Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih.
Dengan nama yang Maha Agung. Apabila berdoa dengan namaNya, maka Dia Maha Menerima. Apabila diminta dengan namaNya Dia Maha Pemberi lagi Maha Mengurniakan.
Sesungguhnya ramai dikalangan kita hari ini memandang suatu kemuliaan kepada mereka yang membaca (bertilawah) Al-Quran dan menghafaznya. Tetapi apa yang menakutkan dikalangan kita umat Islam hari ini adalah mereka yang meninggalkan kefahaman, tadabbur dan mengenal apa yang terkandung di dalam ayat-ayat daripada makna-maknanya yang boleh menjamin kepada suatu pemeliharaan.
Sebenarnya kelebihan Al-Quran dari sudut taujihat, tasyji'at (perangsang) dan tarbiyyah (didikan) yang bijaksana lagi mampu untuk memberikan kekuatan yang lebih tinggi di dalam kehidupan manusia sejagat. Ia boleh menyelamatkan daripada faktor-faktor yang boleh menyebabkan seseorang itu rosak agamanya dan gugur akhlaknya, akal fikirannya, bathinnya dan materialistik. Ini semua kuasa Allah SWT dengan menganugerahkan Al-Quranul Karim melalui Nabi kita SAW. Ia juga merupakan mukjizat Nabi SAW yang terunggul sekali.
Ini suatu bukti kefahaman yang sahih lagi memberi pedoman melalui ayat-ayat Al-Quranul Karim yang boleh membawa petunjuk kepada jalan yang lurus.
Sebagaimana Firman Allah SWT:
ذَٲلِكَ ٱلۡڪِتَـٰبُ لَا رَيۡبَۛ فِيهِۛ هُدً۬ى لِّلۡمُتَّقِينَ
[Al-Baqarah:2]
FirmanNya SWT lagi:
ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ ٱلَّذِىٓ أَنزَلَ عَلَىٰ عَبۡدِهِ ٱلۡكِتَـٰبَ وَلَمۡ يَجۡعَل لَّهُ ۥ عِوَجَاۜ
قَيِّمً۬ا لِّيُنذِرَ بَأۡسً۬ا شَدِيدً۬ا مِّن لَّدُنۡهُ وَيُبَشِّرَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ ٱلَّذِينَ يَعۡمَلُونَ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ أَنَّ لَهُمۡ أَجۡرًا حَسَنً۬ا
مَّـٰكِثِينَ فِيهِ أَبَدً۬ا
قَيِّمً۬ا لِّيُنذِرَ بَأۡسً۬ا شَدِيدً۬ا مِّن لَّدُنۡهُ وَيُبَشِّرَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ ٱلَّذِينَ يَعۡمَلُونَ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ أَنَّ لَهُمۡ أَجۡرًا حَسَنً۬ا
مَّـٰكِثِينَ فِيهِ أَبَدً۬ا
Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menurunkan kepada hambaNya (Muhammad), Kitab suci Al-Quran dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong): (1) (Bahkan keadaannya) tetap benar lagi menjadi pengawas turunnya Al-Quran untuk memberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar) dengan azab yang seberat-beratnya dari sisi Allah dan memberi berita gembira kepada orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka akan beroleh balasan yang baik. (2) Mereka tinggal tetap dalam (balasan yang baik) itu selama-lamanya. (3)
[Al-Kahfi:1-3]
Kita juga dapati di dalam setiap negara-negara Islam hari ini, lebih-lebih lagi di negara-negara Islam Timur Tengah atau semenanjung Tanah Arab yang kita melihat beribu-ribu daripada kitab-kitab kecil yang diterbiktkan lebih menumpukan kepada penghafazan Al-Quran atau lebih menumpukan kepada bacaan yang betul.
Namun amat malang kesungguhan itu tidak mampu untuk menghasilkan apa yang diharapkan. Dengan memastikan sumber Islam ini dapat dilaksanakan di dalam zaman yang semakin berkembang maju. Apakah yang mesti dilakukan?
Ini adalah disebabkan kurangnya sandaran kepada kefahaman, tadabbur, tarbiyyah, ta'lim (pengajaran) dan tazkiyyah (pembersihan hati) melalui Al-Quran yang mampu memberikan kesedaran kepada amalan praktikal yang zahir.
Apakah Al-Quran ini hanya semata-mata ibadat lafaznya sahaja?
Apakah Al-Quran ini hanya semata-mata jalan untuk mendapatkan keberkatan?
Apakah Al-Quran ini untuk bacaan kepada majlis kematian?
Di sini saya bukan menemplak mereka yang mengamalkan perkara ini. Malah tidak menafikan ia suatu amalan yang mulia. Saya juga tidak gemar dengan sesetengah pihak yang menemplak amalan mulia ini. Dengan mengatakan ini bid'ah dan sebagainya. Cuma apa yang disampaikan ini untuk memberi suatu kesedaran tentang pentingnya pengajaran Al-Quran ini.
Sebagaimana disebut di dalam satu hadith Nabi SAW: Dari Abi Hurairah RA- Bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah satu kaum itu berhimpun di dalam satu rumah daripada rumah-rumah Allah, yang mana mereka itu sedang membaca Kitab Allah (Al-Quran) dan mereka saling belajar mempelajarinya di kalangan mereka, melainkan diturunkan kepada mereka ketenangan, Rahmat menyelubungi mereka, Para Malaikat mengelilingi mereka dan Allah mengingati mereka pada sesiapa yang di sisiNya.
RIWAYAT MUSLIM
Walhal kita sedari Al-Quran itu adalah kitab Samawiyah yang paling akhir diturunkan.Ia mempunyai kesahihan, keagungan dan kelebihan. Walhal juga Kalamullah itu adalah penjelasan, hidayah petunjuk, rahmat dan berita gembira.
Sebagaimana firman Allah SWT:
وَنَزَّلۡنَا عَلَيۡكَ ٱلۡكِتَـٰبَ تِبۡيَـٰنً۬ا لِّكُلِّ شَىۡءٍ۬ وَهُدً۬ى وَرَحۡمَةً۬ وَبُشۡرَىٰ لِلۡمُسۡلِمِينَ
Dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang menggembirakan, bagi orang-orang Islam. (89)
[An-Nahl:89]
Ditambah lagi Al-Quran itu sebagai ubat penawar. Sebagaimana firmanNya SWT:
وَنُنَزِّلُ مِنَ ٱلۡقُرۡءَانِ مَا هُوَ شِفَآءٌ۬ وَرَحۡمَةٌ۬ لِّلۡمُؤۡمِنِينَۙ وَلَا يَزِيدُ ٱلظَّـٰلِمِينَ إِلَّا خَسَارً۬ا
Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua. (82)
[Al-Israk:82]
Juga merupakan nasihat pengajaran sebagaimana firmanNya SWT:
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلنَّاسُ قَدۡ جَآءَتۡكُم مَّوۡعِظَةٌ۬ مِّن رَّبِّڪُمۡ وَشِفَآءٌ۬ لِّمَا فِى ٱلصُّدُورِ وَهُدً۬ى وَرَحۡمَةٌ۬ لِّلۡمُؤۡمِنِينَ
Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu dan juga menjadi hidayat petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman. (57)
[Yunus:57]
Dan menjadi hujjah untuk menunjukkan jalan-jalan keselamatan dan kesejahteraan. Sebagaimana firmanNya SWT:
قَدۡ جَآءَڪُم مِّنَ ٱللَّهِ نُورٌ۬ وَڪِتَـٰبٌ۬ مُّبِينٌ۬
يَهۡدِى بِهِ ٱللَّهُ مَنِ ٱتَّبَعَ رِضۡوَٲنَهُ ۥ سُبُلَ ٱلسَّلَـٰمِ وَيُخۡرِجُهُم مِّنَ ٱلظُّلُمَـٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ بِإِذۡنِهِۦ وَيَهۡدِيهِمۡ إِلَىٰ صِرَٲطٍ۬ مُّسۡتَقِيمٍ۬
يَهۡدِى بِهِ ٱللَّهُ مَنِ ٱتَّبَعَ رِضۡوَٲنَهُ ۥ سُبُلَ ٱلسَّلَـٰمِ وَيُخۡرِجُهُم مِّنَ ٱلظُّلُمَـٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ بِإِذۡنِهِۦ وَيَهۡدِيهِمۡ إِلَىٰ صِرَٲطٍ۬ مُّسۡتَقِيمٍ۬
Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah dan sebuah Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata keterangannya. (15) Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaanNya dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izinNya dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus. (16)
[Al-Maidah:15-16]
Bahawasanya ia diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW yang Ummi (tidak tahu membaca dan menulis) pada bulan Ramadhan ketika mana Baginda SAW beri'tikaf di dalam gua hira'. Ketika itu juga umurnya 40 tahun, di mana bermulanya tugasnya sebagai seorang Rasulullah (utusan Allah) untuk menyampaikan Risalah wahyu daripada Allah SWT.
Dengan ayat-ayat Al-QUran yang jelas maka sebaik-baik umat yang dapat dikeluarkan untuk manusia pada agamanya, tauhidnya, perundangannya, akhlaknya dan ketamadunan insan yang layak dengan kemanusiaan sejagat.
Selama 23 tahun Al-Quran ini diturunkan. Di dalam fatrah ini, urusan kehidupan, aqidah, individu, masyarakat dan manusia seluruhnya dapat merawat dengan amat mujarab.
Sedikit pengetahuan yang boleh kita kongsi bersama. Dimana Al-Quran terkandung ayat-ayatnya sebanyak 6236 ayat yang telah dibahagikan ia sebanyak 30 juzuk, 60 hizib, 114 surah, 77,934 perkataan dan 323,671 huruf yang bermula tertibnya dari Surah Al-Fatehah sehingga Surah An-Nas. Ada sesetengah pendapat mengatakan selain daripada itu. Dan mungkin boleh merujuk kepada mana-mana ibu kitab-kitab yang membicarakan tentang Ulumul Quran.
Al-Quran juga adalah merupakan senjata ampuh yang digunakan oleh Rasulullah SAW untuk jihad melawan bahana syirik yang melanda manusia. Dengan Al-Quran yang dibaca oleh Rasulullah SAW terhadap mereka yang mensyirikkan Allah SWT, mampu mencuit hati dan fikiran umat ketika itu untuk menerima Islam.
Mereka yang menerima Islam ini pada ketika itu sanggup bertasammuh pada logik akal fikiran mereka dan fitrah (semulajadi) mereka untuk beramal terus dengan ajaran Al-Quran. Adapun mereka yang menolak Islam dengan tidak menerima ajaran Al-Quran terus dengan adat-adat penyembahan berhala yang menguasai jiwa mereka di dalam kesesatan dan kekufuran.
Bahawasanya memperdengarkan Al-Quran dengan fitrah (semulajadi) yang bersih dan senantisa bersedia menerima di dalam akal fikiran dan haq yang mutlak sebenarnya mampu menguatkan dalaman manusia ke arah kedudukan yang tinggi dan murni.
Semua ini dapat direalisasikan ke arah (mengenal) yang menciptakan alam sejagat dan sunnatullah pada alam sejagat ini. Juga mampu ke arah akhlak individu yang tinggi di dalam kehidupan dan meningkatkan taraf kehidupan dari pertembungan kehidupan materialistik serta thiqah (kepercayaan) pada apa yang di sisi Allah SWT.
Akhir sekali, bakal Allah SWT mendatangkan kita dengan suatu keyakinan pada setiap zaman yang mempunyai jemaah atau kumpulan yang soleh. Ia mampu menghubungkan kepada satu kefahaman yang tepat dengan Al-Quran dan menjadikan Al- Quran sebagai manhaj kehidupan serta menujukan kepada manusia dengan mendahulukan Al-Quran dari sudut tarbiyyah, pembersihan atau penyucian hati, pengajaran, ilmu, thaqafah dan perundangan. Waallahu'alam.
No comments:
Post a Comment