq RA, Umar Al-Khattab RA, Uthman Al-‘Affan RA, Ali RA, Abdullah bin Mas’ud RA, Abdullah bin ‘Abbas RA, Ubai bin Ka’ab RA, Zaid bin thabit RA, Abu Musa Al-‘Assya’ari RA dan Abdullah bin Az-Zubair RA.

Adapun tiga yang awal dikalangan Al-Khulafa’Ar-Rasyidin iaitu Abu Bakr As-Siddiq RA, Umar Al-Khattab RA dan Uthman Al-‘Affan RA adalah yang sangat sedikit riwayat dari mereka di dalam menafsirkan Al-Quran.

Ini adalah disebabkan kesibukkan dengan kepentingan kerja Khilafah, ditambah banyak pembukaan kawasan jajahan Islam, juga banyak menyusun dan mengatur ketenteraan serta yang awal kewafatan mereka.

Ini suatu perkara yang tidak pelik hatta apa yang diriwayatkan oleh Saiyidina Abi Bakr As-Siddiq RA yang sebenar-benar sah tidak lebih daripada sepuluh riwayat Athar (yang dinukilkan Ulama’ Khalaf daripada Ulama’ Salaf). Ini menurut dikalangan Para ‘Alim Ulama’ Tafsir.


Adapun Khalifah Ali RA yang merupakan Khalifah keempat dikalangan Khulafa’ Ar-Rasyidin, maka riwayat daripada beliau dalam menafsirkan Al-Quran cukup banyak. Faktor banyaknya riwayat-riwayat dari beliau sendiri di dalam menafsirkan Al-Quran adalah kerana kelapangan beliau dari kepentingan Khalifah, juga mempunyai tempoh waktu yang panjang dalam memerintah berbanding Para Khulafa’ yang sebelum beliau iaitu Abu Bakr As-Siddiq RA, Umar Al-Khattab RA dan Uthman Al-‘Affan RA.

Beliau (Saiyidina Ali RA) juga adalah seorang yang lewat kewafatannya iaitu pada bulan Ramadhan tahun ke 40H dan ramai masyarakat pada masa itu mengambil sumber fatwa dan penetapan hukum daripada beliau sendiri.

Kemudian disambung dengan Abdullah bin Mas’ud RA, Abdullah bin ‘Abbas RA, dan Ubai bin Ka’ab RA merupakan tiga orang sahabat yang banyak meriwayatkan tafsir Al-Quran. Ini bermakna seramai 4 orang Sahabat RA yang banyak meriwayatkan tafsir Al-Quran termasuk Saiyidina Ali RA.

Dan selebihnya iaitu Zaid bin Thabit RA, Abu Musa Al-‘Assya’ari RA dan Abdullah Ibnu Az-Zubair RA termasuk yang masyhur di dalam menafsirkan Al-Quran, namun sedikit juga riwayat daripada mereka.

[Rujukan: At-Tafsir bil Ma’thur Wa Manahij Al-Mufasirin; m/s 46 bab pada menyatakan Ahli Tafsir dikalangan Sahabat RA; karangan Doktor Muhammad Mus’ad As-Sa’id]


Dikalangan Para Sahabat RA, selain daripada mereka belajar sendiri dengan Nabi SAW; mereka juga ada yang mempunyai Mazhab sendiri. Sebagaimana Mazhab Ibnu 'Abbas dan sebagainya.

Dan Para Sahabat RA juga mereka belajar sesama sendiri di dalam pemahaman masing-masing berkait dengan Al-Quran dan Hadith Rasulullah SAW. Dan mereka tidak lain tidak bukan adalah untuk beramal dengan Al-Qura dan Sunnah Rasulullah SAW untuk mencapai redha Allah SWT.

Ditambah dengan mereka Para Sahabat RA yang menjadi guru kepada Para Tabi'ein RA yang banyak terukir nama-nama mereka seperti Sa'id bin Jabir, Mujahid bin Jabbar, 'Ikrimah, Masruq bin Al-Ajda' dan sebagainya yang mungkin diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk saya memperkenalkan mereka insya Allah bergantung kepada keadaan yang sesuai.

Adalah suatu perkara yang amat penting mengenali Para 'Alim 'Ulama Islam dahulu sebelum memahami dan mempelajari ilmu terlebih dahulu. Ini sebagaimana disebut di dalam suatu Hadith Nabi SAW:

Riwayat Ismail bin Abi 'Uwais mengatakan: Meriwayatkan kepadaku Malik dari Hisyam bin 'Urwah dari bapanya dari Abdullah bin 'Amr bin Al-'Aas yang mengatakan: Aku dengar Rasulallah SAW bersabda:

Bahawasanya Allah SWT tidak mencabut (menghilangkan) Ilmu dengan mencabutnya daripada para Hamba; akan tetapi Dia (Allah) mencabut Ilmu dengan mematikan 'Ulama sehingga tidak adanya seorang 'Alim; (nescaya) orang menjadikan pemimpin-pemimpin yang jahil; maka ditanyakan kepada mereka lalu mereka memberikan fatwa dengan tidak ada Ilmu pengetahuan; maka mereka sesat dan menyesatkan.

[Rujukan: Hadith Sahih Bukhari; m/s 37; bab ke 35 pada menyatakan Allah mencabut Ilmu pengetahuan;Hadith yang ke 100]

Oleh itu, saya mengharapkan manfaat di kalangan pembaca semua supaya terus berminat dengan ilmu dan pendidikan yang amat penting kita garapkan pada pemikiran masyarakat semua. Biarlah kita menjadi masyarakat yang berilmu dan Thaqafah.

Sebagaimana Firman Allah SWT yang brmaksud:

Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang Menciptakan, Dia Telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah yang Maha pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaran kalam[*], Dia mengajar kepada manusia apa yang
tidak diketahuinya.

[Al-'Alaq:1-5]

[*] Maksudnya: Allah mengajar manusia dengan perantaraan tulis baca.


FirmanNya lagi yang bermaksud:

Dan demikian (pula) di antara manusia, binatang-binatang melata dan binatang-binatang ternak ada yang bermacam-macam warnanya (dan jenisnya). Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama[*]. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.

[Al-Fathir:28]

[*] Yang dimaksud dengan ulama dalam ayat ini ialah orang-orang yang mengetahui kebesaran dan kekuasaan Allah.

Dengan keberkatan daripada para 'Ulama di kalangan Salafus Soleh; baik Para Sahabat RA, Para Tabi'ien, Para Tabi' At-Tabi'ien, dan sesiapa sahaja yang menyambung perjuangan mereka ini terus menerus menjadi mata rantai perjuangan demi memartabatkan Islam agama yang Allah SWT redhai.

Akhir sekali, mudah-mudahan dengan berkat perjuangan mereka saya, rakan-rakan yang menghadapi imtihan (peperiksaan) di AL-Azhar ini mencapai kejayaan yang sebaiknya dan mudah-mudahan juga kita senantiasa diberi bimbingan petunjuk oleh Allah SWT dan segala apa yang kita laksanakan diredhai Allah SWT. Wa’allahu a’lam.

Sunday, April 26, 2009

PEJUANG DAN MURABBI CONTOH!!!


Sedikit pengalaman semasa saya diberi peluang oleh Allah SWT dapat pulang bercuti di Malaysia pada tahun 2007 (tidak ingat tarikh yang tepat) dan lebih kurang selama 3 bulan lebih saya dapat menghabiskan masa bercuti di Malaysia.


Bila saya sampai ke kampung halaman sendiri iaitu Kampung Parit Keroma Darat, Muar Johor. Tiada perubahan besar melihat pada rumah saya; hanya pada jalan Datuk Haji Kusai yang dicelah-celahnya terdapat lebuh raya.

Di awal percutian, tidak disangka adik-beradik saya nampak berubah raut wajah. Kecuali Abang Ijal (Faizal bin Hodari) yang sulung daripada mula saya pergi ke Mesir sampai pulang nampak tidak berubah. Termasuk Emak dan Ayah tidak berubah sangat. Cuma melihatkan Emak yang nampak bertambah uban di kepalanya.


Sayup mata memandang sudah lebih kurang 4 tahun tidak balik memang benar-benar saya rasa terkejut dan dilema dengan suasana Malaysia ni. Sebenarnya saya berasa segan-silu bersama keluarga sendiri. Solah-olah macam bukan keluarga sendiri.


Kerap-kali adik-beradik, sanak-saudara, pakcik-pakcik, makcik-makcik, atuk-atuk sering mentertawakan saya, sebab gaya bahasa saya nampak berubah. Termasuklah istilah-istilah bahasa yang kadang-kadang payah untuk memberi faham kepada orang lain. Maklumlah di Mesir banyak istilah-istilah bahasa arab seperti ikhwah, akhawat, ammu, ustaz, ustazah, biah, waqi’, dan sebagainya.


Masuk seminggu lebih saya hanya habiskan masa di kampung sahaja. Rupanya betul kata ustaz-ustaz lama Mesir; tinggal di Malaysia pada seminggu awal sahaja rasa seronok, kemudian tidak tahu apa yang hendak dibuat.

Perasaan bosan timbul bila tiada kerja hendak dibuat, akhirnya dengan izin Allah bertemulah saya dengan Ustaz Zakaria Noor. Memang menjadi rutin setiap minggu mengajar di masjid berdekatan rumah saya.


Kebetulan Ustaz Zakaria ni memang sangat diminati oleh ayah. Ayah sangat-sangat mengajak saya cuba sekali mendengar kuliyah yang disampaikan. Dulu saya memang kurang minat mendengar kuliyah di kampung sendiri.

Ini disebabkan melihatkan ustaz-ustaz yang mengajar lebih tertumpu kepada perkara-perkara sunat. Seperti solat-solat Sunat, cara menyambut Nisfu Syaaban, dan banyak lagi bab-bab yang kadang-kadang masyarakat masih jahil dalam bab perkara wajib seperti Tafsir, Hadith, Aqidah, Ibadat, Muamalat, Munakahat, Hukum Jinayat, Sirah, Tasawuf dan sebagainya yang kurang dianggap penting.


Semasa saya mendengar kuliyah yang diajar oleh Ustaz Zakaria, saya memperlihatkan suatu kelainan cara penyampaian beliau dengan uslub-uslub bahasa yang mudah difahami, ilmu yang luas, dan saya kirakan isi yang beliau sampaikan amat mendalam.


Kebetulan kitab yang beliau ajar adalah berjudul Wasiat-wasiat Iman dan Nasihat-nasihat Agama iaitu versi jawi. Seingat saya beliau mensyarahkan dalam bab pada menyatakan Kelebihan Al-Quran.


Setelah selesai pengajian dan Solat Isyak berjemaah; sebelum sempat saya pulang beliau menyapa saya serta mengajak pergi minum di warung. Kemudian saya dengan rasa senang hati, menerima pelawaan beliau. Sebenarnya saya tidak kenal diri beliau; tetapi seolah-olah seperti ada hubungan rohani yang kuat dalam hati saya dengan beliau.


Ketika di warung beliau nampak ringan hati untuk belanja minum. Seronok rasanya dapat berbual-bual bersama beliau. Diantara perbualan kami beliau menanyakan: “Syaikh, tinggal mana? Anak siapa?” .


Lalu saya menjawab: “Saya tinggal kat kampung ni. Anak kepada Haji Hodari”. Beliau nampak terkejut, lalu menuturkan: “Eh, ana tak pernah nampak sebelum ni pun”. Saya balas:“Saya baru pulang bercuti lama tak balik Ustaz”. Ujar saya.


Sambung beliau: “Enta belajar mana?”. Dengan segan silu saya terus jawab: “Biasa-biasa jer Ustaz”. “Yelah biasa-biasa tu mana Syaikh”. Ujar beliau. Saya tak dapat nak elak, malu juga nak sebut saya belajar Mesir memandangkan diri yang amat kerdil. Akhirnya saya beritahu: “Sebenarnya saya ni belajar kat Mesir”.

Lalu beliau tersenyum yang pada mulanya nampak series pada raut wajah beliau dan terus mengatakan: “Oh, rupanya orang Al-Azhar”. Beliau terus bertanya: “Dulu pernah ikut Usrah?”. Saya hanya mengangguk-anggukkan kepala.


Beliau menambah: “Esok nak ikut saya pergi Usrah kat Sungai Abong?”.Saya kata: “Boleh gak, tapi saya tak tahu tempat”. Takpe nanti saya ambik, tapi kita pergi kuliyah dulu di masjid lain, kebetulan saya kena mengajar Tafsir kat sana”.Ujar beliau.


Ketika beliau sampai ke rumah saya dengan keretanya untuk ke Usrah bersama; pada masa itu waktu malam hujan lebat turun. Semasa saya sedang bersiap, ayah sempat berbual dengan beliau.


Saya masih teringat ayah mengatakan; “Anak saya ni Muhammad Adham sangat-sangat perlukan didikan Ustaz. Kalau dia tak betul, harap Ustaz tegurlah yer.” Lalu beliau mengangguk dan menjawab: “Insya Allah.”


Ayah amat gembira saya dapat rapat dengan Ustaz Zakaria. Ayah pernah kata: “Sebenarnya ayah segan dengan Ustaz Zakaria ni. Tak pernah pun ayah dapat berbual dengan dia secara terus. Tapi senang-senang jer Am (nama gelaran saya yang biasa dipanggil oleh keluarga, sanak-saudara, dan masyarakat kampung) boleh rapat dengan Ustaz Zakaria. Baru ni jer ayah dapat bual macam ni.”


Menjadi titik tolak permulaan inilah saya sering ikut beliau usrah dan saya sedikit sebanyak menjadi pembantu tak rasmi bagi beliau. Bila ada salah seorang bertanyakan gerangan saya. Beliau yang usia dalam lingkungan lebih kurang 40 tahun, sangat senang mengaku saya adalah anak beliau.


Setiap kali usrah dijalankan, saya sering diminta untuk mengulas untuk membuat kesimpulan daripada Usrah yang dijalankan. Dan terkejut saya bila seorang ahli Usrah bertanya kepada saya: “Ustaz sanggup ke hidup dalam perjuangan macam ni. Tak ingin ke pakai kereta mewah, rumah besar, dan hidup senang. Sedangkan Ustaz belajar kat Mesir bukan main susah. Tapi balik berjuang dalam PAS?”


Tidak disangka Ustaz Zakaria terus menjawab: “Ana senang jer hidup macam ni. Ada rumah sendiri. Kereta sendiri. Keluarga sendiri.” Memang saya melihat kehidupan beliau dengan penuh masa. Pagi mengajar sampai ke petang di sekolah. Pulang rumah uruskan keluarga dan sambung di waktu petang mengajar di masjid. Pada waktu malam sambung mengajar dan kerja untuk PAS samada program, Usrah, mesyuarat dan sebagainya.


Kadang-kadang timbul tanda tanya dalam fikiran saya. Hatta sampai saya pernah bertanya beliau: “Masa bila Ustaz rehat? Masa bila Ustaz buat persediaan untuk mengajar?” Beliau jawab: “Ana curi-curi masa juga. Tapi kita berjuang ni masa rehat memang kurang. Kena banyak sabar.”


Sejak mengenali beliau, saya dapati beliau seorang yang tenang, tetapi berpendirian tegas dalam meletakkan Islam di hadapan. Kegigihan beliau setiap hari dan masa yang banyak dikorbankan untuk perjuangan Islam ini sepatutnya dicontohi oleh kita.


Diantara ketegasan beliau, pernah beliau mengajar di kampung saya; beliau mengatakan: “Saya samasekali tak akan pergi ke jemputan majlis kenduri kahwin yang ada muzik nyanyian karaoke”.


Ayah yang merupakan anak murid kepada Ustaz Zakaria; ketika membuat majlis kenduri kahwin abang saya iaitu Abang Apis (Hafiz bin Hodari); ada dikalangan saudara-mara yang mencadangkan supaya diadakan nyanyian karaoke. Ayah dengan hati yang kuat terus menolak, walaupun terpaksa membuatkan hati dikalangan saudara-mara sendiri sakit.


Sehinggakan saya memuji ayah kerana tegas dengan pendirian tersebut. Ayah menjawab: “Sebenarnya ayah malu nanti kalau diadakan muzik karaoke; takut Ustaz Zakaria tak datang majlis ayah. Biar saudara-mara sakit hati dengan ayah, jangan sampai Ustaz Zakaria tak datang majlis ayah. Nasib baik ayah tolak cadangan tu. Nanti ayah malu nak datang kelas Ustaz Zakaria, sedangkan pesan dia ayah tak ikut.”


Bukan maksud saya di sini; hendak membahaskan masalah berkait nyanyian muzik yang manakah dibolehkan oleh Islam? Atau adakah nyanyian karaoke ini haram? Tetapi saya lebih mahu menjuruskan cara Ustaz Zakaria mendidik masyarakat supaya memahami ajaran Islam dan menjiwai Islam dengan sebenar-benarnya.


Saya juga pernah mendengar ungkapan Ustaz Zakaria; bila menyebut tentang firman Allah SWT Surah Huud bagi ayat 113 yang bermaksud:


Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolongpun selain daripada Allah, Kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan.


[Surah Huud:113]

Beliau amat berpegang dengan ayat ini dan menyebut: “Ada setengah Ulama yang menafsirkan maksud cenderung ini; warna baju sama pun tak boleh. Tapi kita ini sebagai sebagai orang yang faham kadang-kadang sanggup menggadai prinsip dengan menghalalkan cara. Sedangkan Islam tidak menghalalkan cara.”


Penjelasan tentang cenderung kepada orang yang zalim maksudnya ialah menggauli mereka serta meredhai perbuatannya. Akan tetapi, jika bergaul dengan mereka tanpa meredhai perbuatannya dengan maksud agar mereka kembali kepada kebenaran atau memelihara diri, Maka dibolehkan.


Malah masyarakat kampung saya sendiri yang kebanyakan berfikiran UMNO sangat menghormati beliau. Dan ramai dikalangannya yang senantiasa mengikut pengajian beliau. Walaupun sudah tahu Ustaz Zakaria ni cop PAS. Dan ayah pernah menyebut: “Ayah sangat tertarik dengan cara penyampaian Ustaz Zakaria mengajar. Kadang-kadang bila melihatkan muka Ustaz Zakaria ni; jadi kasihan pun ada.”


Apa yang menimpa nasib beliau sendiri dengan keadaan isteri yang sakit teruk. Beliau sempat menghadiri program di Markaz PAS kawasan Bakri. Sedangkan beliau juga senantiasa sibuk menjaga isterinya yang sakit tenat.


Ramai juga dikalangan ahli Usrah, anak-anak murid pengajian, sahabat-sahabat sekerja beliau dalam PAS yang sangat simpati dengan beliau kerana mengenangkan ujian yang ditimpa beliau dengan sakitnya isteri. Sedangkan beliau merupakan orang yang penting di dalam PAS kawasan.


Kebetulan saya mendapat peluang mengajar di kampung sendiri, saya cuba bertanyakan beliau bagaimanakah cara yang terbaik dan rahsia untuk mengajar masyarakat. Dengan tenang beliau menjawab: “Syaikh, enta sebelum mengajar selepas daripada melakukan Solat Sunat Ba’diyyah maghrib tu, enta jangan lupa berdoa minta pada Allah SWT supaya diberikan ilmu yang bermanfaat. Kemudian bila enta mengajar nanti Allah akan curahkan ilmu sebanyak-banyaknya, walaupun enta tak sedia manapun.”


Pernah semasa fatrah berhari raya. Saya bersama emak dan ayah menziarahi di rumah beliau. Sungguh tidak disangka, di rumah beliau ada tempat pengasingan tetamu di antara lelaki dan wanita. Sehinggakan tempat wanita pintunya di belakang dan lelaki di hadapan. Saya terkejut sampai tahap begini beliau memahami dan beramal dengan Islam.


Di kala saya ingin kembali ke Mesir dan tidak silap saya sehari sebelum bertolak; saya sempat menemui beliau. Semasa memberitahu perihal pemergian saya, beliau nampak diam dan merenung sejenak. Lalu beliau mengatakan: “Tidak apa enta pergi tu. Lagipun sana lebih banyak manfaat. Boleh tambahkan ilmu lagi”.


Apabila saya sudah berada di Mesir; amat tidak disangka calon daripada ADUN Sungai Abong bagi PAS kawasan Bakri iaitu Doktor Syaikh Ibrahim mendapat kemenangan. Sampaikan saya terbayang dalam fikiran. Markaz PAS kawasan Bakri adalah tempat saya pernah mengikuti Usrah, mesyuarat, program, Solat Tarawikh, dan sebagainya.


Dan inilah salah satu kawasan yang dimenangi oleh PAS dalam negeri Johor Darul Ta’zim. Saya berasa gembira dengan kemenangan yang telah diberikan oleh Allah SWT ini. Tetapi selepas beberapa hari yang amat menyedihkan PAS kawasan Bakri kehilangan seorang pejuang yang banyak menyumbangkan tenaga. Ini saya rasakan memang benar-benar permata yang hilang.


Semasa saya menjawab panggilan telefon secara direct daripada ayah yang memberitahu kematian Ustaz Zakaria. Seingat saya, ayah sambil mengungkapkan dengan nada tangisan: “Ustaz Zakaria sudah tak ada lagi. Dia mati dalam keadaan tidur. Tetapi isterinya mati dahulu setelah selang beberapa hari.”


Saya dalam keadaan makan dan menjadi hilang selera langsung berhenti, lalu saya dengan sendiri tidak dapat menahan air mata saya yang keluar mengalir tidak tahu apa sebabnya. Apa yang pasti Al-Marhum Ustaz Zakaria sempat melihat kemenangan PAS di kawasan tempat beliau sendiri. Dan negeri Johor adalah tempat tanah peluh keringat dan kelahiran beliau sendiri. Ustaz Zakaria (Ketua Urusan Ulama' PAS Kawasan Bakri) telah meninggal dunia pada 23 Mac 2008.


Bagi memastikan kematian beliau; inilah maklumat rasmi yang saya dapat:


Pada pagi Jumaat, 21 Mac 2008, PAS Negeri Johor telah kehilangan seorang tokoh apabila Naib Yang Di Pertua PAS Kawasan Bakri, Saudara Ismail Ibrahim telah kembali ke Rahmatullah. Allahyarham Saudara Ismail telah meninggal dunia di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar akibat serangan jantung. Allahyarham merupakan seorang aktivis yang bergiat dengan PAS sejak sekian lama. Antara jawatan yang pernah disandang oleh beliau adalah Ketua Pemuda PAS Negeri Johor dan Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Johor.


Belum pun hilang luka kehilangan tersebut, PAS Johor menerima satu lagi kejutan apabila Ustaz Zakaria Noor pula dijemput Allah untuk menemuinya. Berita pemergian beliau disambut dengan rasa sangat terkejut oleh semua kerana sehari sebelum itu, Allahyarham bersama-sama dengan sahabat-sahabat lain berada di satu majlis Maulidurrasul. Allahyarham pernah memegang jawatan sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Bakri dan juga EXCO Dewan Pemuda PAS Negeri Johor. Antara yang turut bersama menziarahi Jenazah termasuk ADUN Sungai Abong, Dr Syeikh Ibrahim dan ADUN Maharani, Dr Mohamad Taslim.


Pemergian 2 tokoh besar dalam PAS Negeri Johor ini pasti sangat di rasai kesannya bukan hanya bagi kawasan Bakri tetapi juga PAS Negeri Johor secara keseluruhannya. Semoga Allah menempatkan mereka dikalangan para Syuhada di sisiNya.


Al Fatihah kepada Saudara Ismail Ibrahim dan Ustaz Zakaria Noor. Kedua-duanya merupakan tonggak utama yang telah bekerja keras membantu kemenangan PAS di DUN Bakri baru-baru ini. Waallahu’alam.

Thursday, April 16, 2009

UKHUWWAH ITU ADALAH DISEBABKAN NIKMAT ALLAH SWT



Firman Allah SWT yang bermaksud:


Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, Maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu Karena nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu Telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.


[Ali-‘Imraan:103]


Ada yang menyebut tali Allah itu adalah Al-Quran. Sebagaimana Ibnu Abi Syaibah dan dan Ibnu Jarir yang meriwayatkan dari Abi Said Al-Khudri mengatakan: Rasulullah SAW bersabda:


Kitab Allah adalah tali Allah yang dibentangkan daripada langit ke muka bumi.


[Sahih: Tafsir At-Thobari, jilid 4, m/s 31; Sohihul Jami’, No: 4473]


Begitu juga keterangan menurut Ibnu Abi Syaibah yang meriwayatkan dari Abi Syuraih Al-Khaza’ie mengatakan: Rasulullah SAW bersabda:


Bahawasanya Al-Quran ini menjadi suatu sebab yang di tepinya adalah genggaman Allah dan di tepinya (lagi) adalah genggaman-genggaman kamu, maka berpeganglah kamu dengannya nescaya bahawasanya kamu sekali-kali tidak akan sesat selama-lamanya.


[Sahih: Musannaf Ibnu Abi Syaibah, jilid 6, m/s 125; dan Sahih At-Targhib Wat-Tarhib, No: 38]


Adapun ada riwayat yang lain yang telah meriwayatkan Ibnu Abi Hatim dari Sammak bin Al-Walid Al-Hanafi: Bahawasanya beliau bertemu Ibnu Abbas: Lalu menanyakan:


Apakah engkau menegur pemerintah-pemerintah terhadap kami yang mereka menzalimi kami, dan memaki kami, serta melampaui batas terhadap kami pada zakat-zakat kami; tidakkah kami menyekat mereka?.......


(Beliau) menjawab: Jangan, jadikanlah oleh engkau terhadap mereka sebagai (hidup) berjemaah lagi berjemaah; hanyasanya tidak lain umat-umat terdahulu telah binasa disebabkan pecah-belahnya (mereka). Adapun aku telah mendengar firman Allah SWT yang bermaksud: [Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai ]


[Sahih: Ibnu Abi Hatim, jilid 3, m/s 723; As-Sohihah, No: 204]


Ditambah lagi oleh riwayat Imam Muslim dan Al-Baihaqi yang telah meriwayatkan dari Abi Hurairah bahawa Rasulallah SAW Telah bersabda:


Bahawasanya Allah meredhai bagi kamu 3 perkara dan memurkai bagi kamu 3 perkara: (iaitu) meredhai bagi kamu supaya kamu menyembahNya dan janganlah kamu mensyirikkanNya (menyekutukanNya) sedikitpun; dan supaya kamu berpegang semuanya dengan tali (agama) Allah serta janganlah kamu bercerai-berai; dan supaya kamu saling nasihat-menasihati orang yang Allah melantik pemimpin di kalangan kamu……..


Dan Allah memurkai bagi kamu: (iaitu) berborak; dan banyak soal; serta meluputkan (membuang) harta.


[Sahih: Muslim: Kitab Al-Aqdhiyah, No: 1715]


Imam Ahmad dan Imam Abu Daud telah meriwayatkan dari Mu’awiyah bin Abi Sufyan: Bahawa Rasulallah SAW telah bersabda:


Bahawasanya 2 Ahli Kitab mereka berpecah-belah pada agama mereka atas 72 pegangan; dan bahawasanya umat ini bakal berpecah atas 73 pegangan; yakni jatuh tiap-tiap(semuanya) di dalam api neraka kecuali satu (sahaja) dan adalah Al-Jamaah.


[Hasan: Musnad Ahmad, jilid 4, m/s 102; Sahih At-Targhib Wat-Tarhib, No: 51]


Allah SWT menerangkan dalam ayat ini bahawasanya masyarakat arab yang sangat dekat sebelum ini (ketika Jahiliyyah) dengan menjadikan hamba sebahagian mereka kepada sebahagian yang lain. Lalu Allah SWT mengurniakan kepada dengan menyatukan di antara hati-hati mereka dan menghimpunkan mereka di bawah pandangan Tauhid.


Tidaklah patut mereka melupakan permusuhan-permusuhan mereka yang dahulu; walhal Allah SWT telah mengeringkan darah-darah mereka semasa Jahiliyyah. Jikalau tidak kerana nikmat yang dapat menyelamatkan daripada jalan yang membawa akibatnya yang buruk yang telah Allah kurniakan ini, nescaya mereka akan terus menjadi sedemikian rupa.


Penjelasan firman Allah ini menjadi betapa peri pentingnya supaya umat Islam menelitinya kembali. Dan adalah merupakan suatu rahsia kekuatan orang-orang Islam yang bukan dilihat pada ramai bilangan, kemewahan harta kekayaan; walhal atas dasar asas Aqidah dan Keimanan yang tersembunyi pada kesatuan mereka. Dan ini menjadikan pihak musuh tidak dapat meniru gaya yang tersendiri yang ada pada Umat Islam.


Sebenarnya pihak musuh Islam langsung tidak merasa bimbang, apabila umat Islam lebih memandang kepada gaya pemikiran barat yang amat jauh tersasar dari gaya pemikiran atau cara hidup Islam. Apatah lagi dengan cara semangat kebangsaan daripada pemikiran nasinalisme yang tidak menjamin apa-apa penyelesaian dalam umat Islam menghadapi komplot prejudis yang menimpa sebahagian umat Islam yang lain.


Bahkan sebenarnya pihak musuh Islamlah yang mencipta pemimpin-pemimpin nasionalis ini. Dan pemikiran ini sendiri yang lebih melihat kepada ramainya bilangan umat Islam yang diketuai atau dikepalai oleh pemimpin-pemimpin nasionalis ini yang akhir mmbawa kepada kancah pertentangan sesama sendiri oleh di kalangan pemimpin-pemimpin ini yang masing-masing memperjuangkan semangat kebangsaan.


Sewajarnya pemimpin-pemimpin yang lebih mementingkan Aqidah dan Keimanan. Dan yang lebih membawa umat Islam ke landasan yang betul serta menunjukkan jalan serta membimbing ke arah hukum agama Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud:


Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum agama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.


[As-Sajdah: 24]


Menurut As-Syaikh Muhammad Al-Ghazali:


Bahawasanya kelemahan ikatan Ukhuwwah Islamiyyah adalah ancaman buruk. Walhal adalah merupakan suatu jalan (ruangan) atau wasilah kepada masuk campurnya orang-orang bukan Islam, nescaya mereka (pihak musuh) mengambil hasilnya (peluang) agar mengisi atau memenuhi undang-undang rekaan mereka untuk maslahah (kebaikan) mereka. Walhal Islam menjadi rugi pada permulaan dan penghabisannya.


[Nahwu Tafsir Maudhu’ie Li Suaril Quran]


Ya Allah Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihiMu,

bertemu untuk mematuhi (perintahMu),

bersatu memikul beban dakwahMu,

hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariatMu,

maka eratkanlah Ya Allah akan ikatannya.

Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini akan jalanNya (yang sebenar).

Penuhkanlah (piala) hati ini dengan cahaya RabbaniMu yang tidak kunjung malap.

Lapangkan hati-hati ini dengan limpahan Iman atau keyakinan dan keindahan tawakkal kepadaMu.

Hidup suburkan hati-hati ini dengan ma’rifat (pengetahuan sebenar) tentangMu…

(Jika Engkau mentaqdirkan mati) maka matikanlah pemilik hati-hati ini sebagai para syuhada’ dalam perjuangan agamaMu.

Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong.

Ya Allah perkenankanlah permintaan ini.

Saturday, April 11, 2009

PERSAUDARAAN (UKHUWWAH)



Mengatakan Syaikh Abd Nasir Ulwan: Al-Ukhuwwah adalah ikatan jiwa yang mewarisi perasaan yang mendalam dengan kelembutan, mahabbah, dan penghormatan; setiap orang saling mengikatnya dan ia adalah merupakan daripada ikatan-ikatan aqidah Islam, dan pertalian pada keimanan dan ketaqwaan.


Maka ini adalah merupakan perasaan ukhuwwah yang sebenar, lahir pada jiwa seorang muslim yang benar-benar cerdik di dalam menjadikan sikap-sikap positif daripada saling tolong-menolong atau bantu-membantu, cinta kepada yang lain (utamakan orang lain daripada diri sendiri), kasih-sayang serta salaing maaf-memaafkan di antara satu sama lain.


Dan menjadikan sikap-sikap yang sihat yang jauh daripada tiap-tiap yang boleh membawa mudharat kepada manusia pada diri sendiri , harta-benda, belaian-belaian dengan segala kemuliaan mereka.


Demi sesungguhnya Islam menggalakkan atas ukhuwwah ini pada Allah SWT. Dan di antara ketetapan-ketetapan dan kelaziman-kelaziman pada kebanyakan daripada ayat-ayat Al-Quran dan Hadith-hadith Nabi.


[Tarbiyah Al-Aulad fil Islam, jilid:1,m/s:357]


Persaudaraan (Ukhuwwah) yang Umum: Allah SWT menciptakan manusia semuanya daripada asal yang satu kemudian berbangsa-bangsa, bercerai-berai, berbilang-bilang lisan-lisan dan tujuan-tujuan mereka.


Firman Allah SWT yang bermaksud:


Hai manusia, Sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal.


[Al-Hujuraat; 13]


Maka asas hubungan di antara manusia ini. Bahawasanya tertegak di atas saling berkenal-kenalan dengan tidak berbalah-balahan. Di atas saling bersepakat dengan tidak bermusuh-musuhan. Di atas saling bantu-membantu dengan tidak lawan-melawan.


Ini disebabkan semuanya atas dasar ciptaan asal yang satu. Dan merasa kehidupan pada naungan ketuhanan dengan Tuhan yang satu. Jadi mengapakah manusia saling berbalah-balahan dan bermusuh-musuhan? Mengapakah manusia saling berbunuh-bunuhan dan berlawan-lawanan?


Dan tidak mungkin manusia hidup pada satu hakikat yang asal. Kerana mereka inginkan hidup yang paling utama pada satu hakikat ketuhanan, lalu mereka kenal apa itu erti ketaqwaan yang merupakan asas yang paling utama di kalangan diri manusia itu sendiri. Bukanlah melihat pada jenis tubuh badan, rupa paras, rupa bentuk, warna kulit atau pada lisan percakapan mereka sendiri. Tapi seluruhnya daripada asal yang satu. Namun begitu, persaudaraan atas dasar keimanan itu adalah dasar yang khusus (terutama) dan tertentu kepada semua yang beragama Islam.


Persaudaraan Atas Dasar Keimanan


Adalah merupakan ikatan yang lebih kukuh daripada demikian itu ialah di antara diri manusia pada sifat insaniyyah yang umum. Dan dengan itu manusia diberi fitrah dengan mencintai terhadap yang setara, serupa dan sebanding. Dan tidak ada sesuatupun yang menjadikan diri manusia itu terikat hatinya dengan manusia yang lain kecuali diri manusia itu terikat dengan aqidah, kefahaman, kesedaran dan menunaikan Ad-Din (cara hidup) Islam yang sempurna pada hatinya.


Firman Allah SWT yang bermaksud:


Orang-orang beriman itu Sesungguhnya bersaudara. sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.


[Al-Hujuraat: 10]


Imam Al-Qurthubi mengatakan: Di dalam firman Allah SWT yang bermaksud: {Orang-orang beriman itu Sesungguhnya bersaudara} Maksudnya pada agama dan kehormatan adalah tidak ada pada nasab keturunan. Dan bagi ini dikatakan: Ukhuwwah keagamaan lebih tetap daripada ukhuwwah nasab keturunan. Maka nasab keturunan terputus dengan perbezaan pada agama, adapun ukhuwwah keagamaan tidak akan terputus dengan perbezaan nasab keturunan.


Maka ini adalah satu ikatan atau perjanjian yang mengikat orang-orang yang beriman. Hanya sesungguhnya pertalian aqidah dan keimanan yang terkandung di bawahnya para pengikutnya.


Maka aqidah itu adalah satu-satunya aqidah yang menjamin benar-benar terikat di antara para pengikutnya dengan ikatan ukhuwwah yang bukanlah ukhuwwah palsu lagi dusta bahkan ukhuwwah kecintaan iaitu ukhuwwah dengan Al-Ithar (melebihkan orang lain daripada diri sendiri).


Ukhuwwah pada aqidah dan keimanan adalah merupakan sekuat-kuat daripada ikatan nasab keturunan. Kerana ikatan aqidah tidak boleh hilang dengan hilangnya nasab keturunan. Akan tetapi ikatan nasab keturunan boleh hilang dengan hilangnya aqidah.


Dan menjadi suatu sejarah aqidah ini agar dapat disaksikan bahawasanya bilakah lagi ia menjadi ketetapan pada hati-hati manusia. Betapa Para sahabat RA melakukan dengan sekuat-kuat daripada ikatan nasab keturunan.

Dan sesungguhnya seperti apa yang berlaku di peperangan Badar. Di antaranya:


1- Umar bin Al-Khattab RA membunuh bapa saudara sebelah ibunya sendiri iaitu Al-‘As bin Hisyam bin Al-Mughirah pada hari itu.


2- Dan setelah selesai peperangan . Telah melalui Mus’ab bin ‘Amiir Al-‘Abdari dengan saudaranya Abi ‘Aziz bin ‘Amiir yang telah teluka pada peperangan melawan orang-orang Islam. Telah melalui olehnya dengannya dan salah seorang Al-Ansaar yang sangat-sangat (sakit) tangannya. Lalu mengatakan Mus’ab terhadap orang Al-Ansaar itu: Sangat-sangat (sakit) kedua-dua tangan engkau dengannya. Maka jika di hadapannya suatu kesenangan, (nescaya) mudah-mudahan dapat menebusnya (kesenangan itu) daripada (diri) engkau. Lalu Abu ‘Aziz mengatakan terhadap saudaranya Mus’ab: Apakah ini wasiat engakau denganku? Lalu Mus’ab menjawab: Bahawasanya mana-mana orang Al-Ansaar (adalah) saudaraku bukannya engkau!!!


[Rujuk: Ar-Rahiqul Makhtum bagi Safiur-Rahman Al-Mubarakfuri]


Sesungguhnya datang suatu sunnah yang mulia agar mempastikan pengertian ini dan menjelaskan bahawasanya orang Islam itu mempunyai pakaian jasad yang satu dan anggota badan yang satu. Maka apabila sakit salah satu anggota tubuhnya, (nescaya ) sakit anggota badan yang lainnya.


Sabda Nabi SAW yang bermaksud:


Perumpamaan orang-orang yang beriman adalah pada saling rindu-merindui, belas kasihan, dan kasih-mengasihi di antara mereka seperti perumpamaan satu jasad apabila mengadu (sakit) satu anggota dikalangannya, (nescaya) saling terasa (sakit) padanya semua anggota yang lain dengan keadaan berjaga (tidak tidur malam) dan menjaga (memelihara di antara satu sama lain)


[Riwayat Al-Bukhari dan Muslim dari An-Nu’man bin Basyir]


Dan sabdanya lagi yang bermaksud:


Orang yang beriman bagi orang yang beriman itu seprti bangunan yang menguatkan sebahagian pada sebahagian yang lain.


[Riwayat Al-Bukhari daripada hadith Abi Musa Al-Asya’ari

(Kitab Al-Adab pada bab pada menyatakan: Saling bantu-membantu sebahagian pada sebahagian yang lain)]


Oleh itu, kita perlulah senantiasa menjaga hubungan persaudaraan sesama Islam atas dasar cinta kerana Allah SWT. Bukan atas dasar yang lain. Waa'Allahu'alam.